Monday, July 28, 2008

Sulung

Ada apa dengan sulung? Macam-macam ada!

Biasanya sesuatu yang sulung itu sentiasa dinanti-nanti. Anak sulung, karya sulung, menantu sulung, buah sulung, cucu sulung dan macam-macam sulung lagi, harus membuat hati berdebar-debar. Pendek kata yang sulung ini memang mengujakan.

Dulu ketika bakal menimang putera sulung, bukan saja kami suami isteri terasa debarannya, malah ibu bapa dan nenek-nenek pun macam tak sabar-sabar menanti kelahiran cucu/cicit sulung mereka. Pendek kata apa-apa yang saya nak jamu, semuanya disediakan. Wah, macam permaisuri gitu.

Ketika saya betul-betul sarat, kurang sebulan lebih saja lagi untuk melahirkan, tiba-tiba saya diserang cacar air yang terlalu teruk. Saya tak sanggup tengok muka saya sendiri di cermin. Badan berbau hanyir tak usah ceritalah. Dua minggu juga mak menjaga saya. Saya tak pernah sakit seteruk itu. Akibat cacar itu, kelopak mata saya sumbing sebelah dan hilang 0.5 % bulu mata. Sedih. Suami pula terpaksa ke Sarawak seminggu ketika saya belum betul-betul sembuh. Saya dibawa balik ke kampung. Keadaan saya masa tu tak ubah macam monster cacat; bermuka hodoh dan tak mampu bergerak. Geli rasanya tengok muka sendiri. Bayangkanlah bertepek-tepek muka saya penuh dengan cacar sebesar biji jagung. Menitis juga air mata ayah yang pertama kali melihat saya di dalam bilik. Yalah, dia sangka saya sakit sikit-sikit, tapi bila saya dibawa balik ke kampung, barulah ayah jelas keadaan saya masa tu. Sebulan barulah saya betul-betul sembuh. Dugaan betul mengandungkan anak sulung saya tu. Waktu melahirkan juga sangat menduga. Saya terpaksa menahan sakit yang teramat selama 24 jam di bilik bersalin, sehingga tiga doktor bertukar syif barulah saya selamat melahirkan. Itu pun melalui caesarean. Sampaikan saya melahirkan anak kedua pun doktor masih kenal saya disebabkan kes tu. Waktu itu, kalau hilang kesabaran dan malu saya, mahu saya meraung; "Ammaaa, apppaaa!" Mujurlah ibu dan suami bergilir-gilir menemani dan memberi perangsang di samping bersama-sama mengucapkan ayat-ayat suci dan sentiasa berselawat. Mereka berdua menangis melihat saya. 24 jam jugalah mereka tak tidur dan berkampung di hospital. Fuh, penangan anak sulung. Doa saya, semoga putera saya menjadi anak yang soleh dan berguna kepada bangsa dan agama.

Itu cerita mengenai anak sulung. Masuk bab karya sulung pula, entahlah ... bagi saya kurang mengujakan pula. Kalau penulis-penulis lain mungkin terasa nak melompat setinggi bintang di langit, tapi saya tak ada pula perasaan itu. Cuma ketika pertama kali melihat buku pertama dulu, saya sekadar bersyukur kerana lahir juga karya itu. Mungkin keadaan ini ada kena-mengena dengan kelahiran karya yang tak pernah saya lihat sebelum itu. Ops, atau mungkin lebih tepat, karya yang saya lihat untuk pertama kalinya itu bukan karya sulung. Hmm... saya pun tak pasti nak kategorikan sebagai apa. Mungkin karya yang betul-betul sulung tu adalah karya 'keguguran' kot. Yalah, bukunya terbit, tapi saya tak pernah memegang ataupun melihatnya. Apa-apalah ....

Ok, sekarang cerita fasal buah sulung pula. Sebulan dua yang lalu, ibu dan ayah saya sibuk bercerita fasal durian yang mula berputik di belakang rumah. Durian sulung. Saya mengagak tiap-tiap hari orang tua saya meninjau putik durian yang selalu jadi habuan tupai tu. Takut betul mereka kalau semuanya dirembat si tupai durjana tu sebelum buahnya sempat besar dan gugur. Ayah sibuk suruh kami balik sekerap mungkin untuk merasa durian sulung. Kebetulan manggis sulung pun menyibuk juga nak berbuah. Maka makin galaklah orang tua berpesan supaya kami kerap balik. Untung-untung dapat makan buah-buah sulung tu.

Balik kampung semalam, anak sulung merangkap cucu sulung inilah yang berjaya merasa durian sulung dan manggis sulung. Orang lain tak merasa lagi tau. Yey! Sapa suruh mereka semua tak balik. hehehe. Tapi durian tu cuma sebiji saja buahnya yang terselamat. Yang lain-lain habis dirembat dengan selamat oleh tupai. Manggis pun cuma sebutir cinonet saja yang masak. Yang lain-lain masih mentah lagi. Dua minggu lagi mesti banyak yang masak. Yey!

Oh, dua minggu akan datang kami balik lagi.

10 comments:

Mersik said...

Ooooo.. musti tupai yg merembat durian dan menggis tu pun, tupai sulung... hik hik..

(Peminat no 1, Yahya Sulung..)

MYA MARJA said...

Assalamualaikum,
Untungnya jadi anak sulung, semuanya dapat yang baru. Untungnya jadi anak bongsu, jarang-jarang dapat yang baru. Karya sulungku pun belum dapat terbit lagi, Dik Nin.. :( Hmmm.. Teringat gaji sulung yang ciput itu...

kak ila said...

tak sabar menanti gaji sulung :)

dapat tak banyak mana.. habis semua orang nak di belanjanyeer. alhamdulillah cukup.

khairyn said...

huhuhu kisah buah2an ni teringat pokok mangga depan rumah. Tiap kali berbuah jer mesti mak gaduh dengan burung dan monyet. Sebab makan tak abis jer dah campak ke tanah. Membazir jer. Tuhan tak suka tau! hehehe

gaji sulung huhuhu sikit tapi sangatlah bangganya

rajiah said...

Salam ainin,

Yang menjadi sulung selalunya ada pro dan kontranya, tapi selalunya yang sulung akan jadi suatu yang special (walau tak semua) he hee

Ainin Naufal said...

mersik,
hahaha, yalah tu.

Kang Mya,
nasib dan rezeki masing-masing. Itu yang buat semangat berkarya merudum?

Kak Ila,
samalah kita. hehehe. gaji sulung memang tak simpan.

Ryn,
Gaji sulung walaupun ciput memang cukup mengembang lubang hidung. Rasa diri dah cukup besar dah, tak payah bergantung dengan orang tua. Eksen bukan main lagi. :P

Kak Rajiah,
Betul tu. Ikut rezeki masing-masing juga tu.

Sastri said...

waaa... dugaan ketika mengandung dan bersalin tu hebat kak Ainin... bertuah mereka yang tersayang sentiasa ada di sisi...

jadi cucu sulung memang best... :p

Anonymous said...

aku cuma ingat Yahya Sulong!

sf

alias derais said...

yeay! tak lama lagi aku akan dapat anak sulung. ko doa2kanlah ye nasib kawan ko ni.

Ainin Naufal said...

sas,
terasa ringan sikit sakit tu. alhamdulillah. lain orang lain rezekinya.

SF dan Alias,
korang pun tengah teruja tuuuuu.