Tuesday, April 05, 2011

Masih Bercuti

Assalamualaikum.

Ya, entri kedua di tahun 2011. Ehem, berjaya m
enunaikan janji nampaknya untuk selalu update. Walaubagaimanapun, ini bukanlah catatan untuk apa-apa. Sekadar mahu kalian menjalankan aktiviti pencucian mata sahaja adanya. Maka entri-entri selepas ini juga besar kemungkinan hanya akan dipenuhi oleh entri pencucian mata. Harap tidak ada yang mengamuklah.


Oleh kerana sudah terlalu lama tidak meng-up-date blog, maka dengan malunya saya mengaku sudah terlupa bagaimana mahu memuat naik gambar dengan jumlah yang banyak. Tadi saya masukkan dua keping gambar kek keju ini iaitu ketika menjadi model jelita, dan selepas tidak menjadi jelita lagi. Namun gambar kek yang sudah tidak menjadi jelita lagi ini sahaja nampaknya yang timbul. Yang masih jelita itu entah ke mana pula mengghaibnya. Entri ini masih ditulis, jadi belum dipublish. Entah macam manalah nanti apabila sudah terpapar. Redolah saya dengan sebarang kejadian paparan itu nanti.


Mahu cerita sikit mengenai kek keju beri biru yang tersebut di atas itu. Ini hasil tangan daripada adik lelaki saya, yang entah menggatal apa minta saya ajarkan macam mana membuatnya. Maka dengan giat saya mencari beberapa resepi. Jadi kek keju yang sedang digayakan di atas saya ambil resepinya daripada MyResipi.

Maka selepas melihat hasilnya, adalah orang yang balik bawa 1/2 biji kek ini. 1/2 lagi saya yang punya. Haha. Maka bertambahkan timbunan lemak di bawah lapisan kulitku ini oleh sebab teramat kurang produktif dalam serba-serbi, dan hanyalah bermalas-malasan selepas menjalankan tugas sebagai bibik dan supir.

Hari ini, hari yang sepatutnya dimulakan dengan projek penulisan baru, berlalu tanpa sedikit pun menulis ayat karangan novel, melainkan ayat karangan untuk entri blog saja. Oh... oh... oh... Derhaka pada diri sendirilah nampaknya. Namun itu tak mengapa kerana semuanya disebabkan hal-hal yang tiba-tiba berbangkit. Ah, bujangku tiba-tiba mendemamkan diri pula, dan adikku Si Dayah tiba-tiba nak datang pula. Tak mengapa, kerana esok masih ada.

Selepas entri ini hampir siap ditulis, nampaknya model kek keju dalam versi jelita masih juga tidak nampak-nampak. Di manakah ia menyorok? Tiadalah saya ketahui. Nampaknya terpaksalah diri ini merajinkan diri memuat naik gambar itu sekali lagi. Maka sekianlah untuk kali ini. Wassalam.

TATA ^_^

Friday, April 01, 2011

Rahsia! Shhh....


PELIT : Catatan Rahsia Gadis. Shhh....

Assalamualaikum. Buat julung-julung kalinya, pada tahun ini saya bersiaran lagi. Wah... hebat bukan tahap kemalasan saya? Sila jangan tiru. Tak bagus untuk kesihatan. Kadang-kadang terasa ingin saja menutup blog ini, namun bila fikirkan betapa pentingnya pengaruh blog pada zaman ini, maka hasrat itu terpaksalah dikorbankan. Maka bermula hari ini, Ainin Naufal berjanji pada diri sendiri supaya tidak menganaktirikan lagi blog ini.

Demi menumbuhkan semula kegigihan berblog, maka kerja-kerja kemekapan begitu giat dijalankan sejak beberapa hari lalu. Dan kerja pemekapan ini masih terus giat dijalankan perlahan-lahan sehingga berpuas hati. Oleh sebab itulah blog ini ditutup untuk tatapan umum beberapa menjak yang lampau (bunyi macam nak buat banglo).

Maka entri pertama bagi tahun ini ialah mengenai karya baru saya. Karya ini khusus untuk para gadis. Namun ia tetap tidak salah dibaca oleh golongan mak cik- mak cik, abang-banga, ibu-ibu dan bapak-bapak. Novel ini berbentuk diari. Dan ini cubaan pertama Ainin Naufal menulis dalam genre baru ini, iaitu Pelit. Buku ini tidak mahal. Di bawah RM10. Di pesta buku nanti, buku ini akan dijual juga dengan diskaun hebat. Semoga mendapat manfaat daripada pembacaan ini.

Saturday, August 28, 2010

Siri Akhir

Diam tak diam, sudah setengah bulan kita berpuasa. Agak terlambat juga, namun masih tidak mengapa untuk mengucapkan Selamat Berpuasa kepada semua, dan sekaligus juga mahu mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Jimat masa bukan? Haha. Sungguh menonjolkan sifat tiada kerajinan. Harap dimaafkanlah.
*
Okey, dengan seronoknya ingin memaklumkan, siri terakhir Melah Melia sudah pun berada di dalam emel editor. Huuu, agak sedih jugalah kerana terpaksa mengakhiri kisah si lurus bendul itu. Agak mencabar jugalah mahu menyelesaikan siri itu. Makin ditulis, makin tidak mahu habis-habis. Makin tebal pula muka suratnya. Seperti diri ini tidak sanggup mahu mengakhirinya. Tak mengapalah, daku terpaksa juga merelakannya juga. Uhuk!
*
Naskhah itu sudah pun selesai, maka sebab itulah tiba-tiba terjelmalah entri baharu blog ini. Namun masih tiada cerita menarik. Maka sekian sahajalah untuk kali ini. Lalala!
*
TATA

Wednesday, June 30, 2010

Baca tapi derhaka. Hoh?

Ya, otak terasa membeku. Walaupun begitu saya sengaja menggatalkan jejari agar menulis sesuatu dalam blog sunyi ini.
*
Al-kisah, ketika kebekuan otak berada di paras kritikal, saya sengaja menggoogle nama sendiri dan salah satu judul novel saya. Ah, banyaknya yang keluar. Macam-macam blog dan pages! Tidak! Tidak! Saya tak pernah berhasrat untuk berlagak-lagak atau berbangga-bangga apabila agak banyak juga nama saya kedapatan di Internet. Bukan niat menayang-nayang okey.
*
Dalam kebekuan itu saya klik beberapa halaman. Dan akhirnya saya terjumpa blog seorang adik. Ya sudah tentulah dia pernah membaca novel saya. Katanya beliau peminat nombor wahid Melah Melia. Wah, terharu rasanya. Hati tersangat seronok bagai hendak melompat ke langit! Woohoooo!
*
Itu bab yang seronok. Tetapi baca punya baca, rupanya ada bab yang tidak seronok. Kata beliau lagi, akibat seronok beliau sudah tidak sabar nak habiskan pembacaan. Makanya, dengan tanpa bersalah beliau membawa dan membaca novel itu ketika cikgunya yang berdedikasi itu sedang mengajar. Tidak baik sungguh beliau itu.
*
Apabila membaca perenggan itu, Ainin Naufal berasa sangat bersalah. Bersalah kerana menjadikan adik itu seorang yang derhaka kepada cikgu beliau. Bersalah kerana menjadikan adik itu seorang pelajar yang tidak baik. Bersalah kerana menjadikan adik itu leka dengan pelajarannya. Ah, selama ini Ainin Naufal menulis kerana cuba memberikan ikhtibar secara halus kepada adik-adik. Malangnya niat dan hasrat Ainin Naufal gagal rupa-rupanya.
*
Wahai sekalian, sekiranya anda suka tulisan Ainin Naufal, maka janganlah membacanya ketika cikgu dengan gigih mengajar. Akan malanglah apabila ditangkap oleh cikgu itu. Lebih malang lagi sekiranya novel-novel Ainin Naufal mahupun novel-novel penulis lain terus diharamkan. Siapa yang rugi? Anda semualah juga. Uhuk! Siapa yang ingin rugi? Sila tonjolkan diri. Ehmm, tiada nampaknya.
*
Kepada semua, bacalah novel pada waktu yang sesuai. Belajar bersungguh-sungguh. Bermain bersunggu-sungguh. Membaca pun bersungguh-sungguh. Tak bagus jika belajar sambil bermain dan membaca (ada ke? hmmm, ada!). Tak bagus jika membaca sambil bermain (ada ke? hmmm, mungkin ada). Dan tak elok bermain sambil main-main. Huhu!
*
Sekian dan terima kasih.
*
TATA

Wednesday, June 23, 2010

Dramaramarama.

"Saya nak tengok kampeni mana yang tahan dengan puan!"
*
"Helooo! Saya dah ada 10 produk dengan kampeni lain ya! Dengan kampeni awak saja hanya ada satu produk, sebab kampeni awak tak profesional!"
*
(Dialog seorang staf sebuah penerbitan yang baru 6 bulan bekerja dengan seorang penulis.)
*

Sekian dan terima kasih.