Saturday, June 21, 2008

Muka Tebal dan Rakan-Rakan

Hari ini melecet kaki saya ketika menjejak kaki ke Dataran Merdeka (DM). Saya berdua, dengan seorang kawan. Maklumlah, dia beria-ia minta saya temankan dia ke kelas menulis. Teringin katanya. Tapi saya berat hati kerana tidak mendaftar, maklumlah takut kalau-kalau ada aral yang melintang pula. Tapi kata rakan saya, kalau begitu, temankan dia mendaftar sebagai ahli perpustakaan, tempat kelas menulis itu diadakan. Ok juga, boleh baca buku sementara menunggu rakan-rakan lain selesai belajar menulis.

Tiba di DM, ada majlis pula. Ada perarakan kuda, terjun payung, kawat, motosikal-motosikal besar, pancaragam segala. Eh, kami pun berhentilah. Maklumlah, sejak menjadi ‘manusia’ ni, saya tak pernah menyaksikan keramaian sebegini. Takjub macam rusa masuk kampung pula saya. Laa... ralit dengan segala pertunjukan, tujuan ke perpustakaan itu kami lengah-lengahkan. Yalah, tujuannya bukan nak ke kelas menulis pun.

Selesai acara kemuncak keramaian, kami pun terhegehlah ke perpustakaan. Ah, malangnya hari itu perpustakaan tutup! Macam manalah Pakwe saya yang sepatutnya tahu hal itu, boleh tak tahu pula? Hmm... terpakasalah Makwenya yang comel macam cipan ini menapak penuh gaya ke DM, sampai terlecet-lecet kaki.

Oleh kerana perpustakaan itu tidak dibuka, jadi kami pun mengintailah ke tandas. Alamak, mereka nampak saya! Hmm ... rasa tak sedap pula kalau tak menegur. Maka saya pun mendekatkan dirilah kerana ada yang telah pun mengecam saya. Bunyinya macam terpaksa kan? Hehehe. Bukannya apa, sebenarnya saya malu. Alah, bukannya tak tahu yang saya ni memang pemalu.

Dan ... jeng jeng jeng! Saya disuruh masuk! Saya katakan, saya cuma datang melawat-lawat, dan kalau ada peluang teringin jumpa kawan-kawan. Kata mereka, tak mengapalah, masuk saja. Dan saya disuruh mengisi kedatangan. Sudah! Kawan saya yang memang teringin berbengkel itu beria-ia benar nak masuk ke kelas. Katanya, sekejap saja. Saya pula berat hati. Kalau sudah masuk, takkanlah nak sekejap. Sudahlah datang lambat, tentu jadi perhatian. Esh! Kawan saya pula masih merengek-rengek teringin nak masuk juga. Sengallah akak ni! Haih (pinjam dari Alias). Saya pula cuma nak jumpa kawan-kawan saja.

Oklah, demi untuk tidak mengecewakan rakan yang merengek-rengek penuh kesengalan itu, saya pun masuklah bersama-samanya dengan menebalkan muka kira-kira beberapa inci. Laaa... sesi berkenal-kenal sedang berlangsung pula. Aisey, kalau saya tahu, lambat sikitlah saya masuk tadi, biar terlepas sesi tu. Malulah!

Sedang khusyuk kononnya mendengar syarahan cikgu, rakan saya sekali lagi merengek-rengek. Kali ini dia ajak balik pulak! Laaa... tinggal tak sampai satu jam pun lagi. Katanya dia tak boleh tahan lapar. Gayanya merengek seolah-olah boleh terkoma kalau tak dapat makan masa tu juga. Tapi saya tetap nak jumpa kawan-kawan juga. Sudah alang-alang masuk kan?

Akak ni memang sengallah! Mula-mula dah setuju nak jumpa kawan-kawan dengan saya, ini belum jumpa lagi dah merengek pula ajak balik. Esh, sengal sungguh!

Serba salah pula saya dibuatnya. Yalah, sudahlah masuk lambat, sekarang nak balik sebelum tamat kelas pula. Suka-suka hati saja. Esh, sungguh saya merasa kami sangat kurang sopan. Masuk tak beri salam, balik tanpa permisi. Cikgu dulu-dulu pantang ada anak murid berulah sedemikian rupa. Tak masuk ilmu yang diajar. Paling tidak pun cikgu akan merajuk seminggu dua. Cikgu, ampunkan anak murid separuh jalan ini, ya.

Oleh kerana saya adalah insan yang prihatin dan terlalu bimbang kalau-kalau rakan saya itu jatuh pitam dek kelaparan, maka saya pun dengan perasaan bercampur-baur mendekati rakan-rakan saya dan meminta diri. Oleh sebab tidak dapat beramah mesra di situ, maka saya mengajak mereka berjumpa di luar.

Dengan rasa ralat dan malu sekali kepada cikgu yang sedang mengajar di depan kelas, saya pun melangkah keluar tergesa-gesa dengan berat hati, kemudian menemankan rakan saya yang diamuk kelaparan itu mencari kedai mamak. Tapi menu yang dipesan tidak kedapatan pula di situ. Alih-alih, dia mencadangkan Raja Burger untuk mengisi perut. Aduh, saya ni kalau kelaparan, tak kenyang makan di situ! Maklumlah, burger di Raja Burger tu sudah tak 'raja' macam dulu-dulu. Mujurlah saya tak berapa lapar ketika itu. Persoalannya, apakah rakan saya yang hampir berguling-guling lapar itu boleh kenyang? Hmm... saya tak ada jawapannya kerana bukan perut saya.

Setelah beberapa lama, kami pun berpisah di Masjid Jamek. Dan saya menunggu rakan-rakan di kelas menulis tadi di situ. Mendung kelihatan semakin berarak-arak tanda hujan tak lama akan turun. Doa saya, cepat-cepatlah mereka tiba sebelum hujan turun.

Alhamdulillah ketika hujan mulai lebat, mereka berdua sudah terpacul di masjid. Usai solat, kami pun menuju ke Raja Burger. Ya, kunjungan saya yang kedua untuk tempoh kurang tiga jam! Ambik kau ...

Dan petang itu, gembira sungguh kerana dapat bermesra dengan rakan-rakan yang jarang-jarang dapat bersua muka. Yalah, sesekali mereka ke ibu negara, apa salahnya meluangkan masa barang sekejap. Serasa belum puas bergurau senda dan berborak, tak sedar masa cepat benar berlalu. Nantilah, kawan-kawan, ada masa kita berbual lebih lama dan panjang. Tapi bila ya?

7 comments:

syimasyawal said...

sabor jek ler ainin oiii ....

Hujung tahun ni InsyaAllah kalau ada bengkel lagi akak lak yang turun sana... moga dapat bertemu disana nanti....

Korakora said...

ingat ikut demonstrasi :)

Anonymous said...

salam :)

ingat terlibat utk menerima panji2 tadi :D

apa ler kawan sorang tu.. sayang dah dapat masuk kelas tapi tak habiskan sesi tu. siap merengek2 lak tu nak balik sbb lapor.. cam bebudak plak hehehe. sib baik ler kawan yg meneman tu baik hati & tak sampai hati.

AN, bengkel penulisan tu kena daftar dulu ke klu nak masuk?

Unknown said...

kak syima,
hehehe, nanti kita jumpa. :)

Nazmi,
Teringin juga nak rasa pengalaman tu.

Kak Ila,
Haah, kena daftar dulu sebab tempat terhad. Cuma ada kekosongan masa tu, tu yang dapat masuk.

Abang Long said...

Salam hormat wahai Adinda Sifu Ainin Gadis Pingitan Yang Amat Pemalu.

Jadi, sekarang sudah boleh buka kelas ?

dS said...

Salam,

Hai.. macam-macam, kan? Kalau dah tahu perut tak boleh kosong, bawa aje bekalan atau kudap-kudapan! Sambil bersembang-sembang dengan kami, boleh jugak tumpang sekaki.. kekeke! ~_~

Apa-apapun, perjumpaan yang singkat pada hari itu ternyata amat bermakna.. tak sabar rasanya nak bersua lagi! Bila agaknya, ek?

Unknown said...

Abg Long,
Kelas apa? kelas makan ke? wakaka

Kak Dewi,
Bila yek?