Wednesday, November 21, 2007

Apa yang Penulis Lakukan?

Apa yang penulis lakukan apabila tidak berpuas hati dengan bukunya?

1. Luahkan kemarahan kepada rakan penulis lain. Tapi cuma habis di situ saja dan akhirnya cuma kawan itu yang panas telinga dengan bebelan anda yang bersembur-sembur sampai keluar air liur.

Akibatnya – Kawan anda menyampah sebab anda cuma pandai cakap belakang saja. Lain kali mereka cuma menyiakan saja kata-kata anda atau dengar-dengar ayam saja. Ya, ya... saya faham tu. Tak apa... perlu ada seseorang untuk dengar rungutan anda.


2. Komplen dengan surat panjang selebar dua-tiga kilometer. Kononnya anda ingin berkongsikan perasaan sedih dan terkilan anda dengan orang yang anda paling hormati di penerbitan itu.

Akibatnya – Surat anda dilayangkan ke segenap pelosok buana dalam penerbitan itu. Kemudian terdengarlah suara-suara sumbang kononnya anda yang menyebarkan surat anda itu kepada rakan-rakan anda yang lain. Dan keluarlah cerita kononnya anda heboh di blog anda. URL blog anda pun akan disebarkan seluas buana penerbitan itu. Tak lama lepas tu ada orang-orang dari rumah penerbitan itu yang kata anda tak kenang budi. Maka putus sudah kasih sayang anda dengan kaum kerabat di penerbitan itu yang sebelumnya berpeluk-cium kalau sesekali berjumpa. Padam muka anda. Siapa suruh eksen meluahkan perasaan kepada orang yang tak sepatutnya. Lain kali, sedarlah diri tu. Kesian....

3. Komdem buku anda itu di blog sendiri dengan menggunakan banyak nama samaran: Penulis P lah, Penulis Jalanan lah, Mamat P lah, Aki** lah. Padahal semua itu adalah anda sendiri. Anda akan menyamar sebagai peminat anda yang memberi sokongan 200%, dan dengan nama lain juga anda kondem mana-mana kecacatan akibat proses editing. Dengan nama lain-lain-lain juga anda akan kondem diri anda sendiri kerana menghasilkan karya hancur! Konon-konon nak tarik perhatian (simpati?) penerbit atau sesiapa yang baca blog andalah tu. Di dalam blog anda sendiri, anda menjadikan diri anda sebagai ‘ramai orang’.

Akibatnya – Sisi gelap anda terserlah apabila perbuatan anda ‘tertangkap’ oleh orang yang peka dengan cara anda menulis, sama ada gaya anda memuji mahupun memaki hamun. Macam mana agaknya ya, kalau gelagat anda itu diketahui ramai, terutamanya peminat anda? Huh! Entah apa-apa entah.

4. Luahkan rasa tidak puas hati anda kepada editor anda, kenapa boleh jadi begitu dan begini. Soal siasat dia cukup-cukup. Tapi apapun, sebagai penulis yang masih punya ‘rasa’, anda tidak menyalahkan editor yang hanya menjalankan tugas mengedit karya anda mengikut dasar editorial mereka.

Akibatnya – Anda serik dan bosan untuk berurusan lagi dengan mereka. Cabut! Terpaksalah anda mengintai-intai penerbit lain pula. Perjuangan mesti terus. Letihnya....

5. Luahkan rasa tak puas hati anda kepada pengurus penerbitan itu. Berbincang dari hati ke hati. Berjanji yang anda akan terus bernaung di penerbit itu seandainya kesilapan-kesilapan itu tak akan diulangi lagi. Hmm... penerbit yang baik biasanya akan menerima teguran itu. Biarpun kecil, tapi mereka berusaha keras untuk berada dalam situasi menang-menang.

Akibatnya - Penulis akan memahami situasi penerbit dan memberi peluang untuk bekerjasama lagi pada masa akan datang. Penerbit pun akan tersenyum walaupun biasanya pening kepala melayan kerenah dan ragam penulis. Sabar....


Ada sesiapa nak tambah? Silakan....

p/s : Agak-agaknya, URL entri ni akan dihebohkan ke segenap buana ke? Sama-sama kita terka, siapa yang kena?!

Tuesday, November 13, 2007

Tuesday, November 06, 2007

Terapi Minda

Selesai semua tugasan dan penulisan, terasa ingin melupakan sebentar hal-hal rutin yang meletihkan kepala otak. Minda pun perlu direhatkan, walaupun sebenarnya bukanlah berat sangat hal yang difikirkan hari-hari (tak berat ke?)

Kebetulan esok kami akan berziarah ke rumah mak cik-mak cik kami. Hasil dari terapi minda saya ni boleh juga dijadikan buah tangan untuk mereka, apatah lagi kedua-dua mak cik kami punya anak-anak yang masih kecil.


Taadaaa! Inilah hasil pertama. Yang ini sedia dibawa ke rumah mak cik kami. Hasil kerja orang yang tak pernah berguru.

Terapi minda ni berjaya melenyapkan rasa lelah saya. Terasa lapang dan lega. Hasil kerja itu pula menjadikan diri ini seronok, walaupun tak sebagus mana.


Yang ini pun sedia untuk pergi. Ada jamuan raya di pejabat bf. Jadi kena buat lagi. Kali ini bukan terapi, tapi kena buat juga sebab dah janji. Err... cuppies tu comel (perasan) sebenarnya, cuma gambar tu yang membuatkan ia tak comel.


Bagi anda yang sering ditekan kerja, lakukanlah terapi minda dengan cara yang anda sukai. Anda akan merasai perubahannya.
Ada sesiapa nak tempah? Anda dijamin tidak akan mengalami keracunan makanan. hahaha....

Monday, October 29, 2007

Kelas Bahasa Cikgu Odah.

Assalamualaikum, murid-murid semua. Hari ini Cikgu Odah nak bincangkan sedikit mengenai masalah dan kekeliruan murid-murid semua. Hal ini agak berlarut-larutan semenjak dua tiga menjak ni. Malah lepas musim raya ni, semakin bertambah-tambahlah pulak kekeliruan murid-murid cikgu yang dikasihi ni. Apa sebabnya? Oh, agaknya anak-anak murid cikgu ni masing-masing dah terlebih makan kuih raya kot?


Baiklah. Cikgu pun tak mahu nak meleret-leret berleter panjang-panjang. Takut pulak kalau-kalau anak-anak murid cikgu naik bosan.


Jamilah, Syafiq, Mirza, Melah Melia, dan yang lain-lain tu, fahamkan betul-betul. Fokus. Ya, fokus. Jangan pulak nak main tic tac toe kat belakang tu.


Setelah Cikgu Odah perhatikan, ramai anak-anak murid cikgu ni yang keliru betul dengan penggunaan koma (,) terutamanya selepas dialog. Hmmm... naik kering dakwat pen merah cikgu menandakan kesalahan ni.


Baiklah, cikgu sertakan petikan dari Panduan Bahasa yang cikgu dapat dari KARYANET.


Tanda koma digunakan untuk memisahkan petikan langsung daripada bahagian lain dalam ayat.


Misalnya:

1. Kata ibu, “Saya gembira sekali.”

2. “Saya gembira sekali,” kata ibu, “kerana kamu lulus.”


Cuba murid-murid semua perhatikan. Cikgu rasa ramai yang mahir dalam penggunaan koma untuk ayat pertama, tapi untuk ayat kedua, hmmm... boleh dibilang dengan jari.

“Saya gembira sekali,” kata ibu, “kerana kamu lulus.”


Yang bertanda merah itu adalah satu ayat dalam satu dialog, tapi dipisahkan menjadi dua. Oleh sebab itulah pada permulaan dialog kedua dimulakan dengan huruf kecil.


Sebenarnya ia boleh ditulis begini: “Saya gembira sekali kerana kamu lulus,” kata ibu.

Manakala; “Saya gembira sekali,” kata ibu, dan “kerana kamu lulus.” adalah bahagian-bahagian daripada satu ayat.

Manakala;

“Saya gembira sekali kerana kamu lulus,” kata ibu. “Kamu mesti kekalkan pencapaian ini,” tambahnya.

Kedua-dua dialog di atas adalah daripada ayat yang berlainan. Senang cakap, kedua-dua dialog adalah daripada dua ayat berasingan;


Ayat Satu : “Saya gembira sekali kerana kamu lulus,” kata ibu.

Ayat Dua : “Saya harap kamu kekalkan pencapaian ini,” tambahnya.


Oleh kerana penuturnya adalah orang yang sama, maka kedua-dua dialog itu ditulis dalam satu perenggan.


Paling penting, murid-murid perlu kenal pasti sama ada dialog-dialog itu adalah satu ayat ataupun tidak, barulah kita tahu nak letak koma atau noktah dihujungnya.


Jamilah, faham? Ish... budak Jamilah ni asyik terlopong saja. Melah Melia... jelas? Hmm... Melah Melia ni bagus. Kalau ada topik yang mengelirukan, cepat-cepat saja mengekor cikgu sampai ke bilik guru. Contohilah Melah Melia, ya.

Kalau murid-murid semua masih tak faham ataupun keliru, cikgu alu-alukan untuk bertanya secara peribadi di bilik guru. Cikgu jamin cikgu tak akan marah. Cikgu tak kisah. Aiman pun tak kisah.


Kalau murid-murid masih juga tak faham-faham, tak payahlah nak cerai-beraikan dialog tu. Itu eksen namanya. Tulis sajalah dalam satu pembuka dan penutup kata. Bahasa kampungnya, tulis sajalah dalam satu dialog! Jadi murid-murid semua tak adalah pening-pening atau migrain nak memikir sama ada yang murid-murid semua tulis tu betul atau salah. Tak adalah lagi murid-murid cikgu yang bising-bising dan komlen kononnya cikgu salahkan yang betul. Taklah cepat benar kering dakwat pen merah cikgu ni menanda buku karangan kamu semua. Kalau tak faham, lebih baik tanya. Kalau tak mahir-mahir juga, tulislah cara yang senang. Jangan cari penyakit. Silap hari bulan, markah karangan tu cikgu potong-potong pulak.


Cikgu ni bukanlah pandai sangat pun. Maklumlah, cikgu pun cuma cikgu ganti. Masuk hari ni baru 41 hari cikgu mengajar bahasa Malaysia menggantikan Cikgu Kiah yang cuti bersalin. Ada baki 19 hari lagi cikgu akan duduk di kerusi Cikgu Kiah tu. Apa pun, itulah ilmu yang dapat cikgu cedok sepanjang 41 hari cikgu mengajar bahasa Malaysia ni. Jadi kalau-kalau ada cikgu-cikgu besar bahasa yang lalu-lalang di kelas Cikgu Odah ni, silalah berikan kuliah percuma untuk Cikgu Odah dan anak-anak muridnya ni, ya. Semoga Cikgu Odah dan murid-muridnya ni bertambah pandai, cemerlang, gemilang, dan terbilang.

Wednesday, October 24, 2007

Selamat Hari Lahir

23hb Oktober 2007 (semalam), genaplah umur Abang empat tahun. Dah besar pun Abang. Rasa macam tak percaya Abang dah sebesar ini. Tahun depan yang cuma tinggal beberapa bulan saja lagi ni, Abang akan melangkah ke tadika. Semoga Abang akan jadi manusia berguna dan anak yang soleh.

Pagi-pagi lagi ibu dah bangun. Hari ni ibu bangun lebih awal daripada biasa. Tahun ni ibu sendiri yang akan buat kek hari lahir untuk Abang. Ibu tak mahu beli kat kedai lagi. Ibu bangun awal pun sebab nak buat kek untuk Abanglah. Kesian juga pada ibu, sebab terkejar-kejar. Mana nak siapkan kerja ibu yang dah dekat dateline tu, mana nak buat kek untuk Abang lagi. Belum lagi nak layan Adik yang banyak ragam tu. Emm... Abang pun sama, banyak ragam juga. Ha ha ha...




Inilah kek hari lahir Abang yang ibu buat. Cuba tengok deco kek tu, herot-berot, senget-benget, tak tahu corak apa yang jadi. Tak kisahlah, sebab ini pertama kali ibu deco kek. Abang bukan berkenan sangat corak tu sebenarnya. Abang lebih suka kalau atas kek tu ada gambar Initial D, atau paling tidak pun gambar lori. Kalau ada gambar Spiderman lagi Abang suka. Tapi ibu buatkan deco kek tu macam kek untuk budak perempuan saja. Tak apalah, tahun depan Abang nak minta ibu deco kek tu dengan gambar yang Abang suka. He he he...

Abang tahu, bukan senang nak buat kek ni. Abang dan Adik asyik sibuk ‘tolong’ ibu buat kek ni. Bila ibu cakap nak buat kek, Abang macam tahu-tahu pulak ibu nak buat kek hari lahir Abang. Terus saja Abang cakap, itu kek hari jadi Abang. Padahal ibu tak bagi tahu apa-apa pun. Abang memang terlebih teruja masa tu sampai ibu jadi geram. Yalah, Abang dan Adik sibuk colek sana, colek sini. Ikut-ikut ibu kacau batter, pecahkan telur. Jenuh dah ibu jerit supaya Abang dan Adik pergi dari situ, tengok Dora The Explorer atau Blues Clues. Tapi Abang dan Adik tetap nak ‘tolong’ ibu.

Setelah puas terjerit-jerit dan jentik-jentik telinga Abang dan Adik, libas rotan dua tiga kali, akhirnya kek selamat dikeluarkan dari oven. Abang yang memang tak sabar-sabar nak makan kek itu, terus saja pegang acuan kek. Ibu menjerit sakan bila Abang pegang. Barulah Abang tahu kek itu panas. Melecur tangan Abang. Apa lagi, melalak-lalaklah Abang sampai keluar air hidung. Cepat-cepat ibu lumurkan kicap kat tapak tangan Abang.

Apa pun, menjelang malam, Abang potong kek tu dengan ibu. Ibu, tahun depan Abang nak kek dengan gambar Initial D tau. Terima kasih, ibu.