Thursday, June 07, 2007

Errrrrkk....

Orang Mersing, Johor balik kampung bawa keropok. Sedap ek?

Orang Sri Aman, Saghawak balik kampung bawa terubuk masin. Kamek suka!

Orang Temerloh, Pahang balik kampung bawa tempoyak. Koi selera...

Orang Sentul, Kuala Lumpur balik kampung bawa perut.
Errrrkk, kenyangnya. Alhamdulillah.
Ngahahaha!

Friday, June 01, 2007

Balik Kampung Lagi, Lagi-lagi Balik Kampung!

Rumah pusaka tempat kami dibesarkan.

Kepada semua sahabat handai dan rakan taulan, jauh dan dekat, di sana atau di sini, saya dengan rasa riak dan takbur ingin mewarwarkan kepada anda, anda, anda, anda, anda..., bahawa sesungguhnya menjelang terbitnya fajar esok hari, dengan penuh rasa gumbira dan berlagak, akan bertolak lagi ke desa indah dan permai tempat kami dibesarkan dan dengan penuh bongkak dan sombongnya juga kami akan bercuti selama cuma-cuma 2 hari dan satu malam sahaja, meninggalkan Kuala Lumpur yang selalu-selalunya mengepul dengan debu dan asap-asap kenderaan berat dan ringan itu.


Monday, May 28, 2007

Opah Berpesan....

Dulu-dulu, semasa kami kecil, opah selalu pesan, kalau ‘terbuang angin’ ketika makan, kena basuh tangan sekali lagi. Kemudian baru boleh sambung makan.

Pada suatu hari, adik ‘terbuang angin’ semasa kami masih enak-enak menikmati nasi panas dengan sayur bening, sambal belacan dan ikan pekasam. Kurang asam betul! Memang nak kena budak tu.

Opah suruh adik basuh tangan. Tapi adik buat muka selamba. Opah desak berkali-kali. Tapi adik makan dan terus makan, sampai habis nasi satu pinggan.

Habis sepinggan nasi, baru adik basuh tangan. Inilah cara yang betul. Basuh tangan lepas habis makan. Basuh tangan semasa masih enak makan nak buat apa?

Apabila selesai makan, eh... tak jadi apa-apa pun?

Kenapa opah suruh basuh tangan kalau ‘terbuang angin’ ketika makan?

Misteri sungguh...

p/s : Ada sesiapa yang tahu jawapannya? Sila angkat tangan!

Tuesday, May 22, 2007

Surat Untuk Mak

Kehadapan mak yang masih dihormati walaupun sudah tidak terasa ingin mengasihi. Maafkan kekasaran dan kelancangan kakak buat kali yang ke… entah, sudah tak larat nak kira lagi.

Mak,
dulu-dulu kakak sanjung mak, hormat dan sayang mak. Sangat-sangat. Kalau ada manusia yang mencerca dan menyakiti mak, kakak akan terasa sakit dan pedihnya. Kalau tuduhan dan tohmahan bertimpa-timpa menghentak batu jemala mak, kakak turut terasa hentakannya. Dulu-dulu.

Dulu-dulu kakak terasa betapa tuah menyaluti diri kakak apabila dapat bernaung di bawah payung mak, saat hujan renyai-renyai menghalang perjalanan kakak. Tumpang berteduh dalam rumah agam mak yang tersergam megah dan gah, bekerja di restoran mak yang taraf berbintang-bintang, membuatkan kakak meraup tangan ke wajah dengan penuh kesyukuran. Mak hulurkan tangan waktu kakak tak tahu ke mana arah tuju hidup kakak. Kakak bersyukur. Terima kasih. Kakak akan ingat sampai bila-bila.

Cuma, insiden-insiden yang bergiliran terjadi membuatkan hati kakak hancur dan punah, berderai-derai. Mungkin buat mak, semuanya khilaf kakak. Kakak. Kakak. Kakak. Bukan salah adik. Adik manis. Adik pandai. Adik terpelajar. Juga adik rajin kerja.

Ya, memang antara kakak dengan adik terlalu luas jurang bezanya, mak. Bagaikan Air Terjun Niagara dengan Air Terjun Ulu Yam. Bagaikan gagak dengan merak. Bagaikan pondok buruk bonda dengan rumah agam mak.

Tapi kakak lebih berpengalaman daripada adik. Memasak bukan boleh pandai sebulan dua belajar. Memasak bukan hanya perlu tahu sukatan dan anggaran. Memasak juga perlu ada seni, ada pengalaman dan ada kreativiti. Kakak sudah lama memasak. Banyak sudah kakak menerima pujian dari mereka yang pernah merasa olahan kakak. Kakak bukan perasan sendiri. Dan kakak juga bukannya nak berbangga atau mendabik dada.

Mak,
Kakak cuma mahu mengajar adik. Adik baru saja belajar memasak. Mengawal dapur pun adik masih kekok. Potong bawang pun adik masih canggung. Kakak dengan rela hati curahkan ilmu dapur kepada adik. Kakak bukan nak tunjuk pandai. Kakak pun bukannya rajin sangat nak mengajar-ajar. Cuma bagi kakak, apa salahnya berkongsi pengetahuan yang sedikit itu kepada orang lain.

Mak,
Pada mulanya adik boleh terima apa yang kakak ajar. Adik ikut saja. Malah adik puji yang kakak memang pandai. Mula-mula adik hormat kakak. Tapi entah kenapa tiba-tiba adik berubah jadi sombong. Mungkin sebab adik rasa tercabar. Maklumlah, adik pandai. Ada sijil itu ini. Sedangkan kakak, sijil nikah saja yang ada. Adik mula pertikaikan apa yang kakak beritahu. Pandangan kakak semua adik tolak. Semua kerja yang kakak buat, serba tak kena di mata. Macam-macam alasan adik berikan untuk tolak hujah kakak.

Adik kata, cik adik jiran sebelah tu beritahu tak boleh buat begitu, jangan buat begini. Kenapa adik ikut cara kerja orang? Cara kerja mereka tentulah tidak sama dengan cara kerja kita. Resepi yang mak ajar tentu berbeza daripada resepi jiran sebelah. Kalau kakak cakap, ada saja hujah adik. Hairan bin pelik, semua hujah yang adik kemukakan itu merujuk kepada kata-kata cik adik jiran sebelah dan bukan dari buah fikiran adik sendiri, bukan pandangan adik sendiri. Sedangkan apabila kakak tanyakan kepada cik adik jiran sebelah, dia pun bersetuju dengan hujah kakak. Adik memang terbukti ego!

Mak,
Kakak tak sanggup memberi makan kepada para tetamu kita dengan masakan yang tidak enak disapa lidah, tidak serasi aroma dan adunannya. Kakak belajar dari kesilapan silam. Dulu-dulu masakan kakak teruk dikritik, malah diluah ludah merata-rata, di mana-mana. Ada juga yang sanggup memuntahhijaukannya di dalam longkang busuk dan hanyir bacin. Kakak malu, malah kakak rasa bersalah. Kasihan para tetamu kita, mak. Makanan di restoran kita mahal belaka. Maklumlah, restoran ada bintang! Mak tak malukah para tetamu mencebik jijik. Sekali merasa, mereka tidak akan kembali mencuba lagi masakan kita, mak.

Mungkin disebabkan adik mula meluat pada kakak yang pada kiraannya suka menunjukkan pandai ini, dia mula sekat upah kakak bekerja di restoran mak. Maklumlah, adik sudah naik pangkat. Belang adik bertambah-tambah sejak itu. Adik mula dulukan gaji kepada pekerja yang lain, yang bukannya pandai sangat buat kerja. Sampaikan gaji kakak adik tahan sampailah berakhirnya hari raya. Kakak terlalu sedih, mak. Kakak betul-betul harap untuk bawa gaji itu dan berikan kepada bonda di kampung bagi persiapan hari raya. Sampai hati adik buat macam tu.

Kakak tidak tahan lagi. Kakak malu untuk hidangkan makanan yang rosak rasanya kepada tetamu. Kakak tidak sanggup lagi direndah-rendahkan dan ditindas oleh adik. Mengapa adik bersikap begini? Mungkin kerana adik tidak ada pertalian apa-apa dengan kakak. Dengan rela hati, kakak mengundurkan diri.

Mak,
Kakak tidak sudi lagi dipertanggungjawabkan mengenai hal-hal dapur. Adik sudah terlalu pandai, malah ‘terlalu’ pandai daripada kakak. Sehingga masakan di dapur yang binasa rasanya itupun hendak digalaskan kekhilafannya di atas pundak kakak. Walhal itu kesilapan adik sendiri, yang sudah berkali-kali kakak nyatakan kepadanya. Adik memang tidak mendengar kata! Adilkah itu, mak?

Kakak terlalu terhiris. Luka gurisan itu semakin dalam dan sakit sesakitnya apabila mak sendiri memarahi kakak berkali-kali kerana menegur sikap adik. Mak tidak nampakkah kesalahan adik? Bukankah sudah jelas terbukti di depan mata mak? Rupa-rupanya kakak jugalah yang salah di mata mak. Anak kesayangan mak itu sedikit pun tidak boleh dicubit jentik. Walaupun cuma cubit-cubit manja. Tak mengapalah mak. Tekad kakak sudah bulat, hasrat kakak sudah kejap. Kakak mesti tegar. Rezeki ada di mana-mana. Itulah azimat yang kakak pegang kini.

Akhir kata dari bekas anak pungut mak ini, semoga mak sentiasa sihat walafiat dan menjadi bertambah kaya raya. Semoga restoran mak semakin bertambah sinar bintangnya. Mengerdip-ngerdip di segenap buana.

Sekian, wassalam.

Anak Pungut Mak,
Kakak.

Monday, May 21, 2007

Khidmat Masyarakat


Satu pameran fotografi akan berlangsung di Pasar Budaya. Mari kita beramai-ramai memeriahkan acara ini. Serbu!