Sunday, January 14, 2007
Kalau kamu...
Tuesday, January 09, 2007
Hampas!
Sukakah kamu kalau merasakan diri kamu ditendang seolah-olah sudah tiada harga lagi?
Sukakah kamu seandainya tempat yang pernah kamu curahkan keringat dan buangkan segala kudrat itu melayan kamu seperti sudah lupa penat lelah kamu?
Ya, tentu jawapannya tidak suka!
Sudah tentu jawapannya tidak seronok!
Sudah tentu jawapannya kecewa!
Dulu dia bertelefon-telefon.
Dulu dia bersms-sms.
Dulu dia berYM-YM.
Dulu dia beremail-email.
Sekarang nombor telefon tangan saya pun dia sudah TERRRLUPA,
Sekarang YM saya pun dia sudah tak TERRRJELING,
Sekarang alamat e-mail saya pun dia sudah TERRRDELETE agaknya.
Pagi tadi, baru pagi tadi untuk pertama kalinya sejak beberapa bulan lalu dia hubungi telefon tangan saya.
Ooooooooooooooooooooooooh, masih ada lagi nombor telefon saya dalam simpanannya!
Dia : Akak apa khabar?
Saya : Ok.
Dia : Projek Pahlawan tu akak yang pegangkan?
Saya :Ya.
Oooooh, dia hubungi saya kerana hal berkaitan dengan kerja dan kepentingannya. Kalau mengenai keperluan diri saya, kenapa buat-buat terrrlupa ya?)
Dia : Projek tu kena siap Jan 07, akak pulak masih tak belajar program baru tu. Hmm... akak dah buat apa-apa dengan Projek Pahlawan tu?
Saya : Tak buat apa-apa.
Dia : Kita nak bagi projek tu pada orang lain.
Hari ini sudah 9hbJan07. Tak mungkin projek itu siap dalam masa hanya 2-3 minggu!
Permainan apa ni? Sorok-sorok? Hey... kalau sorok-sorok, kenapa menyorok di tempat yang jelas? Lawak ke ni? Kalau lawak kenapa saya tak ketawa? Tak mengapalah, mungkin lawak yang tak boleh ketawa. Walau apapun saya akan cuba ketawa juga
HA, HA dan Ha!
Jangan ingat saya tak tahu. Projek Pahlawan tu dah diserahkan kepada orang lain sebelum dimaklumkan kepada saya. DAN. Projek itu dah pun siap, cuma tunggu masa saja meluncur di pasaran!
JANGAN BODOHKAN SAYA!
Dia : Akak nak ambil job lagi tak?
Saya : Tak nak!
Dia : Hmm satu lagi mengenai karya akak tu, saya dah minta pengurusan uruskan soal postingnya.
Saya : Ok.
Hah... benda yang sudah tidak mengujakan saya itu akan diposkan kepada saya sedangkan saya sendiri tidak dimaklumkan tentang kelahirannya! Tahu-tahu saja sudah wujud! Wah... mungkin dia sudah naik jadi orang kanan sekarang. Kalau dulu hal-hal remeh pun sms, telefon, kalau tidak berYM.
SEKARANG AKU SUDAH JADI SEPAH!
TERIMA KASIH KERANA MENJADIKAN AKU SEPERTI BENDA ITU!
Friday, January 05, 2007
Tertangkap : Alunan Hidup.
Sedang Kamsiah, Radiah dan Satirah begitu asyik mencabut beberapa batang tebu, tiba-tiba satu suara melaung ke arah mereka. Namun ketiga-tiganya tidak mengendahkan laungan itu. Mungkin mereka memang tidak menyedarinya. Adilah yang sedang berjalan-jalan di sekitar kawasan tersebut, terpinga-pinga seketika.
Kelihatan beberapa orang lelaki di kantin sekolah.
Adilah berpaling ke arah suara laungan itu. Namun dia tidak menduga laungan itu ditujukan kepadanya dan teman-teman. Masih belum jelas pada penglihatannya, siapa yang melaung sebentar tadi.
Adilah terpinga-pinga lagi. Dipandangnya kawasan-kawasan lain yang berhampiran. Tiada sesiapa. Hanya dia dan teman-temannya sahaja yang ada.
“Mari ke sini!” Lelaki yang sedang melaung itu tiba-tiba bangun dari kerusinya. Dia mara ke hadapan.
“Mari!” laungnya lagi.
Kini barulah Adilah dapat mengecam lelaki itu. Cikgu Samad, guru warden asrama putera! Dia juga seorang bekas tentera!
“Kamsiah!”
Panggilan Adilah tidak bersahut.
“Kamsiah!” Sekali lagi Adilah memanggil ketua asrama puteri itu.
“Ada apa?” sahut Kamsiah yang sedang mematahkan sebatang lagi tebu.
“Cikgu Samad ada di kantin,” kata Adilah.
Namun kata-katanya tidak diendahkan langsung oleh Kamsiah, Radiah dan Satirah. Mereka masih terus mengumpul beberapa batang tebu lagi.
“Apa yang kamu buat di sana? Mari ke sini!” Laungan Cikgu Samad kedengaran lagi.
“Kamsiah... Cikgu Samad panggillah!” Kata-kata Adilah kali ini membuatkan Kamsiah terkaku. “Dia panggil kita,” jelas Adilah lagi.
“Dia di mana?” Wajah Kamsiah sudah berubah. Kelihatan seperti tidak berdarah. Satirah dan Radiah juga sudah berhenti dari terus mengumpul tebu-tebu tersebut.
“Dia di kantin. Ada beberapa orang lagi di sana,” jelas Adilah lagi.
Kamsiah menjenguk seketika ke arah kantin. Matanya telah menangkap batang tubuh Cikgu Samad yang sedang berdiri memerhatikan mereka. Sebaik sahaja kelibat Kamsiah kelihatan, Cikgu Samad langsung melambai kepadanya.
“Mengapa kamu berjalan hingga ke hujung blok, tentulah dia melihatmu,” Kamsiah menyalah Adilah.
“Manalah saya tahu ada orang di kantin,” Adilah membela dirinya.
“Marilah kita pergi,” ujar Kamsiah tiba-tiba. Radiah dan Satirah terkebil-kebil dengan arahan ketua mereka. “Lekaslah kutip tebu-tebu itu,” arah Kamsiah. “Kita naik ke kelas tingkat atas,” tambahnya.
“Kamsiah... dia panggil lagilah,” kata Adilah sekali lagi. Kelihatan dimatanya Cikgu Samad sedang melambai ke arah mereka.
“Lekas... mari kita pergi,” Kamsiah mengarah lagi. Radiah dan Satirah akur.
“Cikgu Samad terus memanggil kita, bagaimana?” ujar Adilah. Dia tidak merasa seperti orang yang bersalah.
“Pedulikan dia. Ayuh, lekas!” gesa Kamsiah. Dia cuba bertenang. Radiah dan Satirah sudah mula melangkah. Kamsiah juga mula mengekori kedua-duanya. Namun Adilah masih juga tidak bergerak. Dia teragak-agak.
“Kamsiah!” Adilah memanggil Kamsiah yang sudah semakin jauh meninggalkannya. Sementara itu laungan Cikgu Samad memakin menghampiri. Namun kelibatnya masih belum kelihatan.
“Tunggu dahulu! Jangan lari!” Laungan itu membuatkan langkah Kamsiah, Radiah dan Satirah semakin deras. Adilah pula hanya berjalan seperti biasa. Sesekali Adilah menoleh ke belakang. Kedengaran tapak kaki semakin menghampirinya. Tetapi kelibat orang yang melaung tadi masih terlindung di sebalik blok sekolah.
Adilah teragak-agak samada hendak menyerah diri, ataupun melarikan diri seperti teman-temannya. Dia masih lagi di kaki lima, sedangkan teman-temannya sudah sampai ke tingkat dua. Derap-derap tapak kaki Cikgu Samad pula semakin mendekat.
“Tunggu saya!” laung Adilah.
“Lekaslah!” balas teman-temannya.
“Jangan lari!” Suara Cikgu Samad bagaikan berada di belakang Adilah sahaja. Perutnya terasa kecut.
Tiba di hadapan tangga, sekali lagi terdengar suara laungan Cikgu Samad. Adilah diserkup serba-salah. Akhirnya dia duduk di depan tangga, di balik pokok bunga pagar. Dia terlindung di situ dari penglihatan Cikgu Samad.
Jika dia menaiki tanggan ketika itu, pasti Cikgu Samad dapat menangkapnya. Temam-temannya yang lain semuanya sudah lepas ke atas. Sudah selamat. Dirinya sahaja yang tertinggal. Semuanya gara-gara rasa serba-salahnya.
“Jangan lari!” Cikgu Samad semakin mendekat. Tapak kakinya kian berderap-derap di atas simen.
Adilah memejamkan mata. Jika Cikgu Samad meneruskan langkahnya, pasti dia akan ditemukan menyorok di balik pokok bunga itu. Terasa mukanya panas tiba-tiba. Dia tidak dapat menyelamatkan diri lagi!
Matanya terpejam. Bibirnya digigit-gigit. Tangannya sudah sejuk dingin. Nafasnya ditarik dalam-dalam. Dia nekad. Dia mahu menyerah diri.
Satu... dua... tiga... Adilah bangun. Dan Cikgu Samad yang semakin mendekat segera menangkap kelibatnya. Tiada apa yang mampu dilakukan lagi oleh Adilah kecuali menyerah.
“Mengapa kamu lari?” tanya Cikgu Samad. Wajahnya tidak menunjukkan sebarang reaksi. Malah dia tersenyum pula!
Pertanyaan Cikgu Samad dibiarkan sahaja berlalu tanpa jawapan. Yang mampu dilakukannya hanyalah tersengih dan menunjukkan wajah minta dikasihani.
“Di mana teman-temanmu yang lain?” tanya Cikgu Samad lagi. Adilah sekali lagi diserkup serba-salah. Bibir bawahnya digigit-gigit.
“Di... di....” Muka Adilah sekali lagi terasa panas. Dia menunduk. Tidak sanggup hendak memandang muka Cikgu Samad.
“Di mana?” soal Cikgu Samad lagi. Dia tersenyum.
Senyuman Cikgu Samad meyakinkan Adilah bahawa mereka tidak akan dikenakan hukuman.
“Di atas, cikgu,” tiba-tiba terpacul kata-kata Adilah. Cikgu Samad menarik nafasnya kelegaan.
“Mengapa kamu curi tebu itu?” Cikgu Samad bersuara lagi.
“Kami tidak curi. Kami hanya mengambil sahaja.” Terkebil-kebil mata Adilah memandang Cikgu Samad. “Lagipun saya hanya menemani mereka,” ujarnya lagi. Tanpa sedar, dia berpaling tadah!
“Lebih tepat lagi, kamu bersubahatlah?” ujar Cikgu Samad. Dia menggeleng kepala beberapa kali. Adilah hanya mampu tersengih.
Pelajar-pelajar lain sudah sering mengambil tebu di situ, namun tidak pernah tertangkap. Dirinya yang hanya bersubahat ini pula yang terkena. Orang yang mengambil, atau lebih tepat lagi mencuri tebu buat kali pertama, sudah lepas ke atas.
Wednesday, December 27, 2006
Baru Terbit : Alunan Hidup

Terus terang saya katakan, novel jibunsyi ini adalah satu percubaan. Saya tidak tahu bagaimana penerimaan pembaca. Namun saya sudah melakukan yang terbaik. Walaupun harapan untuk melihat buku ini terbit sangat mengujakan pada awalnya, namun kemelut dalam penerbitan novel ini membuatkan saya putus harap untuk menunggu kelahirannya. Walaubagaimanapun sekarang saya bersyukur kerana ia telah pun terbit walaupun ia sudah tidak mengujakan lagi. Terima kasih kepada yang terlibat.
Alunan Hidup mengisahkan perjalanan hidup seorang Minah Kilang bernama Adilah. Walaupun dia berkelayakan untuk menyambung pengajian, tapi di atas beberapa sebab, hasratnya terpaksa dilupakan begitu sahaja.
Namun Adilah gagahkan diri meredah kehidupan dengan status minah kilang yang sering dipandang rendah dan dipandang serong masyarakat. Baginya bukan semua minah kilang 'berkepala kosong.'
Harapan saya, semoga kelahiran novel ini mampu menangkis tanggapan negatif terhadap golongan penjana ekonomi negara ini. Jangan sesekali merendahkan mereka. Kejadian-kejadian yang berlaku di dalam cerita ini adalah peristiwa benar.
Tunggu kemunculannya di kedai-kedai buku berhampiran anda.
Saturday, December 23, 2006
Minggu Yang Menguji

Jumaat lepas, pruf writer dan senaskhah OREN tiba untuk saya semak dan buat pembetulan pruf itu adalah dari manuskrip DIA ISTIMEWA yang bakal terbit Januari 07 dan naskhah OREN itu pula untuk pembetulan bagi diulang cetak. Tidak lupa beberapa dokumen perjanjian yang perlu ditandatangani. Kesemuanya perlu dihantar pada 19 dan 20 Disember 06, iaitu pada Selasa dan Rabu depan. Hmm... tak sampai seminggu pun! Dalam masa yang sama, keluarga dari Kuantan pula datang berkunjung. Orang tua saya pula sangat uzur kerana mengidap Parkinson. Semua naskhah dan dokumen yang baru saya terima itu saya tolak ke tepi dahulu. Hari Sabtunya, keluarga pulang semula ke Kuantan.
Sedang leka meneliti manuskrip, si puteri pula tiba-tiba muntah-muntah. Tidak sampai lima belas minit, pasti dia akan muntah lagi. Keadaannya berlarutan sehingga ke petang.
Sejak pagi, cuma sebotol susu saja yang masuk ke perutnya.
Saya bawa ke klinik. Tiba di klinik, doktor ternampak lebam di dahinya pula. Doktor itu speakin London. Bla bla... doctor... bla.. bla... observe... bla... bla... hospital... Terus diarahkan kami supaya membawanya ke hospital dengan berbekalkan refer letter. Mahu tak mahu terpaksalah kami ke hospital pula. Kain baju dan bekalan pun saya sediakan kerana pasti kami akan bermalam di wad. Buat X-ray, masuk drip. Meraung si puteri. Kasihan. Lekas tu doktor masukkan dia di ER (Emergency Room).
Malam, kami masih di hospital. Doktor nak buat CT Scan pula. Puteri terpaksa diberi sedation. Setelah setengah jam, dia masih juga tak mahu tidur. Doktor tambahkan dos lagi dengan harapan dia cepat tidur dan boleh lekas-lekas buat CT Scan. Malangnya bukan saja dia tak mahu tidur, tapi menangis minta susu, minta air dan minta roti yang saya sedang makan. Saya kasihan lalu beri dia secubit saja roti. Dia makan. Jururawat datang dan larang saya berikan roti kerana dia akan diberi pelali lagi, bimbang tercekik atau masuk ke paru-paru pula. Di depan jururawat, dia menangis mahu roti lagi. Jururawat kesian, tapi apa nak buat, dia pun tak mampu nak tolong. Saya sendiri pun kelaparan kerana sejak tengah hari membawa ke malam, saya tak makan apa-apa langsung, Apatah lagi si puteri yang cuma minum sebotol susu kemudian muntah dan muntah lagi.
Tidak lama kemudian, jururawat datang membawa ubat tidur dan hanya beberapa sudu air masak. Si puteri cepat-cepat ngangakan mulut dan telan ubat tidur tanpa ragu-ragu. Biasanya kalau disuruh makan ubat, memang payah. Memang dia betul-betul lapar, kata jururawat. Kata jururawat, doktor dah mati akal nak bagi dia tidur. Kali yang ketiga pun masih susah juga nak tidur, mungkin sebab dia masih trauma dengan pekerja hospital yang mencucuk drip di lengannya. Akhirnya setelah lelap, barulah CT Scan dilakukan.
Jam sudah 12 malam. Kami tetap juga dihospital. Perut bukan main lapar lagi. Akhirnya, saya baring di atas katil bersama-sama puteri sampai subuh!
Pagi itu barulah kami dibenarkan pulang kerana semua ujian berjaya melepasi halangan. Syukur. Kata jururawat, sepatutnya kami dibenarkan pulang jam 12 malam itu. Tetapi memandang doktor terpaksa memberi dos sedation dan ubat tidur berlebihan kepada si puteri, maka doktor terpaksa memerhatikannya kerana ada kesan sampingan. Hmmm...
Pulang ke rumah, saya cuba selesaikan mengemak kedua-dua manuskrip walaupun hari itu adalah tarikh yang sepatutnya nashkah itu perlu berada di tangan editor. Naskhah Melah Melia juga sudah saya sediakan untuk dikirim kepada seorang adik di Kelantan. Saya berjanji hendak mengirimkannya sebelum si adik ke Melaka. Nampaknya saya tidak dapat selesaikan apa yang sepatutnya.
Lewat sehari, barulah saya hantar nashkah itu ke jabatan editorial. Yang belum selesai cuma mengirim Melah Melia ke Kelantan.
Dan Khamis, hari yang sepatutnya saya kirimkan Melah Melia, saya diserang demam pula, di saat keluarga saya dari Selangor pula datang berkunjung. Huhuhuhu.......
Akhirnya saya sms si adik dan mohom maaf kerana terpaksa mungkir janji. Saya katakan saya akan kirimkan Melah Melia ke kolejnya.
Harap-harap saya tidak akan menempuhi lagi minggu-minggu yang mengkelam kabutkan seperti minggu ini! Amin.