Monday, October 06, 2008

Raya Tahun Ini

Tahun ini raya sangat tidak meriah daku rasakan. Bukan, bukan kerana daku sudah semakin tua. Ah, tiba-tiba daku jadi rindu pada saat-saat berhari raya pada tahun sudah-sudah.

Tahun ini hari rayaku cuma dihabiskan di rumah tanpa ke mana-mana. Hari rayaku cuma pada 1 Syawal (inilah baru raya yang sebenar). Itupun cuma mampu menziarahi warga tua dalam kalangan keluarga terdekat. Dapatlah empat buah rumah yang kukunjungi. Tanpa mampu bertahan lagi, dengan nafas yang tercungap-cungap, batuk yang makin menggila-gila serta suhu badan yang semakin meningkat, daku terpaksa merelakan untuk mengundurkan diri dari rombongan ‘baraan’ itu.

Tiba di rumah, tempat tiduran menjadi sasaran. Dan daku terus rebah di situ tanpa bangun-bangun sehingga petang. Daku sangat hairan kerana udara yang masih Tuhan izinkan untuk kuhirup itu seperti tidak sampai ke peparuku. Nafasku makin pendek-pendek dan terlalu berat. Kakiku sejuk dan kepala pun mulai sakit.

Daku sudah tidak peduli tetamu mana yang datang. Daku sudah tak sedar hari itu hari raya, saat sepatutnya insan-insan bergembira bersama keluarga, menziarahi sanak saudara. Saat sepatutnya lidah-lidah manusia yang berpuasa selama sebulan menikmati sajian yang lazat-lazat. Tapi tidak bagi daku!

Ketika daku berada antara tidur dan jaga, ada beberapa insan yang kusayang keluar masuk ke bilik melihat-lihat keadaanku, melihat tubuhku yang bergerak setiap kali nafas cuba kutarik sedalam mungkin. Tarikan nafas yang sangat berat memaksa seluruh tubuhku bergerak sama tanpa daku sedari. Dan insan-insan itu menggerakkan daku, memujuk supaya ke klinik. Tapi daku sangat bimbang seandainya hari rayaku itu dihabiskan di hospital pula. Daku tidak rela! Menjadi sesuatu yang mengerikan seandainya ia benar-benar berlaku.

Dalam keterpaksaan, kerana daku sendiri sudah tidak tertahan lagi menahan semput yang tiba-tiba datang ini, maka daku mengusung diri ke klinik. Ah, malangnya klinik itu doktornya tidak ada pula. Daku sudah tercungap-cungap macam nak putus nyawa. Beginikah barangkali keadaan orang yang diserang semput? Sungguh, ini pertama kali buat daku.

Dengan langkah yang terpaksa kugagahkan, daku masuk semula ke dalam kereta dan kekasihku pun memacu kembali kereta dan berlegar-legar di pekan itu mencari mana-mana klinik yang buka di hari raya itu.

Akhirnya jumpa satu klinik lama. Klinik itu sudah wujud sejak daku masih kecil. Sampai saja, doktor pun memeriksa dan menawarkan gas. Daku cuma mampu mengangguk saja. Buatlah apa pun asalkan nafasku kembali normal.

Dan di klinik usang itu, daku dengan berbaju raya bersandar sambil menggayakan aksesori tambahan di hari raya. Alat bantu pernafasan! Daku berjaya memperagakan aksesori itu selama beberapa minit. Dan akhirnya nafasku pun kembali normal.

Selepas mendengar doktor membebel dan ubat-ubat daku ambil, maka kekasihku pun kembali memacu kereta untuk kembali ke rumah. Dan telah kuduga hari raya itu menjadi tidak meriah bagi daku. Banyak sungguh makanan yang menjadi pantang larang. Namun tetap juga daku belasah! (belasah pun cuma sebiji ketupat saja untuk alas perut) Biskut raya yang ibuku buat pun cuma mampu kucicip sikit-sikit. Mujurlah daku bukan peminat biskut. Hmm... setakat merasa okeylah.

Sebenarnya untuk merasa makanan pun sungguh derita kurasakan kerana pada mulutku tumbuh seliang ‘mata ikan’ yang sangat luar biasa saiznya. Tak pernah daku mendapat saiz ‘mata ikan’ sebesar itu. Mungkin ini kategori saiz ikan jerung kot. Huh!

Sejak hari raya pertama itu, daku tidak ke mana-mana. Sudahlah tidak ke mana-mana, nak makan pun daku seperti sudah hilang deria rasa. Mulut sakit dan tekak pun pahit. Uuuh!

Tup-tup, raya pun sudah masuk hari keempat dan daku terpaksa berkemas untuk balik ke KL berbekalkan batuk yang belum surut. Dalam perjalanan, sempatlah daku singgah beraya di rumah saudara yang terletak dalam laluan perjalanan ke KL.

Walau apapun daku masih tersyukur kerana Tuhan masih mahu daku menikmati suasana hari raya walaupun dalam keadaan yang tidak diduga itu. Harap-harap masih ada lagi hari raya tahun depan untuk daku nikmati. Daku berjanji sekiranya masih bertemu hari raya pada tahun hadapan, kemeriahan itu tak akan daku sia-siakan dan akan kunikmati dengan sesungguh hati, terutamanya menemui sanak-saudara dan rakan-taulan yang tidak mampu daku temui pada hari raya ini.
Ah, dalam kesakitan, rupanya masih ada manisnya juga. Manis-manis pahit gitu. Tiba-tiba daku mendapat perkhabaran yang rakan-rakan lamaku kembali mengingatiku walaupun namaku barangkali hampir-hampir luput dari memori mereka. Aduh, sedihnya hatiku. Uhuk! Apalah yang mereka umpatkan itu? Tak baik tau raya-raya mengumpat daku. Huh!

Panjang sudah rasanya daku berkisah akan kisah daku berhari raya. Letih sudah jemari daku menaip. Tenaga perlu kusimpan juga khas buat jemariku untuk menaip sakan demi mengerjakan naskhah baru. Insya-Allah.
Sekian sahajalah kisah sedih dan derita daku di hari raya. Maaf zahir dan batin.

8 comments:

syimasyawal said...

sungguh sedih aku mendengar ceritamu itu dik nin.... nasib kita sama jek, den kono selsema lak aduiii ... sungguh mengharu biru ler... sudah lah ada anak kecik yang merengek sepanjang masa. rupanya si kecik tu gusinya membengkak, beberapa batang gigi sudah terjulur bagi memeriahkan lagi hiasan mulutnya... walla ... sabar jek ler

Anonymous said...

salam :)

tak sihat ke AN? siannyeeeeerr. kalau badan tak sihat memang buat apa pun syiok. suasana meriah pun jadi tak meriah. tapi takpe jugakan bleh kontrol skit nafsu makan :D

anak akak pun kena lumpangen.. aduiii bukan letih jalan beraya tapi letih melayan rengekan dia.. sabor jelah.

Anonymous said...

Salam,
Slow2 skit makan kuih raya tu ainin oi ... hehehe, apa2 hal, aku doakan ko cepat sembuh ...

Unknown said...

kak syima,
kesian kan. apa nak dikata ...

Kak Ayu,
Betul tu, paling tak best sebab makanan yang sedap2 tu cuma mampu kita pandang je. :(

SF,
Kuih raya aku tak makan sangat. Alhamdulillah dah ok.

en_me said...

en_me minta maaf dari kejauhan pada semua yang mengenali me selama ini .. maaf la segala kekurangan2 en_me yg ini k

khairyn said...

Harapnya kesihatanmu pulih. Dah separuh syawal dah ni. Selamat Hari Raya (hehehehe terlambat ek).Jaga kesihatan. Itu harta termahal buat diri sendiri.

CerminDiri said...

salam kehidupan,

makan terlebih dos kot... ke tersalah akan. kan melepas kenikmatan di pagi raya.

Unknown said...

en_me,
sama le kita ek. mana duit raya?

khairyn,
Alhamdulillah dh baik. Best beraya kat sana ek?

Cermin,
Terkurang makanlah. Tak ada rezeki. :(