Peristiwa 1.
Petang yang masih teramat muda, saya ke stesen LRT seorang diri. Tiba-tiba seorang pemuda menegur.
Pemuda : Kak, saya nak minta bantuan akak ni. Tak kisahlah akak nak cakap apa pun. Tapi saya betul-betul perlukan pertolongan. Saya ni student Uitm Melaka. Saya kena pukau. Tiba-tiba je baru saya sedar saya ada kat sini. Sekarang saya tak ada duit nak balik. Boleh tak akak kasi duit. Nak balik pun saya tak tahu macam mana.
Saya kerutkan dahi, pandang pemuda itu dari atas ke bawah. Badan gempal. Gigi kuning macam tak pernah gosok. Peluh meleleh-leleh. Badan bau hapak! Untuk pertama kalinya, saya tak mampu/dapat menilai orang di depan saya. Masa berlalu pantas dan saya sudah terlewat sebenarnya. Sepatah kata pun belum keluar dari mulut saya ketika itu.
Pemuda : Tak apalah, akak kasi saya duit tambang pun cukuplah.
Apa? Duit tambang?
Saya memang nak cepat waktu itu. Malas nak dengar rayuan dan cerita pemuda itu, yang entah betul entahkah bohong. Saya buang keraguan saya dan anggap dia betul-betul dalam kesusahan. Saya belek-belek dompet, dan yang ada waktu itu not RM5 dan not yang besaaaar. Dengan pasang niat nak tolong (walaupun dalam hati ragu-ragu), saya hulur not RM5 tu.
Saya : Ambik ni buat tambang. Awak beli tiket LRT sampai Masjid Jamek. Lepas tu awak tukar tren, pergi ke CM pulak. Dah dekat dengan Pudu tu.
Pemuda : Ooo.. kena naik kat sini, ya?
Saya cuma angguk. Saya naik escalator cepat-cepat kerana telah terlewat. Bila saya toleh ke belakang semula, pemuda itu dah tak ada. Kalau tak tahu nak naik LRT, kenapa dia tak ikut saya saja?
Peristiwa 2.
Petang itu, saat sendirian di rumah ketika senja ramadhan membawa ke maghrib, seorang lelaki Arab memberi salam. Saya sedang bersiap-siap menyajikan juadah berbuka meski pun ketika itu saya sendirian di rumah.
Pak Arab : Beli buku-buku agama.
Saya : Buku-buku saya pun ada banyak yang belum terbaca. Maaf.
Lelaki itu menunjukkan judul-judul buku berkulit keras yang memang saya kenal dan masih tersimpan elok dalam almari saya. Takkan saya nak beli buku yang saya dah ada.
Pak Arab : Tolonglah, Ramadhan.
Dia buat muka kasihan sambil mula keluarkan hadis-hadis. Saya mula naik bengang. Ini sudah jadi kes mempergunakan ‘warisan suci’ untuk mencari untung!
Saya : Maaf, saya tak ada duit.
Saya berterus terang saja. Saya mahu dia cepat pergi kerana waktu itu azan telah berkumandang dan tiba saat iftar. Lelaki itu mula marah. Mukanya masam mencuka.
Pak Arab : Tadi buat apa? Tidur saja?
Sambil itu dia beristighfar berkali-kali sambil tepuk-tepuk dahi. Kononnya saya ni buruk perangailah, puasa-puasa begitu asyik tidur. Tak ada kerja lain boleh dibuat. Yang si Pak Arab ni pulak, sudah pun masuk waktu iftar, tapi apa kes masih terconggok depan pintu rumah orang? Mengganggu waktu iftar orang lain pulak. Helo… nak berniaga atau nak kena pelangkung Pak Arab ni?
Tapi entah kenapa tangan saya terasa berat nak menghempaskan pintu waktu itu.
Kemudian Pak Arab itu tunjukkan poster Ayat Kursi dan paksa saya membelinya.
Pak Arab : Ikhlas… ikhlas berapa pun.
Dia bercakap sambil menjeling menyampah kepada saya.
Dengan hati yang panas, saya ke dapur dan mencari RM2 di dalam bekas duit syiling, lalu saya serahkan kepadanya.
Saya : Maaf ya. Ini saja yang saya ada.
Waktu itu mulut saya masih boleh berbaik bahasa lagi, walaupun api marah menyala-nyala. Elok saja saya serah duit, Pak Arab terus pergi tanpa ucap terima kasih pun.
Saya urut dada dan beristighfar beberapa kali. Bulan puasa…
Mungkin rezeki, Tuhan sengaja menduga saya ketika itu.
Kalau diikutkan, banyak lagi cerita lain. Jenuh kalau nak dikisahkan satu per satu.
Apa pun, sesuatu yang amat berharga telah saya pelajari.
Seandainya tidak ikhlas, jangan memberi. Seandainya kita memberi, jangan fikirkan sama ada si peminta bercakap benar atau menipu atau memaksa-maksa. Yang penting, Dia yang di atas sana tahu niat kita.