Monday, October 27, 2008

Entri Tertunda


23 Oktober, hero kecil menyambut hari lahir yang ke-5. Sengaja kubuat 'makan-makan' walaupun hanya untuk memenuhi perut kami berempat + pak ngah + ayah su.
Elmo yang tidak berapa kacak!

Menu yang memenuhi perut-perut kami. Siapa yang dijemput tapi tak datang tu, emm jangan komplen bila tengok gambar ni. Saya tahu 'mereka' dalam foto ini tak cukup menarik untuk dinikmati. :P


Edisi keras tangan setelah lama tidak melentur tangan. Tapi 'mereka' masih selamat dimakan.

Donut yang tidak berapa senonoh.

Monday, October 20, 2008

Menangis dan Ketawa

Kisah raya belum habis. Kali ini nak cungkil sikit tentang filem/telefilem di TV sempena hari raya.
Dua cereka menggamit hatiku. Yang buat kumenangis. Yang buat kuketawa.
~Abang, Mak Panggil Balik!~
Ini telefilem ulangan untuk Anugerah Skrin. Tak pasti bila pertama kali ditayangkan. Oleh kerana jarang menonton Cerekarama, maka daku tak tahu mengenainya. Ya, cereka ini membuatkan mata dan badan yang lesu setelah seharian mengecat rumah jadi segar dan hilang segala letih dan lenguh. Kami ketawa bagai tak ingat. Dan, juga sebak serta terkesan dengan kesungguhan hero untuk balik kampung demi ibunya yang disangka sakit tenat. Juga watak mamat Indon yang sama-sama seangkatan berjuang bersama hero untuk sampai ke destinasinya demi melawat kubur isterinya di hari raya.
~Ayat-Ayat Cinta~
Tak dapat dinafikan lagi, filem ini membuatkan kami menangis. Tak perlu diulas lagi kisah dalam filem ini ataupun novelnya. Tapikan, ada orang tu menangis dan tak pernah mengaku. Dia cakap air mata keluar sikit sebab menguap. Hahaha. Yalah tu ....
Tapi secara jujurnya bagiku, novelnya lebih ummmph dari filemnya.

Monday, October 06, 2008

Raya Tahun Ini

Tahun ini raya sangat tidak meriah daku rasakan. Bukan, bukan kerana daku sudah semakin tua. Ah, tiba-tiba daku jadi rindu pada saat-saat berhari raya pada tahun sudah-sudah.

Tahun ini hari rayaku cuma dihabiskan di rumah tanpa ke mana-mana. Hari rayaku cuma pada 1 Syawal (inilah baru raya yang sebenar). Itupun cuma mampu menziarahi warga tua dalam kalangan keluarga terdekat. Dapatlah empat buah rumah yang kukunjungi. Tanpa mampu bertahan lagi, dengan nafas yang tercungap-cungap, batuk yang makin menggila-gila serta suhu badan yang semakin meningkat, daku terpaksa merelakan untuk mengundurkan diri dari rombongan ‘baraan’ itu.

Tiba di rumah, tempat tiduran menjadi sasaran. Dan daku terus rebah di situ tanpa bangun-bangun sehingga petang. Daku sangat hairan kerana udara yang masih Tuhan izinkan untuk kuhirup itu seperti tidak sampai ke peparuku. Nafasku makin pendek-pendek dan terlalu berat. Kakiku sejuk dan kepala pun mulai sakit.

Daku sudah tidak peduli tetamu mana yang datang. Daku sudah tak sedar hari itu hari raya, saat sepatutnya insan-insan bergembira bersama keluarga, menziarahi sanak saudara. Saat sepatutnya lidah-lidah manusia yang berpuasa selama sebulan menikmati sajian yang lazat-lazat. Tapi tidak bagi daku!

Ketika daku berada antara tidur dan jaga, ada beberapa insan yang kusayang keluar masuk ke bilik melihat-lihat keadaanku, melihat tubuhku yang bergerak setiap kali nafas cuba kutarik sedalam mungkin. Tarikan nafas yang sangat berat memaksa seluruh tubuhku bergerak sama tanpa daku sedari. Dan insan-insan itu menggerakkan daku, memujuk supaya ke klinik. Tapi daku sangat bimbang seandainya hari rayaku itu dihabiskan di hospital pula. Daku tidak rela! Menjadi sesuatu yang mengerikan seandainya ia benar-benar berlaku.

Dalam keterpaksaan, kerana daku sendiri sudah tidak tertahan lagi menahan semput yang tiba-tiba datang ini, maka daku mengusung diri ke klinik. Ah, malangnya klinik itu doktornya tidak ada pula. Daku sudah tercungap-cungap macam nak putus nyawa. Beginikah barangkali keadaan orang yang diserang semput? Sungguh, ini pertama kali buat daku.

Dengan langkah yang terpaksa kugagahkan, daku masuk semula ke dalam kereta dan kekasihku pun memacu kembali kereta dan berlegar-legar di pekan itu mencari mana-mana klinik yang buka di hari raya itu.

Akhirnya jumpa satu klinik lama. Klinik itu sudah wujud sejak daku masih kecil. Sampai saja, doktor pun memeriksa dan menawarkan gas. Daku cuma mampu mengangguk saja. Buatlah apa pun asalkan nafasku kembali normal.

Dan di klinik usang itu, daku dengan berbaju raya bersandar sambil menggayakan aksesori tambahan di hari raya. Alat bantu pernafasan! Daku berjaya memperagakan aksesori itu selama beberapa minit. Dan akhirnya nafasku pun kembali normal.

Selepas mendengar doktor membebel dan ubat-ubat daku ambil, maka kekasihku pun kembali memacu kereta untuk kembali ke rumah. Dan telah kuduga hari raya itu menjadi tidak meriah bagi daku. Banyak sungguh makanan yang menjadi pantang larang. Namun tetap juga daku belasah! (belasah pun cuma sebiji ketupat saja untuk alas perut) Biskut raya yang ibuku buat pun cuma mampu kucicip sikit-sikit. Mujurlah daku bukan peminat biskut. Hmm... setakat merasa okeylah.

Sebenarnya untuk merasa makanan pun sungguh derita kurasakan kerana pada mulutku tumbuh seliang ‘mata ikan’ yang sangat luar biasa saiznya. Tak pernah daku mendapat saiz ‘mata ikan’ sebesar itu. Mungkin ini kategori saiz ikan jerung kot. Huh!

Sejak hari raya pertama itu, daku tidak ke mana-mana. Sudahlah tidak ke mana-mana, nak makan pun daku seperti sudah hilang deria rasa. Mulut sakit dan tekak pun pahit. Uuuh!

Tup-tup, raya pun sudah masuk hari keempat dan daku terpaksa berkemas untuk balik ke KL berbekalkan batuk yang belum surut. Dalam perjalanan, sempatlah daku singgah beraya di rumah saudara yang terletak dalam laluan perjalanan ke KL.

Walau apapun daku masih tersyukur kerana Tuhan masih mahu daku menikmati suasana hari raya walaupun dalam keadaan yang tidak diduga itu. Harap-harap masih ada lagi hari raya tahun depan untuk daku nikmati. Daku berjanji sekiranya masih bertemu hari raya pada tahun hadapan, kemeriahan itu tak akan daku sia-siakan dan akan kunikmati dengan sesungguh hati, terutamanya menemui sanak-saudara dan rakan-taulan yang tidak mampu daku temui pada hari raya ini.
Ah, dalam kesakitan, rupanya masih ada manisnya juga. Manis-manis pahit gitu. Tiba-tiba daku mendapat perkhabaran yang rakan-rakan lamaku kembali mengingatiku walaupun namaku barangkali hampir-hampir luput dari memori mereka. Aduh, sedihnya hatiku. Uhuk! Apalah yang mereka umpatkan itu? Tak baik tau raya-raya mengumpat daku. Huh!

Panjang sudah rasanya daku berkisah akan kisah daku berhari raya. Letih sudah jemari daku menaip. Tenaga perlu kusimpan juga khas buat jemariku untuk menaip sakan demi mengerjakan naskhah baru. Insya-Allah.
Sekian sahajalah kisah sedih dan derita daku di hari raya. Maaf zahir dan batin.