Monday, December 31, 2007

Tahun Baru Itu Apa?

Tahun baru? Apa itu tahun baru? Yang saya tahu, beralih ke tahun lain (hahaha). Bermakna semakin bertambah tualah sekalian makhluk dan penghuni bumi yang masih bernyawa.

Ucapan tahun baru? Entah! Suka-suka mulut mengucapkan selamat, dan tangan menaipkan Happy New Year! pada blog atau SMS atau ruang sembang atau apa-apalah. Sedar tak sedar satu budaya asing meresap menular membiak mengalir bersama darah dalam tubuh kita. Apatah lagi tahun baru yang disambut itu bulan-bulannya digelar Januari, Februari ila akhir, dan bukannya Muharram, Safar ila akhir.

Mujur juga tahun baru yang sepatutnya disyukuri itu hanya jarak beberapa hari dari tahun baru yang ‘ini’.

Maka dengan ini saya mengucapkan Selamat Tahun Baru Hijrah kepada kamu semua.

Azam? Heh… jangan ditanya fasal azam, kerana setiap bulan saya akan berazam. Awas! Anda dilarang mentertawakan azam-azam itu. Antara azam ‘bodoh’ saya setiap bulan:

*Kurangkan lemak-lemak yang semakin menimbun dalam badan.
*Kurangkan berangan dan berkhayal.
*Kurangkan membebel.
*Kurangkan tidur. Huuarrghh… mengantuklah pulak!
*Kurangkan mengumpul habuk-habuk pada buku-buku yang berderet tak terbaca.
*Kurangkan malas!



Sebelum mengakhiri entri ini, ingin diwarwarkan di sini bahawasanya buku penutup bagi tahun 2007 telah pun terbit.


Ceritakan kisah-kisah menarik dan penuh teladan kepada si kecil anda sebelum mereka tidur.
Terbitan: PTS One.
Harga : RM49.90




Sekian, terima kasih dan jumpa lagi.

Saya nak layan bunga api tahun baru. Tak jauh. Tu... tepi jendela rumah jer.

Friday, December 28, 2007

Cuti yang Percuma!

Sepanjang-panjang cuti kali ini, semuanya bagai tiada rasa. Tawar. Sendi-sendi sakit dan lenguh. Batuk-batuk mula ramah bertamu. Tekak perit dan pahit. Sup tulang, daging, gear box tak sedikit pun mengumpan selera. Cuma ubat-ubatan menjamah kerongkong.

Lapan hari bercuti tak memberi keseronokan. Udara desa percuma saja di luar rumah tanpa dapat dinikmati. Ketika tubuh mula berpeluh lencun, perut pula mula merombak-rombak ingin menghamburkan isinya. Sepanjang beberapa hari selepasnya, begitulah… perut tak mampu menerima apa-apa yang mengenyangkan. Tubuh menggigil terketar tanpa tenaga, kepala pusing dan pandangan berpinar tanpa ketahuan punca.

Setelah kaki menjejak di bumi Kuala Lumpur ini pun, tubuh masih juga terketar-ketar dan pening-pening lalat masih ada. Syukur kerana perut telah mampu menerima bahan-bahan penyumbang zat dan tenaga. Batuk-batuk nakal masih juga tertinggal menggaru-garu kerongkong.

Aku jadi lesu dan malas!

Hey, perempuan! Jangan nak buat alasan. Kerja!

Thursday, December 20, 2007

Raya Lagi!

Selamat Hari Raya Aidil Adha.
Pengertian Qurban jangan dilupa.
Jumpa lagi minggu hadapan.

Monday, December 03, 2007

Senangnya Nak Cari Duit.

Peristiwa 1.

Petang yang masih teramat muda, saya ke stesen LRT seorang diri. Tiba-tiba seorang pemuda menegur.

Pemuda : Kak, saya nak minta bantuan akak ni. Tak kisahlah akak nak cakap apa pun. Tapi saya betul-betul perlukan pertolongan. Saya ni student Uitm Melaka. Saya kena pukau. Tiba-tiba je baru saya sedar saya ada kat sini. Sekarang saya tak ada duit nak balik. Boleh tak akak kasi duit. Nak balik pun saya tak tahu macam mana.

Saya kerutkan dahi, pandang pemuda itu dari atas ke bawah. Badan gempal. Gigi kuning macam tak pernah gosok. Peluh meleleh-leleh. Badan bau hapak! Untuk pertama kalinya, saya tak mampu/dapat menilai orang di depan saya. Masa berlalu pantas dan saya sudah terlewat sebenarnya. Sepatah kata pun belum keluar dari mulut saya ketika itu.

Pemuda : Tak apalah, akak kasi saya duit tambang pun cukuplah.

Apa? Duit tambang?

Saya memang nak cepat waktu itu. Malas nak dengar rayuan dan cerita pemuda itu, yang entah betul entahkah bohong. Saya buang keraguan saya dan anggap dia betul-betul dalam kesusahan. Saya belek-belek dompet, dan yang ada waktu itu not RM5 dan not yang besaaaar. Dengan pasang niat nak tolong (walaupun dalam hati ragu-ragu), saya hulur not RM5 tu.

Saya : Ambik ni buat tambang. Awak beli tiket LRT sampai Masjid Jamek. Lepas tu awak tukar tren, pergi ke CM pulak. Dah dekat dengan Pudu tu.

Pemuda : Ooo.. kena naik kat sini, ya?

Saya cuma angguk. Saya naik escalator cepat-cepat kerana telah terlewat. Bila saya toleh ke belakang semula, pemuda itu dah tak ada. Kalau tak tahu nak naik LRT, kenapa dia tak ikut saya saja?

Peristiwa 2.

Petang itu, saat sendirian di rumah ketika senja ramadhan membawa ke maghrib, seorang lelaki Arab memberi salam. Saya sedang bersiap-siap menyajikan juadah berbuka meski pun ketika itu saya sendirian di rumah.

Pak Arab : Beli buku-buku agama.

Saya : Buku-buku saya pun ada banyak yang belum terbaca. Maaf.

Lelaki itu menunjukkan judul-judul buku berkulit keras yang memang saya kenal dan masih tersimpan elok dalam almari saya. Takkan saya nak beli buku yang saya dah ada.

Pak Arab : Tolonglah, Ramadhan.

Dia buat muka kasihan sambil mula keluarkan hadis-hadis. Saya mula naik bengang. Ini sudah jadi kes mempergunakan ‘warisan suci’ untuk mencari untung!

Saya : Maaf, saya tak ada duit.

Saya berterus terang saja. Saya mahu dia cepat pergi kerana waktu itu azan telah berkumandang dan tiba saat iftar. Lelaki itu mula marah. Mukanya masam mencuka.

Pak Arab : Tadi buat apa? Tidur saja?

Sambil itu dia beristighfar berkali-kali sambil tepuk-tepuk dahi. Kononnya saya ni buruk perangailah, puasa-puasa begitu asyik tidur. Tak ada kerja lain boleh dibuat. Yang si Pak Arab ni pulak, sudah pun masuk waktu iftar, tapi apa kes masih terconggok depan pintu rumah orang? Mengganggu waktu iftar orang lain pulak. Helo… nak berniaga atau nak kena pelangkung Pak Arab ni?

Tapi entah kenapa tangan saya terasa berat nak menghempaskan pintu waktu itu.

Kemudian Pak Arab itu tunjukkan poster Ayat Kursi dan paksa saya membelinya.

Pak Arab : Ikhlas… ikhlas berapa pun.

Dia bercakap sambil menjeling menyampah kepada saya.

Dengan hati yang panas, saya ke dapur dan mencari RM2 di dalam bekas duit syiling, lalu saya serahkan kepadanya.

Saya : Maaf ya. Ini saja yang saya ada.

Waktu itu mulut saya masih boleh berbaik bahasa lagi, walaupun api marah menyala-nyala. Elok saja saya serah duit, Pak Arab terus pergi tanpa ucap terima kasih pun.

Saya urut dada dan beristighfar beberapa kali. Bulan puasa…

Mungkin rezeki, Tuhan sengaja menduga saya ketika itu.

Kalau diikutkan, banyak lagi cerita lain. Jenuh kalau nak dikisahkan satu per satu.

Apa pun, sesuatu yang amat berharga telah saya pelajari.

Seandainya tidak ikhlas, jangan memberi. Seandainya kita memberi, jangan fikirkan sama ada si peminta bercakap benar atau menipu atau memaksa-maksa. Yang penting, Dia yang di atas sana tahu niat kita.

Wednesday, November 21, 2007

Apa yang Penulis Lakukan?

Apa yang penulis lakukan apabila tidak berpuas hati dengan bukunya?

1. Luahkan kemarahan kepada rakan penulis lain. Tapi cuma habis di situ saja dan akhirnya cuma kawan itu yang panas telinga dengan bebelan anda yang bersembur-sembur sampai keluar air liur.

Akibatnya – Kawan anda menyampah sebab anda cuma pandai cakap belakang saja. Lain kali mereka cuma menyiakan saja kata-kata anda atau dengar-dengar ayam saja. Ya, ya... saya faham tu. Tak apa... perlu ada seseorang untuk dengar rungutan anda.


2. Komplen dengan surat panjang selebar dua-tiga kilometer. Kononnya anda ingin berkongsikan perasaan sedih dan terkilan anda dengan orang yang anda paling hormati di penerbitan itu.

Akibatnya – Surat anda dilayangkan ke segenap pelosok buana dalam penerbitan itu. Kemudian terdengarlah suara-suara sumbang kononnya anda yang menyebarkan surat anda itu kepada rakan-rakan anda yang lain. Dan keluarlah cerita kononnya anda heboh di blog anda. URL blog anda pun akan disebarkan seluas buana penerbitan itu. Tak lama lepas tu ada orang-orang dari rumah penerbitan itu yang kata anda tak kenang budi. Maka putus sudah kasih sayang anda dengan kaum kerabat di penerbitan itu yang sebelumnya berpeluk-cium kalau sesekali berjumpa. Padam muka anda. Siapa suruh eksen meluahkan perasaan kepada orang yang tak sepatutnya. Lain kali, sedarlah diri tu. Kesian....

3. Komdem buku anda itu di blog sendiri dengan menggunakan banyak nama samaran: Penulis P lah, Penulis Jalanan lah, Mamat P lah, Aki** lah. Padahal semua itu adalah anda sendiri. Anda akan menyamar sebagai peminat anda yang memberi sokongan 200%, dan dengan nama lain juga anda kondem mana-mana kecacatan akibat proses editing. Dengan nama lain-lain-lain juga anda akan kondem diri anda sendiri kerana menghasilkan karya hancur! Konon-konon nak tarik perhatian (simpati?) penerbit atau sesiapa yang baca blog andalah tu. Di dalam blog anda sendiri, anda menjadikan diri anda sebagai ‘ramai orang’.

Akibatnya – Sisi gelap anda terserlah apabila perbuatan anda ‘tertangkap’ oleh orang yang peka dengan cara anda menulis, sama ada gaya anda memuji mahupun memaki hamun. Macam mana agaknya ya, kalau gelagat anda itu diketahui ramai, terutamanya peminat anda? Huh! Entah apa-apa entah.

4. Luahkan rasa tidak puas hati anda kepada editor anda, kenapa boleh jadi begitu dan begini. Soal siasat dia cukup-cukup. Tapi apapun, sebagai penulis yang masih punya ‘rasa’, anda tidak menyalahkan editor yang hanya menjalankan tugas mengedit karya anda mengikut dasar editorial mereka.

Akibatnya – Anda serik dan bosan untuk berurusan lagi dengan mereka. Cabut! Terpaksalah anda mengintai-intai penerbit lain pula. Perjuangan mesti terus. Letihnya....

5. Luahkan rasa tak puas hati anda kepada pengurus penerbitan itu. Berbincang dari hati ke hati. Berjanji yang anda akan terus bernaung di penerbit itu seandainya kesilapan-kesilapan itu tak akan diulangi lagi. Hmm... penerbit yang baik biasanya akan menerima teguran itu. Biarpun kecil, tapi mereka berusaha keras untuk berada dalam situasi menang-menang.

Akibatnya - Penulis akan memahami situasi penerbit dan memberi peluang untuk bekerjasama lagi pada masa akan datang. Penerbit pun akan tersenyum walaupun biasanya pening kepala melayan kerenah dan ragam penulis. Sabar....


Ada sesiapa nak tambah? Silakan....

p/s : Agak-agaknya, URL entri ni akan dihebohkan ke segenap buana ke? Sama-sama kita terka, siapa yang kena?!

Tuesday, November 13, 2007

Tuesday, November 06, 2007

Terapi Minda

Selesai semua tugasan dan penulisan, terasa ingin melupakan sebentar hal-hal rutin yang meletihkan kepala otak. Minda pun perlu direhatkan, walaupun sebenarnya bukanlah berat sangat hal yang difikirkan hari-hari (tak berat ke?)

Kebetulan esok kami akan berziarah ke rumah mak cik-mak cik kami. Hasil dari terapi minda saya ni boleh juga dijadikan buah tangan untuk mereka, apatah lagi kedua-dua mak cik kami punya anak-anak yang masih kecil.


Taadaaa! Inilah hasil pertama. Yang ini sedia dibawa ke rumah mak cik kami. Hasil kerja orang yang tak pernah berguru.

Terapi minda ni berjaya melenyapkan rasa lelah saya. Terasa lapang dan lega. Hasil kerja itu pula menjadikan diri ini seronok, walaupun tak sebagus mana.


Yang ini pun sedia untuk pergi. Ada jamuan raya di pejabat bf. Jadi kena buat lagi. Kali ini bukan terapi, tapi kena buat juga sebab dah janji. Err... cuppies tu comel (perasan) sebenarnya, cuma gambar tu yang membuatkan ia tak comel.


Bagi anda yang sering ditekan kerja, lakukanlah terapi minda dengan cara yang anda sukai. Anda akan merasai perubahannya.
Ada sesiapa nak tempah? Anda dijamin tidak akan mengalami keracunan makanan. hahaha....

Monday, October 29, 2007

Kelas Bahasa Cikgu Odah.

Assalamualaikum, murid-murid semua. Hari ini Cikgu Odah nak bincangkan sedikit mengenai masalah dan kekeliruan murid-murid semua. Hal ini agak berlarut-larutan semenjak dua tiga menjak ni. Malah lepas musim raya ni, semakin bertambah-tambahlah pulak kekeliruan murid-murid cikgu yang dikasihi ni. Apa sebabnya? Oh, agaknya anak-anak murid cikgu ni masing-masing dah terlebih makan kuih raya kot?


Baiklah. Cikgu pun tak mahu nak meleret-leret berleter panjang-panjang. Takut pulak kalau-kalau anak-anak murid cikgu naik bosan.


Jamilah, Syafiq, Mirza, Melah Melia, dan yang lain-lain tu, fahamkan betul-betul. Fokus. Ya, fokus. Jangan pulak nak main tic tac toe kat belakang tu.


Setelah Cikgu Odah perhatikan, ramai anak-anak murid cikgu ni yang keliru betul dengan penggunaan koma (,) terutamanya selepas dialog. Hmmm... naik kering dakwat pen merah cikgu menandakan kesalahan ni.


Baiklah, cikgu sertakan petikan dari Panduan Bahasa yang cikgu dapat dari KARYANET.


Tanda koma digunakan untuk memisahkan petikan langsung daripada bahagian lain dalam ayat.


Misalnya:

1. Kata ibu, “Saya gembira sekali.”

2. “Saya gembira sekali,” kata ibu, “kerana kamu lulus.”


Cuba murid-murid semua perhatikan. Cikgu rasa ramai yang mahir dalam penggunaan koma untuk ayat pertama, tapi untuk ayat kedua, hmmm... boleh dibilang dengan jari.

“Saya gembira sekali,” kata ibu, “kerana kamu lulus.”


Yang bertanda merah itu adalah satu ayat dalam satu dialog, tapi dipisahkan menjadi dua. Oleh sebab itulah pada permulaan dialog kedua dimulakan dengan huruf kecil.


Sebenarnya ia boleh ditulis begini: “Saya gembira sekali kerana kamu lulus,” kata ibu.

Manakala; “Saya gembira sekali,” kata ibu, dan “kerana kamu lulus.” adalah bahagian-bahagian daripada satu ayat.

Manakala;

“Saya gembira sekali kerana kamu lulus,” kata ibu. “Kamu mesti kekalkan pencapaian ini,” tambahnya.

Kedua-dua dialog di atas adalah daripada ayat yang berlainan. Senang cakap, kedua-dua dialog adalah daripada dua ayat berasingan;


Ayat Satu : “Saya gembira sekali kerana kamu lulus,” kata ibu.

Ayat Dua : “Saya harap kamu kekalkan pencapaian ini,” tambahnya.


Oleh kerana penuturnya adalah orang yang sama, maka kedua-dua dialog itu ditulis dalam satu perenggan.


Paling penting, murid-murid perlu kenal pasti sama ada dialog-dialog itu adalah satu ayat ataupun tidak, barulah kita tahu nak letak koma atau noktah dihujungnya.


Jamilah, faham? Ish... budak Jamilah ni asyik terlopong saja. Melah Melia... jelas? Hmm... Melah Melia ni bagus. Kalau ada topik yang mengelirukan, cepat-cepat saja mengekor cikgu sampai ke bilik guru. Contohilah Melah Melia, ya.

Kalau murid-murid semua masih tak faham ataupun keliru, cikgu alu-alukan untuk bertanya secara peribadi di bilik guru. Cikgu jamin cikgu tak akan marah. Cikgu tak kisah. Aiman pun tak kisah.


Kalau murid-murid masih juga tak faham-faham, tak payahlah nak cerai-beraikan dialog tu. Itu eksen namanya. Tulis sajalah dalam satu pembuka dan penutup kata. Bahasa kampungnya, tulis sajalah dalam satu dialog! Jadi murid-murid semua tak adalah pening-pening atau migrain nak memikir sama ada yang murid-murid semua tulis tu betul atau salah. Tak adalah lagi murid-murid cikgu yang bising-bising dan komlen kononnya cikgu salahkan yang betul. Taklah cepat benar kering dakwat pen merah cikgu ni menanda buku karangan kamu semua. Kalau tak faham, lebih baik tanya. Kalau tak mahir-mahir juga, tulislah cara yang senang. Jangan cari penyakit. Silap hari bulan, markah karangan tu cikgu potong-potong pulak.


Cikgu ni bukanlah pandai sangat pun. Maklumlah, cikgu pun cuma cikgu ganti. Masuk hari ni baru 41 hari cikgu mengajar bahasa Malaysia menggantikan Cikgu Kiah yang cuti bersalin. Ada baki 19 hari lagi cikgu akan duduk di kerusi Cikgu Kiah tu. Apa pun, itulah ilmu yang dapat cikgu cedok sepanjang 41 hari cikgu mengajar bahasa Malaysia ni. Jadi kalau-kalau ada cikgu-cikgu besar bahasa yang lalu-lalang di kelas Cikgu Odah ni, silalah berikan kuliah percuma untuk Cikgu Odah dan anak-anak muridnya ni, ya. Semoga Cikgu Odah dan murid-muridnya ni bertambah pandai, cemerlang, gemilang, dan terbilang.

Wednesday, October 24, 2007

Selamat Hari Lahir

23hb Oktober 2007 (semalam), genaplah umur Abang empat tahun. Dah besar pun Abang. Rasa macam tak percaya Abang dah sebesar ini. Tahun depan yang cuma tinggal beberapa bulan saja lagi ni, Abang akan melangkah ke tadika. Semoga Abang akan jadi manusia berguna dan anak yang soleh.

Pagi-pagi lagi ibu dah bangun. Hari ni ibu bangun lebih awal daripada biasa. Tahun ni ibu sendiri yang akan buat kek hari lahir untuk Abang. Ibu tak mahu beli kat kedai lagi. Ibu bangun awal pun sebab nak buat kek untuk Abanglah. Kesian juga pada ibu, sebab terkejar-kejar. Mana nak siapkan kerja ibu yang dah dekat dateline tu, mana nak buat kek untuk Abang lagi. Belum lagi nak layan Adik yang banyak ragam tu. Emm... Abang pun sama, banyak ragam juga. Ha ha ha...




Inilah kek hari lahir Abang yang ibu buat. Cuba tengok deco kek tu, herot-berot, senget-benget, tak tahu corak apa yang jadi. Tak kisahlah, sebab ini pertama kali ibu deco kek. Abang bukan berkenan sangat corak tu sebenarnya. Abang lebih suka kalau atas kek tu ada gambar Initial D, atau paling tidak pun gambar lori. Kalau ada gambar Spiderman lagi Abang suka. Tapi ibu buatkan deco kek tu macam kek untuk budak perempuan saja. Tak apalah, tahun depan Abang nak minta ibu deco kek tu dengan gambar yang Abang suka. He he he...

Abang tahu, bukan senang nak buat kek ni. Abang dan Adik asyik sibuk ‘tolong’ ibu buat kek ni. Bila ibu cakap nak buat kek, Abang macam tahu-tahu pulak ibu nak buat kek hari lahir Abang. Terus saja Abang cakap, itu kek hari jadi Abang. Padahal ibu tak bagi tahu apa-apa pun. Abang memang terlebih teruja masa tu sampai ibu jadi geram. Yalah, Abang dan Adik sibuk colek sana, colek sini. Ikut-ikut ibu kacau batter, pecahkan telur. Jenuh dah ibu jerit supaya Abang dan Adik pergi dari situ, tengok Dora The Explorer atau Blues Clues. Tapi Abang dan Adik tetap nak ‘tolong’ ibu.

Setelah puas terjerit-jerit dan jentik-jentik telinga Abang dan Adik, libas rotan dua tiga kali, akhirnya kek selamat dikeluarkan dari oven. Abang yang memang tak sabar-sabar nak makan kek itu, terus saja pegang acuan kek. Ibu menjerit sakan bila Abang pegang. Barulah Abang tahu kek itu panas. Melecur tangan Abang. Apa lagi, melalak-lalaklah Abang sampai keluar air hidung. Cepat-cepat ibu lumurkan kicap kat tapak tangan Abang.

Apa pun, menjelang malam, Abang potong kek tu dengan ibu. Ibu, tahun depan Abang nak kek dengan gambar Initial D tau. Terima kasih, ibu.

Monday, October 22, 2007

Kali Pertama


Ya, inilah kali pertama buku saya direview di surat khabar. Tarikhnya, jatuh pada hari raya pertama. Sebelum ni tak pernah tau. Emm... tapi entahlah kalau pernah, tapi saya saja yang tak tahu. Selepas mendapat sms mesra dari seseorang yang memaklumkan hal itu kepada saya, maka saya pun mula merengek-rengek manja versi mengada-ngada, minta dibelikan Berita Harian, walaupun dua surat khabar telah kami baca pada pagi itu.
Apa ulasan yang tertulis saya tak ambil peduli sangat. Paling penting adalah bintang. Tuu... bintang merah di bawah sekali tuuu.... hehehe.
Kepada adik-adik yang belum mendapatkan Budak Unik terbitan KarnaDya Solution, jangan malu dan segan, sila dapatkan di pasaran. Kepada mak dan bapak adik-adik, kalau nak belikan kepada adik-adik pun tersangatlah dialu-alukan. Sila-sila....
Terima kasih kepada KarnaDya Solution.

Thursday, October 04, 2007

Melah Melia2 : Nak Pandai Punya Pasal.

Sewaktu makan malam, Melah Melia dan Syamimi turun bersama-sama seperti selalu. Malam itu menu makan malam yang disediakan untuk mereka adalah sajian ikan, sayur sawi dan buah limau.

“Sawi lagi?” Kedengaran suara Syamimi merungut-rungut.
“Limau lagi?” Norzila juga merungut-rungut.

Hampir setiap hari mereka disajikan dengan sayur sawi. Hari ini sawi masak lemak, esok sawi goreng pula. Agaknya pekebun sayur tidak tanam sayuran lain. Atau mungkin juga pekerja dapur asrama mereka hanya kenal sayur sawi saja? Limau yang dijadikan pencuci mulut ini pun belum tentu manis. Setiap hari limau, limau dan limau lagi.

“Tak mengapa. Pelajar tahun peperiksaan macam kita memang elok makan sayur-sayur hijau dan buah-buah yang tinggi kandungan vitamin C,” Melah Melia bersuara.

Mereka bertiga mengambil tempat sederet, lalu mula menikmati hidangan makan malam mereka. Melah Melia makan tanpa banyak soal, manakala Norzila dan Syamimi nampak macam orang yang sudah kenyang. Sayur sawi masak lemak itu cuma diambil kuahnya saja. Melah Melia pula begitu selera menghabiskan sayurnya.

“Err... kenapa tak makan sayur?” soal Melah Melia.
“Awak mahu?” pelawa Syamimi. Melah Melia mengangguk. Pantas Syamimi mencedok sayur sawinya lalu diisi ke dalam dulang Melah Melia.

“Rugi awak tak makan sayuran hijau. Makan sayur hijau, dapat meningkatkan IQ kita,” ujar Melah Melia.

“Apa kaitannya sayur hijau dengan IQ?” Norzila hairan. Selama ini dia pernah dengar, kalau nak tingkatkan kecerdasan otak, makanlah kismis.

“Zat besi daripada sayuran hijau dapat meningkatkan pembentukan sel darah merah. Salah satu komponen yang ada dalam sel darah merah adalah hemoglobin. Kalau kita kekurangan hemoglobin, oksigen tak dapat dibekalkan secukupnya ke seluruh tubuh kita termasuklah ke bahagian otak. Otak yang tidak menerima bekalan oksigen yang cukup, tidak dapat bekerja pada tahap yang sepatutnya. Itu membuatkan IQ menjadi rendah,” jelas Melah Melia seperti seorang pakar pemakanan.

“Dalam ikan ini pun ada kandungan zat besi. Tapi kalau ditambah dengan sayuran, makin bertambahlah kandungan zat besi yang kita ambil,” ujar Melah Melia lagi.

Syamimi dan Norzila ternganga. Adakah ini Melah Melia atau Prof. Melah Melia?
“Dari mana awak tahu?” soal Norzila.

“Abang saya yang beritahu. Dia berikan artikel tentang pemakanan untuk kecerdasan IQ dan minda kepada saya,” jelas Melah Melia sambil mencubit daging ikan jaketnya.

“Kalau macam itu, saya ambil semula sayur sawi saya.” Syamimi mencedok semula sayur sawi yang diberikan kepada Melah Melia tadi.
“Buruk siku!” ejek Norzila. Kalau begitu, aku perlu habiskan sayur sawi ini. Err... tapi takkan sayur sawi saja setiap hari? Ish...

Dalam keterpaksaan, Syamimi dan Norzila sama-sama menghabiskan sayur sawi mereka. Terpaksalah mereka buat muka bodoh dan cuba membayangkan sayuran yang mereka kunyah itu adalah sayur asparagus ataupun brokoli ataupun kacang manis. Dengan penuh penyeksaan, akhirnya kesemua sayur-sayur itu mendarat dengan selamat ke dalam perut mereka. Syukur....

“Limau ni masam. Awak mahu?” pelawa Norzila kepada Melah Melia.
“Mahu. Kita perlu banyak vitamin C untuk membantu penyerapan zat besi,” terang Melah Melia lagi.

“Oh, kalau begitu limau ini saya makan saja.” Norzila terus mengupas limau itu lalu memasukkan seulas ke dalam mulutnya. Syamimi juga ikut mengunyah limau masamnya. Berkerut-kerut muka mereka bertiga menahan rasa masam limau itu. Semuanya gara-gara vitamin C, gara-gara ingin jadi pintar.

Setiap hari perlu makan limau masam ini? Alamak! Kenapa dengan mak cik tukang masak ni? Sudah tak kenal buah lain?
“Boleh kami pinjam artikel tu?” tanya Norzila. Teringin juga dia membaca artikel yang dikatakan oleh Melah Melia.

Melah Melia angguk-angguk. Dia suka berkongsi pengetahuan dengan rakan-rakan yang lain. Walaupun sedikit ilmu yang dikongsi, tapi itu sudah memadai. Kalau tahu sedikit, sampaikan sedikit. Menyampaikan ilmu walaupun sedikit, tetap dapat pahala

Thursday, September 27, 2007

Pesanan Penulis Kepada Editor

1. Edit betul-betul.
Jangan edit semasa bergosip, mengantuk, kebuluran, sakit (termasuk sakit hati pada penulis) bergaduh dengan kekasih, suami/isteri meninggal dan lain-lain.


2.Luaskan pengetahuan bahasa dan tambah perbendaharaan kata anda.
Jangan pula yang salah tak diperbetul, yang betul disalahkan pula. Kalau perkataan ‘ban’, ‘mengetos’, ‘mendepani’ pun tak tahu, malah dianggap janggal dan salah, isy... isy... isy. Fikir sendirilah betapa ‘hebatnya’ editor itu.


3. Semak dengan teliti jalan cerita.
Jangan hanya tahu mencari kesalahan bahasa, sistem ejaan dan penanda wacana saja. Jadikan diri anda editor yang membantu penulis menulis dengan baik. (Saya paling benci editor yang tak pandai menilai karya penulis, sampaikan cerita entah apa-apa pun dia kata best! Ini jenis yang buta kayu! Macam mana orang macam ni boleh jadi editor?) Isy... kenapa pula marah-marah ni? Woi, mak cik! Ingat, bulan puasa ni. (Ingatan untuk diri sendiri). :P


4. Tolonglah jaga gaya penulisan penulis.
Setiap editor perlu peka dengan gaya setiap penulis dan nilai-nilai estetika dalam setiap karya. Tapi jangan pula tak sentuh langsung. Tolong cantikkan ayat tapi bukan burukkan lagi ayat, ya. Ingat, tugas editor juga adalah untuk mencantikkan karya penulis.


Ada tambahan lagi? Silakan menambah....
Pesanan editor untuk penulis akan menyusul. Tunggu....

Saturday, September 22, 2007

Tidurlah Sayang.

Penantian selama sebulan berakhir dengan tragis dan menyayat hati. Hati manusia-manusia yang masih sarat dengan rasa kasih dan melimpah dengan perikemanusiaan pasti tersayat pilu. Betapa perit dan azabnya si kecil di hujung nyawanya. Berita-berita terakhir mampu mengundang air mata sesiapa sahaja yang menatapnya.

Semoga dia tenang di sana. Amin.

Selamat jalan bidadari manis.

http://www.nurinjazlin.blogspot.com/

Monday, September 17, 2007

Dulu-dulu....

Diam-diam sudah seminggu umat Islam menjalani ibadah puasa. Bagi ibu-ibu, tiap-tiap hari dalam kepala tak sudah-sudah berfikir apa nak dimasak Kadang-kadang masa berbuka hari ni, tapi fikiran dah melayang fikirkan menu apa nak dimasak esok hari.

Bagi yang bekerja, apalagi? Di bazar Ramadhan bersepah-sepah makanan. Sebut saja nak makan apa, semua ada depan mata. Tanya selera, tunjuk saja. Jangankan ibu-ibu yang bekerja, ibu-ibu suri rumah sepenuh masa pun tak kurang menghabiskan jualan para peniaga di bazar Ramadhan. Tersengih sampai ke telingalah mak cik-mak cik penjual kuih. Tersenyum lebarlah abang-abang penjual ayam percik, ayam tergolek dok.

Bulan puasa jadi pesta makanan di mana-mana. Di bazar berpesta, di rumah pun berpesta. Belum lagi iklan-iklan bufet di hotel-hotel. Hmm... kalau dah nampak makanan, selagi ada duit dalam poket, selagi itulah tangan tak henti menunjuk dan seterusnya menghulur. Penjual hulur makanan, kita hulur duit.

Teringat dulu-dulu sewaktu kecil. Tak ada bazar Ramadhan pun. Tapi bulan puasa tetap meriah. Dulu-dulu, awal-awal petang lagi mak dah mula ke dapur. Siapkan bahan-bahan masakan tak kira untuk lauk ataupun kuih-muih. Kalau tak siapkan awal-awal, alamat tak makanlah masa berbuka nanti. Maklumlah, masa tu gunakan kayu api lagi. Tak ada dapur gas, tak ada periuk nasi elektrik. Biasanya waktu berbuka cuma ada sejenis lauk dan sayur, juga sejenis kuih atau pengat. Kalau ada jiran-jiran bagi, barulah meriah sikit makanannya.

Air batu pula jadi satu kemestian. Oleh kerana masa tu belum ada peti sejuk lagi, maka air batu dibeli di simpang masuk ke kampung kami. Setiap kali bulan puasa, ada anak-anak muda kampung yang jual air batu di simpang-simpang jalan. Air batu itu disimpan dalam kotak kayu yang dipenuhi dengan habuk-habuk kayu supaya air batu lambat cair. Apabila ada pelanggan, air batu akan dibedakkan dengan serbuk-serbuk kayu itu lalu dibungkus dengan surat khabar lama sebelum diikat dengan tali rafia. Harga sebongkah besar air batu, tak ingat pula berapa. Mungkin 10 sen masa tu.

Si pembeli pula akan ikat bongkah air batu itu di belakang basikal. Bila dah beli air batu, kenalah kayuh basikal laju-laju. Janganlah gatal-gatal nak menyinggah ke mana-mana. Silap-silap hari bulan, sampai di rumah, air batu dah hilang, cair di tengah jalan.

Dulu-dulu tak ada air macam-macam perisa. Biasanya cuma ada sirap saja. Mak akan campur air sirap dengan biji selasih. Sesekali buat juga air bandung atau cincau. Kadang-kadang nenek akan buat cendol. Cendol tu nenek akan masak pada sebelah pagi. Ada masanya ayah akan kait kelapa muda. Kadang-kadang kalau rajin berbasikal jauh sikit, dapatlah merasa air tebu. Masa tu air kacang soya masih belum popular lagi. Paling glemer pun masa tu cuma oren bodoh. Oren bodoh? Alah... air berkarbonat perisa oren atau aiskrim soda atau sarsi yang dijual dalam botol gelap, harganya 30 sen sebotol tu.

Solat terawih paling seronok. Surau kampung kami memang sentiasa penuh. Lepas terawih, budak-budak mula bakar mercun katak. Bingit betul bunyinya. Bunyi meriam buluh, meriam tanah tak usah ceritalah. Berdentam-dentum di sana sini. Masa tu masing-masing bersaing siapa punya meriam paling kuat bunyinya. Jangan kata meriam buluh, meriam batang kelapa pun ada.

Sekarang semua dah tak ada lagi. Yang tinggal cuma nostalgia.

Wednesday, September 12, 2007

Lentur-lentur Tangan


Siapa kata saya tak ada entri baru? Siapa? Berani sungguh orang itu! huh....
Di atas adalah latihan lentur tangan. Dulu-dulu saya suka juga melukis. Konon-konon bila dah besar nak kerja dalam bidang yang berkaitan seni lukis. Tapi hmm... malaslah nak cerita. Cuma saya bersyukur juga kerana pernah terlibat membuat layout buku. huhuuu... jadilah daripada tak ada, kan?
Malam tadi untuk pertama kalinya sejak 10 tahun saya tak melukis, tiba-tiba tergerak hati ni nak melakar-lakar objek yang 'entah hape-hape' ni. Itulah hasilnya....
Kalau saya lelong 'coret-coret' saya ni, ada sesiapa yang berminat? Saya mulakan bidaan dengan RM1, ok tak? hahaha....

Saturday, September 01, 2007

5 Sahaja.

5 benda dalam beg saya
1. Dompet.
2. Handphone Motorola.
3. Bedak dwi fungsi
4. Lip balm
5. Barang rencam entah hape-hape. Sampai screw almari yang dah tercabut tu pun ada juga. Hehehe...


5 benda dalam dompet saya
1. Mykad
2. Lesen memandu kelas B2, D yang dah setengah tahun mati.
3. Kad Maybank
4. Kad klinik.
5. Resit-resit ATM dari zaman bila tah. Duit langsung tak ada dalam dompet tu. Uhuk!

5 benda kegemaran dalam bilik istimewa
1. Lemari baju.
2. Meja solek (perlu untuk tengok cermin je)
3.Tilam jenama Getha. Tak suka guna tilam spring. Dari kecil dah biasa guna tilam getah ni. Dulu ada brand Dunlop. Tilam getah ni pun harganya sama macam tilam Vono tu. Eh, apa merapu cerita pasal tilam ni?
4. Bantal kekabu import dari kampung. Buat sendiri tau.
5. Kipas syiling.

5 perkara yang ingin dilakukan
1. Balik kampung.
2. Buat rumah kat kampung.
3.Jadi ahli kariah kampung. Benci duduk kat tengah KL ni. Aku budak kampunglah!
4. Pergi Mekah sekeluarga
5. Cuba semua genre penulisan

5 perkara yang sedang dilakukan
1. Menaip.
2. Pandang monitor
3. Bersila atas kerusi
4. Hembus-hembus nafas melalui mulut, sebab hidung sumbat.
5. Mengelip-ngelipkan mata.

Itulah jawapan untuk Tag yang diberi oleh dua penulis KD, Syima Syawal dan Dewi Sukma. Layan....

Sunday, August 19, 2007

Brownies dan Mountain.


Petang beberapa hari lalu, tiba-tiba demam coklat menggempur rasa. Ah... nakalnya perasaan!
Sabar... sabar. Buat-buat bodoh, buat-buat tak reti.

Seminit, dua minit. Bertahan.
Sejam, dua jam. Boleh tahan.
Empat jam, lima jam. Tak boleh tahan.

Cekatan di dapur, klentang-klentung....

Akhirnya,
Jeng jeng jeng!

Brownies!
Melimpah ruah dengan rasa dan aroma koko. Mewah, kaya, penuh dengan cip coklat.
Wallaaah!

Lebihan adunan dituang ke dalam acuan mini muffin. Dan, bila masak...

“Ibu, abang nak makan ‘mountain’.”

Hek? Perkasa tahap petala bumi jejaka kecil ini! Nak makan ‘mountain’?
Dua tiga biji brownie mini lesap! Hahaha... ‘mountain’.
Terlebih serbuk penaik agaknya, sampai jadi macam ‘mountain’.

Apapun, yummy!
Menanglah perasaan. Puaslah hati.
Nyampah!

Friday, August 10, 2007

Rindu

Tiba-tiba aku jadi rindu pada nyanyian cengkerik
juga ingin sekali pipi ini dijamah bayu desa
mata ini minta disua dengan warna dan rona kehijauan tanah nan subur.
Ah... aku resah di sini.
Hmmm...

Monday, August 06, 2007

Budak-budak

Budak Bandar Balik Kampung.
Anak : Mama, nak be**k!
Mama : Pergilah ke tandas.
Anak : Tak pandai. Nak tandas duduk.
Mama : Pakai 'pampers'. Be**k dalam tu je.
Budak Kampung Pergi Bandar.
Anak : Mak, nak be**k!
Mak : Pergilah ke tandas.
Anak : Tak pandai. Nak tandas cangkung.
Mak : Pakai 'pampers'. Be**k dalam tu je.
Kalau seminggu di kampung/bandar, seminggulah juga anak 'melepas' dalam lampin pakai buang.
Ibu-ibu hilang akal sekejap.

Tuesday, July 31, 2007

Ruang yang Terbuka

Kembali membuka ruang yang lama juga kutinggalkan. Ruang ini akan sentiasa terbuka, namun kandungannya... entah.
Ada yang bertanya apa tujuan kumenulis di ruangan ini sejak kebelakangan. Sejujurnya aku cuma menulis di ruangan ini untuk menyuntik mood ceria ke dalam diriku sendiri. Untuk apa? Kerana kebelakangan ini jiwaku kusut. Semangat untuk menulis sangat menjauh. Lantas kegila-gilaanku sengaja kupertonton. Dan akhirnya ia sedikit demi sedikit mampu menyenyah rasa sebal dan mengurai kusut dalam hati. Aku sedang cuba kembali bertatih untuk belajar berlari semula.
Dan kegila-gilaan ini mungkin akan kuteruskan. Ha ha ha...
Ini aku punya blog. Maka suka hati akulah...

Wednesday, July 25, 2007

Akan Terbit!


Karya terbaru saya akan terbit tidak lama lagi. BUDAK UNIK adalah karya pertama saya dengan KarnaDya Solution. Tunggu kemunculannya di pasaran!

Monday, July 23, 2007

Tag Untuk Amal.

Maaf kerana baru kini dapat menyempurnakan tag ini. Tag pertama dari Dewi Sukma dan tag kedua dari Panaharjuna.

Isi tag ini disalin bulat-bulat dari blog Nurradeen, sebab sependapat dengan dia, kami sayang bahasa Melayu. Melayu, bukan Malaysia. M.E.L.A.Y.U!


1.Persahabatan adalah Sesuatu yang ikhlas dan jujur.


2. Mencintai buat hidupku kadang kala merana, kadang kala bahagia.


3. Duit menjadikan kepalaku pening. Ada pening, tak ada pun pening. Jangan jadi hamba duit.


4. Aku rindukan zaman kanak-kanak. Tapi zaman itu tak mungkin akan berulang. Sebab itu aku suka tulis buku kanak-kanak.

5. Aku cuba menyebarkan cinta dan kegembiraan dengan... belanja ahli keluarga atau kawan-kawan makan (kalau aku cukup bajetlah).


6. Petik bunga itu buat aku, ... entah! Aku jarang petik bunga, sebab rumah aku tak ada bunga.


7. Kecantikan adalah, subjektif. Cantik di mata aku, tak semestinya cantik di mata orang. Err... cantik tu apa? Boleh dimakan tak?

8. Di masa umur tiga belas tahun, yang paling aku ingat adalah, masuk tingkatan satu.


9. Aku paling gembira kalau boleh, kongsi gembira dengan orang lain.


10. Tidak ada yang lebih menggembirakan aku selain dapat mencapai impianku. Banyak impian aku. Tapi biarlah aku saja yang tahu. Kamu semua nak tahu buat apa?


11. Kalau aku berkuasa untuk mengubah sesuatu, aku akan ubah .... KL ni supaya dekat dengan kampung aku. Jadi aku boleh balik kampung selalu. Akukan ‘minah kampung’.


12. Kalaulah senyum itu sentiasa tertampal dibibir maka aku akan sentiasa jadi orang yang senyum.


13. Bukankah bagus kalau kita dapat masuk syurga bersama-sama.


14. Kalau kamu nak tolong aku menulis maka kamu perlu buat kajian banyak-banyak. Kerana aku paling menyampah cari artikel.


15. Duit bukanlah segalanya tapi aku memang perlukan duit. Ada sesiapa boleh bagi?


16. Saat yang paling membekas di hati ini semasa aku dikecewakan oleh dia, dia, dia, dia... berapa banyak dia daaaa?

17. Aku senyum bila aku jumpa orang yang senyum padaku, atau aku rasa nak senyum dengan orang tu, atau apabila aku mereng.


18. Bila aku suka, aku sengih memanjang.


19. Kalaulah aku tak payah berfikir, aku boleh tidur dengan lena. Sebab kepala aku tak biol atau hati aku tak runsing. Tapi masalahnya, aku selalu fikir betul-betul walaupun cuma perkara remeh-temeh.


20. Perkara terbaik yang aku lakukan semalam adalah aku jumpa mak aku, kaum kerabat dan suku-sakat aku yang lain. Sebab semalam aku pergi kenduri kahwin. Ha ha ha...


21. Kalau aku tulis sebuah buku, tajuk yang aku nak letak ialah, ah... kamu semua kan tahu aku memang tulis buku. Dah banyak aku letak tajuk pada buku-buku aku tu. Kamu semua boleh semak di ruang sebelah kiri blog ni. Aku malas nak tulis daaaa...

22. Satu perkara yang perlu aku buat sebelum mati adalah, buat amal jariah banyak-banyak. Semoga aku jadi mayat yang beroleh kebaikan dari amal jariah yang aku lakukan. Itu saja yang boleh sampai ke kubur selain dari anak-anak soleh yang aku tinggalkan nanti.


23. Buat meme ni, buat aku lapang hati sebab berjaya sempurnakan tag ni. Ha ha ha ....

Izinkan aku tag manusia-manusia di bawah. Adakah mereka sedia menjawab tag ini? Sama-sama kita saksikan.

1. Pak Lah.

2. Mak di kampung.

3. Melah Melia.

4. Mohd. Azri bin Badri (pakwe lama. huahaha!).

5. Ali (anak kucing kesayangan Din.)

6. Puan Ainon Mohd (chairman PTS. Wakakaka!)

7. Misha Omar.

Thursday, June 21, 2007

Musnah

Bukan,

maksud hatiku

acuhkan dirimu

di depan mataku

tapi ku tak bisa lupakan

saat dirimu membuat

diriku terhina

sakit hatiku

remuk jantungku

untuk membencimu

musnahkan cintaku

bukan,

maksud hatiku

lenyap senyumku

saat kita bertemu

tapi ku tak bisa singkirkan

enyahkan fikirku

diriku terluka


bukan..

maksud hatiku

tak bisa singkirkan

diriku terluka.




Sunday, June 17, 2007

Andai Kau Cinta

Sayang
andainya kasihmu masih utuh padaku
jangan biarkan mataku meliar
pada peti yang sarat menyimpan nikmat

Kasih
andainya sayangmu masih tebal buatku
usah leka memicing mataku
yang mencerlung pada deretan papan kelazatan

Kanda
andainya diriku masih kau damba
jangan bawaku ke pameran
yang menyerlahkan segala warna kemanisan

Peti aiskrim
deretan papan coklat,
juga kotak pameran telus pandang dipenuhi kek
cuma bakal membuatkan poketmu nipis
lantas beberapa bulan lagi
isinya pasti kontang
lalu banyak yang perlu kau ladeni
hanya kerana saiz wanitamu ini
bakal bertukar menjadi dua kali lipat!

Oh... oh... oh... oh...
Tidak!

Biarkan batinku menjerit derita!
Biarkan hatiku menangis sengsara!

Aku mahu Cudbury!
Aku mengidam kek keju Secret Recipe
Aku mahu ‘Hidup Biar Sedap’!

Tolong! Tolong aku!
Oh, aku tersiksa...

Monday, June 11, 2007

Complete Fool!

Dialog ini berlaku hampir dua belas tahun lalu, antara Cikgu Ani (sekarang pramugari MAS) dan seorang pelajar.

Cikgu Ani : Ada sesiapa yang tak faham?

Waktu sudah hujung-hujung. Para pelajar asyik jeling-jeling jam dinding. Tak sabar nak melarikan diri dari aroma parfum Cikgu Ani yang, mak ooooiii... menyakitkan hidung!

Seorang pelajar bagun. Pelajar itu rasa-rasanya taklah bebal sangat. Tapi dalam subjek bahasa Inggeris, tahap kebebalannya memang terserlah, bersinar-sinar gemilang.

Pelajar : Saya tak faham apa yang saya tak faham.

Cikgu Ani : Complete fool! (sambil geleng-geleng kepala.)

Nah... ambik kau. Sampai sekarang bekas pelajarnya tu masih berada dalam tahap bebal yang maha serius.

KUIZ : Siapakah gerangan pelajar itu?
a. Anak saudara Cikgu Ani.
b. Pakcik tukang kebun.
c. Kak Tipah Pembantu Makmal.
d. Cikgu Mas'od yang mengajar bahasa Melayu.

Thursday, June 07, 2007

Errrrrkk....

Orang Mersing, Johor balik kampung bawa keropok. Sedap ek?

Orang Sri Aman, Saghawak balik kampung bawa terubuk masin. Kamek suka!

Orang Temerloh, Pahang balik kampung bawa tempoyak. Koi selera...

Orang Sentul, Kuala Lumpur balik kampung bawa perut.
Errrrkk, kenyangnya. Alhamdulillah.
Ngahahaha!

Friday, June 01, 2007

Balik Kampung Lagi, Lagi-lagi Balik Kampung!

Rumah pusaka tempat kami dibesarkan.

Kepada semua sahabat handai dan rakan taulan, jauh dan dekat, di sana atau di sini, saya dengan rasa riak dan takbur ingin mewarwarkan kepada anda, anda, anda, anda, anda..., bahawa sesungguhnya menjelang terbitnya fajar esok hari, dengan penuh rasa gumbira dan berlagak, akan bertolak lagi ke desa indah dan permai tempat kami dibesarkan dan dengan penuh bongkak dan sombongnya juga kami akan bercuti selama cuma-cuma 2 hari dan satu malam sahaja, meninggalkan Kuala Lumpur yang selalu-selalunya mengepul dengan debu dan asap-asap kenderaan berat dan ringan itu.


Monday, May 28, 2007

Opah Berpesan....

Dulu-dulu, semasa kami kecil, opah selalu pesan, kalau ‘terbuang angin’ ketika makan, kena basuh tangan sekali lagi. Kemudian baru boleh sambung makan.

Pada suatu hari, adik ‘terbuang angin’ semasa kami masih enak-enak menikmati nasi panas dengan sayur bening, sambal belacan dan ikan pekasam. Kurang asam betul! Memang nak kena budak tu.

Opah suruh adik basuh tangan. Tapi adik buat muka selamba. Opah desak berkali-kali. Tapi adik makan dan terus makan, sampai habis nasi satu pinggan.

Habis sepinggan nasi, baru adik basuh tangan. Inilah cara yang betul. Basuh tangan lepas habis makan. Basuh tangan semasa masih enak makan nak buat apa?

Apabila selesai makan, eh... tak jadi apa-apa pun?

Kenapa opah suruh basuh tangan kalau ‘terbuang angin’ ketika makan?

Misteri sungguh...

p/s : Ada sesiapa yang tahu jawapannya? Sila angkat tangan!

Tuesday, May 22, 2007

Surat Untuk Mak

Kehadapan mak yang masih dihormati walaupun sudah tidak terasa ingin mengasihi. Maafkan kekasaran dan kelancangan kakak buat kali yang ke… entah, sudah tak larat nak kira lagi.

Mak,
dulu-dulu kakak sanjung mak, hormat dan sayang mak. Sangat-sangat. Kalau ada manusia yang mencerca dan menyakiti mak, kakak akan terasa sakit dan pedihnya. Kalau tuduhan dan tohmahan bertimpa-timpa menghentak batu jemala mak, kakak turut terasa hentakannya. Dulu-dulu.

Dulu-dulu kakak terasa betapa tuah menyaluti diri kakak apabila dapat bernaung di bawah payung mak, saat hujan renyai-renyai menghalang perjalanan kakak. Tumpang berteduh dalam rumah agam mak yang tersergam megah dan gah, bekerja di restoran mak yang taraf berbintang-bintang, membuatkan kakak meraup tangan ke wajah dengan penuh kesyukuran. Mak hulurkan tangan waktu kakak tak tahu ke mana arah tuju hidup kakak. Kakak bersyukur. Terima kasih. Kakak akan ingat sampai bila-bila.

Cuma, insiden-insiden yang bergiliran terjadi membuatkan hati kakak hancur dan punah, berderai-derai. Mungkin buat mak, semuanya khilaf kakak. Kakak. Kakak. Kakak. Bukan salah adik. Adik manis. Adik pandai. Adik terpelajar. Juga adik rajin kerja.

Ya, memang antara kakak dengan adik terlalu luas jurang bezanya, mak. Bagaikan Air Terjun Niagara dengan Air Terjun Ulu Yam. Bagaikan gagak dengan merak. Bagaikan pondok buruk bonda dengan rumah agam mak.

Tapi kakak lebih berpengalaman daripada adik. Memasak bukan boleh pandai sebulan dua belajar. Memasak bukan hanya perlu tahu sukatan dan anggaran. Memasak juga perlu ada seni, ada pengalaman dan ada kreativiti. Kakak sudah lama memasak. Banyak sudah kakak menerima pujian dari mereka yang pernah merasa olahan kakak. Kakak bukan perasan sendiri. Dan kakak juga bukannya nak berbangga atau mendabik dada.

Mak,
Kakak cuma mahu mengajar adik. Adik baru saja belajar memasak. Mengawal dapur pun adik masih kekok. Potong bawang pun adik masih canggung. Kakak dengan rela hati curahkan ilmu dapur kepada adik. Kakak bukan nak tunjuk pandai. Kakak pun bukannya rajin sangat nak mengajar-ajar. Cuma bagi kakak, apa salahnya berkongsi pengetahuan yang sedikit itu kepada orang lain.

Mak,
Pada mulanya adik boleh terima apa yang kakak ajar. Adik ikut saja. Malah adik puji yang kakak memang pandai. Mula-mula adik hormat kakak. Tapi entah kenapa tiba-tiba adik berubah jadi sombong. Mungkin sebab adik rasa tercabar. Maklumlah, adik pandai. Ada sijil itu ini. Sedangkan kakak, sijil nikah saja yang ada. Adik mula pertikaikan apa yang kakak beritahu. Pandangan kakak semua adik tolak. Semua kerja yang kakak buat, serba tak kena di mata. Macam-macam alasan adik berikan untuk tolak hujah kakak.

Adik kata, cik adik jiran sebelah tu beritahu tak boleh buat begitu, jangan buat begini. Kenapa adik ikut cara kerja orang? Cara kerja mereka tentulah tidak sama dengan cara kerja kita. Resepi yang mak ajar tentu berbeza daripada resepi jiran sebelah. Kalau kakak cakap, ada saja hujah adik. Hairan bin pelik, semua hujah yang adik kemukakan itu merujuk kepada kata-kata cik adik jiran sebelah dan bukan dari buah fikiran adik sendiri, bukan pandangan adik sendiri. Sedangkan apabila kakak tanyakan kepada cik adik jiran sebelah, dia pun bersetuju dengan hujah kakak. Adik memang terbukti ego!

Mak,
Kakak tak sanggup memberi makan kepada para tetamu kita dengan masakan yang tidak enak disapa lidah, tidak serasi aroma dan adunannya. Kakak belajar dari kesilapan silam. Dulu-dulu masakan kakak teruk dikritik, malah diluah ludah merata-rata, di mana-mana. Ada juga yang sanggup memuntahhijaukannya di dalam longkang busuk dan hanyir bacin. Kakak malu, malah kakak rasa bersalah. Kasihan para tetamu kita, mak. Makanan di restoran kita mahal belaka. Maklumlah, restoran ada bintang! Mak tak malukah para tetamu mencebik jijik. Sekali merasa, mereka tidak akan kembali mencuba lagi masakan kita, mak.

Mungkin disebabkan adik mula meluat pada kakak yang pada kiraannya suka menunjukkan pandai ini, dia mula sekat upah kakak bekerja di restoran mak. Maklumlah, adik sudah naik pangkat. Belang adik bertambah-tambah sejak itu. Adik mula dulukan gaji kepada pekerja yang lain, yang bukannya pandai sangat buat kerja. Sampaikan gaji kakak adik tahan sampailah berakhirnya hari raya. Kakak terlalu sedih, mak. Kakak betul-betul harap untuk bawa gaji itu dan berikan kepada bonda di kampung bagi persiapan hari raya. Sampai hati adik buat macam tu.

Kakak tidak tahan lagi. Kakak malu untuk hidangkan makanan yang rosak rasanya kepada tetamu. Kakak tidak sanggup lagi direndah-rendahkan dan ditindas oleh adik. Mengapa adik bersikap begini? Mungkin kerana adik tidak ada pertalian apa-apa dengan kakak. Dengan rela hati, kakak mengundurkan diri.

Mak,
Kakak tidak sudi lagi dipertanggungjawabkan mengenai hal-hal dapur. Adik sudah terlalu pandai, malah ‘terlalu’ pandai daripada kakak. Sehingga masakan di dapur yang binasa rasanya itupun hendak digalaskan kekhilafannya di atas pundak kakak. Walhal itu kesilapan adik sendiri, yang sudah berkali-kali kakak nyatakan kepadanya. Adik memang tidak mendengar kata! Adilkah itu, mak?

Kakak terlalu terhiris. Luka gurisan itu semakin dalam dan sakit sesakitnya apabila mak sendiri memarahi kakak berkali-kali kerana menegur sikap adik. Mak tidak nampakkah kesalahan adik? Bukankah sudah jelas terbukti di depan mata mak? Rupa-rupanya kakak jugalah yang salah di mata mak. Anak kesayangan mak itu sedikit pun tidak boleh dicubit jentik. Walaupun cuma cubit-cubit manja. Tak mengapalah mak. Tekad kakak sudah bulat, hasrat kakak sudah kejap. Kakak mesti tegar. Rezeki ada di mana-mana. Itulah azimat yang kakak pegang kini.

Akhir kata dari bekas anak pungut mak ini, semoga mak sentiasa sihat walafiat dan menjadi bertambah kaya raya. Semoga restoran mak semakin bertambah sinar bintangnya. Mengerdip-ngerdip di segenap buana.

Sekian, wassalam.

Anak Pungut Mak,
Kakak.

Monday, May 21, 2007

Khidmat Masyarakat


Satu pameran fotografi akan berlangsung di Pasar Budaya. Mari kita beramai-ramai memeriahkan acara ini. Serbu!


Monday, May 14, 2007

Kronologi Balik Kampung

Pagi Sabtu, jam 10.30 pagi, kami keluar dari rumah. Setelah memeriksa kenderaan, kami pun bertolak. Yahoo... akhirnya hasrat nak balik ke kampung yang sering tertangguh tercapai juga. Sewaktu menghampiri pondok jaga... alamak! Lampu signal tak menyala. Tadi Ok-Ok saja, tapi sekarang lain pula ceritanya. Aduh...

Mahu tak mahu terpaksalah saya jadi tukang bagi signal sebelah kiri. Melambai-lambai macam bintang filem pula rasanya. He he he...

Kami singgah dulu di bengkel kereta. Melayang RM50. Jam 11.30 pagi barulah kami teruskan perjalanan balik kampung. Hmmm... pukul berapalah nak sampai ni? Cuaca semakin panas. Tak tahan!

Nasib baik sepanjang perjalanan, lalu lintas bergerak lancar. Cuma cuaca sangat panas. Jam 2.30 petang, baru terlihat sawah bendang yang dah beberapa bulan dirindui warna dan ceritanya. Udara desa dihirup sepuas rasa. Mmm... lapangnya dada.

Mak sambut kami dengan senyum lebar. Dan kami mula duduk berbual-bual, bertukar cerita, melepas perasaan.

Petangnya, adik dan adik ipar pun tiba. Sekali lagi kami ngeteh sambil berborak sakan. Malam itu saya tak turun ke dapur. Biarlah adik ipar tunjuk skillnya menambat hati mak mertua, dan adik perempuan jadi pembantunya. Saya teringin nak bergoyang-goyang kaki saja. Macam mem besar. Ha ha ha...

Esok pagi, kami ke pasar. Beli ikan dan sayur untuk dibawa balik ke Kuala Lumpur. Ikan di sini murah dan segar. Sekilo ikan kembung RM5, segar dan lemak manis rasanya. Ikan tuna saiz kecil, RM8 saja sekilo. Semuanya baru naik dari laut. Hajat hati nak beli ketam sekilo dua. Tapi apabila kira kalendar, alamak... bulan gelap pula. Tentu ketam tak ada isi. Batal. Kami beli ikan terubuk dan ikan cencaru saja. Udang dan sotong pun selamat ditimbang. Tak lupa sayur pucuk paku. Secekak gorila cuma seringgit. Berbeza dengan secekak monyet di KL ni. Pucuk malinja seikat cuma 60sen saja. Enak dibuat sayur bening.


Balik ke rumah, kami mula masak. Terubok dan cencaru kami bakar, cicah dengan air asam. Udang, sotong dan ayam kami masak tomyam. Pergh, berapi!

Petangnya, muka mak mula monyok. Apa taknya, sebab kami semua nak bertolak balik ke KL semula. Kalau nak ikutkan hati, memang kami masih tak puas di kampung. Kalau turutkan rasa, teringin terus bermastautin di sini. Tapi apakan daya....

Sehari semalam di kampung, memang tak terubat pun rindu di kalbu. Kami cuma sempat jengah rumah opah sejam dua. Tempat-tempat lain, langsung tak dan.

Jam 8.30 malam, kami selamat tiba di KL semula. Penat.



Friday, May 11, 2007

Kisah di Pesta Buku (Episod Akhir)


Disebabkan waktu yang benar-benar mengekang, Adik Comel memohon diri daripada Abang, mewakili Kakak dan Adik Ketot, yang pegun-pegun tegak terpacak, bagaikan tapak kaki terlekat pada lantai.

Akhirnya keempat-empat blogger itu pun memaksa-maksa diri, bersusup-sasap di celah-celah ulat-ulat buku yang diamuk ghairah.

Namun tatkala pasang-pasang kaki nan gontai itu baru melintasi sempadan dan lembah yang mengundang segala macam ulat-ulat buku itu, tiba-tiba....

Puan A : Ahh... Puan Kakak. Bagus, datang dengan suami.

Mata Puan A tepat menyeluruhi wajah Abang yang kebetulan beriring-iringan dengan Kakak. Adik Comel pandang Kakak. Adik Comel pandang Abang. Adik Comel pandang Adik Ketot.

Abang tergamam. Kakak terpempan. Adik Comel terdiam. Adik Ketot terkemam.

Kakak : Eh... ini bukan suami saya, puan.

Wajah Kakak tenang-tenang saja. Riak Abang, hmmm... tak tahu nak kata. Adik Comel senyum-senyum cuma. Adik Ketot sengih tersungging saja. Puan A? Entahlah, susah nak cerita. Bergaya sakan dengan kasut sport Batanya.

Kalau diikutkan, gelak Adik Comel hampir tercicir. Kalau nak turutkan, senak perut Adik Ketot tak boleh ditahan. Kalau dilayan, semput Kakak menahan tawa.

Setengah jam tadi, Abang sangka Adik Ketot suami Kakak. Kali ini, giliran Abang pula yang disangka teman hidup Kakak. He he he...

Akhirnya, Kakak, Adik Comel dan Adik Ketot tinggalkan Abang berbual-bual dengan Puan A.

SEKIAN, WASSALAM.


Barisan Pelakon :

Pelakon Utama;
Abang.

Pelakon Bersama;
Kakak
Adik Comel

Pelakon Pembantu;
Adik Ketot

Pelakon Mak Pacak;
Puan A

Wednesday, May 09, 2007

Kisah di Pesta Buku

Satu hari di pesta buku. Perjumpaan beberapa blogger dengan seorang lagi blogger dalam situasi tidak dirancang.

Abang, Kakak, Adik Ketot, dan Adik Comel terserempak di tapak sebuah gerai buku.

Abang : Ini suami Kakak?

Abang tunjuk ke arah Adik Ketot. Adik Ketot tersenyum-senyum cuma. Adik Comel sudah teringin menghamburkan tawa.

Kakak : Ya, Allah, Abang. Anak Kakak dah besar-besar. Rupa dia ni ada macam bapak orang ker?

Kakak tunjuk ke arah Adik Ketot yang masih tersengih-sengih. Tawa Adik Comel sudah berderai-derai.

Tidak tergambar riak wajah Abang tika itu. Cuma yang pasti Abang tenang-tenang saja. Namun di dalam hati…

Adik Comel : Abang, ini adik saya.

Adik Comel sedaya mungkin menahan tawa yang masih terasa rajin menyenakkan perut, sambil menunjuk ke arah Adik Ketot.

Abang : Oh.. adik-beradik?

Riak pada raut wajah Abang sekali lagi bertukar. Percaya. Adik Ketot tidak habis-habis sengih. Sepatah bicara pun tidak menggetarkan peti suaranya sejak tadi. Adik Comel mula dikelubung rasa bersalah. Terasa diri mempersenda kelurusan Abang. Terasa diri kurang ajar, sementelah Abang jauh lebih berusia.

Adik Comel : Muka kami ada persamaan ker?

Hampir senak perut Adik Comel menahan tawa. Namun digagahkan juga agar tawa itu tidak pecah berderai-derai seperti sebelumnya, lantaran rasa hormat kepada Abang. Adik Ketot dan Kakak diam-diam berdiri pegun di kordinat masing-masing.

Adik Comel : Kami semuanya adalah blogger juga. Tetapi kami sudah lama kenal kerana sering menghadiri kelas bersama-sama.

Abang angguk. Kakak tunduk. Adik Ketot langut. Adik Comel hampir senggugut.

Kemudian mereka bla bla bla bla….
Belum puas bertukar cerita, masih ingin berkongsi gembira, masing-masing sudah diburu masa.

Bersambung…

Thursday, May 03, 2007

Nostalgia

Entah kenapa tiba-tiba saya terkenang zaman saya kecil-kecil dulu. Masa tu umur saya lebih kurang lima-enam tahun. Setiap pagi Ahad, lepas bangun tidur, masa tu tahi mata pun masih lekat di hujung mata, dan mata pun masih terasa kelat-kelat, saya akan duduk di depan tangga rumah, menunggu opah lalu.
Opah akan berbasikal tua dengan palang besi di sebelah depan dan dengan sebiji keranjang terikat kemas di belakangnya. Keranjang itu penuh terisi barang jualan.

Setiap hujung minggu opah dan moyang akan berniaga di pasar minggu. Mereka jual tempe, taugeh kampung, tapai ubi dan kuih-muih. Semuanya opah dan moyang buat sendiri. Kuih-muih yang opah jual adalah rengas, keria, karipap, kuih lapis, apam, pau goreng, onde-onde dan bengkang. Kadang-kadang kuih talam pun ada juga. Selain itu opah dan moyang jual juga sayur-sayur kampung.

Pagi-pagi opah akan boncengkan moyang dengan basikal tuanya. Kemudian atuk akan tolong hantarkan barang-barang lain. Lepas hantar moyang ke pasar, opah balik semula ke rumah untuk angkut barang-barang yang masih ditinggalkan di rumah. Second trip inilah saya akan tunggu opah di depan tangga.

Bila opah lalu, saya akan jerit, "Opah, nak ikut!!!!"

Opah akan toleh kemudian jerit semula pada saya, "Mandi dulu. Kalau tak mahu mandi opah tak nak bawak!" Opah terus kayuh basikal tuanya menuju ke rumahnya.

Saya pun kelam-kabut mandi, takut ditinggalkan opah. Siap mandi, saya duduk semula depan tangga.

Bila opah lalu sekali lagi depan rumah, opah kayuh basikal laju-laju, takut saya nampak. Tapi biasanya saya akan nampak opah. he he he...

Saya akan terus jerit, "Nak ikut!"
Mahu tak mahu opah terpaksa berhenti. Dan saya terus berlari ke jalan.

Opah akan dudukkan saya di dalam keranjang yang diikat kemas di belakang basikal tuanya. Maka saya pun seronok duduk di dalam keranjang bersama-sama barang jualan opah sambil melihat-lihat sawah bendang yang luas di sepanjang jalan.

Sampai di pasar, saya akan minta soto. Depan pangkin jualan opah, adalah pangkin jualan Pakcik Ali, sepupu bapak yang berjualan soto, cendol dan pecal. Sotonya memang terkenal sedap.

Saya akan duduk di pasar itu sampai mereka habis berjualan. Sebenarnya tujuan saya ikut opah sebab nak makan soto dan aiskrim batang. Ha ha ha....

Wednesday, April 25, 2007

Pada sepertiga malam...

Rintik-rintik hujan masih menimpa-nimpa atap zink yang sudah hilang kilaunya, yang sudah coklat berkarat warnanya. Titik-titik air yang mencucur dari lubang-lubang kecil zink yang semakin rapuh, jatuh bertimpa-timpa ke dalam sebuah besen plastik. Irama kecil terhasil, kala titik-titik air itu berlumba-lumba memenuhi bekas.

Di atas pangkin lama itu, Mah berlunjur kaki menghadap tingkap yang separa terbuka. Terasa butir-butir halus air hujan mencemar wajah dinginnya. Pangkin lama peninggalan almarhum ayahnya masih kekal di situ seperti lima tahun dahulu, sewaktu ayahnya mewariskan gelaran sebatang kara, hadiah untuk dirinya.

Mah masih menatap hujan yang masih belum mahu berhenti. Alam dikelubung dingin sepanjang hari, sedingin riwayat hidup Mah sejak ayah tiada. Titik-titik hujan itu umpama tangisan Mah yang tidak mampu lagi untuk dizahirkan. Tangisan hati Mah tiada siapa yang dapat mendengar. Bumi masih lagi sudi dibasahi hujan, namun air mata Mah sudah tidak sudi lagi membasahi pipinya. Kontang.


Tiba-tiba...


- BUZZ!
Tido2!

+ Hek? Akak tak tido lagi? (Hampir 2.00 pagi)

- Tadi dh tido.

+ Nak tahajud ker?

- Kena bangun. Nak solat Isyak.

+ he he he... (tiba-tiba mata terasa mengantuk.)


p/s : Kak, rajin betul buka PC jam 2 pagi? Cari ilham pada sepertiga malam ya? He he he.... gurau-gurau, jangan marah, ya.

Friday, April 20, 2007

Janji Abadi


Selafaz janji

mematri cinta

sebuah hakikat sudah terikat


Sebuah hantaran permata kasih

tertitip seiring ijab


Sekuntum cinta

seraut sayang

pengubat lara

di kala badai menggila


Nur kasih menyala sudah

berderang di mahligai impian


Moga abadi

selagi denyut nadi

belum terhenti.