Sunday, January 27, 2008

rindu datang lagi dan....

Kala rindu mula menggamit, bayangan rumah ini asyik menari-nari di depan mata. Aku tak tahan....

Uhuk!

Walaupun rindu bergayutan di tangkai hati, tapi ada juga sesuatu yang memaniskan hari-hariku.

Jeng jeng jeng!

Melah Melia2 telah pun lahir, dan masih panas di dalam stor. Bulan hadapan kalau tiada aral, akan mula ditempatkan di rak-rak toko buku berangkaian. Insya-Allah.
Psssttt... adik-adik semua! Awal bulan depan ketika mak dan ayah baru dapat gaji, ajak mereka ke kedai buku tau. Melah Melia2 sedang terkinja-kinja nak ikut adik-adik balik ke rumah!
Hehehe.






Monday, January 21, 2008

Adik Dah Besar!


Amacam? Ada rupa bakal penulis tersohor tak?

Hari ini (baca: semalam), Adik cukup-cukup tiga tahun. Dah besar, makin nakal, bertambah akal. Makin becok. Bercakap tak henti-henti bertanya itu ini. Letih betul nak melayan. Kalau disuruh, pandai betul cengkelat. Macam-macam alasan diberinya. Geram dibuatnya. Tapi dalam geram, hati terasa bagai digeletek. Bakat imaginasi Adik mula terserlah. Selalu bercakap-cakap sendiri ketika bermain, siap dengan suara-suara yang berbeza. Ni semua pengaruh Uncle yang suka buat suara Sunyo itulah.

Mini kek coklat gebusss bersiram ganache dengan edible 'Pooh and Friends'.

Sempena hari lahir Adik yang jatuh pada hari minggu, ibu buatkan mini kek coklat gebusss, ayam panggang lada hitam baling-baling, trifle hentam sajalah dan pasta goreng suka hati mak. Lebihan adunan kek, ibu masukkan dalam cawan kertas. Maka jadilah kek cawan coklat ekspress. Suka betul Adik makan. Badan saja kecil, tapi selera besaaar.

Kek cawan ekspresss. Togel, belum disolek lagi.

Kek cawan ekspresss. Corak semak berumput layu, sebab krim mentega terlalu cair. Salah sukat bahan. :P

Ayam panggang lada hitam baling-baling. Tergaring sikit kulitnya, sebab kandungan gula dalam sos agak tinggi. Gula buat kulit ayam cepat hangus. Adeh....

Trifle hentam sajalah. Resepi cedok dari banyak sumber, ubah suai ikut selera sendiri.

Dalam khemah dan ada bantal. Hmmm... kalau pergi berkelah, boleh bawa.

Tahun ini Adik dapat hadiah khemah mini untuk main pondok-pondok dalam rumah. Hahaha….

Selamat hari lahir, sayang. Semoga jadi insan berguna, jadi anak yang solehah dan cemerlang di dunia dan di akhirat.

Wednesday, January 16, 2008

Ulasan dan Komen Paling Keji.

Ketika buku bersampul merah saga garang menyala ini disuakan kepada saya oleh seorang bro, senyum saya meleret-leret sampai ke telinga. Serasa saya, pipi yang semakin melebar ini pun sudah tak cukup untuk menampung senyuman itu. Hehehe…

Kali ini saya cuba menjadi pengulas buku yang paling keji (agaknya), tanpa sopan santun ala wanita Melayu terakhir seperti Carrie Kirana, atau pengulas yang kritis seperti Jiwa Rasa dan Fadz. Kerana saya sebenarnya tak pandai mengulas apa-apa buku pun. Maka, suka-hati-kepala-otak-berjambullah nak komen macam mana, kerana awal-awal lagi dengan senang hati dan rela saya mengaku, bahawasanya saya seorang yang suka-suka-suka menulis mengikut rentak irama lemah gelamai jari-jemari menaip kata-kata komen yang entah-apa-apa-entah.

Mulalah membebel-bebel. Merepek-merapu-meraban sampai lupa apa yang nak ditulis. Harap dimaafkan.


Lagukan Senandung Itu adalah sebuah novel, bukan buku agama atau buku motivasi atau buku kerja Sains atau buku rampaian.

Melihat pada blurp dan gambar sampulnya, pastinya pembaca muda belia remaja akan mengerutkan dahi, “Heh, buku apa ni? Cerita fasal gendang? Serunai? Mesti boring giler ni.”

Sedikit sinopsis:
Novel ini mengisahkan seorang gadis bernama Fatimah yang memperjuangkan seni warisan leluhurnya. Pahit getir terpaksa diharungi oleh Fatimah untuk menuju ke puncak persada gemilang yang menjadi impian setiap penggiat seni. Dendam kesumat dan rasa hasad dengki yang mendarah daging dalam bangsanya sendiri, mengacau bilau perjalanan Fatimah dalam memperjuang warisan seni yang dicintainya.

Sikit sahaja, ya. Tak boleh berlebih-lebih dalam memberikan sinopsisnya.

Apa yang terkandung dalam buku ini bukan sahaja mengenai gendang, malahan terkandung juga pelbagai petua, jampi mantera serta ilmu perubatan tradisonal.

Walaupun novel ini mengisahkan sesuatu yang tidak pernah kamu minati, tetapi ia mampu memberi kesan pembacaan yang tidak pernah kamu jangka. Silap hari bulan, ada yang mencari guru untuk belajar ilmu bergendang pula.

Sedikit unsur humor yang disampaikan secara bersahaja memaniskan lagi penceritaan.

Sesuatu yang bagi saya tidak begitu seronok dibaca ialah bab wawancara di TV. Watak itu menjadi begitu poyo sekali apabila Serunai Faqir tersangat menonjolkan watak Fatimah sehingga watak professor tenggelam, kelihatan tidak best dan hanya menjadi pelakon pemegang tombak dalam wawancara itu. Emm… atau itu hanya perasaan saya sahaja? Kalau ingin tahu, cuba kamu nilaikan pula dengan membaca sendiri novel ini.

Pssst… poyo tu apa, hah? Maaf kalau maknanya berlainan dari apa yang kamu dan saya fikirkan. Harap maklum.

Hmm… apa lagi, ya?

Oh ya, bagi adik-adik yang sering berkunjung ke blog ini, jangan lupa dapatkan novel ini. Ada khazanah berharga tersembunyi di dalamnya, yang tiada dalam buku lain, yang perlu kamu gali sebelum semuanya lenyap ditelan masa. Alangkah rugi seandainya khazanah yang perlu kamu ketahui hilang lenyap tanpa sisa.
Sebagai selingan, nikmati alunan irama gendang dan serunai. Bagi yang masih tak tahu bagaimana bunyi instrumen ini, dengarkanlah....
p/s : Jangan tagih hutang lagi, ya. hehehe

Wednesday, January 09, 2008

Secret Recipe De Sentul, sila-sila....

Ya, ini adalah entri terakhir tahun ini. Esok Maal Hijrah, tahun baru dalam kalendar Islam. 1 Muharram. Sempena sambutan 1 Muharram ini, ingin sekali saya menjamu anda semua. Tapi cuma jamah dengan indera pandang sajalah, ya. hehehe...

Mengikut pusingan jam; ayam panggang lada hitam ummph, spagetti bebola daging ala cik malas dan kek lobak merah ala-ala secret recipe Sentul. Selamat menjamu pandangan. Erkk... alhamudlillah.

Salam Maal Hijrah untuk semua. Semoga kalendar baru ini dipenuhi dengan kebaikan dan limpah barokah Ilahi. Ayuh sama-sama berhijrah kepada sesuatu yang lebih baik.