Monday, December 31, 2007

Tahun Baru Itu Apa?

Tahun baru? Apa itu tahun baru? Yang saya tahu, beralih ke tahun lain (hahaha). Bermakna semakin bertambah tualah sekalian makhluk dan penghuni bumi yang masih bernyawa.

Ucapan tahun baru? Entah! Suka-suka mulut mengucapkan selamat, dan tangan menaipkan Happy New Year! pada blog atau SMS atau ruang sembang atau apa-apalah. Sedar tak sedar satu budaya asing meresap menular membiak mengalir bersama darah dalam tubuh kita. Apatah lagi tahun baru yang disambut itu bulan-bulannya digelar Januari, Februari ila akhir, dan bukannya Muharram, Safar ila akhir.

Mujur juga tahun baru yang sepatutnya disyukuri itu hanya jarak beberapa hari dari tahun baru yang ‘ini’.

Maka dengan ini saya mengucapkan Selamat Tahun Baru Hijrah kepada kamu semua.

Azam? Heh… jangan ditanya fasal azam, kerana setiap bulan saya akan berazam. Awas! Anda dilarang mentertawakan azam-azam itu. Antara azam ‘bodoh’ saya setiap bulan:

*Kurangkan lemak-lemak yang semakin menimbun dalam badan.
*Kurangkan berangan dan berkhayal.
*Kurangkan membebel.
*Kurangkan tidur. Huuarrghh… mengantuklah pulak!
*Kurangkan mengumpul habuk-habuk pada buku-buku yang berderet tak terbaca.
*Kurangkan malas!



Sebelum mengakhiri entri ini, ingin diwarwarkan di sini bahawasanya buku penutup bagi tahun 2007 telah pun terbit.


Ceritakan kisah-kisah menarik dan penuh teladan kepada si kecil anda sebelum mereka tidur.
Terbitan: PTS One.
Harga : RM49.90




Sekian, terima kasih dan jumpa lagi.

Saya nak layan bunga api tahun baru. Tak jauh. Tu... tepi jendela rumah jer.

Friday, December 28, 2007

Cuti yang Percuma!

Sepanjang-panjang cuti kali ini, semuanya bagai tiada rasa. Tawar. Sendi-sendi sakit dan lenguh. Batuk-batuk mula ramah bertamu. Tekak perit dan pahit. Sup tulang, daging, gear box tak sedikit pun mengumpan selera. Cuma ubat-ubatan menjamah kerongkong.

Lapan hari bercuti tak memberi keseronokan. Udara desa percuma saja di luar rumah tanpa dapat dinikmati. Ketika tubuh mula berpeluh lencun, perut pula mula merombak-rombak ingin menghamburkan isinya. Sepanjang beberapa hari selepasnya, begitulah… perut tak mampu menerima apa-apa yang mengenyangkan. Tubuh menggigil terketar tanpa tenaga, kepala pusing dan pandangan berpinar tanpa ketahuan punca.

Setelah kaki menjejak di bumi Kuala Lumpur ini pun, tubuh masih juga terketar-ketar dan pening-pening lalat masih ada. Syukur kerana perut telah mampu menerima bahan-bahan penyumbang zat dan tenaga. Batuk-batuk nakal masih juga tertinggal menggaru-garu kerongkong.

Aku jadi lesu dan malas!

Hey, perempuan! Jangan nak buat alasan. Kerja!

Thursday, December 20, 2007

Raya Lagi!

Selamat Hari Raya Aidil Adha.
Pengertian Qurban jangan dilupa.
Jumpa lagi minggu hadapan.

Monday, December 03, 2007

Senangnya Nak Cari Duit.

Peristiwa 1.

Petang yang masih teramat muda, saya ke stesen LRT seorang diri. Tiba-tiba seorang pemuda menegur.

Pemuda : Kak, saya nak minta bantuan akak ni. Tak kisahlah akak nak cakap apa pun. Tapi saya betul-betul perlukan pertolongan. Saya ni student Uitm Melaka. Saya kena pukau. Tiba-tiba je baru saya sedar saya ada kat sini. Sekarang saya tak ada duit nak balik. Boleh tak akak kasi duit. Nak balik pun saya tak tahu macam mana.

Saya kerutkan dahi, pandang pemuda itu dari atas ke bawah. Badan gempal. Gigi kuning macam tak pernah gosok. Peluh meleleh-leleh. Badan bau hapak! Untuk pertama kalinya, saya tak mampu/dapat menilai orang di depan saya. Masa berlalu pantas dan saya sudah terlewat sebenarnya. Sepatah kata pun belum keluar dari mulut saya ketika itu.

Pemuda : Tak apalah, akak kasi saya duit tambang pun cukuplah.

Apa? Duit tambang?

Saya memang nak cepat waktu itu. Malas nak dengar rayuan dan cerita pemuda itu, yang entah betul entahkah bohong. Saya buang keraguan saya dan anggap dia betul-betul dalam kesusahan. Saya belek-belek dompet, dan yang ada waktu itu not RM5 dan not yang besaaaar. Dengan pasang niat nak tolong (walaupun dalam hati ragu-ragu), saya hulur not RM5 tu.

Saya : Ambik ni buat tambang. Awak beli tiket LRT sampai Masjid Jamek. Lepas tu awak tukar tren, pergi ke CM pulak. Dah dekat dengan Pudu tu.

Pemuda : Ooo.. kena naik kat sini, ya?

Saya cuma angguk. Saya naik escalator cepat-cepat kerana telah terlewat. Bila saya toleh ke belakang semula, pemuda itu dah tak ada. Kalau tak tahu nak naik LRT, kenapa dia tak ikut saya saja?

Peristiwa 2.

Petang itu, saat sendirian di rumah ketika senja ramadhan membawa ke maghrib, seorang lelaki Arab memberi salam. Saya sedang bersiap-siap menyajikan juadah berbuka meski pun ketika itu saya sendirian di rumah.

Pak Arab : Beli buku-buku agama.

Saya : Buku-buku saya pun ada banyak yang belum terbaca. Maaf.

Lelaki itu menunjukkan judul-judul buku berkulit keras yang memang saya kenal dan masih tersimpan elok dalam almari saya. Takkan saya nak beli buku yang saya dah ada.

Pak Arab : Tolonglah, Ramadhan.

Dia buat muka kasihan sambil mula keluarkan hadis-hadis. Saya mula naik bengang. Ini sudah jadi kes mempergunakan ‘warisan suci’ untuk mencari untung!

Saya : Maaf, saya tak ada duit.

Saya berterus terang saja. Saya mahu dia cepat pergi kerana waktu itu azan telah berkumandang dan tiba saat iftar. Lelaki itu mula marah. Mukanya masam mencuka.

Pak Arab : Tadi buat apa? Tidur saja?

Sambil itu dia beristighfar berkali-kali sambil tepuk-tepuk dahi. Kononnya saya ni buruk perangailah, puasa-puasa begitu asyik tidur. Tak ada kerja lain boleh dibuat. Yang si Pak Arab ni pulak, sudah pun masuk waktu iftar, tapi apa kes masih terconggok depan pintu rumah orang? Mengganggu waktu iftar orang lain pulak. Helo… nak berniaga atau nak kena pelangkung Pak Arab ni?

Tapi entah kenapa tangan saya terasa berat nak menghempaskan pintu waktu itu.

Kemudian Pak Arab itu tunjukkan poster Ayat Kursi dan paksa saya membelinya.

Pak Arab : Ikhlas… ikhlas berapa pun.

Dia bercakap sambil menjeling menyampah kepada saya.

Dengan hati yang panas, saya ke dapur dan mencari RM2 di dalam bekas duit syiling, lalu saya serahkan kepadanya.

Saya : Maaf ya. Ini saja yang saya ada.

Waktu itu mulut saya masih boleh berbaik bahasa lagi, walaupun api marah menyala-nyala. Elok saja saya serah duit, Pak Arab terus pergi tanpa ucap terima kasih pun.

Saya urut dada dan beristighfar beberapa kali. Bulan puasa…

Mungkin rezeki, Tuhan sengaja menduga saya ketika itu.

Kalau diikutkan, banyak lagi cerita lain. Jenuh kalau nak dikisahkan satu per satu.

Apa pun, sesuatu yang amat berharga telah saya pelajari.

Seandainya tidak ikhlas, jangan memberi. Seandainya kita memberi, jangan fikirkan sama ada si peminta bercakap benar atau menipu atau memaksa-maksa. Yang penting, Dia yang di atas sana tahu niat kita.