Thursday, December 31, 2009

Selamat Untuk Semua!

Selamat tahun baru Hijrah walaupun terlewat
dan
Selamat tahun baru 2010 kepada semua.
Moga kita akan menjadi manusia yang lebih baik.
Selamat kembali ke sekolah kepada adik-adik semua!
:D :D :D :D :D

Tuesday, December 15, 2009

Duka. Gembira. Yang Mana?

Ini kisah beberapa minggu lalu.

*

18 November 2009

Ayahandaku meninggal dunia setelah genap 8 hari menjalani kemo sesi ke-4. Aku menemaninya ketika sesi itu. Sepatutnya ada dua sesi lagi untuk dijalani.





Racun kemo




Novel kanak-kanak terbitan Buku Prima.

Siri terbaru Melah Melia.

Dalam masa yang sama, dua buku ini terbit dalam lingkungan masa yang agak rapat. Kedua-duanya kini telah berada di pasaran.


Adik perempuanku; antara sedih dan gembira. Dan aku tahu, dia banyak menangis ketika persiapan majlis besar itu.

*

6 Disember

Genap 15 hari kematian ayahanda, adik perempuanku melangsungkan perkahwinan. Waktu ini teringat aku saat-saat ayahandaku menangis teresak-esak bercucuran air mata di WAD 2D ketika menjalani kemoterapi (ketika itu aku menemaninya). Dia kesal dan ralat kerana tak dapat menyempurnakan dan membiayai majlis itu. Dia minta selepas upacara nikah, diadakan majlis tahlil. Dan benar, selepas akad nikah adik malam itu, tahlil diadakan. Untuknya.

Sedih dan gembira bercampur-baur. Namun kedukaan lebih menyerlah walaupun senyum tetap menguntum.

Wednesday, October 28, 2009

Melah Melia kembali!

Siang tadi saya selesai pruf reading naskhah novel ini. Dan petang tadi juga saya terima contoh sampul novel ni. Saya tak pasti adakah ini finalise untuk novel terbaru saya ni. Mungkin juga akan ada final touch-up sikit-sikit. Tapi kalau ini finalisenya pun cantik kan? Menyerlah gitu. Selepas sampul Melah Melia2, inilah cover yang paling cantik saya pernah ada.
*
Errmm, kalau ditanya bila terbitnya, secara detailnya saya belum pasti. Tapi yang pastinya, adik-adik bakal melihat novel ini di rak-rak buku menjelang cuti panjang hujung tahun nanti.
*
Tunggu tauuuu.
*
TATA

Friday, October 23, 2009

Karang Mengarang.

Mengarang mudah (?). Kerja mengarang renyah!
Perkara renyah buat kerja jadi susah.
*
Mengarang senang (?). Tapi banyak pantang larang.
Pantang larang buat kerja terhalang!

Saturday, October 03, 2009

Weh, dah berhabuk!

Salam.
*
Ampun dan maaf kepada kawan-kawan atas kelenyapan saya. Bukan tak ingin beronline macam dulu-dulu. Heh, perasan aku kan? Siapalah nak kisah pun. Apa pun saya selalu merisik khabar dan melawat-lawat rumah-rumah kamu. Tolonglah percaya. Tolonglah.... heh!
*
Musim raya masih belum habis, walaupun di rumah kami dah lama habis. Cuma kuih raya belum habis-habis sebab tak ada orang makan, atau dalam kata yang seerti dengannya tak ada sesiapa yang datang pon. huhu. Dan kami pun macam tak ada mood nak berhari raya lama-lama.
Tapi kalau ada sesiapa nak datang, dipersilakanlah. Ada juga nanti yang tolong habiskan kuih raya yang macam ada tak ada tu. huhu.
*
Cerita raya, kureng sikitlah tahun ni. Hari pertama macam biasa. Rumah kami jadi tumpuan sebab jadi rumah 'orang tua'. Hari tu jugalah perut ni sesak dengan macam-macam makanan. Serius, saya cinta semua makanan. haha. Sekali lagi, tolonglah percaya. Tapi malamnya kerana perut dah letih, maka tidak sedikit pun makanan masuk ke perut lagi, walaupun pada hakikatnya saya tetap menyintai makanan-makanan itu. Esoknya, saya berbungkus sepanjang hari dan memeramkan diri dalam bilik, diikuti aktiviti mengimarahkan tandas beberapa kali. Dan di sebelah saya, si kenit kecik pun ikut terbongkan bersama-sama ibu si kenit. Dan beliau pun turut memeriahkan acara di tempat kumuhan itu, ditambah dengan aktiviti melambakkan seluruh isi perut melalui rongga mulut juga. Fuh, memang tragis raya kedua kami berdua. Si kenit besar pulak seronok melakukan aktiviti memungut duit raya dalam acara baraan sekampung.
*
Hari kedua itu, entah berapa baraan yang datang pun saya tak pasti. Yang pasti ada saudara datang berbaraan dan dia masuk ke dalam bilik lalu melakukan service urutan kepada saya. Legalah sikit. Kemudian ada lagi saudara yang datang. Oleh kerana lama tak jumpa, maka saya pun mengeluarkan diri juga dari tempat pemeraman itu. Tapi tak dapat bersembang lama kerana saya tak mampu membawa kepala saya sendiri. Saya minta saudara itu menyelesakan dirinya sendiri sesuka hatinya, dan saya kembali memeramkan diri. huhu. Serius tak seronok!
*
Raya keempat, kami berkelana ke Kuantan. Macam biasalah, tak ada yang menarik pun sebab orang di situ semua dah mula kerja. Kami lepak kat East Coast Mall yang gah tu lalu pekena steamboat. Ada perkara yang menghairankan terjadi. Si kenit besar dah pandai makan sayur, sampaikan daun sup yang dijadikan hiasan atas nasi goreng pun beliau kunyah sampai terbeliak biji mata. Kehairanan kedua, beliau pun sudah mula pandai makan ayam KFC. Sejak 6 tahun lalu selepas beliau keluar melihat dunia, tidaklah beliau memakan makanan yang pelik-pelik. Makanan kegemaran beliau hanyalah nasi kosong + kicap, spageti dan nasi goreng kosong. Hairan, hairan, hairan. Dan pagi-pagi ini juga beliau sudah merengek minta KFC. Dulu kalau dipaksa makan ayam dan sayur, nescaya akan termuntahlah beliau. Macam dipaksa bunuh diri minum clorox pulak gayanya.
*
Balik KL, ayah dan ibu si kenit-kenit pun mula sibuk kira duit raya. Nampaknya si kenit kecil menjuarai hasil pungutan, mengalahkan pungutan si kenit besar. Bab-bab hasil ni memang si kenit kecil lebih mengagumkan daripada hasil RM mahupun makanan. Beliau lebih tahu 'nilai' dan 'nikmat.' Semua beliau rembat dan bedal. Harap-harap beliau tidak membesar menjadi seorang yang tamak halobalah. Seriau ibu si kenit bila fikirkan.
*
Habis sudah sesi membuang habuk di blog ni. Sekian.
*
TATA.

Tuesday, September 15, 2009

Berakhir.... Selamat Hari Raya!

Assalamulaikum.
*
Jenuh pulun menaip sejak sebelum Ramadhan lagi. Akhirnya apa yang diusahakan selesai juga. Fuh, berasap juga kepala otak dibuatnya. Ya, dalam keadaan serabut macam ni, idea rasa macam tersangkut-sangkut pulak. Tapi syukur, mungkin sebab dah niatkan kerja ni untuk tanggung keluarga + ibadah di bulan puasa juga, segalanya berjalan seperti yang dikehendaki.
*
Tinggal beberapa hari lagi Ramadhan akan meninggalkan kita. Cepat betul masa berlalu. Pejam celik pejam celik, ditambah dengan kekalutan menyiapkan manuskrip novel baru, memang masa berjalan seolah tak terasa. Tahun ni beraya pun macam tak ada semangat. Tengoklah, kalau rajin, malam ini dan esok mula berketak-ketuklah saya membuat biskut raya. Dapat dua jenis pun jadilah untuk bawa balik ke kampung. Lusa saya nak bakar kacang gajus, hazel dan badam untuk kudapan hari raya. Ewah, bermewahlah nampaknya saya tahun ni dengan kacang-kacang. Tahun ni saya buat eksperimen buat kudapan kekacang yang sedap (pada tekak sayalah). Syukur menjadi. Maklumlah, selama ni asyik beli Tong Garden je. Mahal dan tak puas makan. Lebih baik beli kacang mentah pakai kilo kemudian buat sendiri. Murah dan puas makan.
*
Adik-adik yang kebetulan baru habis UPSR ketika raya nanti, mesti seronok sakan. Nampaknya berganda kegembiraan raya ya. Jangan main mercun, nanti beraya kat hospital pulak.
*
Semoga hari raya ini semua orang akan bahagia. Selamat hari raya untuk semua. Mohon dimaafkan segala kesilapan zahir dan batin. Halalkan juga yang termakan dan terminum.
*
SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI.
P/S : Pandu cermat, jiwa selamat.

Friday, August 21, 2009

Puasa dan Deadline

Assalamualaikum,
*
Malam ini dah mula berterawih dan esok dah mula berpuasa. Cuti sekolah pun dah bermula. Jadi kepada semua, diucapkan selamat berpuasa. Semoga kita diberi kekuatan untuk mempertingkatkan amalan dan ibadah. Kepada adik-adik, selamat bercuti. Jangan lepaskan musim cuti kali ini untuk melipatgandakan ibadah pada bulan mulia ini.
*
Puasa kali ini, ingatkan bolehlah meneruskan aktiviti puasa tanpa apa-apa deadline sampai lepas raya. Rupa-rupa, harapkan panas sampai ke petang, jerebu tiba-tiba melanda di tengah-tengah hari. Saya diberikan deadline mencekik pula. Aduh, tidak terkata saya. Bukannya tak suka. Suka sangat lebih-lebih lagi mendengar segala butir dan perancangan editor kanan yang penuh dedikasi tu untuk bakal novel saya. Tapi dalam keadaan emosi tak menentu ni, sukar juga untuk dilaksanakan. Namun sedaya upaya saya cuba menyelesaikannya. Moga editor saya tak kehampaan nanti.
*
Memang mencabar. Dalam keadaan down ini saya terpaksa menyiapkan manuskrip penuh humor. Hajat hati musim cuti ni nak tinggal di kampung sambil menjaga orang tua saya yang baru didiagnos sakit kronik. Bila dah dapat deadline mencekik ni, tak tergamak pula saya nak tinggal di kampung dengan menghadap muka orang tua saya yang sengsara sambil saya menuliskan novel humor. Ironi! Tentunya saya bertambah down.
*
Doa saya moga-moga Ramadhan ini kami sekeluarga ditabahkan hati, dikuatkan semangat menghadapi segala dugaan. Moga orang tua saya reda dan menerima segala ketentuan-Nya. Semoga Allah tambahkan ketabahan saya untuk menyiapkan manuskrip humor ini dalam keadaan hati yang tidak keruan.
*
Mohon jasa baik para sahabat dan pelawat blog ini mendoakan yang terbaik buat orang tua saya. Moga bulan penuh berkat ini, segala doa dimakbulkan tanpa hijab oleh-Nya. Amin.

Tuesday, August 04, 2009

Sejak Bila Kita Berkawan?

Jeng jeng jeng! Mempersembahkan....




Abaikan kesilapan pada ejaan nama penulis tu ya.

Antara ilutrasi yang menghiasi dalaman novel baru saya ini.



Antara adegan yang saya suka
*
Novel ini insyaAllah akan berapa di pasaran pada pertengahan bulan ini.

Thursday, July 30, 2009

Mencari Aura

Salam,
*
Sejak beberapa minggu ini saya rasa lain macam. Saya rasa blur, blank, mood nak bekerja pun hilang. Semua kerja yang nak dibuat tapi masih tak buat-buat. Masuk ke dapur, buka peti ais dan krim keju saya masih diam di situ langsung tak terusik. Buka kabinet dapur, saya termenung bila tengok deretan botol-botol kaca yang dah jadi semakin bertimbun. Memang dah jadi habit saya nampaknya mengumpul banyak botol kaca. Projek botol kaca tu pun nampaknya belum mampu dilaksanakan walaupun hati dah menggeletek-geletek nak buat.
*
Impian nak buat kek keju masih belum direalisasi sebab rakan janji saya sudah patah kaki dan tak boleh berjalan. Rancangan kami nak berpiknik sebelum puasa nampaknya kena tangguh sampai lepas raya kot. Minggu lepas saya pun kalut juga sebab orang tua saya dimasukkan ke wad. Maka krim keju saya nampaknya hanya menunggu masa datang tarikh luputnya.
*
DVD yang dipinjamkan kepada saya pun masih berlonggok atas meja, langsung macam tak bermaya saya nak tonton. Hairan, saya yang sebelum ini begitu addicted menonton segala mak nenek DVD/VCD sampai sanggup bersengkang mata hingga subuh depan TV, kini sudah hilang selera bila tengok DVD berlonggok-longgok atas meja.
*
Buku-buku yang saya beli masa pesta buku dulu pun makin berhabuk di atas meja kerja saya, sikit pun tak tersentuh. Skrip baru? Hmmm entahlah.
*
Saya pun tak tahu kenapa semangat makin luntur. Nak buat apa pun rasa tak suka. Blog ini pun rasa macam malas nak tengok dah. Aduhai, teruknya penyakit saya ni. Saya pun tak pasti kenapa. Ada masanya saya menjadi terlalu teruja. Banyak perkara yang dapat saya lakukan dalam waktu yang sama. Tapi beberapa minggu ini entah kenapa tiba-tiba keterujaan saya terus hilang. Krim keju saya tunggu tarikh luputnya, botol-botol kaca saya makin banyak, skrip saya entah bila nak mula tulis. Buku-buku tu dah lama jadi sarang habuk. DVD tu, hmmm tunggu tuan punya tanya baru saya sibuk nak tengok kot.
*
Ada juga saya terfikir adakah kerana sejak beberapa minggu ni saya asyik dikejutkan dengan berita-berita 'hitam'? Memang diakui, sejak bulan lepas saya dikhabarkan dengan beberapa berita kematian dalam tempoh yang agak rapat, malah ada satu kematian yang terjadi belum 24 jam pun saya melawat arwah. Dalam tempoh ini pun saya banyak berdamping dengan orang-orang yang sakit.
*
Minggu lalu saya melayan mood 'sakit' saya dengan menonton rancangan yang membincangkan tentang aura. Menurut tetamu, aura diri kita boleh dipengaruhi oleh aura-aura orang di sekeliling kita. Kita boleh menarik aura orang lain dan orang juga boleh menarik aura kita. Saya tak pasti atau yakin dengan kebenarannya. Tapi bila difikirkan, boleh jadi juga saya kurang aura positif sebab asyik berkurung di rumah dan selalu berdamping dengan orang sakit. Agaknyalah....
*
Apa nak jadi ni?
*
Nampaknya hujung minggu ini saya kena berjalan-jalan mencari aura positif untuk diri sendiri. Saya akan curi aura-aura yang bagus. Mungkin elok kalau berdamping dengan sekumpulan kanak-kanak. Kanak-kanak sentiasa aktif dan tak reti penat. Saya akan cuba.... harap-harap berjaya.
*
TATA

Monday, July 06, 2009

Gegambar

Ahh, masuk ke blog sendiri seolah-olah nampak sawang dalam imaginasi. Itulah, orang berblog, awak pun nak berblog juga. Blogger lain rajin letak entri baru, awak liat. Ish, apa punya teruk la. Hmm, jangan salah sangka. Marah diri sendiri aje sebenarnya. Kes sawang-bersawang ni bukan hal baru untuk blog ni. Masuk kali ni entah berapa banyak kali daaaa.
*
Tak apa, untuk tidak menghampakan para 'penggoogle' yang ramai sesat dalam blog ni, maka dengan seronoknya tuan rumah memasukkan gegambar atas alasan sebagai aktiviti pembersihan sawang di rumah maya ni.
*
Gegambar itu memanglah tidak berapa elok kualitinya kalau nak dibandingkan dengan gegambar dalam blog Cikgu Alias tu. Ops, Cikgu Alias jangan nak perasan. Tuan rumah tak bermaksud nak puji beliau. Saja nak cakap. Lagipun beliau jarang masuk ke blog ni, jadi tentu beliau tak baca post ni. :P
*
Haih, nampaknya azam nak dapatkan gajet canggih berupa kamera DSLR macam kepunyaan beliau tu tak dapat dipenuhi untuk tahun ni. Tak apa, jangan kecewalah tuan rumah. Pasang azam untuk tahun depan pulak (adegan pujuk diri sendiri). Gegambar berkenaan pun tuan rumah tak edit apa-apa. Terus tampal daripada kamera digital aje.
*
Ok, layan dan cuci mata ya. Ops, lupa nak pesan. Sesiapa yang (khususnya kepada 'penggoogle imej') nak ambik gegaambar ni jangan lupa kasi kredit pada tuan rumah tau. Letak url blog tuan rumah juga sebab tuan rumah teringin jadi gila glemer. Ok tak? Ahakz...
*
Sekian, TATA.

Wednesday, June 17, 2009

Rezeki yang Sungguh Istimewa


Dia Istimewa memang dah lama diterbitkan. Buku ini single novel saya awal-awal dulu dengan PTS. Jualan buku ini agak suam-suam kuku, mungkin kerana kegelapan kulitnya turut mempengaruhi 'kegelapan' jualan. Ya, memang buku ini lama sekali, dan saya sendiri tak pernah bercadang membuat sequel kerana kesuam-suaman jualannya.
*
Namun rezeki Tuhan tak siapa tahu. Walaupun novel ini telah lama terbitnya, ia terpilih juga untuk pembelian oleh Perpustakaan Negara Malaysia pada tahun ini. Daripada lima buah novel yang saya usulkan, novel ini juga yang sangkut. Saya tahu mengapa novel ini terpilih. Semestinya kerana novel antik saya ini ada ciri-ciri utama yang diingini oleh PNM bagi ditempatkan di rak-rak perpustakaan desa.
*
Nampaknya bermula tahun ini saya akan tulis satu atau dua single novel yang ada ciri-ciri yang dimahukan oleh PNM. Harap-harap tahun hadapan PNM masih meneruskan program pembelian terus daripada penulis.

Sunday, June 07, 2009

Virus M

Assalamualaikum,
Harap semua sihat-sihat dan ceria selalu.
Yah, sangat kasihan kepada para pelawat blog suram ini. Sudah berapa lama tiada pos baru. Hmm, tuan rumah sebenarnya sedang bermalas-malasan dalam dua minggu ni. Tiada satu pun aktiviti yang dapat klasifikasikan sebagai kegiatan yang menambah produktiviti.
*
Setiap hari dalam masa seminggu ini, jadual tuan rumah tidak lain dan tidak bukan hanyalah berlingkar dengan bantal besar di atas comforter di depan TV, sambil menikmati koleksi-koleksi lagho. Sesekali tuan rumah terhanyut seolah-olah diri bertindak seperti hero/heroin yang sedang beraksi di TV itu. Wah, wah, wah! Celik mata terus layan DVD/VCD sampai ke awal pagi. Rehat untuk solat, lepas tu melingkar balik sambil meramas mesra bantal besar yang lembut lagi empuk itu. Yah, janganlah anda meniru aksi-aksi tidak produktif tuan rumah ini ya!
*
Tapi tak apa, sebab kediaman tuan rumah sangatlah bersih dan rapi, kerana kenit-kenit tidak ada di kediaman tuan rumah untuk menghuru-harakan keadaan kediaman. Maka dengan rasa seronoknya tuan rumah menghabiskan 3 drama bersiri dan 3 filem yang sangat seronok dalam masa seminggu. Eheeeemmm, tuan rumah mendapat banyak ilham dari hasil tontonan yang seronok itu untuk menuliskan kisah-kisah yang seronok juga (mudah-mudahan) selepas ini.
*
Heh??? Tuan rumah gemuk akibat aktiviti tidak produktif ini? Salah! Tuan rumah baru kehilangan 3 kilo berat badan hanya dengan melingkar melebihi tempoh 20 jam sehari di atas comforter itu tau.
*
Virus M tuan rumah mula menyerang lagi. Jadi tuan rumah nak bersantai-santai dengan bantal besar lagi sampai esok pagi.
*
TATA

Thursday, May 28, 2009

Iljimae

Hah, benci betul, Dah tulis entri panjang lebar tentang cerita di draft, tiba-tiba masa publish hilang pulak. Eeeee penat aku!

Tak apa, tonton klip vidoe di atas. Pasti tau macam mana 'ke-best-san' K-drama ni. Tak pernah saya tonton drama yang boleh membuat kita ketawa dan menangis dalam satu masa. Watak-watak dan aksi-aksi yang kelakar tetapi mempunya plot-plot yang menyayat hati dan tragik.

Drama ni memecah rekod sebagai drama yang mencapai rating tertinggi dalam tahun lalu sehingga mencecah 31.4. Drama ni berdasarkan komik Iljimae tetapi plotnya terbeza sama sekali dengan drama ini kerana penerbitnya tidak mendapat hak penerbitan di skrin.

Pengakhiran cerita menimbulkan teka-teki sama ada Iljimae mati atau hidup. Tapi sebenarnya pengarah ada beri clue pada episod pertama dan episod akhir. Jadi penonton kenalah rajinkan diri cari clue tu.

Jadi kalau nak ketawa dengan aksi-aksi Lee Junki dan kemudian sama-sama menangis bersama-samanya, tengoklah drama ni. Tahun ni Junki masuk askar. Lagi 2-3 tahun baru dia balik menggegarkan K-drama. Comellah kau Junki!

Thursday, May 21, 2009

Hari Guru dan Oven Baru


Rasa macam dah basi pulak nak ucap selamat hari guru. Tak apalah, rasanya belum terlambat lagi nak buat ucapan. Lagipun menurut seorang cikgu di Shah Alam sana, dia tengah sibuk menanda kertas peperiksaan. Pening serabut katanya. Relakslah cikgu, tanda perlahan-lahan. Nanti silap tanda pulak. Agaknya sambutan hari guru di sekolah-sekolah tak meriah atau mungkin belum disambut lagi sebab sibuk periksa.

*

Itu kisah di sekolah betul-betul. Di sekolah tadika lainlah pulak. Si kecik tu sibuk dah siang-siang lagi bising katanya hari jadi cikgu. Alahai, mana pulak hari jadi cikgu. Ini mesti dia nak cakap hari guru. Oleh kerana oven dah ada, maka baking project pun bermula. Cerita pasal oven ni paling best. Oven cap ayam yang masuk hospital dekat dua bulan tu dah pun dapat semula. Ewaaah, bukan oven lama tau, tapi diganti dengan oven baru berkilat-kilat youuuuu. Nampak sangat betul-betul cap ayam. Kalau tak, mesti kilang tak sanggup nak ganti baru terus. Hahaha. Sukeerrrrr!

*

Lepas ambil oven baru tu, saya ke Lorong Haji Taib di Chow Kit. Hey, jangan salah faham. Tak kuasa saya nak tengok ayam-ayam pakai kasut yang tetap berani berkeliaran siang-siang hari tu. Saya pergi kedai bahan-bahan bakery. Bila masuk ke kedai tu, kepala jadi kelabu asap. Dalam minda cuma terfikir nak beli tepung mafin saja. Sambil tu sempatlah cuci mata tengok kedai tu dah makin membesar. Terliur tengok macam-macam tool kat situ. Tapi bajet tak boleh lari. Nak beli tepung mafin, tak boleh beli lain. Dalam kepala memang set nak beli benda alah tu saja.

*
Siap membeli, terus balik. Lepas tu baru teringat nak tengok stok bahan bakery yang lama. Buka kabinet, saya tepuk dahi. Semua tak ada! Krimwell yang rasa-rasanya macam ada, rupanya dah tak ada. Manik gula kaler-kaler pun tak ada. Mentega pun ada seketul. Mujurlah coklat masakah masih ada. Jadi malamnya saya mengadun mafin dan topingnya hanya sebuku mentega semata tanpa campuran krimwell. Dalam hati dah boleh agak, mesti tak cukup.

*
Bila dah suntuk, kenalah jadi lebih kreatif. Gunalah apa yang ada. Aising hanya cukup untuk 5 biji mafin. Selebihnya saya tuang dengan ganache. Ganache itu pun tak campur krim. Krim saya ganti dengan susu segar. Jadi juga. Hahaha.

* Semuanya saya main tabur-tabur saja atas mafin tu. Hasilnya mafin untuk hari guru dah jadi mafin macam kek cawan hantaran pulak. Belasah la... janji ada benda budak-budak nak bawak ke sekolah esoknya. Sampai sekolah cikgu puji jugak. Wekekeke, padahal sejak cuti berbaking ni, tangan gigil-gigil masa picit nozel tu. Herot-herot semua walaupun hanya swirl je.

*

Minggu depan hari terakhir persekolahan, sekolah buat majlis hari jadi beramai-ramai. Kena bawak potluck. Sesi berbaking bermula lagi minggu depan.

*
Kepada semua individu yang berasa diri mereka seorang guru, selamat hari guru. Juga kepada mereka yang pernah mengajar aku tentang pelbagai perkara, walaupun ianya hanya seekor semut kecil, aku ucapkan terima kasih. Tiada yang dapat membalas budi kalian selain Dia.

Tuesday, May 12, 2009

Panas dan Rerumput Liar

Sejak dua bulan ni cuaca terlampau panas. Dijangka fenomena Ekuinoks ini berlanjutan hingga bulan September. Adui, bayangkan sampai lepas Raya nanti orang-orang sekitar KL dan Selangor menjalani hidup dalam cuaca yang panas dan kering. Bulan puasa nanti apatah lagi?
*
Dalam keadaan siang, malam, pagi dan petang yang berbahang ni, nak menulis terasa seksa sekali. Kipas tak henti berputar ligat tapi tetap tak menyejukkan. Air masak berbotol-botol diteguk. Memang terhidrasi sungguh.
*
Dalam keadaan panas ni, kepala memang kelabu asap. Idea pun macam malu-malu nak datang. Jadi tangan pun gatal merayap ke alam maya. Dan, saya jumpa sesuatu di dalam sebuah blog. Layan....
*
Kebelakangan ni, sebab takde buku yang menarik bila ke kedai buku, aku cuma capai 2 jenis buku aje. Salah satunya, adalah buku untuk anak buah aku. Hehe. Entah. Mungkin sebab dulu aku ni suka membaca tapi susah nak dapat bahan bacaan, jadi sekarang ni aku suka hadiahkan buku untuk anak-anak buah aku.Bukan apa, anak dara yang seorang ni memang manja sikit. Kadang-kadang bila dia datang sini dengan kerja sekolah Bahasa Malaysia yang bertimbun, dia selalu jadi blur bila kena buat struktur ayat. Duh! Rasa macam nak je balik ke zaman kanak-kanak dulu. Haih. Sungguhla budak ni memang manja. Kalau dia rajin membaca memang senang je nak create ayat yang mudah-mudah tu. Vocab pun banyak je boleh belajar.Jadi, masa jenjalan kat kedai buku minggu lepas aku beli buku Melah Melia. My 24 bilang cerita ini best (berdasarkan pengalaman orang yang bosan sebab MC terlalu lama), jadi aku pun beli la. Seperti biasa, sebelum serah kat anak buah mesti lalui QC dulu. Haha. Sebenarnya dah bosan takde ape nak baca kat rumah ni. Jalan ceritanya pun ok, banyak pengajaran. Jadi, petang tadi aku beli la siri kedua dan ketiga. Dengan harapan anak dara yang seorang ni dapatlah pengajaran dari cerita Melah Melia nih.
*
Sesiapa yang nak beli untuk hadiahkan anak-anak ke atau adik, memang sesuai sangatlah buku ni. Bukan apa, dengan lambakan novel cinta kat pasaran sekarang ni kebanyakan orang fikir bahan bacaan untuk anak-anak remaja dah takde. Sebenarnya tidak. Banyak aje, cuma kena pandai pilih la... Tepuk dada, tanya selera masing-masing.
*
Blog cik yang mengulas boleh dilayari di DI SINI
*
Terima kasih atas ulasan ringkas tu. Gembira sebab masih ada yang sedar apa 'isi' dalam buku kecil saya tu. Mungkin selama ni ramai yang hanya membaca untuk hiburan. Saya ralat juga sebenarnya jika pembaca kecil saya tak mampu memahami apa yang cuba saya sampaikan. Saya berusaha untuk menulis sesuatu yang bermanfaat, ada pengisian. Bukan hanya untuk hiburan semata-mata. Saya tahu saya menulis dalam saluran POP. Tapi saya takut jika buku-buku kecil saya terlalu 'kosong' dan melalaikan. Saya akan ditanya di 'sana' nanti apa yang saya tulis. Apa usaha dan amal saya daripada pekerjaan saya ini?
*
Saya, penulis kecil ini walaupun hanya seperti rerumput liar yang melata, tetapi saya tetap mahu memberi warna hijau pada mata yang memandang.

Saturday, May 02, 2009

Doktor Curi Tulang?

Kecoh fasal doktor kantoi masa curi tulang! Bila saya baca berita tu, hati saya tak membenarkan kenyataan/tuduhan tu. Tipu, kata hati saya. Tapi bila pusing-pusing ke sekeliling laman maya ni, rupa-rupanya ada juga orang-orang yang percaya bulat-bulat dengan tuduhan melulu yang dibuat tu. Yang buat tuduhan tu pulak golongan kaf lam ya nga yang memang terkenal suka buat kecoh. Eeee.
*
Saya memang dah lama tak pergi HKL. Ada dalam 4 tahun tak jejak ke sana. Tapi sejak beberapa bulan lalu, sejak mengalami semput dan kesakitan tulang, saya gagahkan juga diri ke HKL. Saya bukanlah mampu selalu sangat ke klinik swasta lebih-lebih lagi di zaman gawat ni. Duit yang ada lebih baik simpan. Sebelum ni sesekali keluarga sakit, hantar jugalah ke klinik swasta, sebab kononnya malas nak tunggu lama-lama, dengan cik misi yang muka macam asam kecut tu. Tapi disebabkan kesakitan saya ni dijangka akan mengeluarkan kos rawatan yang mahal di klinik swasta, maka terpaksalah saya ke hospital kerajaan dengan menyediakan diri untuk beratur panjang dalam kesesakan pesakit lain di situ.
*
Bila sampai di jabatan kecemasan (tempat dua doktor dituduh curi tulang), saya katakan semput. Terus mereka suruh saya masuk ke bilik doktor. Saya hanya tunggu dalam kurang 5 minit saja sebelum dipanggil masuk sebaik pesakit yang terdahulu selesai diperiksa. Baik saja doktor tu melayan dan memeriksa saya. Lepas tu, terus diarah untuk ambil gas di zon asma. Setengah jam lepas tu saya diperiksa semula dan doktor beri slip ubat. Saya ke farmasi dan tak sampai 10 minit saya dah dapat ubat saya. Saya selesai terima rawatan dan ambil ubat tak sampai pun sejam. Kalau nak bandingkan dengan klinik swasta, rasanya di HKL lebih pantas dan efisien. Pengalaman di klinik swasta selama ni pun, rasanya lama juga saya menunggu. Pernah sampai cecah sejam bila pesakit terlalu ramai.
*
Untuk kesekian kalinya saya ke HKL lagi kerana sakit tulang. Kali ini saya tahu, kos rawatan memang mahal. Kalau sebelumnya saya ke jabatan kecemasan, kali ni saya ke jabatan pesakit luar pula. Orang memang ramai. Kenyataan yang tak dapat disangkal lagi di mana-mana hospital kerajaan pun, tapi saya tetap selesa. Saya mendaftar, kemudian tunggu sekejap dalam 10 minit untuk dapatkan nombor bilik rawatan. Kemudian saya ke ruang menunggu, dan tak sampai setengah jam, saya dah pun keluar dari bilik doktor. Wau, memang pantas. Saya diarah jalani X-ray dan fisioterapi. Semuanya saya buat tanpa sebarang masalah. Ditambah dengan masa menunggu yang memang singkat dan layanan kakitangan yang mesra. Kalah swasta!
*
Duit pun berjaya saya selamatkan dari mengalir beratus-ratus ringgit. Bayangkan kalau di hospital/klinik swasta, untuk rawatan asma, X-ray, fisio dan ubatan, berapa ratus agaknya tu? Di HKL, saya cuma perlu bayar seringgit waktu pendaftaran, dan RM5 ketika buat fisio. X-ray, saya tak ingat. hihi. Pendek kata kosnya tak sampai RM20 pun, saya dapat buat rawatan dengan selesa dengan ubatan yang bermutu juga. Kalau saya beri GL suami saya, terus dapat percuma. hihi. Tapi saya eksen sikit, saya nak bayar juga.
*
Oleh sebab itulah saya kecewa bila ada yang buat tuduhan melulu kepada doktor-doktor terbabit. Apalah salahnya belek-belek surat khabar sekejap sebelum pesakit masuk, atau minum seteguk air buat menghilang dahaga. Maklumlah, pesakit pun ramai, bermacam ragam pulak tu, mestilah penat. Kan? Kan? Kan?
*
Oleh itu, datanglah beramai-ramai ke hospital kerajaan. Mereka jauh berubah. Tak macam waktu kali terakhir saya ke sana 4-5 tahun lalu!

Thursday, April 30, 2009

Lagi Lagi Pesta Buku!

Pesta dah selesai. Tapi rasanya kisah-kisah di pesta masih diperkatakan. Saya kurang kerajinan nak bercerita panjang. Cerita pendek saja pun okeylah. hihi.
*Ralit sekejap tengok demonstrasi ni. Terlebih rajin pulak masa tu menemuramah kakak ni. Minat benda ni dah lama, cuma cat ni susah nak cari. Hanya kedai tertentu je ada jual.
Harta karun yang ditemui ketika meronda selama 4 hari di pesta buku. Paling banyak berhabis untuk DVD pendidikan. Makan ratus juga. Satu buku dah usai, sedang menghayati Fitrah Kimiawi pulak.Jejaka yang tak pernah ketinggalan menambahsesakkan pesta buku setiap tahun. Jumpa lagi tahun depan ya. ;)
*
Sabtu - 25 April.
Jalan-jalan dengan Kak Ramlah dan Kak Zalisa. Meriah bila golongan ibu berjalan sakan. Jumpa lagi ramai penulis-penulis lain; Nas Alina Noah dan Siti Rozilah. Sempat bertukar-tukar cerita. Mereka ramah sangat. Macam dah lama kenal.
*
Cari Serunai Faqir, tapi lubang hidungnya tak nampak-nampak. Rupanya kena jaga pejabat. hihi.
*
Ahad - 26 April.
Saya turun sebelah petang. Malas nak bersesak-sesak dengan orang ramai. Petang tu agak selesa nak berjalan sebab orang mula berduyun-duyun balik.
*
Jengah lagi Pekan Ilmu nak khabarkan sesuatu kepada Serunai Faqir. Pun dia tak ada. sibuk meniup khabarnya. Tak apa, apa-apa hal emel boleh, kan?
*
Jumpa Ariyatna dan kekasihnya yang tak lupa mengusung 'senapang'. Ronda-ronda dengan beliau cari harta karun di gerai DBP.
*
Mersik telefon. Katanya ada di gerai NB Kara dengan novelis-novelis dan pengulas buku tersohor di alam maya.
*
Saya, Mersik, Ariyatna dan kekasihnya turun nak jumpa Abang Long. Sementara menunggu insan berkenaan tiba, kami borak-borak kosong depan gerai Karangkraf.
*
Abang Long datang dan kami borak lagi. Hahaha, menghalang laluan pula. Orang pun tak ramai, jadi tak ada masalah sangat.
*
Kami borak pun tak lama, walaupun sebenarnya nak lebih lama lagi. Hari dah petang sangat. Masing-masing dah penat.
*
Pesta buku bukan hanya medan untuk para penerbit menjual dan mempromosi buku-buku, tetapi merupakan satu medan pertemuan para penulis, blogawan dan pembaca untuk bertemu sesama sendiri dan menambah rangkaian kenalan baru.
*
Banyak pertemuan yang tak mampu dikisahkan. Gembira bertemu Kak Kamsiah Abu yang ceria, Ebriza, Kak Wan Amalyn dan Kak Nor (Ulat Buku), Bikash Nur Idris, Khairon di KarnaDya dan Aisyah, editor Buku Prima. Moga jumpa lagi tahun hadapan.
*
*
*
TATA

Wednesday, April 22, 2009

Pesta Buku Update

Hmm, kaki baru hilang sengalnya. Semuanya disebabkan demam pesta bukulah, apa lagi. Sabtu lepas sibuk berjanji-janji dengan kawan-kawan nak meronda sama-sama. Rancangan berubah beberapa kali tapi akhirnya berjaya juga bertemu Kak Syima dan bersama-sama ke sana. Kak Siti pun akhirnya berjaya ditemui di tempat kejadian. Fuh! Jenuh menempuh sesak. Mujurlah kami ke sana dah agak petang. Taklah penat sangat berjalan.
*
Hari Ahad meronda lagi. Berjanji lagi dengan Kak Syima dan Kak Siti. Macam biasalah, Kak Siti mengalami kecelaruan minda bila tengok makhluk-makhluk yang berbondong-bondong di sana. Jalan paling baik, saya tunggu dia pentas utama. Tempat itu mesti dia boleh cari. hihi. Kak Saridah pun dah tunggu di sana. Kebetulan ketika itu Kak Zalisa pun sampai. Kak Syima saya tinggalkan di gerai biasa dia berjumpa penggemarnya.
*
Dalam masa yang sama Alias pun sibuk-sibuk juga nak menelefon saya. Yah, memang nak jumpa dia pun. Oleh kerana sejak tahun lepas Kak Zalisa memang nak bertemu muka dan berkenalan dengan kebrutalannya, maka kami pun mencari kelibat cikgu paling brutal (tapi baik) itu dan membiarkan Kak Siti dan Kak Saridah meronda sesuka hati mereka. Kami janji makan tengah hari bersama-sama.
*
Setelah lokasi Alias dikenal pasti, kami pun borak-borak. Tapi keadaan sangatlah tidak selesa kerana dikelilingi oleh makhluk-makhluk seperti kami juga yang seronok memeriahkan suasana di situ. Maka kami pun cari port baik untuk bersembang. Tempat minum-minumlah, apa lagi. Semampunya kami, di gerai tepi sungai itulah tempat lepak kami bertiga. Terima kasih Alias kerana belanja kami minum.
*
Lepas minum kami naik semula. Alias teringin juga nak jumpa Kak Syima. Jadi demi tidak menghampakan beliau, Kak Zalisa pun memanggillah Kak Syima. Wah, sekali lagi kami kecoh sekejap di satu gerai yang tak berapa ramai orang. Di situ pun jadilah kan?
*
Oleh kerana Alias pun tak sabar nak betulkan keadaan keretanya yang tak berapa baik tu, maka kami pun berpecah. Saya, Kak Syima dan Kak Zalisa pun keluar makan tengah hari sebab Kak Siti dah memanggil-memanggil nak ajak makan. Dalam masa yang sama Kak Dewi pun turun dari tempat dia menemui penggemarnya. Kami pun makan berlima satu meja. Sesak wooooo. Hahaha, belum setengah jam pun Saya dan Kak Zalisa minum dengan Alias tadi, sekarang kami dah sampai semula ke sini. Belasah! Di situlah kawan-kawan saya berkenalan antara satu sama lain. Kak Siti dan Kak Saridah berkenalan dengan Kak Syima dan Kak Dewi. Saya dan Kak Zalisa memang kenal keempat-empatnya. Hihi. Bertambah networking pada hari itu.
*
Pukul 2 setengah kami, kecuali Kak Syima dan Kak Dewi ke konvensyen sai-fai. Jumpa Ariyatna dan suaminya bersama-sama 'senapang' berkuasa besar untuk menembak kami. Jumpa Kak Kusyi Hirdan dan Kak Lily Haslina di situ.
*
Hari itu saya pusing sampai petang, tapi berpecah arah dengan kawan-kawan buat seketika, kemudian bertaut kembali. Sempat ronda dengan Kak Hasreeyati Ramli juga. Macam dah kenal lama pula. Bertambah lagi kenalan. Tak lama lepas tu Mersik pula tarik saya. Sembang-sembang sekejap.
*
Sedar tak sedar dah pun nak masuk maghrib. Patutlah kaki rasa sengal dan sakit. Kepala pun mula berdenyut. Saya minta diri nak balik. Kak Siti dan Kak Hasreeyati pun meneruskan acara ronda-ronda sampai kejang otot kot. hihi.
*
Hati rasa seronok sangat dapat jumpa ramai orang dan kenalan baru. Sampai tak terasa penat pun. Bila dah sampai rumah. Terus terduduk. Barulah segala kesakitan pada kaki merayap ke segenap urat rasa. Kepala pun berdenyut-denyut. Panaskan apa yang patut. Lepas mandi, terus makan dan tidur. Emmm, terasa macam kurus sikit sebab membakar lemak sehari suntuk. :P
*
Minggu ni meronda lagi. Nak cari buku-buku yang jarang ditemui atau dah hampir pupus. Oh ya, kepada adik-adik yang berjanji nak datang ke booth PTS, Ainin Naufal akan berada di celah-celah insan-insan di situ. Jadi kalau ada yang sudi nak jumpa Ainin Naufal, rajin-rajinlah tanya pada para petugas di situ ya. Ingin dimaklumkan juga, slot kuiz terpaksa dibatalkan atas sebab-sebab teknikal. Walau apapun, Ainin Naufal cuba untuk berada di situ selama satu jam. Kalau susah sangat nak cari, jerit saja "MANA AININ NAUFAL?" Ingat, lontarkan seluruh kekuatan vokal tau, dan jangan malu-malu.
*
Jumpa di sana. TATA

Wednesday, April 15, 2009

Hebahan

Bermula minggu ini sehingga hujung minggu depan, pesta buku kembali lagi. Macam-macam aktiviti yang mengujakan dah tersedia. Rasa nak pergi semua. Mampu ke agaknya? Minggu pertama ni semua aktiviti yang seronok itu berlangsung, dalam masa yang sama banyak pula berjanji dengan kawan-kawan penulis yang lain. Fuh, padat gila jadual minggu pertama tu. Harap-harap kudrat masih kuat nak menyibuk-nyibukkan diri pada majlis-majlis minggu ni.
*
Dengan gembiranya juga, ingin saya memaklumkan saya juga akan menyibuk-nyibukkan diri di gerai PTS One pada tanggal 25 April, dari pukul 11.00 - 12.00 tengah hari. Ada aktiviti kuiz. Kalau dah ada kuiz, tentulah ada hadiahnya kan? Jadi janganlah malu dan segan memenuhi gerai PTS One hari itu ya. Oh ya, saya akan duduk sambil bersenggol-senggolan dengan kawan lama saya, Kak Ezee Rahmani. Nampaknya hajat saya nak jumpa beliau akan tercapai. Lama betul tak jumpa beliau.
*
Oh, ada satu lagi nak dihebahkan di sini. Esok, saya akan ke udara di Asyik FM. Siapa yang nak dengar suara serak-serak kering yang tak berapa rock ni, boleh buka radio dan dengarkan Asyik FM pada frekuensi 91.1 untuk Lembah Kelang. Selamat mendengar luahan hati dan pengalaman pahit manis saya pada zaman dahulu kala sebelum menjadi penulis kecil seperti sekarang ini.
*
*
*
Jadual adalah seperti berikut:
*
Khamis (esok) di Asyik FM
Jam 6.15 - 7 malam.
*
*
*
Pesta Buku
Tempat - PWTC
Tarikh - 17 - 26 April 2009
*
*
*
Bersama Ainin Naufal dan Ezee Rahmani
Tempat - Gerai PTS One, PWTC
Tarikh - 25 April 2009
Masa - 11.00 - 12.00 tengah hari.
TATA


Tuesday, April 07, 2009

Ovenku sayang....

Aduiiii! Oven dah dua minggu rosak. Kali terakhir oven ni berfungsi, masa bakarkan ayam teriyaki untuk Kak Siti. Rezeki Kak Siti datang hari tu. Kalau datang lepas hari tu, alamatnya jilat bibir sajalah. Banyak request dari Kak Siti. Mujur dia datang masih belum terlambat.
*
Bila oven rosak ni terasa mati akal sekejap. Biasanya kalau malas masak, campak sajalah ayam ke, kentang ke, roti ke dalam tu, mesti dalam masa tak sampai satu jam, adalah benda yang boleh disantap oleh ahli keluarga. Ini kes orang malaslah ni. hihi. Bila oven tak ada, semua kerja kena buat atas dapur yang semestinya kena tunggu sampai benda yang dimasak tu sesuai dimakan. Oleh kerana tak ada oven yang boleh menjadikan kerja memasak lebih mudah, terpaksalah mencari cara yang paling mudah nak makan. Beli! :P

Donut Big Apple, beli di Jusco Wangsa Maju. Lupakan diet buat sehari dua ini. hihi.



Singgah kat gerai kuih talam Penang yang dah jadi fave ni. Lama dah tak pekena. Suji coklat ni best. Yup, diet yang gagal untuk hari itu.

Hari Sabtu hantar oven ke kedai untuk repair. Tanya punya tanya, periksa punya periksa, oven tu rosak pemanas sebelah atasnya. Sebab itulah api atas tak nyala. Untuk ganti alat kosnya RM48 + RM15 upah pasang. Herk??? Kalau tambah RM150 lagi dah boleh dapat oven baru cap ayam macam yang saya pakai ni. Fikir punya fikir terpaksalah rajinkan diri cari kad jaminan yang entah di mana kucampak tu. Oven biar saja melepak dengan seronoknya di dalam kereta. Alah, sapa nak curi oven cap ayam yang rosak tu kan?
*
Esoknya pergi ke Cheras, nak tengok seorang hamba Allah yang baru nak masuk dua bulan menjengah dunia ni. Disebabkan tak biasa dengan kawasan tu, maka terpaksalah berpusing-pusing dan tersalah jalan berkali-kali, juga bertelefon berkali-kali bagi mengenal pasti lokasi. Pening jugalah sebab jenuh berpusing-pusing. Mujurlah tak lama lepas tu nampak seseorang berbaju biru di tepi jalan, dan sosok tubuhnya memanglah kukenali.

Inilah hero Serunai Faqir, Sufi. Weh, baby macam tak sudi digambar. Mengelak-ngelak jer. Lepas tu dia nangis. Tapi akhirnya berjaya juga dapat sekeping yang okey sikit gambarnya. Yang lain-lain tu kabuuurrr sebab dia mengelak dari fokus kamera. hihi

*
Balik dari sana, hujan lebat gila babas. Tapi alang-alang dah berada atas jalan, maka adalah lebih afdal diteruskan juga niat menghantar oven ke kedai saya membelinya dulu. Lamaaaaa tunggu mamat dan minah di sana cari resit pembelian saya. Almaklumlah, resit yang patutnya saya simpan tu entah dimakan lipas ke, entah dimakan tong sampah ke, tidaklah diketahui. Akhirnya sebab dah malas agaknya nak menggeledah fail, mereka pun memutuskan menerima oven saya tu untuk diservis dengan kad jaminan tu.

*
Oven kusayang, diamlah kau elok-elok di sana sampai sakit kau sembuh yek. Harap-harap orang-orang di sana sudilah merawat engkau agar aku tak payah keluar duit, atau tak payah aku memaksa diri menggantikan khidmat kau dengan khidmat kawan kau yang lebih mahal. Aku menderita nih! Huhu.

Wednesday, March 25, 2009

Paling! Paling! Paling!

Seperti yang dijanjikan, berikut ialah gambar-gambar semasa acara promosi di MPH Mid Valley Sabtu lepas. Ada banyak gambar sebenarnya, tapi sudah tak lalu nak edit semuanya. Terima kasih kepada Abang Zain kerana sudi menjadi jurufoto tak berbayar pada hari itu. :)

Gambar-gambar ini ialah gambar orang yang 'paling' pada hari itu.

Paling manja.

Paling senior. Cik Nisa, 24 tahun.


Paling pemalu. Tersipu-sipu menghampiri kami, kemudian lari dan datang semula. Kemudian lari lagi dan menyorok di belakang rak.


Paling sporting dan paling ceria! Setia dari mula sehingga tamat acara.


Paling meriah dengan pertanyaan. Adik ini penuh semangat dan menjadi orang pertama duduk di lokasi kejadian.


Paling comel. Jonathan namanya. Dia datang dengan neneknya.



Yang ini bukan'paling' lagi. Tapi yang ini masing-masing khusyuk menjawab kuiz yang disediakan. Bersungguh-sungguh nampak!
Pada acara itu ada seorang pembaca dewasa, Encik Khairul namanya. Dia antara orang pertama duduk di lokasi promosi. Khusyuk betul dia mendengar acara temu bual kami. Siap tergelak-gelak lagi. Kemudian dia membeli sebuah buku saya. Saya sangka untuk anak buahnya. Tapi katanya untuk dirinya sendiri. Terima kasih ya Encik Khairul. Jangan serik membeli buku saya lagi ya.
Terima kasih kepada semua yang sudi memeriahkan acara itu. Terima kasih juga kepada staf PTS; Dila, Husna, Salleh dan Zain yang menjayakan acara tersebut.

TATA

Monday, March 23, 2009

Sebelum dan Selepas Acara Itu


Sebelum.


Tiga hari sebelum acara di MPH itu, batuk-batuk yang sejak sebulan lalu sangat degil untuk meninggalkan saya, akhirnya kembali mengganas. Aduhai, apalah nak dikatakan lagi, ia terlalu sayang nak tinggalkan saya agaknya. Dalam hati membayangkan, macam mana nak bercakap-cakap ni? Alamak.... Bukan itu saja, dada ni pun dah rasa berat semacam. Maka mulalah saya menyelongkar tempat menyimpan ubat. Ada 2 botol ubat batuk yang belum dibuka. Tapi malang seribu kali malang, pada hari acara berlangsung batuk tak baik, semput pun mendatang. Apo nak dikato....


Dengan batuk yang teruk diiringi dengan semput yang baru nak menjadi, saya pun bercakap-cakaplah pada acara itu. Wah, sekejap-sekejap saya buat iklan iaitu dengan menghasilkan batuk-batuk besar yang rasanya cukup mengerikan telinga para pengunjung di depan saya. Mujurlah tak batuk depan mic. huhu.


Saya syak malam ini atau esok hari saya pasti akan terkejar-kejar ke hospital.

*

*

*


Selepas.


Selesai acara, saya bergegas balik kampung pulak. Saya masih tahan lagi, walaupun dah ada suara-suara yang desak supaya cepat pergi hospital malam tu juga. Tapi saya rasa masih ok.


Dan, malam itu saya tak boleh tidur sebab batuk bertambah kuat dan nafas pun macam tak cukup-cukup saja nak disedut. Air habis dekat 2 liter tengah malam tu saja. Badan pun kejap sejuk, kejap panas berpeluh-peluh. Tak tahu sama ada demam atau tak.


Esok paginya mahu tak mahu saya ke hospital juga sebab petang tu nak balik semula ke KL. Takut semput sangat dalam perjalanan. Tak ke haru nanti. Sampai di hospital, sebut je semput terus saya disuruh masuk. Doktor periksa sikit lepas tu terus kasi aksesori tambahan berupa topeng gas untuk menyalurkan oksigen ke peparu saya. huhu.


Habis saja oksigen, macam biasa badan pun mula terketar-ketar dan degup jantung pun makin kuat. Kali ini teruk sangat rasanya, rasa nak terduduk atas lantai. Perut pulak lapar sangat sebab tak selera nak makan.


Keluar dari hospital, terus ajak kekasih pekena pecal. Lepas tu kami ke pasar pula. Masa di pasar, saya tak lalu nak berdiri. Terus tercangkung di depan pangkin nyonya jual ikan kering, udang kering, sotong kering dan segala macam yang kering-kering belaka tu. Terpaksalah dalam keadaan mencangkung tu saya ajarkan kekasih saya macam mana nak beli benda-benda kering di situ. Fuh!


Hajat nak beli ikan segar pun tak tercapai sebab nak bawa badan sendiri pun dah tak lalu. Terus kami balik. Sampai saja di rumah terus baring tergolek dog. Tiba-riba rasa loya pulak. Maka dengan sedihnya, terpaksalah pecal yang disantap tadi menzahirkan diri semula di dalam bilik air. Dan perut pun kembali kosong. Dan daku pun rebahlah sampai ke tengah hari. Dan daku pun betul-betul demam.


Dan daku pun.... errr, tak mampu nak sambung lagi dah entri ni. Esoklah sambung pula fasal adegan-adegan menarik yang seronok kita lihat pada acara di MPH Mid Valley itu.


TATA

Wednesday, March 18, 2009

Hebahan Penting! UPDATE.


Acara : Promosi novel Melah Melia 3.
Lokasi : MPH Book Store Mid Valley.
Tarikh : 21 Mac 2009.
Masa : 2.00 - 3.00 petang.

Ya memang penting. Tapi Ainin Naufal ni memang seorang yang boleh tahan teruknya (tolonglah jangan kata macam tu ya. Tolonglah!). Hal yang sepenting ini pun buat tak kisah saja. Diulangi sekali lagi, minggu ini saya ada acara promosi Melah Melia 3 di MPH Mid Valley. Haaa, kan penting tu.
*
Apa yang diberitahu, ia adalah acara promosi. Tapi bila tengok di wegpage MPH, disebutkan di situ Ainin Naufal akan mengadakan sesi ceramah buku. Ah, sudah! Siapa nak dengar agaknya ya kalau Ainin Naufal bercakap-cakap selama sejam tu? Ada yang sanggup menderita kekejangan otak mendengar ceramah Ainin Naufal itu nanti?
*
Fikir punya fikir, rasanya saya hanya akan bercakap-cakap dalam tempoh tak kurang dari 10 minit agaknya. Kalau terlebih 10 minit tu tak tahulah. Manalah tahu kalau saya terlebih petah dari kebiasaanya pulak.
*
Tapi waktu lebih tanpa bercakap-cakap tu nak buat apa ya? Adoi, terasa urat-saraf dalam kepala ni macam dah tak berfungsi pulak. Okey, walau apapun saya cuba aturkan sedikit aktiviti agar para tetamu yang datang nanti tak menderita kebosanan. Eh, tetamu? Tetamu tu ialah adik-adik yang datang ke acara tersebutlah. :P
*
Oleh itu diharap adik-adik ajaklah keluarga, kawan-kawan, sudara-mara, jiran tetangga dan orang-orang kampung supaya datang memeriahkan acara itu nanti ya. Jangan biarkan Ainin Naufal duduk tersipu-sipu dan tersengih-sengih seorang diri pada acara tersebut. Ainin Naufal memang tidak mampu mengimaginasikan keadaan yang sedemikian rupa seandainya ia terjadi.
*
Oh ya, mungkin kalau ada aktiviti lain dalam acara itu, kemungkinan besar adik-adik yang menyertai aktivit tersebut akan mendapat cenderamata comel yang tidak akan menyesal untuk dimiliki (memang tak menyesal sebab free kan? hihi). Jadi jangan lupa menghadirkan diri di lokasi tersebut.

Bunga dan novel kat belakang tu tak termasuk tau. hihi.




TATA.

Thursday, March 12, 2009

Cuti Lagi! Yey!

Esok hari terakhir persekolahan sebelum cuti seminggu. Amboi, seronoknya!

Eh, budak-budak sekolah yang seronok. Mak bapaknya, hahaha agak-agak sendirilah ya.

Hari ini keputusan SPM diumumkan. Tahniah kepada yang berjaya. Kepada yang dapat keputusan kurang memberangsangkan, dunia belum kiamat lagi. Gagal periksa bukan bererti gagal dalam hidup. Hidup masih panjang. Bumi Tuhan ini luas untuk kita.

Selamat bercuti dan senyum-senyum selalu.

TATA.

Wednesday, March 04, 2009

Donat dan Kesempurnaan

Apa kaitan antara kedua-duanya? Okey, tak lama lagi mesti tahu kaitannya.
*
Al-kisah, hari ini tiba-tiba teringin makan donat. Dengan sejujurnya saya mengakui bahawa sesungguhnya saya bukanlah seorang ahli membuat donat. Selama hidup, tak pernah berjaya menghasilkan donat dengan cemerlang. Biasanya kejadian donat hasil kerja tangan saya akan jadi liat dan tidak menyeronokkan lidah yang merasainya. Disebabkan keinginan memakan donat sangat menggebu-gebu dalam jiwa, dan dalam masa yang sama mahu berjimat ekoran kegawatan sekarang ini, maka saya nekad mahu bereksperimen di dapur dengan tujuan menghasilkan donat.
*
Dengan berpandukan beberapa resepi donat dari internet, saya pun memulakan eksperimen yang sudah tentu mendebarkan ini. Kalau tak menjadi, harus tong sampah itu kenyang dengan tepung donat kan? Membazir sangat tu dalam keadaan yang gawat ni. Tapi dengan yakin saya mengadun donat ikut agak-agak sendiri. Resepi pun bantai mengikut sesuka hati dan sesedap rasa saja.
*
Dan....

Adunan donat pun mengembang dengan elok dan tembam sekali. Okey, satu proses dah menampakkan hasil yang mengujakan. Tapi kembang-kembang pun belum tentu berhasil menjadi donat yang gebusss dan menyeronokkan lidah yang merasanya apabila digoreng nanti. Setelah selesai saya bentukkan donat-donat tersebut, maka dengan penuh debaran saya menggorengnya, dengan diiringi doa supaya donat itu selamat dan menjadi gebu semuanya demi mengelakkan fenomena kebanjiran donat di tong sampah saya.
*
Hasilnya, taraaa...
Boleh tahan gebusss tau. hihi. Walaupun rupa kejadiannya tidak begitu mengghairahkan mata yang memandang, tapi kegebuannya masih berada di tahap yang membanggakan bagi insan yang selalu gagal membuat donat macam saya ini. Wah, macam naik lif tekan butang sendiri jer kan? Tak ada siapa nak puji, maka pujilah diri sendiri. Lapan biji digoreng sampai keperangan dan bakinya digoreng separuh masak untuk diijadikan donat segera yang boleh digoreng bila-bila masa yang diperlukan. :)
Bercerita tentang kesempurnaan, saya perhatikan donat-donat hasil ujikaji saya tidak sama besar, bentuknya pun tidak menarik untuk ditatap. Ada yang senget, ada yang terherot-herot, ada yang tidak sekata keperanganya, tahap masaknya pun tentu berbeza-beza. Pendek kata donat-donat itu tidak sempurna rupa kejadiannya.
*
Melihat donat-donat itu, saya memikirkan persamaannya dengan manusia. Manusia pun tak sempurna macam donat-donat saya tu. Kalau diperhatikan memang tak mengiurkan untuk dinikmati. Tapi adakah dengan melihatnya kita boleh tahu tahap kegebuan dan kesedapannya? Sudah tentu kita perlu merasai teksturnya dengan sentuhan tangan. Merasai kemanisan dan lemaknya dengan lidah.
*
Begitu juga dalam penulisan. Perlukah kita melukiskan sesuatu watak dengan cukup sempurna tanpa cacat cela? Dialah yang kacak, yang kaya, yang baik, yang tampan, yang segala-galanya. Saya berasa saya membohongi pembaca kalau saya melukiskan watak-watak yang terlalu sempurna. Watak-watak itu tidak 'manusia'!
*
Hmmm, dah nampak kaitannya? hihi.
Sekian, terima kasih.