Harga barangan dah mencekik naiknya. Mujurlah hero dan heroine saya dah tak berapa kuat minum susu. Dulu dalam sebulan boleh habis empat pek susu, sekarang dua pek pun boleh tahan sebulan. Lampin pun masing-masing tak pakai dah. Satu pek lampin boleh tahan lebih dua bulan. Jimatlah sikit sebab cuma pakai waktu tidur malam. Tapi mungkin lepas ni kena tukar dengan lampin kain pulak agaknya. Nak lebih jimat. Kak Syima dalam entrinya menulis, harga satu pek lampin pakai buang dah cecah RM40 lebih. Betul ke Kak Syima? Sejak semuanya naik ni, saya memang belum belanja lagi. Jadi belum pernah garu-garu kepala waktu belek tanda harga. Mungkin dalam minggu ni saya mula garu kepala atau nak pitam masa tengok harga barang.
Masuk bab makan angin pulak, kami sekeluarga memang bukan 'kaki jalan'. Rasanya kami memang tak pernah ke mana-mana untuk tujuan percutian. Percutian kami cuma terhad di kampung. Ya, cuti-cuti balik kampung. Rondalah ke segenap pelusuk kampung melawat saudara-mara. Cuma itulah destinasi percutian kami. Jadi kami taklah menggelisah kalau tak dapat makan angin ke mana-mana. Hero dan heroin pun belum kenal lagi erti 'cuti-cuti Malaysia'. Pendak kata kereta kami jarang bergerak jauh-jauh. Pakwe saya pergi kerja pun naik LRT. Kalau jalan-jalan di tengah KL pun kami lebih senang naik LRT juga. Alah, tambang LRT pun naik juga. Tapi mujurlah kami cuma keluar hujung minggu. Kereta cuma bergerak untuk ke kawasan yang tak ada LRT saja. Alhamdulillah, kat situ dah jimat.
Saham pun masing-masing jatuh nilai. Hah, siapa nak beli saham, belilah sekarang. Manalah tau lepas krisis ni saham-saham tu semua melonjak naik, kan kaya. Hahaha, sila abaikan pesanan ini.
Perancangan nak buat almari untuk menggantikan almari yang dah tinggal satu pintu je yang melekat tu macam kena tangguh je. Alahai... nak cat balik dinding yang dipenuhi 'kerja-kerja seni dan mural yang sangat indah' tu pun entah tercapai entahkan tidak. Dalam keadaan sekarang ni, kalau difikir-fikir, keperluan asaslah yang menjadi keutamaan. Yang lain-lain tu tolaklah ke tepi dulu.
Pak-pak menteri sepatutnya lepaskan semua elaun-elaun yang sebulan mencecah berpuluh ribu tu. Barulah boleh merasa keperitan rakyat. Kalau takat potong 10% tu, alahai... sama macam cebisan cabai merah yang menyelit kat celah gigi. Tak de maknanya! Kasihanilah kami, rakyat marhain yang sedang sengsara ni. Bagi insan-insan yang hidupnya menulis, apalah nasib kita agaknya? Masih adakah yang sanggup menerbitkan karya-karya kita? Kalau sebelum ni royalti dibayar ansuran dua kali, tahun ini berapa kali pula agaknya ya? Hanya kepada-MU daku berserah!
Nota : Sila abaikan imej lobak merah yang berdaunkan daun bunga ros pada kek itu. Agaknya inilah kek lobak terakhir yang saya buat. Gawat!
