Wednesday, February 28, 2007

Tiada Judul


Senjalakala menarik layar
Rona jingga bertebar
Menyimbah wajah sang dara
Yang setia bersimpuh di anjung rindu
Membilang detik yang cemburu
Menanti arjuna memapah sendu
Yang bertamu menyongsong di rongga waktu

Ufuk barat tinggal remang
Layar malam menggilir waktu
Resah menjalar membunuh sukma
Sang dara pasrah dalam pelukan malam
Sedang jejak arjuna masih samar

Malam pekat gelap likat
Memamah selembar harapan
Yang hampir lunyai didakap zaman
Dan embun yang mula menitis
Seolah menangisi sebuah mimpi
Yang hanya tinggal juraian pilu
Pantas menjerut hati yang layu
p/s : Kak Zalisa, lulus atau gagal?

Monday, February 26, 2007

Musim Ini.

Ini musim apa?
Musim elNino, tak juga menjadi. Di kampung saya, baru selesai musim menuai padi. Apabila melompat dari blog ke blog, tiba-tiba ada satu musim baru. Musim para blogger 'mengetag' rakan-rakan blogger yang lain untuk dijadikan mangsa. Perkataan 'mangsa' tu kedengaran dasyat juga. Hmm... siapalah yang mencetuskan musim 'mengetag' ni agaknya. Dan saya juga adalah mangsa 'tag' Kak Raina di dalam blognya. Hu hu hu.
Terfikir-fikir juga beberapa ketika akan faedahnya permainan ini. Dalam terfikir-fikir mencari kepelikan diri sendiri, tiba-tiba saya tersorot kelemahan-kelemahan yang selama ini tidak tersangkakan. Setelah diteliti dan dihalusi, inilah kepelikan diri yang saya fikir pelik. Tapi tak tahulah kalau para pembaca tak rasa pelik pulak. Fikir-fikir....
Pelik agaknya apabila :
1 . Suka membaca dari muka surat terakhir, kemudian ke depan, ke depan dan ke depan. Apabila sudah sampai ke mukasurat satu, barulah mula membaca dengan penuh penghayatan sampai ke muka surat terakhir semula. Tak kira baca surat khabar, majalah, buku, novel dll.
2. Suka belek lukisan, sketch atau karikatur sampai berhari-hari. Pastilah kalau artwork tu menarik perhatian saya. Yang tak lawa buat apa nak teliti. Saya suka teliti stroke, adunan warna (untuk lukisan) dan idea yang ditampilkan. Kira keluarlah semua aura kekaguman saya masa tu.
3. Suka raba-raba kepala dan mula cari rambut yang terlebih kerinting, cabut dan sepahkan atas lantai. Kemudian terpaksa kutip rambut-rambut tu semula. Kalau tidak, takut masuk dalam makanan pulak.
4. Suka gentel hujung kain batik kemudian gigit-gigit. Jangan tanya kenapa!
5. Suka tutup muka dengan bantal semasa nak tidur.
6. Suka merasa makanan yang pelik-pelik tapi halal. Makin pelik, makin teruja nak cuba.
7. Suka termenung atas sejadah setiap kali lepas solat. Sampai ada orang tegur, "Hoooii, lama berwirid!" Barulah saya bangun. Bukannya apa, cuma merenung kembali dosa-dosa lalu. Huuu... terampunkah dosaku?
Alamak.... dah terlebihlah pulak. Hehehe...
Emm... siapalah yang bakal menjadi mangsaku? Mungkin saya terpaksa berhenti setakat ini kerana saya masih bingung@ tiga suku nak cari mangsa. Takkan Puan Ainon kot? hehehe...
Maaf kepada si penganjur permainan kerana saya tidak melanjutkan kepada rakan blogger yang lain. Maaf banyak-banyak.

Friday, February 23, 2007

Aku Dicium!

Tiba-tiba lelaki tua itu mencium pipiku, kiri dan kanan.
Aku tersentak lalu mula prejudis!

Sunday, February 18, 2007

Cuti Datang Lagi.

Tahun Baru China, Kuala Lumpur bercuti sehingga hari Selasa. Sedih, tak dapat balik bercuti di kampung. Sudahlah begitu, kami tinggal tiga beranak saja di rumah. Bosan!

Apabila terkenangkan kampung, fikiran menerawang mengingatkan suasana desa ketika ini. Tentu padi sedang naik. Keranji di dapur mak juga tentu penuh dengan kuih bakul, limau Mandarin, kacang goreng, laici dalam tin, nata de coco, kek dan kuih bakar cina.

Di kampung kami cuma terdapat dua keluarga Cina. Setiap kali menjelang tahun baru, merekalah yang penuhkan keranji mak dengan juadah wajib mereka seperti kuih bakul dan limau.

Menjelang hari raya puasa dan hari raya korban, giliran kami pula yang menghantar ketupat rendang dan kuih-muih ke rumah mereka. Ada masanya mereka akan membalas pemberian kami dengan laici dalam tin atau nata de coco dan kacang goreng sepeket dua.

Di kampung kami, kaum cina memang menjaga hubungan baik dengan kaum Melayu sejak berpuluh-puluh tahun lampau. Pada zaman Jepun dulu, mereka sering meminta bantuan daripada keluarga Melayu bagi menyelamatkan diri dari ancaman komunis. Berhari-hari mereka tinggal bersembunyi di rumah datuk nenek kami. Sampai ke anak cucu mereka masih merasa terhutang budi.

Dulu ada beberapa keluarga Cina yang menetap di kampung kami. Tapi sekarang ramai yang sudah berhijrah ke kawasan pekan. Dua keluarga yang masih ada itupun hanya dihuni oleh generasi lama. Generasi baru sudah bertebaran ke bandar atau paling tidak pun ke pekan berhampiran.

Tidak lama lagi, pasti tidak akan ada lagi keluarga Cina di kampung kami. Dan kami pasti tidak merasa lagi limau mandarin percuma dari Ah Her dan Ah Tee.