Saturday, August 28, 2010

Siri Akhir

Diam tak diam, sudah setengah bulan kita berpuasa. Agak terlambat juga, namun masih tidak mengapa untuk mengucapkan Selamat Berpuasa kepada semua, dan sekaligus juga mahu mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Jimat masa bukan? Haha. Sungguh menonjolkan sifat tiada kerajinan. Harap dimaafkanlah.
*
Okey, dengan seronoknya ingin memaklumkan, siri terakhir Melah Melia sudah pun berada di dalam emel editor. Huuu, agak sedih jugalah kerana terpaksa mengakhiri kisah si lurus bendul itu. Agak mencabar jugalah mahu menyelesaikan siri itu. Makin ditulis, makin tidak mahu habis-habis. Makin tebal pula muka suratnya. Seperti diri ini tidak sanggup mahu mengakhirinya. Tak mengapalah, daku terpaksa juga merelakannya juga. Uhuk!
*
Naskhah itu sudah pun selesai, maka sebab itulah tiba-tiba terjelmalah entri baharu blog ini. Namun masih tiada cerita menarik. Maka sekian sahajalah untuk kali ini. Lalala!
*
TATA

Wednesday, June 30, 2010

Baca tapi derhaka. Hoh?

Ya, otak terasa membeku. Walaupun begitu saya sengaja menggatalkan jejari agar menulis sesuatu dalam blog sunyi ini.
*
Al-kisah, ketika kebekuan otak berada di paras kritikal, saya sengaja menggoogle nama sendiri dan salah satu judul novel saya. Ah, banyaknya yang keluar. Macam-macam blog dan pages! Tidak! Tidak! Saya tak pernah berhasrat untuk berlagak-lagak atau berbangga-bangga apabila agak banyak juga nama saya kedapatan di Internet. Bukan niat menayang-nayang okey.
*
Dalam kebekuan itu saya klik beberapa halaman. Dan akhirnya saya terjumpa blog seorang adik. Ya sudah tentulah dia pernah membaca novel saya. Katanya beliau peminat nombor wahid Melah Melia. Wah, terharu rasanya. Hati tersangat seronok bagai hendak melompat ke langit! Woohoooo!
*
Itu bab yang seronok. Tetapi baca punya baca, rupanya ada bab yang tidak seronok. Kata beliau lagi, akibat seronok beliau sudah tidak sabar nak habiskan pembacaan. Makanya, dengan tanpa bersalah beliau membawa dan membaca novel itu ketika cikgunya yang berdedikasi itu sedang mengajar. Tidak baik sungguh beliau itu.
*
Apabila membaca perenggan itu, Ainin Naufal berasa sangat bersalah. Bersalah kerana menjadikan adik itu seorang yang derhaka kepada cikgu beliau. Bersalah kerana menjadikan adik itu seorang pelajar yang tidak baik. Bersalah kerana menjadikan adik itu leka dengan pelajarannya. Ah, selama ini Ainin Naufal menulis kerana cuba memberikan ikhtibar secara halus kepada adik-adik. Malangnya niat dan hasrat Ainin Naufal gagal rupa-rupanya.
*
Wahai sekalian, sekiranya anda suka tulisan Ainin Naufal, maka janganlah membacanya ketika cikgu dengan gigih mengajar. Akan malanglah apabila ditangkap oleh cikgu itu. Lebih malang lagi sekiranya novel-novel Ainin Naufal mahupun novel-novel penulis lain terus diharamkan. Siapa yang rugi? Anda semualah juga. Uhuk! Siapa yang ingin rugi? Sila tonjolkan diri. Ehmm, tiada nampaknya.
*
Kepada semua, bacalah novel pada waktu yang sesuai. Belajar bersungguh-sungguh. Bermain bersunggu-sungguh. Membaca pun bersungguh-sungguh. Tak bagus jika belajar sambil bermain dan membaca (ada ke? hmmm, ada!). Tak bagus jika membaca sambil bermain (ada ke? hmmm, mungkin ada). Dan tak elok bermain sambil main-main. Huhu!
*
Sekian dan terima kasih.
*
TATA

Wednesday, June 23, 2010

Dramaramarama.

"Saya nak tengok kampeni mana yang tahan dengan puan!"
*
"Helooo! Saya dah ada 10 produk dengan kampeni lain ya! Dengan kampeni awak saja hanya ada satu produk, sebab kampeni awak tak profesional!"
*
(Dialog seorang staf sebuah penerbitan yang baru 6 bulan bekerja dengan seorang penulis.)
*

Sekian dan terima kasih.

Saturday, March 27, 2010

Cerita Tidak Senonoh di Pesta Buku 2010.

Mak cik berdua yang sangat sibuk. Sibuk bercakap-cakap.

Saya konon-kononnya sangat sibuk hingga langsung tak menulis. Yang pasti menyibuk saja yang lebih. Hmm sebenarnya itu alasan gantian untuk tidak mengemaskini blog. Oleh sebab ada blog, sepatutnya kenalah merajinkan diri tulis dengan selalunya. Sila jangan contohi saya. Ermm, tiap-tiap kali buka ruangan entri, mesti kepala rasa kosong. Tak ada apa-apa yang menarik untuk dikongsi bersama (sebenarnya ini alasan lain untuk tidak mengemaskini blog selain alasan sibuk dan menyibuk. Tolonglah percaya.).

Namun kali ini saya dengan seronoknya ingin cerita mengenai pesta buku. Kalau masih ada yang ketinggalan roket, saya memang sangat simpati. Helo, ini zaman IT. Kalau tak ada internet pun, TV ada siarkan iklan mengenai pesta buku.

Sabtu lepas saya diundang dalam sesi Chit Chat Bersama Penulis di gerai PTS. Saya bergandingan denga Ezee Rahmani. Seronoknya saya! Perangai saya memang tak senonoh. Orang ramai lalu-lalang tengok kami di atas platfom yang tersedia untuk sesi itu. Ketika saya sampai, penulis baru dan bakal menjadi penulis tersohor suatu masa nanti, Ilya Alias dan Nurul Zahidah sedang duduk dengan sopan santun lagi control ayu di atas platfom. Amboi, seronok nampaknya penulis muda melayan peminat.

Ketika cik editor comel menguar-uarkan keberangkatan tiba diri saya yang berjalan dengan gaya huru-hara itu, Nurul Zahida telah terlompat dari atas platfom untuk berposing dengan saya. Tipuuuu... ini hanya gimik untuk memperasankan diri sendiri. Beliau tidak terlompat atau melompat atau terbang mahupun buat summersault untuk turun dari platfom itu. Beliau turun dengan sopan dan mampu mengawal diri. Terima kasih kepada Nurul kerana sudi berposing istimewa dengan akak yang tak senonoh ni ye. Nurul baru berusia 16 tahun. Sesuatu yang membanggakan bagi remaja seperti itu kerana dengan jayanya menghasilkan novel bertajuk Siapa Lebih Popular?.

Bakal penulis-penulis terhebat.

Penulis yang diduetkan dengan Nurul ialah Ilya. Novelnya bertajuk Otai. Dengar cerita Otai menjadi antara novel remaja yang laris di pasaran. Beliau bakal seorang cikgu. Pesanan untuk Ilya, jangan jadi cikgu yang garang. hehe. Selepas tamat slot kedua-dua penulis remaja ni, tibalah giliran mak cik-mak cik berdua ni pulak untuk naik platfom. Tapi sebelum itu, saya dengan bangganya mendapat muah-muah di pipi daripada Ilya. Mau tak bangga, bakal penulis terhebat muah-muah kita? Heh, kamu dapat? Tentulah tidak, kan (sila baca dengan nada penuh eksen)?

Apa lagi, menjelang beberapa minit selepas itu, platfom itu kami yang punya! Muahahaha.

Cik editor comel pun mula mengaktifkan suara beliau dengan bercerita mengenai karya-karya kami. Dan kami pula sibuk mengenai hal-hal yang tidak kaitan langsung sama ada dengan yang hidup atau yang mati, melainkan mengenai hal-hal keduniaan saja. Sungguh tidak bersopan-santun umpama murid yang bercakap-cakap apabila cikgu di depan bercakap-cakap. Sila jangan contohi ketidaksenonohan kami berdua ya. Akibat ketidaksenonohan kami, beberapa kali cik editor comel menegur dan memotong acara bercakap-cakap yang kami berdua anjurkan itu di atas platfom (acara bercakap-cakap yang tiada kena-mengena dengan sesi kejadian). Dan aksi kami menjadi semakin ektrem tidak senonoh apabila galak melambai mana-mana makhluk yang dikenal pasti sebagai kawan-kawan lama, sehinggalah cik editor comel mengaktifkan teguran begini, "Nampaknya penulis kita masih sibuk melambai-lambai." Ya, sangat kasihan dengan cik editor comel kerana terpaksa mengaktifkan teguran beberapa kali. Minta ampun dan minta maaf beribu juta-juta kali. Maklumlah, kami berdua lama teramat tidak bersua muka. Hanya itulah saja ruang masa yang ada. Maka, disebabkan keterujaan melampau demikian, terjadilah aksi-aksi yang juga melampau di atas platfom bernama "Pentas Ini Kami yang Punya. Hahaha."

Saya sungguh err... bukan se ... tapi ber ... beronok-ronok kerana pak cik saya sekeluarga datang dari Temerloh. Terharu sungguh. Selama hari ini, ramai ahli keluarga dan saudara-mara tak tahu apa kerja saya selain daripada seorang suri rumah. Sungguh! Saya lebih gembira memencilkan diri dari diketahui umum. Saya kan pemalu orangnya. Ahaks!

Selepas slot yang dipenuhi aksi-aksi luar kawal dan ketidaksenonohan oleh mak cik berdua ini selesai, saya bertemu Ilya setelah mencari-cari beliau merata-merata (masih di dalam ruang litup gerai jenama PTS). Sebelum bermula slot terlampau mak cik berdua itu, kami berjanji nak jumpa. Apabila bertemu, maka kami berdua pun posing beberapa kali di depan kamera. Terasa diri saya seperti pokok bonsai yang diletakkan di sebelah pokok kelapa. Ilya boleh jadi model.


Itulah kisah saya untuk kali ini. Pesta buku tinggal esok saja. Masih ada masa kalau nak pergi. Kepada sesiapa yang bercadang nak pergi esok, selamat bersesak-sesak diucapkan kepada kamu.

Wassalam. TATA.

Gambar ihsan PTS.

Saturday, March 06, 2010

Hipokrit dan Kebetulan

Assalamualaikum.

Macam biasa, saya perlu menjalankan kerja-kerja membersihkan blog dari segala macam sawang. Nanti tidaklah ada makhluk-makhluk yang prihatin akan bising-bising fasal blog berhabuk, bersawang, semak-samun dan lain-lain lagi. Sangat membencikan okey!

Baiklah, untuk acara memenuhi kekosongan dalam blog ni, saya ingin mulakan dengan ceramah di awal-awal pagi. Mengenai hipokrit. Adik-adik dan kawan-kawan, tahu apa itu hipokrit? Menurut Kamus Dewan Online (maaf ya, saya tiada kerajinan menyelak Kamus Dewan versi kertas. Berat okey! Saya hanya tergamak menjadikan ia sebagai hiasan dalam almari saja. Buku itu mahal ya.) Okey, tak perlu cakap banyak-banyak. Marilah saya beritahu makna perkataan ini daripada apa yang diberitahu oleh Kamus Dewan Online itu.

Hipokrit - Orang yang berpura-pura berperangai baik, bermuka-muka.

Sekarang dah faham? Ya sangat pandai dan terang hati nampaknya. Seperti yang sudah difahami, perkataan yang tersebut di atas sesuatu yang negatif. Jadi tentulah tak baik jika dilakukan. Tapi dalam keadaan terdesak, ia boleh digunakan. Ingat ya, hanya dalam keadaan terdesak. Contohnya apabila kamu diacukan pistol dengan picu sedia untuk ditarik oleh seorang lelaki psiko, yang ingin kamu memuji beliau. Jika tidak, kamu mungkin mati serta-merta. Ya, memang terdesak, kan? Maka perlulah kamu memuji dia sangat kacak macam Jongang Brothers, baik hati macam kawan saya (Cikgu Alias), macho ala-ala Brad Parit. Demi menyelamatkan nyawa, kamu mesti pura-pura. Sila jangan amalkan contoh tersebut di dalam karangan kamu. Ini contoh yang ekstrem.

Tadi contoh yang terdesak, yang dibolehkan bermuka-muka atau berpura-pura. Sekarang saya ingin berikan contoh lain. Ingin diulang sekali lagi, sila jangan sesekali amalkan. Begini, jika kamu tidak suka dengan buku yang kamu baca, janganlah pula kamu tulis komen di mana-mana dengan memuji beria-ia kononnya kamu suka gila tahap dewa-dewi. Kamu kagum tahap langit ke-7. Sedangkan sebenarnya kamu anggap buku itu skema. Buku itu entah apa-apa entah. Buat kamu mengantuk sampai tak sedar air liur meleleh-leleh, tahi mata berkepuk-kepuk terhasil akibat kebosanan, isi perut hampir keluar akibat mual. Adakah perbuatan itu bagus? Pandai! Tentulah tidak! Jadi sila jangan ulangi lagi seandainya ada yang terlanjur kelakuan. Katakan terus terang kepada penulisnya komen jujur kamu. Itupun kalau kamu sayangkan penulisnya. Apapun motif kamu berbuat demikian, ia tetap dikira sebagai salah laku. Contoh ini kisah sebenar ya adik-adik dan kawan-kawan.

Ini tentang komen-komen untuk buku-buku saya? Oh, silap. Bukan saya. Tapi milik seseorang. Sebetulnya, setiap penulis tidak marah kalau ada komen-komen membina demi menambahbaik karya masing-masing. Penulis perlukan komen. Pujian? Itu terpulang. Kalau nak puji, pujilah seikhlasnya, yang lahir dari sudut hati yang dalam. Bukannya terikut kawan-kawan. Kalau tak suka, katalah dengan jujur lagi benar, juga dari sudut sanubari yang maha dalam. Komen secara personal itu lebih baik. Dan sila jangan bandingkan penulis ini dengan penulis itu. Itu sungguh tidak seronok ya. Kalau ingin merasainya, jemputlah jadi penulis dan tunggulah respon pembaca kamu nanti. Mungkin kamu juga akan bertemu dengan makhluk-makhluk yang bermuka-muka seperti contoh di atas.

Sebelum saya menghabisi cerita ini dan buka cerita lain, biarlah saya petik kata-kata para artis, "Bukan mudah memuaskan hati semua orang." Citarasa orang tak sama. Penilaian, pemikiran dan kematangan akal setiap orang pun tak serupa.

Jujurlah pada diri sendiri dan pada orang lain. Ia baik untuk kesihatan. Kenapa? Sebab kamu tenang selepas membuat pengakuan yang jujur lagi ikhlas. Kamu sudah tidak stress lagi.

Okey, sekarang buka cerita lain. Pengunjung saya meninggalkan link ke blog beliau. Wah, terkejut saya. Rupa-rupanya terlalu banyak kebetulan dalam novel Sejak Bila Kami Berkawan. Yang saya jelas kebetulan dari segi nama watak. Jalan ceritanya, tak pastilah pulak.

Kebetulan sentiasa berlaku dalam mana-mana bentuk fiksyen. Novel Sejak Bila... ini juga ada kebetulan dengan sebuah drama. Tema dan ideanya sangat sama. Saya tergamam bila drama yang baru muncul itu hampir sama dengan idea Sejak Bila Kami Berkawan. Waktu itu novel ini hampir siap ditulis. Entri mengenainya pernah saya tulis dulu. Tak disangka, rupanya setelah terbit, masih ada juga kebetulan-kebetulan yang lain. Lepas ni entah apa kebetulan lagi yang muncul. hehehe.

Begitulah. Ramai yang mengalami kebetulan-kebetulan ini termasuk kawan-kawan penulis yang lain. Jadi adalah tidak seronok apabila ada yang mengatakan filem/drama ini macam mencuri idea novel ini. Novel ini, macam tiru novel itu. Sedangkan nama-nama watak yang jarang-jarang berlaku pun ada kebetulan....

Okey, untuk membaca kebetulan yang macam mana itu dengan lebih detail lagi, silalah lawati blog pengunjung saya itu di SINI

Mata sudah kelat.

Sekian terima kasih.

TATA. =)

Thursday, January 28, 2010

Mempersembahkan....


Sejak Bila Kami Sepakat
*
Ini sekuel kedua untuk siri 'Sejak Bila Kami...'. Bagi yang dah baca siri pertama, jangan malu dan segan untuk dapatkan siri yang kedua pula ya. Novel ini akan akan terbit bulan Februari ini, dan sah-sah akan berada di Pesta Buku pada bulan berikutnya ini. Sampulnya sangat comel kan?
*
Novel ini tidaklah sempurna. Maklumlah, Ainin Naufal pun bukannya penulis yang sempurna. Dan bukanlah penulis tersohor dan diminati ramai. Tapi berilah peluang ia berada dalam koleksi kamu ya. :peace:
*
Ermm, nampaknya saya gagal melunaskan janji pada diri sendiri untuk sentiasa meng-up-date blog ni. Nak mekap pun teramatlah liatnya. Kalau tak kerana nak menguar-uarkan penerbitan novel baru, tentulah sikit pun blog ni tak terjengah. Sungguh kesian... err, pada diriku sendiri!
*
TATA!

Tuesday, January 19, 2010

Tajuk Suka Hati

Erm, tahun ini saya bertekad untuk lebih rajin menulis entri baru. Juga bertekad untuk mekap blog lawa-lawa. Hasrat nak mekap blog lawa-lawa sejak lama dulu ada... tapi saya letakkan jauuuuh di sudut hati. Oh, saya pasti ramai yang tak tau blog ni masih pakai format lama. Padahal orang lain dah berkurun drag and drop jer. Haaa... tak percaya? Tak percaya sudah! Eleh, ada la yang gelak guling-guling tu. Itulah hakikatnya. Blog ni masih dengan format lama. Jemu dengan rupa kejadian blog ni? Mana tak jemu, kalau dah bertahun-tahun dengan layout yang sama. Kenapa? Jawapannya tak berapa rajin nak upgrade layout!
*
Walau apapun, saya terharu sangat sebab ada juga pengikut blog ni walaupun saya tak pernah letak aplikasi untuk 'join and follow me' kat side bar sama ada yang kanan atau yang kiri. Pagi tadi saya tengok (hari ni terlebih rajin tengok blog sampai dua kali) ada 18 pengikut, tapi petang ni saya tengok ada 19 pulak dah. Pencapaian yang membanggakan bagi blog yang kurang dijengah oleh tuan tanah (dan orang lain), melainkan para penggoogle yang tersesat ke mari. huhu. Sangat sayu. Sangat kasihan!
*
Okeylah, mulai hari ini saya berazam nak merajinkan diri meng-up-date blog dengan selalunya. Dan rajin-rajin mekap blog macam artis-artis yang rajin mekap muka mereka dengan penuh warna-warni. Dan juga rajin menampal apa-apa yang disarankan oleh rakan-rakan untuk ditampal di blog. Haha saya dah kena warning sama AVA sebab tak tampal bendera mereka dalam blog. Oh, mungkin entri akan datang saya akan uar-uarkan mengenai AVA dan dalam masa yang sama tampal bendera mereka di sini, sebagai usaha membesarkan kembali hati mereka yang terkecil akibat kemalasan saya itu.
*
Okey, saya sedang menunggu dengan sabarnya final pruf untuk novel terbaru. Hmmm, lambatnya masa berlalu.
P.S: Psssst, tajuk entri tak ada kena-mengena dengan entri. Sebab saya tak tau nak letak tajuk apa. Weeeeeeeeeeeee....

Monday, January 11, 2010

Permulaan Tahun Baru

Semalam untuk pertama kalinya saya cuba membuka tirai dan keluar dari bayang-bayang 2009. Heh, dah masuk tahun barulah! Bangun! Bangun! Berhenti berkelubung dalam emosi semalam. Lupakan yang sedih-sedih. Mari menari gembira. Ewah! Hidup mesti diteruskan. Err... dan sudah-sudahlah bercucuk tanam tanpa hasil kat fesbuk tu. Terapi mindalah konon! Uwek!
*
Okey-okey, nak cerita pasal semalam tapi termelalut. Semalam saya ingatkan balik diri sendiri untuk terus prolifik. Untuk cari rezeki. Untuk meneroka sesuatu yang baru. Sampai bila nak macam ni? Balik-balik buat benda yang sama, benda yang orang nampak kecil. Yang orang rasa kalau saya buat, buatlah. Kalau saya tak buat, orang akan kata, "ada aku kesah?"
*
Setelah seminggu lebih, baru terhegeh-hegeh keluar dari 'kelubung' dengan menyibuk-nyibukkan diri di bengkel penulisan skrip drama anjuran AVA. Saya enjoy dengan input-input baru, berkenal-kenal dengan satu lagi cabang penulisan. Yang paling best, dua pembimbing ialah makhluk-makhluk tuhan yang berbakat amat dalam bidang tersebut. Shahrul Ezad dan Sofia Rhyland.
*

Sofia Rhyland

*
Siapa pernah tengok Awan Dania? Itu Sofia Rhyland punya temberanglah. Hahaha. Bukan saya yang cakap beliau temberang, melainkan beliaulah sendiri yang mengatakannya. Banyak soal teknikal yang disentuh oleh beliau. Saya tak kelip-kelip tengok muka beliau bila beliau bercakap (tipuuu, saya kelip-kelip jugak!). Bukan! Bukan sebab muka beliau ada jerawat batu, tapi sebab cuba menghadam apa yang beliau cakapkan. Hasilnya= separa faham. Huhuk! Ops, muka beliau tak ada jerawat batu okey! Apapun, yang bagusnya nanti beliau akan emelkan contoh format yang dah siap. Yeehaaa!
*

Shahrul Ezad


Hey, kamu pernah tonton kisah si Jibek dengan Saerah? Atau Tari Tirana yang 'now showing' kat tivi3? Atau Cinta Si Penggali Kubur? Atau Sindarella? Itu semua garapan skrip dan arahan Shahrul Ezad di bawah terbitan produksinya sendiri, Radius One. Wah, memang gila kuasa! Ahakz. Suka hati beliaulah kan? Slot kedua lebih banyak gelak-gelak. Minah depan saya, Err... Kaseh kot nama beliau, ewah ... gelak sampai nak putus urat kentut gayanya. Merah padam muka beliau. Saya agak tentulah beliau senak perut waktu tu bila tuan director bercakap dengan aksi gaya selamba lagi spontan. Yang pasti banyak ilmu baru yang dapat dicerna walaupun dalam sesi yang santai. Best! Yang tak bestnya, asyik nak terkucil. Uhuk!
*
Hmmm, okey. Doakan saya lebih prolifik dan lebih kaya daripada tahun lepas. Hehe.

** Gambar diciluk dari blog AVA.