Tuesday, December 23, 2008

Masuk Kilang

Bukan, bukan saya masuk kilang. Melah yang masuk kilang. Bukan, bukan Kak Melah. Tapi Melah Melia 3. Harap-harap kali ini tak ada apa-apa masalah lagi setelah seminggu lalu diri ini teramat panik, kejang otak, kelabu minda memikirkan masalah teknikal yang timbul kerana berada di luar kawasan dan jauh dari keupayaan Internet. Fuh, sungguh dasyat pengalaman itu. Hampir-hampir bertukar menjadi igauan ngeri. Mujur dengan bakat kreatif (silakan muntah dengan sopan-santun kalau anda teringin melakukannya) pihak di sana dan di sini, masalah yang memang mengejangkan otak itu mampu diatasi walaupun nyaris-nyaris kedua-dua pihak gugur akibat kekejangan.
*
*
*
Semoga Melah Melia3 selamat terbit dan dapatlah diri ini menyambut tahun baru dengan satu produk baru juga. Jadi, kepada adik-adik dan kawan-kawan, tunggu kemunculannya, insya-Allah sekitar Jan 09 nanti, okey.
*
*
*
Buat adik-adik yang sedang pecah kepala memikir nak masuk sekolah mana, jangan susah hati. Belajar di mana pun tak apa-apa asalkan dapat belajar dengan sempurna. Benih yang baik, kalau dicampak ke darat menjadi gunung. Kalau dibuang ke laut menjadi pulau. Tak caya, tanya mak. hehehe. Apa-apapun, jangan lupa dapatkan Melah Melia3 dan siri-siri sebelumnya walau di mana anda berada.
*
*
*
*
TATA!

Tuesday, December 02, 2008

Tayang Hasil

Layan gambar-gambar saja ya. Hasil keras tangan Sabtu lepas, untuk hantaran. Abaikan saja mana-mana yang menyakitkan mata tu ok. Amatur!

Kek cawan yang baru siap dimekap. Atas dulang lagi.


Baru masuk dalam kotak

Kek coklat dengan tulisan yang herot-berot. Sakit tapak tangan sebab paipkan coklat cair yang masih panas. Krim mentega sudah habis!



SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA!









Wednesday, November 26, 2008

Serabut Cuti Sekolah

Ah, rasa sungguh malas memasukkan entri baru. Apa-apapun, layan ....


Cuti sekolah
Rumah bersepah
Hati resah
.
.
.
.
Langit mendung
Dapur pun kosong
Di mana keropok losong?
.
.
.
.
TV terpasang
Tiada tenang
Kalender kuhilang
Mengira hari untuk pulang

Wednesday, November 12, 2008

Cuti Panjang

Pejam celik, celik dan pejam balik ... sekolah akan tutup bermula Sabtu ini sehingga awal tahun depan. Amboi, adik-adik bukan main suka lagi eh. Ops, tapi ada seorang budak bernama Sara tu, dia tak suka cuti panjang tau. Dia suka pergi sekolah. Hari-hari dia nak pergi sekolah. Rajin sungguh dia kan? hehehe. Jangan maraa, gurau-gurau manja eh. Apa rancangan sepanjang cuti? Duduk rumah main internet? Main game? Tengok TV? Melancong? Jalan-jalan tengok wayang? Jalan-jalan cari makan? Apa-apa pun rancangan anda, lakukannya secara 'sihat' agar semua orang seronok. Yeah!


Yey, sekolah dah nak habis!



Untuk adik-adik yang bakal meninggalkan persekolahan rendah, selamat datang ke alam remaja. Jadilah remaja yang berwawasan. Err, dah minta maaf dengan guru dan kawan-kawan? Dah puas menangis kesedihan kerana akan berpisah? Haih, tiba-tiba teringat kembali nostalgia lama zaman kanak-kanak riang dulu. Esh, sedih ....


Boleh terbongkang dengan bantal busuk lebih lama dari kebiasaan!



Cikgu-cikgu pun bukan main seronok lagi. Setelah memerah tenaga dan minda untuk menjadikan anak-anak murid sebagai 'manusia,' kini tibalah masa beristirahat bersama keluarga, bercuti panjang merungkai kembali urat-urat minda dan otot yang tersimpul selama setahun ini. Bagi cikgu-cikgu merangkap penulis, agaknya inilah masa yang sesuai untuk mencari ilham dan pulun manuskrip untuk terbitan tahun depan. Cikgu Mya Marja, Cikgu Alias, Cikgu Zahida dan Ustaz Shahrul, dah ada ilham?


Bagi kaum ibu suri sepenuh masa, alamatnya sakitlah anak tekak menjerit apabila rumah berkecah. Berbuihlah mulut akibat berleter bila anak-anak bergaduh, berebut saluran TV, berebut komputer, berebut KFC yang cuma tinggal seketul. Dapur pun sudah jadi macam dapur restoran, beroperasi sampai mata semua penghuni rumah tertutup. Peti ais kena sentiasa penuh dengan makanan. Haih!


Apa-apa pun, selamat bercuti kepada mereka yang akan bercuti.

Monday, October 27, 2008

Entri Tertunda


23 Oktober, hero kecil menyambut hari lahir yang ke-5. Sengaja kubuat 'makan-makan' walaupun hanya untuk memenuhi perut kami berempat + pak ngah + ayah su.
Elmo yang tidak berapa kacak!

Menu yang memenuhi perut-perut kami. Siapa yang dijemput tapi tak datang tu, emm jangan komplen bila tengok gambar ni. Saya tahu 'mereka' dalam foto ini tak cukup menarik untuk dinikmati. :P


Edisi keras tangan setelah lama tidak melentur tangan. Tapi 'mereka' masih selamat dimakan.

Donut yang tidak berapa senonoh.

Monday, October 20, 2008

Menangis dan Ketawa

Kisah raya belum habis. Kali ini nak cungkil sikit tentang filem/telefilem di TV sempena hari raya.
Dua cereka menggamit hatiku. Yang buat kumenangis. Yang buat kuketawa.
~Abang, Mak Panggil Balik!~
Ini telefilem ulangan untuk Anugerah Skrin. Tak pasti bila pertama kali ditayangkan. Oleh kerana jarang menonton Cerekarama, maka daku tak tahu mengenainya. Ya, cereka ini membuatkan mata dan badan yang lesu setelah seharian mengecat rumah jadi segar dan hilang segala letih dan lenguh. Kami ketawa bagai tak ingat. Dan, juga sebak serta terkesan dengan kesungguhan hero untuk balik kampung demi ibunya yang disangka sakit tenat. Juga watak mamat Indon yang sama-sama seangkatan berjuang bersama hero untuk sampai ke destinasinya demi melawat kubur isterinya di hari raya.
~Ayat-Ayat Cinta~
Tak dapat dinafikan lagi, filem ini membuatkan kami menangis. Tak perlu diulas lagi kisah dalam filem ini ataupun novelnya. Tapikan, ada orang tu menangis dan tak pernah mengaku. Dia cakap air mata keluar sikit sebab menguap. Hahaha. Yalah tu ....
Tapi secara jujurnya bagiku, novelnya lebih ummmph dari filemnya.

Monday, October 06, 2008

Raya Tahun Ini

Tahun ini raya sangat tidak meriah daku rasakan. Bukan, bukan kerana daku sudah semakin tua. Ah, tiba-tiba daku jadi rindu pada saat-saat berhari raya pada tahun sudah-sudah.

Tahun ini hari rayaku cuma dihabiskan di rumah tanpa ke mana-mana. Hari rayaku cuma pada 1 Syawal (inilah baru raya yang sebenar). Itupun cuma mampu menziarahi warga tua dalam kalangan keluarga terdekat. Dapatlah empat buah rumah yang kukunjungi. Tanpa mampu bertahan lagi, dengan nafas yang tercungap-cungap, batuk yang makin menggila-gila serta suhu badan yang semakin meningkat, daku terpaksa merelakan untuk mengundurkan diri dari rombongan ‘baraan’ itu.

Tiba di rumah, tempat tiduran menjadi sasaran. Dan daku terus rebah di situ tanpa bangun-bangun sehingga petang. Daku sangat hairan kerana udara yang masih Tuhan izinkan untuk kuhirup itu seperti tidak sampai ke peparuku. Nafasku makin pendek-pendek dan terlalu berat. Kakiku sejuk dan kepala pun mulai sakit.

Daku sudah tidak peduli tetamu mana yang datang. Daku sudah tak sedar hari itu hari raya, saat sepatutnya insan-insan bergembira bersama keluarga, menziarahi sanak saudara. Saat sepatutnya lidah-lidah manusia yang berpuasa selama sebulan menikmati sajian yang lazat-lazat. Tapi tidak bagi daku!

Ketika daku berada antara tidur dan jaga, ada beberapa insan yang kusayang keluar masuk ke bilik melihat-lihat keadaanku, melihat tubuhku yang bergerak setiap kali nafas cuba kutarik sedalam mungkin. Tarikan nafas yang sangat berat memaksa seluruh tubuhku bergerak sama tanpa daku sedari. Dan insan-insan itu menggerakkan daku, memujuk supaya ke klinik. Tapi daku sangat bimbang seandainya hari rayaku itu dihabiskan di hospital pula. Daku tidak rela! Menjadi sesuatu yang mengerikan seandainya ia benar-benar berlaku.

Dalam keterpaksaan, kerana daku sendiri sudah tidak tertahan lagi menahan semput yang tiba-tiba datang ini, maka daku mengusung diri ke klinik. Ah, malangnya klinik itu doktornya tidak ada pula. Daku sudah tercungap-cungap macam nak putus nyawa. Beginikah barangkali keadaan orang yang diserang semput? Sungguh, ini pertama kali buat daku.

Dengan langkah yang terpaksa kugagahkan, daku masuk semula ke dalam kereta dan kekasihku pun memacu kembali kereta dan berlegar-legar di pekan itu mencari mana-mana klinik yang buka di hari raya itu.

Akhirnya jumpa satu klinik lama. Klinik itu sudah wujud sejak daku masih kecil. Sampai saja, doktor pun memeriksa dan menawarkan gas. Daku cuma mampu mengangguk saja. Buatlah apa pun asalkan nafasku kembali normal.

Dan di klinik usang itu, daku dengan berbaju raya bersandar sambil menggayakan aksesori tambahan di hari raya. Alat bantu pernafasan! Daku berjaya memperagakan aksesori itu selama beberapa minit. Dan akhirnya nafasku pun kembali normal.

Selepas mendengar doktor membebel dan ubat-ubat daku ambil, maka kekasihku pun kembali memacu kereta untuk kembali ke rumah. Dan telah kuduga hari raya itu menjadi tidak meriah bagi daku. Banyak sungguh makanan yang menjadi pantang larang. Namun tetap juga daku belasah! (belasah pun cuma sebiji ketupat saja untuk alas perut) Biskut raya yang ibuku buat pun cuma mampu kucicip sikit-sikit. Mujurlah daku bukan peminat biskut. Hmm... setakat merasa okeylah.

Sebenarnya untuk merasa makanan pun sungguh derita kurasakan kerana pada mulutku tumbuh seliang ‘mata ikan’ yang sangat luar biasa saiznya. Tak pernah daku mendapat saiz ‘mata ikan’ sebesar itu. Mungkin ini kategori saiz ikan jerung kot. Huh!

Sejak hari raya pertama itu, daku tidak ke mana-mana. Sudahlah tidak ke mana-mana, nak makan pun daku seperti sudah hilang deria rasa. Mulut sakit dan tekak pun pahit. Uuuh!

Tup-tup, raya pun sudah masuk hari keempat dan daku terpaksa berkemas untuk balik ke KL berbekalkan batuk yang belum surut. Dalam perjalanan, sempatlah daku singgah beraya di rumah saudara yang terletak dalam laluan perjalanan ke KL.

Walau apapun daku masih tersyukur kerana Tuhan masih mahu daku menikmati suasana hari raya walaupun dalam keadaan yang tidak diduga itu. Harap-harap masih ada lagi hari raya tahun depan untuk daku nikmati. Daku berjanji sekiranya masih bertemu hari raya pada tahun hadapan, kemeriahan itu tak akan daku sia-siakan dan akan kunikmati dengan sesungguh hati, terutamanya menemui sanak-saudara dan rakan-taulan yang tidak mampu daku temui pada hari raya ini.
Ah, dalam kesakitan, rupanya masih ada manisnya juga. Manis-manis pahit gitu. Tiba-tiba daku mendapat perkhabaran yang rakan-rakan lamaku kembali mengingatiku walaupun namaku barangkali hampir-hampir luput dari memori mereka. Aduh, sedihnya hatiku. Uhuk! Apalah yang mereka umpatkan itu? Tak baik tau raya-raya mengumpat daku. Huh!

Panjang sudah rasanya daku berkisah akan kisah daku berhari raya. Letih sudah jemari daku menaip. Tenaga perlu kusimpan juga khas buat jemariku untuk menaip sakan demi mengerjakan naskhah baru. Insya-Allah.
Sekian sahajalah kisah sedih dan derita daku di hari raya. Maaf zahir dan batin.

Wednesday, September 24, 2008

Raya Datang Lagi


Hari kemenangan semakin hampir! Meskipun begitu, terasa sayang meninggalkan hari-hari terakhir ini walaupun saat tibanya Syawal sentiasa dinanti.


Pantas sungguh Ramadhan meninggalkan kita. Seakan baru semalam ia menjelma. Esok lusa cahayanya makin sirna. Rindu kan tumpah padanya. Terasa terlalu lama menanti untuk bertemu semula.


Jangan gusar wahai bulan mulia. Andai matahari masih bersinar dan nafas ini belum terhenti, tahun hadapan kita ketemu semula. Dengan azam yang baru, moga nanti mampu kuhimpun segala keberkatan di dalammu.


Selama setahun, salah dan silap sudah terhimpun,

Hari ini, kususun sepuluh jari memohon ampun.


Selamat hari raya maaf zahir dan batin.


p/s : Adik-adik, nak duit raya! Ada yang sudi nak beri?



Monday, September 22, 2008

10 Terakhir

Sepuluh terakhir
tiba-tiba aku resah
menyerah dan pasrah

Mampukah?

Sepuluh terakhir
umpama memintal tasbih
bakal terhenti jemari membilang

Tuesday, September 16, 2008

Malang

Sudah jatuh ditimpa tangga, tercium pula tahi ayam.

Adusss!

Wednesday, September 10, 2008

Selamat Berjaya!

Kepada adik-adik yang sedang berjuang di medan peperiksaan UPSR, akak ucapkan semoga berjaya. Bahtera sudah di air, layar sudah dikibar, kemudi sudah di tangan. Belayarlah sampai ke seberang. Semoga selamat sampai ke Pulau Impian.

Hihi, analogi ni semacam jer kalau orang tua yang baca. Adik-adik, abaikan saja perenggan ini okey!

Sunday, September 07, 2008

Kisah Sembur dan Hari Ini

i.

Untuk pertama kali dalam sejarah, saya disembur. Oh, sungguh malang sekali. Tak pasti sembur itu sembur-sembur apa. Mungkin jampi serapah buang bala untuk saya kot. Dah kena sembur pun saya masih gelak. Yang tukang sembur pun gelak juga. Tentulah gelakkan saya sebab kena sembur. Ceh, sungguh tiada belas kasihan! Mujurlah tak ramai orang, hanya saya dan tukang sembur saja di situ. Untuk itu saya perlu menjauhkan diri dari mendekati si tukang sembur itu pada lain masa. Mujur juga kena sembur dengan air masak, kalau dengan milo susu ke, teh tarik ke, harus melekit-lekit. Huhu. Nama tukang sembur dan lokasi kejadian terpaksa dirahsiakan demi mengelakkan
berlakunya kejadian yang tidak diingini.

ii.

Hari ini saya suka hati. Ada pembantu yang uruskan segala kain-kain kotor yang menggunung tinggi dalam besen saya. Lalalala ...


Tapi kesian, pembantu itu mula merungut ketika baru separuh kerja-kerja itu dilakukannya. Sakit pingganglah tu, apa lagi. Barulah terasa thrillnya membasuh dengan mesin basuh semi auto yang dah rosak timernya.

Hikmah sakit belakang saya ni kot. Adui, bilalah nak baik agaknya ni?

Sekian sajalah sesi bercakap sendiri - edisi orang tak ada cerita.

Friday, August 29, 2008

Merdeka! Selamat Datang Ramadhan.

Selamat mengambut Hari Kebangsaan yang ke-51. Semoga negara kita aman dan bertambah-tambah makmur sentiasa.
Foto : www.heritage.gov.my

Selamat datang Ramadhan al-Mubarak. Selamat berpuasa untuk semua. Segala salah dan silpaku harap diampunkan.

Tuesday, August 26, 2008

Melah Melia3 - Sedutan

Ketika penghuni asrama berulit dengan mimpi, Melah Melia tiba-tiba terjaga. Pundi kencingnya terasa penuh. Jam loceng di sebelah bantalnya dijeling. 4.30 pagi! Masih terlalu awal. Dia pasti tiada sesiapa yang bangun untuk mandi seawal ini.

“Macam mana ni?” Melah Melia tertoleh-toleh ke kiri dan ke kanan. Rodiah yang berada di katil setentang dengannya sedang tidur dalam posisi terkangkang. Norzila yang bersebelahan dengannya juga tidur pulas tak ingat dunia. Nabila juga kelihatan sedang lena sambil sesekali tersenyum, senyum dalam tidur. Apalah yang dia mimpikan agaknya? Syamimi di sebelah kanannya pula tidur terlangkup berbantalkan buku dan nota-notanya.

Ah, siapa yang akan digerakkan untuk menemaninya ke tandas? Syamimi? Tak mungkin! Melah Melia pasti yang Syamimi berperangai pelik dengan menjauhkan diri daripadanya kerana tidak mahu diganggu. Melah Melia pandang Norzila pula. Emmm ... entah-entah selama ini Norzila juga berasa terganggu kerana terpaksa menemani Melah Melia ke tandas ketika sedang seronok memeluk bantal.

Sekali lagi Melah Melia melihat jam locengnya. Ada 30 minit lagi sebelum jarum jam berganjak ke pukul 5 pagi. Huuu ... tak tahan rasanya menanti waktu itu. Pukul 5 pagi biasanya sudah ada penghuni asrama yang bangun menuju ke bilik air. Syamimi juga kerap bangun pagi seawal itu. Tapi sejak belakangan ini dia selalu bangun lewat.

Akhirnya Melah Melia memutuskan untuk bertahan sahaja. Ya Allah, berilah aku kekuatan untuk terus bertahan. Lindungilah aku dari keaiban. Melah Melia mengerutkan mukanya, menahan diri agar tidak melepaskan apa yang tidak sepatutnya dilepaskan. Huhu.

Gerakan jarum jam locengnya terasa terlalu perlahan. Cepatlah pukul 5, cepatlah! Melah Melia gelisah. Kalau di rumah, tentu dia sudah mengejutkan kakaknya, Marlina. Walaupun Marlina akan membebel-bebel kerana terpaksa bangun dari tidurnya, tapi Melah Melia tidak begitu kisah kerana dia betul-betul kenal kakaknya. Malah selalu juga Marlina mengejutkan Melah Melia pada waktu tengah malam tanpa disuruh-suruh.

Namun apabila tinggal di asrama, kawan baik pun belum tentu akan sentiasa baik. Dia bertekad tidak mahu lagi menyusahkan kawan-kawannya. Ah, Melah Melia semakin matang dalam melihat kehidupan.

Dalam keadaan yang genting itu sekali lagi Melah Melia menjeling jam locengnya. Hah, 15 minit telah berlalu. Ada 15 minit sahaja lagi. Kalaulah Doraemon betul-betul wujud, tentu dia akan meminta mesin masa untuk pergi ke 15 minit di hadapan. Tapi Doraemon tidak mujud. Huuu.

Penantian suatu penyeksaan. Ah, seksanya!

Akhirnya setelah dengan sedaya upaya menahan diri daripada mencicirkan cecair yang tidak sepatutnya dicicirkan, maka jarum jam pun menunjukkan tepat pukul 5 pagi. Ada beberapa biji jam loceng yang kedengaran berdering-dering. Melah Melia terasa lega dan berharap para pemilk jam loceng itu akan segera bangun. Bagaimanapun tuan punya jam itu hanya menggeliat beberapa kali, kemudian mematikan jam loceng masing-masing lalu tidur semula.

Alamak! Macam mana ni? Melah Melia sekali lagi berkeluh kesah. Pundi kencingnya terasa hendak pecah. Ayah, tolong anakmu ini! Uhuk ....

Namun tidak lama kemudian sayup-sayup kedengaran derap-derap tapak kaki daripada bilik sebelah yang menuju ke arah tandas. Harapan Melah Melia kembali berbunga. Tidak lama kemudian derap-derap tapak kaki itu semakin jelas kedengaran dan melalui Bilik Melur. Suara orang bercakap-cakap sesekali berselang seli dengan derap kaki.

Sah, sudah ada penghuni asrama yang bangun. Tanpa menunggu walau sesaat pun, Melah Melia kelam-kabut bangun dari pembaringannya. Timba yang berisi alatan mandian dan gayung segera dicapai. Sambil menahan diri dari mencicirkan cecair yang tidak diingini, dia berlari-lari membuka pintu bilik lalu memecut ke tandas.

Berakhir sudah azabnya pada awal-awal pagi begini. Syukur alhamdulillah ....


p/s : Adik-adik sekelian, silalah cicipi sedikit oleh-oleh ini.

Monday, August 18, 2008

Selamat

Cuti sekolah sudah bermula.

Selamat bercuti kepada adik-adik yang bercuti.
Selamat bercuti kepada ibu bapa adik-adik yang bawa adik-adik bercuti.

Sesiapa yang nak ambil UPSR, PMR, SPM dan lain-lain lagi, pandai-pandailah macam mana nak bercuti.

Selamat bercuti-cuti dengan sepenuh hati.

Semoga selamat semuanya.

Erm ... ada sesiapa yang kecewa pemain badminton gagal raih emas? Ok, kalau ada yang cakap saya tak patriotik, silakan. Tapi, syukur alhamdulillah selamat duit rakyat Malaysia (walaupun dah terbabas beberapa ratus ribu). Senang betul sekarang ni nak jadi wira negara ya. Tak payah gadai nyawa angkat senjata di perbatasan, atau tunjuk skill kecerdikan yang gila-gila pun boleh jadi wira. Ada sesiapa nak merentas lautan Artik secara solo untuk dapatkan title wira negara? Balik nanti mesti dapat dato'. hehehe




Monday, August 04, 2008

Catatan 2 Ogos

~ Bertolak dari rumah menuju ke Masjid Jamek, tunggu Inche Serunai Faqir. Lepas tu baik bas sama-sama menuju ke Kompleks PKNS. Petrol mahal beb!

~ Sampai sana cari-cari Inche Kangaq. Ya, tidak syak lagi, dia menyorok balik tiang bila nampak kami. Oleh kerana tiang tu tak cukup besar untuk menyembunyikan dia, maka kami pun 'tertangkap' dia. Ngehehe. Lepas tu novelis pria tersohor, Inche John pun join sekali.

~ Terpaksa tahan asap bila tiga pemakan asap mula memakan asap. Uhuk!

~ Aku dan Inche Serunai Faqir mohon diri kerana acara bermain dengan adik-adik pun bermula.

~ Di belakang pentas terasa bosan kerana lama menunggu orang yang suka bercakap tak habis-habis cakap. Perut pun mula berdangdut goyang kapak!

~Akhirnya orang yang suka bercakap, berjaya juga menghabiskan cakap-cakapnya. Acara bermain-main dengan adik-adik pun bermula.

~ Nampak Mersik shoot kami. Tak lama kemudian, nampak Ariyatna melambai di tepi pentas. SLR baru tergantung di lehernya. Nampak rombongan Cik Kiah Inche Serunai Faqir duduk tengok kami (tengok Serunai Faqir je sebenarnya :P ).

~Acara disertai oleh adik-adik dari SK Dr. Abd. Latif Sabak Bernam. Belakang sekolah tu ialah SUA, sekolah aku dulu. Adik-adik lain yang tak datang tu memang rugi! hehehe.

~ Lepas acara, ingatkan boleh borak-borak dengan Mersik dan Ariyatna, tapi ada pulak orang nak belanja makan. Hati girang sebab perut dah mengada-ngada minta makan. Ariyatna minta diri nak balik pejabat. Yalah, tukang pegang tombak dalam angkatan turus setia negeri Selangor. kekekeke. Sempat tanya SLR yang digayakannya. Sempat shoot aku 2-3 kali. Adui, meleleh!

~ Acara makan pun bermula. Kesian Mersik kena tunggu lagi. Ampun, pak! Lama betul acara makan-makan tu. Inche Serunai gelisah aku tengok. Rombongan Cik Kiah lama menunggu depan pentas nun. ngehehe.

~ Lepas makan, Inche Serunai join rombongan Cik Kiahnya. Aku sibuk cari Inche Kangaq. Call 2-3 kali, tak angkat. Mana le mamat ni ghaib? Solat dulu. Adik dan askar-askar yang gering tunggu kat surau.

~ Lepas solat, cari Inche Kangaq lagi. Call lagi 1-2 kali, pun tak angkat. Ish, mamat ni dah kena telan bumi ke? Sempat juga jumpa Mersik dan dapatkan Dol Leman yang terbaru dan sempat sain Melah Melia untuk dia. Ampun beribu-ribu ampun, mohon patik harap diampun.

~ Call lagi Inche Kangaq, masih tak angkat. Pusing-pusing 2-3 kali sekitar tapak pesta. Lubang hidung dia pun tak nampak. Dalam kekalutan, terserempak dengan Abang Long sekeluarga. Sempat borak 2-3 minit je. Maaflah, lain kali kita borak panjang okey. Call Inche Serunai pula, kalau-kalau dia tahu maklumat mengenai mamat yang tiba-tiba ghaib tu. Mujurlah dia ada maklumat yang sangat berguna.

~ Tuju ke lokasi sasaran yang dimaklumkan oleh Inche Serunai. Dalam perjalanan, lalu pentas. Geng PEKOMIK sedang beracara. Nampak Inche Alif buat promo Orang Kuat. Aku jalan dengan pantas. Sasaran dikenal pasti. Masuk ke lokasi suspek bersembunyi. Serang hendap bermula; sergah Inche Kangaq yang rancak berborak sambil mengadap makanan bersama Inche John dan bos sebuah penerbitan. Ngehehehe. Amboi, kalau dah borak sambil mengadap pinggan kosong, dunia pun sudah tak hengat.

~ Berjaya menawan Inche Kangaq dan memaksa beliau menyerahkan Tiga Kotak Hikmat itu. Ya, kotak itu memang betul-betul hikmat. Terima kasih daun keladi, lain kali kasi lagi noooo.

~ Lepas minum dengan askara-askar, balik ke Kuala Lumpur semula.

~ Malamnya, kekasih balik dari Penang.

Banyak rancangan tergendala. Semuanya kantoi. huhu.



Aksi terlampau.












Saudara jauh Faizal Tahir.


Ann. Pernah disyaki sebagai adik Nuri






















From Penang With Love

Nota : Adik-adik dilarang meniru gaya bahasa dalam entri ini ketika menjawab soalan Bahasa Malaysia. Sekian, terima kasih.

Monday, July 28, 2008

Sulung

Ada apa dengan sulung? Macam-macam ada!

Biasanya sesuatu yang sulung itu sentiasa dinanti-nanti. Anak sulung, karya sulung, menantu sulung, buah sulung, cucu sulung dan macam-macam sulung lagi, harus membuat hati berdebar-debar. Pendek kata yang sulung ini memang mengujakan.

Dulu ketika bakal menimang putera sulung, bukan saja kami suami isteri terasa debarannya, malah ibu bapa dan nenek-nenek pun macam tak sabar-sabar menanti kelahiran cucu/cicit sulung mereka. Pendek kata apa-apa yang saya nak jamu, semuanya disediakan. Wah, macam permaisuri gitu.

Ketika saya betul-betul sarat, kurang sebulan lebih saja lagi untuk melahirkan, tiba-tiba saya diserang cacar air yang terlalu teruk. Saya tak sanggup tengok muka saya sendiri di cermin. Badan berbau hanyir tak usah ceritalah. Dua minggu juga mak menjaga saya. Saya tak pernah sakit seteruk itu. Akibat cacar itu, kelopak mata saya sumbing sebelah dan hilang 0.5 % bulu mata. Sedih. Suami pula terpaksa ke Sarawak seminggu ketika saya belum betul-betul sembuh. Saya dibawa balik ke kampung. Keadaan saya masa tu tak ubah macam monster cacat; bermuka hodoh dan tak mampu bergerak. Geli rasanya tengok muka sendiri. Bayangkanlah bertepek-tepek muka saya penuh dengan cacar sebesar biji jagung. Menitis juga air mata ayah yang pertama kali melihat saya di dalam bilik. Yalah, dia sangka saya sakit sikit-sikit, tapi bila saya dibawa balik ke kampung, barulah ayah jelas keadaan saya masa tu. Sebulan barulah saya betul-betul sembuh. Dugaan betul mengandungkan anak sulung saya tu. Waktu melahirkan juga sangat menduga. Saya terpaksa menahan sakit yang teramat selama 24 jam di bilik bersalin, sehingga tiga doktor bertukar syif barulah saya selamat melahirkan. Itu pun melalui caesarean. Sampaikan saya melahirkan anak kedua pun doktor masih kenal saya disebabkan kes tu. Waktu itu, kalau hilang kesabaran dan malu saya, mahu saya meraung; "Ammaaa, apppaaa!" Mujurlah ibu dan suami bergilir-gilir menemani dan memberi perangsang di samping bersama-sama mengucapkan ayat-ayat suci dan sentiasa berselawat. Mereka berdua menangis melihat saya. 24 jam jugalah mereka tak tidur dan berkampung di hospital. Fuh, penangan anak sulung. Doa saya, semoga putera saya menjadi anak yang soleh dan berguna kepada bangsa dan agama.

Itu cerita mengenai anak sulung. Masuk bab karya sulung pula, entahlah ... bagi saya kurang mengujakan pula. Kalau penulis-penulis lain mungkin terasa nak melompat setinggi bintang di langit, tapi saya tak ada pula perasaan itu. Cuma ketika pertama kali melihat buku pertama dulu, saya sekadar bersyukur kerana lahir juga karya itu. Mungkin keadaan ini ada kena-mengena dengan kelahiran karya yang tak pernah saya lihat sebelum itu. Ops, atau mungkin lebih tepat, karya yang saya lihat untuk pertama kalinya itu bukan karya sulung. Hmm... saya pun tak pasti nak kategorikan sebagai apa. Mungkin karya yang betul-betul sulung tu adalah karya 'keguguran' kot. Yalah, bukunya terbit, tapi saya tak pernah memegang ataupun melihatnya. Apa-apalah ....

Ok, sekarang cerita fasal buah sulung pula. Sebulan dua yang lalu, ibu dan ayah saya sibuk bercerita fasal durian yang mula berputik di belakang rumah. Durian sulung. Saya mengagak tiap-tiap hari orang tua saya meninjau putik durian yang selalu jadi habuan tupai tu. Takut betul mereka kalau semuanya dirembat si tupai durjana tu sebelum buahnya sempat besar dan gugur. Ayah sibuk suruh kami balik sekerap mungkin untuk merasa durian sulung. Kebetulan manggis sulung pun menyibuk juga nak berbuah. Maka makin galaklah orang tua berpesan supaya kami kerap balik. Untung-untung dapat makan buah-buah sulung tu.

Balik kampung semalam, anak sulung merangkap cucu sulung inilah yang berjaya merasa durian sulung dan manggis sulung. Orang lain tak merasa lagi tau. Yey! Sapa suruh mereka semua tak balik. hehehe. Tapi durian tu cuma sebiji saja buahnya yang terselamat. Yang lain-lain habis dirembat dengan selamat oleh tupai. Manggis pun cuma sebutir cinonet saja yang masak. Yang lain-lain masih mentah lagi. Dua minggu lagi mesti banyak yang masak. Yey!

Oh, dua minggu akan datang kami balik lagi.

Wednesday, July 16, 2008

cakap sorang-sorang

1

Hari ini aku dapat satu panggilan lagi. Si pemanggil nak cari Ismail bin apa entah. Kalau dihitung-hitung, entah berapa banyak kali orang cari si Mail ni pakai nombor telefon aku. Aku pun tak pasti berapa kali. Maaflah, tadi aku cakap 'kalau dihitung-hitung', maknanya aku memang tak hitung.

Kali ini aku bertanyalah dengan penuh sopan lagi santun dan penuh berhemah, "Dah banyak kali orang cari Ismail ni. Ada lelaki, ada perempuan. Bunyinya macam formal semua. Ismail ni pinjam kat Along ke?"

Pemanggil lelaki itu, yang bunyi suaranya macam handsome pun menjawab, "Ha'ah agaknya."
Dari cara jawapannya, ada nada bengang kerana misinya mendail nombor aku tak membuahkan hasil. Ismail bin apa entah tu tak dapat dijejaki.

Aku pun bertanya kepada pemanggil yang agaknya handsome tu, "Ini dari mana? Bank ke?"

"Tak, dari pejabat peguam." Pemanggil itu macam nak bercakap lagi dengan aku.

"Sejak beberapa bulan ni, ramai betul yang cari Ismail. Saya rasa dia gunakan nombor saya untuk tujuan pembohongan," saya menceceh lagi. Yalah, sejak 2-3 bulan lepas entah siapa-siapalah yang dail nombor saya nak cari si Mail haprak ni. Kalau nak menipu pun, janganlah pakai nombor aku! Pakai nombor Alias ke, Kak Syima ke, Kak Zalisa ke, Puan Ainon ke, oklah 'kan? hahaha.


2

Semalam, aku tengok debat. Hahaha, aku gelak besar sambil tutup mulut. Siapa punya teori ekonomi dia pakai ni? Soalan pun tak dijawab. Aku gelak dan gelak lagi. Dulu cikgu aku cakap, dalam peperiksaan kena jawab soalan yang ditanya. Jangan cakap benda yang tak ditanya. Nanti dapat telur ayam. Oklah, aku tak nak komen panjang. Nilaikanlah sendiri.


3

Hari ini aku tengok seorang pendebat pintar malam tadi kena tangkap. Aduh, aku tak fahamlah ....


4

Aku sambung tulis Melah Melia3. Macam biasa, aku catatkan pengalaman yang aku sendiri alami dan pengalaman remaja-remaja lain yang seangkatan dengan aku. Kali ini aku tulis fasal mabuk kenderaan pula. Dalam siri-siri sebelum ni, aku kisahkan mengenai budak 'ngompol' yang banyak aku perhatikan di sekeliling aku. Kali ini aku nak tuliskan pengalaman aku sendiri yang memang mabuk kenderaan masa kecil dulu. Bukan aku saja, boleh dikatakan kami adik-beradik memang mabuk kenderaan. Cuma tahap mabuk tu berlainan setiap orang. Ada yang teruk, ada yang sikit-sikit. Aku tak hantar sinopsis sebab aku tak tahu lagi jalan ceritanya. Aku tulis bila aku ada idea. Bahagian-bahagian lain aku tinggalkan dulu. Maknanya novel yang aku tulis ni banyak berlubang-lubang. Aku rasa, inilah novel yang paling payah idea nak mari. Aku buntu. Aku akan hantar sinopsis bila aku dah siapkan novelnya, dua-dua hantar sekali harung. Agak-agaknya diterima tak? Inilah masalahnya kalau kena hantar proposal dulu....

Oklah, aku nak sambung menulis. Tata!

Wednesday, July 09, 2008

Bercakap-cakap ....

Pertama kali saya bercakap-cakap di depan audien ialah pada Jumaat lepas di PWTC sempena Pesta Membaca yang dianjurkan oleh PNM.

Apa rasanya?

Macam-macam ada! Selama ini saya cuma dengan dunia saya, tanpa pernah terlibat dengan mana-mana perkumpulan atau aktiviti membabitkan para penulis. Pendek kata umpama katak bawah tempurung. Kesian kan?

Menerima jemputan PNM adalah satu cabaran untuk diri saya sendiri, walaupun pada awalnya saya ragu-ragu dan tidak ada keyakinan. Tapi mujur juga ada seorang bro yang ‘mengetuk’ saya. Tergagap-gagap saya ketika menjawab soalan-soalan daripada perantara, Tuan Haji Hamzah Hamdani dari GAPENA.

Saya tak sangka kerana sebahagian besar penulis yang terlibat adalah daripada penerbit yang sama. Cuma kami jarang dapat bersua muka. Hanya tiga penulis sahaja merupakan kenalan yang betul-betul baru, namun kami amat mudah mesra seolah-olah telah lama mengenali.

Ribuuan terima kasih untuk pegawai-pegawai yang mengiringi kami sepanjang sehari ‘berpeleseran’ di KLCC, Muzium Kesenian Islam dan PWTC. Pulangnya kami membawa ‘bingkisan’ yang dihasilkan di tempat mencari inspirasi tadi, lalu dipersembahkan di atas pentas itu.

Ilham yang diraih oleh rakan-rakan peserta sangat mengagumkan dan kreatif. Bingkisan saya, hmmm... biasa-biasa saja.

Saturday, June 28, 2008

Jiranku Pergi

Aku tak punya jiran. Eh, sebenarnya ada, tapi serupa tak ada. Hari ini jiranku yang membuatkan aku terasa macam masih ada jiran, buat pakatan bermigrasi beramai-ramai bersama keluarganya ke UK. Ya, sekarang aku betul-betul macam tak ada jiran. Tiga tahun lagi barulah aku ada jiran semula. Ya, jiranku itu akan pulang. Kami akan berjiran sekali lagi. Itu pun kalau usia aku masih panjang dan mereka sekeluarga masih bernafas juga. Tiga tahun lagi, macam mana agaknya ya?

Mulai sekarang aku tak ada jiran!

Saturday, June 21, 2008

Muka Tebal dan Rakan-Rakan

Hari ini melecet kaki saya ketika menjejak kaki ke Dataran Merdeka (DM). Saya berdua, dengan seorang kawan. Maklumlah, dia beria-ia minta saya temankan dia ke kelas menulis. Teringin katanya. Tapi saya berat hati kerana tidak mendaftar, maklumlah takut kalau-kalau ada aral yang melintang pula. Tapi kata rakan saya, kalau begitu, temankan dia mendaftar sebagai ahli perpustakaan, tempat kelas menulis itu diadakan. Ok juga, boleh baca buku sementara menunggu rakan-rakan lain selesai belajar menulis.

Tiba di DM, ada majlis pula. Ada perarakan kuda, terjun payung, kawat, motosikal-motosikal besar, pancaragam segala. Eh, kami pun berhentilah. Maklumlah, sejak menjadi ‘manusia’ ni, saya tak pernah menyaksikan keramaian sebegini. Takjub macam rusa masuk kampung pula saya. Laa... ralit dengan segala pertunjukan, tujuan ke perpustakaan itu kami lengah-lengahkan. Yalah, tujuannya bukan nak ke kelas menulis pun.

Selesai acara kemuncak keramaian, kami pun terhegehlah ke perpustakaan. Ah, malangnya hari itu perpustakaan tutup! Macam manalah Pakwe saya yang sepatutnya tahu hal itu, boleh tak tahu pula? Hmm... terpakasalah Makwenya yang comel macam cipan ini menapak penuh gaya ke DM, sampai terlecet-lecet kaki.

Oleh kerana perpustakaan itu tidak dibuka, jadi kami pun mengintailah ke tandas. Alamak, mereka nampak saya! Hmm ... rasa tak sedap pula kalau tak menegur. Maka saya pun mendekatkan dirilah kerana ada yang telah pun mengecam saya. Bunyinya macam terpaksa kan? Hehehe. Bukannya apa, sebenarnya saya malu. Alah, bukannya tak tahu yang saya ni memang pemalu.

Dan ... jeng jeng jeng! Saya disuruh masuk! Saya katakan, saya cuma datang melawat-lawat, dan kalau ada peluang teringin jumpa kawan-kawan. Kata mereka, tak mengapalah, masuk saja. Dan saya disuruh mengisi kedatangan. Sudah! Kawan saya yang memang teringin berbengkel itu beria-ia benar nak masuk ke kelas. Katanya, sekejap saja. Saya pula berat hati. Kalau sudah masuk, takkanlah nak sekejap. Sudahlah datang lambat, tentu jadi perhatian. Esh! Kawan saya pula masih merengek-rengek teringin nak masuk juga. Sengallah akak ni! Haih (pinjam dari Alias). Saya pula cuma nak jumpa kawan-kawan saja.

Oklah, demi untuk tidak mengecewakan rakan yang merengek-rengek penuh kesengalan itu, saya pun masuklah bersama-samanya dengan menebalkan muka kira-kira beberapa inci. Laaa... sesi berkenal-kenal sedang berlangsung pula. Aisey, kalau saya tahu, lambat sikitlah saya masuk tadi, biar terlepas sesi tu. Malulah!

Sedang khusyuk kononnya mendengar syarahan cikgu, rakan saya sekali lagi merengek-rengek. Kali ini dia ajak balik pulak! Laaa... tinggal tak sampai satu jam pun lagi. Katanya dia tak boleh tahan lapar. Gayanya merengek seolah-olah boleh terkoma kalau tak dapat makan masa tu juga. Tapi saya tetap nak jumpa kawan-kawan juga. Sudah alang-alang masuk kan?

Akak ni memang sengallah! Mula-mula dah setuju nak jumpa kawan-kawan dengan saya, ini belum jumpa lagi dah merengek pula ajak balik. Esh, sengal sungguh!

Serba salah pula saya dibuatnya. Yalah, sudahlah masuk lambat, sekarang nak balik sebelum tamat kelas pula. Suka-suka hati saja. Esh, sungguh saya merasa kami sangat kurang sopan. Masuk tak beri salam, balik tanpa permisi. Cikgu dulu-dulu pantang ada anak murid berulah sedemikian rupa. Tak masuk ilmu yang diajar. Paling tidak pun cikgu akan merajuk seminggu dua. Cikgu, ampunkan anak murid separuh jalan ini, ya.

Oleh kerana saya adalah insan yang prihatin dan terlalu bimbang kalau-kalau rakan saya itu jatuh pitam dek kelaparan, maka saya pun dengan perasaan bercampur-baur mendekati rakan-rakan saya dan meminta diri. Oleh sebab tidak dapat beramah mesra di situ, maka saya mengajak mereka berjumpa di luar.

Dengan rasa ralat dan malu sekali kepada cikgu yang sedang mengajar di depan kelas, saya pun melangkah keluar tergesa-gesa dengan berat hati, kemudian menemankan rakan saya yang diamuk kelaparan itu mencari kedai mamak. Tapi menu yang dipesan tidak kedapatan pula di situ. Alih-alih, dia mencadangkan Raja Burger untuk mengisi perut. Aduh, saya ni kalau kelaparan, tak kenyang makan di situ! Maklumlah, burger di Raja Burger tu sudah tak 'raja' macam dulu-dulu. Mujurlah saya tak berapa lapar ketika itu. Persoalannya, apakah rakan saya yang hampir berguling-guling lapar itu boleh kenyang? Hmm... saya tak ada jawapannya kerana bukan perut saya.

Setelah beberapa lama, kami pun berpisah di Masjid Jamek. Dan saya menunggu rakan-rakan di kelas menulis tadi di situ. Mendung kelihatan semakin berarak-arak tanda hujan tak lama akan turun. Doa saya, cepat-cepatlah mereka tiba sebelum hujan turun.

Alhamdulillah ketika hujan mulai lebat, mereka berdua sudah terpacul di masjid. Usai solat, kami pun menuju ke Raja Burger. Ya, kunjungan saya yang kedua untuk tempoh kurang tiga jam! Ambik kau ...

Dan petang itu, gembira sungguh kerana dapat bermesra dengan rakan-rakan yang jarang-jarang dapat bersua muka. Yalah, sesekali mereka ke ibu negara, apa salahnya meluangkan masa barang sekejap. Serasa belum puas bergurau senda dan berborak, tak sedar masa cepat benar berlalu. Nantilah, kawan-kawan, ada masa kita berbual lebih lama dan panjang. Tapi bila ya?

Friday, June 13, 2008

Kerana Minyak

Minyak naik lagi! Ya, orang lain awal-awal lagi dah sibuk cerita fasal ni. Saya buat diam saja, dan baru sekarang nak sibuk tulis fasal ni. Sajalah, nak menyemarakkan semuala isu.

Harga barangan dah mencekik naiknya. Mujurlah hero dan heroine saya dah tak berapa kuat minum susu. Dulu dalam sebulan boleh habis empat pek susu, sekarang dua pek pun boleh tahan sebulan. Lampin pun masing-masing tak pakai dah. Satu pek lampin boleh tahan lebih dua bulan. Jimatlah sikit sebab cuma pakai waktu tidur malam. Tapi mungkin lepas ni kena tukar dengan lampin kain pulak agaknya. Nak lebih jimat. Kak Syima dalam entrinya menulis, harga satu pek lampin pakai buang d
ah cecah RM40 lebih. Betul ke Kak Syima? Sejak semuanya naik ni, saya memang belum belanja lagi. Jadi belum pernah garu-garu kepala waktu belek tanda harga. Mungkin dalam minggu ni saya mula garu kepala atau nak pitam masa tengok harga barang.

Masuk bab makan angin pulak, kami sekeluarga memang bukan 'kaki jalan'. Rasanya kami memang tak pernah ke mana-mana untuk tujuan percutian. Percutian kami cuma terhad di kampung. Ya, cuti-cuti balik kampung. Rondalah ke segenap pelusuk kampung melawat saudara-mara. Cuma itulah destinasi percutian kami. Jadi kami taklah menggelisah kalau tak dapat makan angin ke mana-mana. Hero dan heroin pun belum kenal lagi erti 'cuti-cuti Malaysia'. Pendak kata kereta kami jarang bergerak jauh-jauh. Pakwe saya pergi kerja pun naik LRT. Kalau jalan-jalan di tengah KL p
un kami lebih senang naik LRT juga. Alah, tambang LRT pun naik juga. Tapi mujurlah kami cuma keluar hujung minggu. Kereta cuma bergerak untuk ke kawasan yang tak ada LRT saja. Alhamdulillah, kat situ dah jimat.

Cuma dari segi makanlah, memang macam nak buat catuan. Saya katakan pada Pakwe, lepas ni kita belajar makan tempe dan tahu saja sebab murah tapi kaya protien. hahaha, kelat jer muka dia. Bab makan ni memang payah sikit nak berjimat. Daging pun dah cecah puluhan ringgit sekilo. Mujurlah kami sekeluarga tak makan daging. Ayam pun sekarang dah cecah tujuh ringgit sekilo dan khabarnya akan naik lagi.

Saham pun masing-masing jatuh nilai. Hah, siapa nak beli saham, belilah sekarang. Manalah tau lepas krisis ni saham-saham tu semua melonjak naik, kan kaya. Hahaha, sila abaikan pesanan ini.

Perancangan nak buat almari untuk menggantikan almari yang dah tinggal satu pintu je yang melekat tu macam kena tangguh je. Alahai... nak cat balik dinding yang dipenuhi 'kerja-kerja seni dan mural yang sangat indah' tu pun entah tercapai entahkan tidak. Dalam keadaan sekarang ni, kalau difikir-fikir, keperluan asaslah yang menjadi keutamaan. Yang lain-lain tu tolaklah ke tepi dulu.

Pak-pak menteri sepatutnya lepaskan semua elaun-elaun yang sebulan mencecah berpuluh ribu tu. Barulah boleh merasa keperitan rakyat. Kalau takat potong 10% tu, alahai... sama macam cebisan cabai merah yang menyelit kat celah gigi. Tak de maknanya! Kasihanilah kami, rakyat marhain yang sedang sengsara ni.
Bagi insan-insan yang hidupnya menulis, apalah nasib kita agaknya? Masih adakah yang sanggup menerbitkan karya-karya kita? Kalau sebelum ni royalti dibayar ansuran dua kali, tahun ini berapa kali pula agaknya ya? Hanya kepada-MU daku berserah!

Nota : Sila abaikan imej lobak merah yang berdaunkan daun bunga ros pada kek itu. Agaknya inilah kek lobak terakhir yang saya buat. Gawat!

Saturday, June 07, 2008

Ulasan Melah Melia2


Dan Melah Melia 2 bagaikan membongkar kembali nostalgia pra-dewasa dengan cara yang sangat selesa dan bersahaja. Sebagai watak yang kelihatannya seperti lurus bendul dan berkaca mata tebal, aku teringat penulisnya. Hehehe …. Mujur takda tuala busuk tersibai di bahunya. Apa yang menarik adalah Melah Melia digerakkan atas satu watak yang mampu memberikan motivasi secara tidak langsung kepada awal remaja/remaja, malah usia sepertiku masih mampu mengutip ilmu bantu yang diterapkan secara santai dan tidak kelihatan cuba memandaikan pembaca. Untuk itu aku harus beri pujian kepada penulisnya (harap-harap ada lagi buku percuma untuk kuresensikan di sini, hehehe…. jangan marah) yang berjaya menghidupkan watak Melah Melia, bersama rakan sebiliknya Rodiah (Rod Stewart?), Norzila, Nadia dan beberapa watak sampingan yang turut menjayakan novel ini.

  • ~Baca lanjut~
  • Monday, June 02, 2008

    Cuti-cuti.

    Cuti sekolah dah masuk dua minggu. Dalam masa 2-3 minggu kami sekeluarga asyik berjalan jauh saja. Dua minggu lepas, ketika Hari Wesak, kami balik ke Kuantan. Tak ada cerita menarik di sana. Cuma rasa seronok sikit sebab dapat ke Teluk Cempedak. Memang dah lama tak ke sana. Umat manusia punyalah ramai. Maklumlah, cuti umum. Parking pun payah. Mahu tak mahu terpaksalah masuk parking berbayar. Letihlah nak pusing-pusing cari parking free yang memang sah tak ada yang kosong tu. Ingatkan boleh tengok matahari terbenam. Tapi hampeh. TC kan sebelah Pantai Timur, mana ada matahari terbenam! Ish ish … macam manalah boleh lupa.

    Minggu lepas kami balik ke Temerloh pulak. Kampung pakwe tu jauh nun di hulu. Kami pun mudiklah ke hulu Sungai Pahang. Bunyinya macam naik perahu pulak kan? Tapi sebenarnya kami mudik dengan menyusur jalan di tepi Sungai Pahang tu saja. Di kanan, kami nampak Sungai Pahang. Sebelah kiri, penuh dengan belukar, hutan, ladang getah dan sesekali kawasan paya. Siapa sangka jauh di pedalaman tu masih ada kampung-kampung terpencil. Jarak antara satu kampung dengan kampung yang lain agak jauh. Ada juga rumah-rumah penduduk yang macam tak ada jiran tetangga. Mula-mula ke sini dulu, dalam hati tertanya-tanya, Eh, nak masuk hutan mana pulak ni?

    Kalau masuk ke situ pada waktu malam, memang seram. Tapi kalau pergi waktu siang, hmmm... best. Terasa nyaman saja. Sunyi dan tenang. Cuma yang tak berapa best, bila sesekali lalu di kawasan kampung dan terserempak dengan mat-mat rempit sama ada yang senior atau yang junior (budak-budak naik basikal). Jalan tu macam dia yang punya! Di mana-mana pun spesis mat rempit ni memang mudah ditemui. Apalah nak jadi dengan budak-budak sekarang.

    Dalam perjalanan, sempat berharap agar dapat merasa daging kancil atau makanan eksotik yang lain (ampun kepada para pencinta hidupan liar!). Juga minta-minta biarlan musim buah sudah tiba. Tapi semua yang diharapkan tak ada. Tak apa, bukan itu pun niat utama ke sana. Tapi kalau ada, bukan ke lagi best. Hahaha, selam sambil minum air kononnya.

    Hujung minggu lepas, kami balik ke Sungai Besar pulak. Di kampung inilah baru best giler! Kami balik malam buat pertama kalinya. Kata pakwe, biar rasa puas sikit, sebab Ahadnya (semalam) mesti balik cepat. Oklah, tak kisah.

    Esoknya kami ke pekan sehari. Dapatlah memborong kain untuk dibuat cadar, apatah lagi dapat diskaun sebab beli banyak. Geram, dan rasa nak borong semua corak. Lawa dan comel-comel corak yang ada. Sebenarnya inilah kali pertama beli kain untuk dibuat cadar. Selama ni cuma beli yang dah sedia diguna saja. Tapi pembelian itu berbaloi. Bayangkan, corak dan kualiti kain macam tu, kalau beli yang dah siap, mahu 100 ringgit lebih. Tukang jahit pun dah sedia ada dan upahnya sangat berpatutan. Maklumlah, mak cik sendiri. Hahaha (gelak setan). Kira punya kira, boleh jimat 1-2 ratus untuk 3 set cadar yang comel coraknya!

    Petangnya, kami dapat tengok matahari terbenam di tepi pantai Sungai Haji Dorani. Yihaa, seronoknya! Cantik sangat. Kali ini barulah betul tempatnya. Hihi...




    Esoknya kami pusing-pusing di pasar basah. Sejak pasar harian dipindahkan ke tempat baru, dah tak happening macam dulu. Peniaga pun jadi pening, sebab pelanggan tak ramai. Cuma hasil-hasil laut tetap segar macam dulu juga. Pekan kecil ni kan betul-betul di tepi laut. Jalan punya jalan, tiba-tiba mata terhenti pada satu gerai. Waah, ada jual belangkas. Hidup lagi! Sesungutnya yang keras tu dipacakkan pada polisterin. Ada dalam 5-6 ekor belangkas yang dicucukkan pada polisterin tu. Belangkas yang dijual tu kecil-kecil saja. Ada ke telurnya kalau kecil-kecil macam ni?

    Oh, ya, untuk adik-adik yang tak tahu, belangkas ni boleh dimakan telurnya. Salah satu daripada makanan eksotik juga ni. Ada sesiapa yang pernah rasa? Seumur hidup saya belum pernah merasa makanan ni. Sumpah, tak pernah! Tengok rupa makhluk tu, buat saya rasa tak tergamak nak makan. hihi. Tapi lain orang lain citarasanya kan?

    Alamak! Panjang meleret dah rupanya entri ni. Ada ke yang sudi baca?

    Ok, tata!

    Nota : Kepada insan-insan yang sudi mengucapkan selamat kepada saya sama ada melalui Frendster, YM, SMS atau di Cbox blog ni, terima kasih diucapkan. Terharu juga kerana dah tua-tua ni ada juga yang masih sudi mengwish. Terima kasih atas doa adik-adik dan sahabat-sahabatku semua.

    Monday, May 26, 2008

    Tekad dalam hati! Uuuh ....

    Assalamualaikum,

    Hari ini aku bertekad, dari dalam hati, namun akhirnya terlahir juga ke laman maya ini.

    Wah, dah masuk setengah tahun pun ada tekad baru? Ya, tak kiralah bila-bila pun kalau ada hati menanam tekad, teruskan saja. Kan? Kan?

    Tekad aku, hmm... rasanya macam tak sesuai nak dibuat hebahan. Cukuplah seandainya aku ingin meninggalkan yang 'lama'. Apa-apa sajalah yang berada dalam lingkungan 'lama'.

    Kepada insan-insan yang pernah kusakiti, jutaan maaf kupohon. Ya, ya, aku tahu bukan mudah melupakan, sama macam aku juga. Tapi tak mengapa kerana kita seharusnya perlu mencuba.

    Kepada adik-adik pembaca blogku, eheh ... ada ke yang membaca ni? Akak rasa belum terlambat untuk mengucapkan selamat bercuti. Jangan nakal-nakal tau! Tata titi tutu!

    nota : gaya bahasa dan panggilan diri dalam blog ini adalah tertakluk kepada mood dan citarasa si penulis yang sentiasa berubah-ubah. Harap maklum.

    Tuesday, May 20, 2008

    Cerita Hari Guru

    l
    Ya, cerita sudah basi. Tapi saya tetap nak cerita juga. Tak pedulik!

    Hari Guru, saya tak nak berikan apa-apa hadiah yang biasa-biasa untuk cikgu-cikgu si hero. Saya ingin berikan yang 'biasa-biasa tapi luar dari biasa'. Saya inginkan satu pemberian yang saya usahakan dengan kudrat dan kasih sayang saya, walaupun nanti hasilnya tak seberapa. Memang sejak dulu saya lebih suka begitu, walaupun untuk sekeping kad ucapan yang kecil. Tapi sejak-sejak dah tua ni, waktu makin terbatas dan saya terpaksa akur untuk mencari sesuatu yang 'segera'. Bagi saya setiap yang terhasil daripada rasa kasih dan sayang, itulah yang paling bermakna.

    Dan hari itu dari petang membawa ke malam, saya mengerah kudrat untuk menyudahkan 'pemberian' sempena Hari Guru itu.
    Hasilnya, kek cawan coklat dengan salutan ganache. Enam belas biji kek cawan saya susun ke dalam kotak kek, siap-siap pada malamnya. Tak lupa dua kuntum mawar palsu dan kad ucapan kecil di atasnya.
    Siapa sangka pada hari itu ada yang ingin menempah kek cawan sebanyak seribu biji lebih (nak eksen le ni. hehehe). Aduh! Malangnya saya terpaksa menolak rezeki itu. Apakan daya, saya cuma punya oven kecil yang cuma mampu membakar sembilan biji kek cawan sekali masuk. Bayangkan, kalau seribu? Berapa hari agaknya boleh siap?

    Tapi saya puas hati sebab hasil tangan saya yang tak seberapa tu disukai juga. Bagi saya, apa, berapa dan harga pemberian itu tak penting. Yang penting adalah niat dan keikhlasan. Ketika saya menyertai insan-insan yang diraikan sempena Hari Guru hampir sebelas tahun lalu, banyak hadiah yang saya terima. Macam-macam. Pen mata bulat jangan ceritalah. Belum lagi sabun Breeze dan sabun mandi. Kole dan bunga palsu pun ada. Yang menghadiahkan kain batik pun ada. Kain itu dah pun koyak, tapi masih ada dalam simpanan saya. Sentimental value!

    Sebak rasanya waktu menerima pemberian-pemberian itu. Rindunya ....

    Tuesday, May 13, 2008

    Menjelang Hari Guru

    Ahad lepas, kubelikan dua kuntum mawar palsu dalam balutan plastik. Hero teruja sungguh. Uncle Apek kedai bunga itu bertanya, "Mau kasi sapa?"

    Heroku menjawab, "Kasi ibu." Dia menunjuk kepadaku. Aku senyum. Ya, memang hari itu hari ibu. Tapi sebenarnya ia bukan untukku.

    "Waaa... banyak pandai. Mari sini, uncle kasi gula-gula." Uncle Apek itu mengambil gula-gula Cloud 9 dari balang berisi separuh.

    Dua kuntum bunga plastik kubayar, yang disangka oleh Uncle Apek itu untukku. Tak mainlah aku membayar sendiri bunga untukku. Bunga plastik pula!

    Friday, May 09, 2008

    Guru

    Bulan ini guru diraikan. 16 Mei, hari guru.

    Dulu-dulu, murid takut dengan guru. Takut dan hormat. Rotan guru ada banyak 'sakti'.
    Sekarang murid-murid, kalau jumpa guru pun main jeling-jeling. Rotan guru pun dah tak nampak lagi.

    Mak bapak dulu, kalau jumpa guru tak lupa pesan, "Didiklah budak ni. Kalau dia nakal, tak dengar kata, rotankan."

    Mak bapak sekarang, pantang guru cuit anak sikit, "See you in court!"

    Ingatkah kamu guru-guru yang pernah mengajar 1,2,3 ABC dulu? Berapa ramai yang masih ingat? Sila angkat tangan!

    Cikgu, terima kasih atas jasa kalian yang mengajar aku sehingga aku menjadi 'manusia'.

    Guru-guruku ; Cikgu Salbiah, Cikgu Akhiar, Cikgu Ambriati, Cikgu Shamsudin, Cikgu Hashim, Cikgu Liza, Cikgu Yusof, Cikgu Salasiah, Cikgu Kamariah, Ustaz Wahab, Ustazah Misbah, Ustazah Rahimah, Ustazah Fatonah, Ustazah Hasni, Ustazah Nurul Ain, Ustaz Mohammad, Ustazah Sawiah, Cikgu Kamarul, Cikgu Afid, Cikgu Halim, Cikgu Safura, Cikgu Rosmawa, Cikgu Anuar, Cikgu Ridzuan, Cikgu Hamidah, Cikgu Noraini, Cikgu Murtaza, Cikgu Salmah, Ustazah Masirah, Cikgu Kamaruzaman.

    Ada di kalangan mereka yang sudah arwah. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan diletakkan dalam kalangan orang-orang yang soleh. Al-Fatihah.

    Juga tak lupa kepada sahabat-sahabat saya yang bergelar guru. Tak payah saya sebutkan, kerana saya yakin mereka akan perasan dan sedar diri mereka.

    Selamat Hari Guru!

    Friday, May 02, 2008

    Popular? Sombong? Tak Kuasa Aku!

    Saya popular? Terkenal? Saya tak perasan pun!

    Perlu saya ingatkan di sini, saya cuma penulis kecil, penulis picisan. Saya bukan sesiapa. Saya tak pernah merasakan diri saya popular, ramai peminat, selebriti. Sejak menulis beberapa tahun dulu, saya tidak pernah merasa diri saya gah. Saya masih keluar rumah dengan hanya bercapal buruk yang sudah haus tapaknya, dengan t-shirt dan jeans lusuh, juga tudung yang sudah ada lubang dihujungnya. Saya sempoi! Siapalah saya….

    Saya masih macam dulu-dulu, tak berubah. Saya masih ada sahabat-sahabat yang saya sayang yang sejak dulu sama-sama berkongsi suka duka. Juga sahabat-sahabat maya yang masih sentiasa berbicara dengan saya, macam dulu-dulu. Saya bukan ‘somebody’ ok. Sesiapa pun masih saya layan sama macam dulu.

    Kalau ada yang meletakkan saya pada satu tingkat yang lain, atau merasakan saya sendiri yang meletakkan diri pada tingkat itu, kamu silap. Saya sama macam kamu. Manusia. Hamba-hamba yang sama rata di sisi Tuhan!

    Saya masih melayan sesiapa saja asalkan jangan berlagak poyo, suka mencari populariti, dan menghimpit-himpit (terutama pada penulis yang sedang meningkat naik). Kadang-kadang kita merasakan diri kita bagus sangat. Cuba kita renungkan kembali, adakah ramai yang suka melayan kita apabila kita menempelkan diri di sebarang laman siber? Mula-mula kehadiran kita dialu-alukan, dilayan sama seperti pelayar lain. Emel-emel kita pula sentiasa berbalas. Tapi adakah kita sedar lama-kelamaan tiada sesiapa lagi yang membalas kata-kata kita. Segala yang kita lontarkan terbiar sepi tak berjawab. Ada? Kalau ada, itu perkembangan yang sangat tidak sihat. Kajilah diri kenapa perkara itu boleh berlaku. Bermuhasabahlah.

    Blog ini bersifat peribadi, dan saya bebas melontar apa-apa dengan sebarang nada. Membina blog lain untuk tujuan promosi dengan ‘topeng’ yang melindung diri sebenar, saya pasti ianya akan terbiar sepi dan kosong. Dan saya belum serasi dengan cara itu. Tapi pada masa akan datang tak tahulah. Yang satu ini pun saya sangat liat memasukkan entri baru….Cuma, kalau ada sesiapa yang berasa blog ini tidak sesuai dikunjungi, terserah. Saya tidak pernah memaksa.

    Saya perhatikan penulis-penulis tersohor pun rajin melontarkan luahan mereka dengan pelbagai nada; marah, geram, sedih, terkilan di dalam blog mereka tanpa ‘topeng’. Itu penulis tersohor, inikan pula penulis picisan macam saya….

    Inilah saya yang ‘jahat’, yang ‘nakal’, yang ‘kejam’.

    Saya tidak boleh ditegur? Boleh. Tapi saya perlu tengok siapa orangnya dan bagaimana caranya. Kalau yang berlagak poyo, macam ibu ketam, atau si peracau, saya cuma mampu mengucapkan jutaan terima kasih atas teguran kamu. Maaf, teguran itu tidak meresap langsung dalam hati saya.

    Sebelum terlupa, saya ingin menunjuk-nunjuk dan riak bahawasanya saya seorang yang masih duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan insan-insan lain. Saya masih melayan adik-adik berborak, beremel, yang nak jadi penulis, yang saja suka-suka nak berborak, kalau ada masa terluang. Kan Sara? Kan Amira? Kan Aini? Kan Nana? Kan Jiya? Kan? Kan? Kan? Perlu diingatkan, mereka bukanlah peminat tegar saya. Ada yang tak pernah baca pun novel saya (yang saya sebutkan ini rata-rata membaca novel saya). Saya ada peminat ke?

    Hari ini ada satu puisi telah saya terima. Nukilan seorang pelajar yang masih belum yakin untuk menuliskan karyanya (walaupun karyanya dalam senarai memang boleh tahan). Duri Penawar tajuknya, karya Siddiq Osman.

    Teruskan, dik. Jangan malu dan segan. Gunalah segala medium dan peluang yang terbentang luas di depan kamu. Chaiyok!

    Ah, entri ini berjela-jela pula. Nampaknya penyakit racau telah menulari saya juga. Huhu.