Tuesday, August 26, 2008

Melah Melia3 - Sedutan

Ketika penghuni asrama berulit dengan mimpi, Melah Melia tiba-tiba terjaga. Pundi kencingnya terasa penuh. Jam loceng di sebelah bantalnya dijeling. 4.30 pagi! Masih terlalu awal. Dia pasti tiada sesiapa yang bangun untuk mandi seawal ini.

“Macam mana ni?” Melah Melia tertoleh-toleh ke kiri dan ke kanan. Rodiah yang berada di katil setentang dengannya sedang tidur dalam posisi terkangkang. Norzila yang bersebelahan dengannya juga tidur pulas tak ingat dunia. Nabila juga kelihatan sedang lena sambil sesekali tersenyum, senyum dalam tidur. Apalah yang dia mimpikan agaknya? Syamimi di sebelah kanannya pula tidur terlangkup berbantalkan buku dan nota-notanya.

Ah, siapa yang akan digerakkan untuk menemaninya ke tandas? Syamimi? Tak mungkin! Melah Melia pasti yang Syamimi berperangai pelik dengan menjauhkan diri daripadanya kerana tidak mahu diganggu. Melah Melia pandang Norzila pula. Emmm ... entah-entah selama ini Norzila juga berasa terganggu kerana terpaksa menemani Melah Melia ke tandas ketika sedang seronok memeluk bantal.

Sekali lagi Melah Melia melihat jam locengnya. Ada 30 minit lagi sebelum jarum jam berganjak ke pukul 5 pagi. Huuu ... tak tahan rasanya menanti waktu itu. Pukul 5 pagi biasanya sudah ada penghuni asrama yang bangun menuju ke bilik air. Syamimi juga kerap bangun pagi seawal itu. Tapi sejak belakangan ini dia selalu bangun lewat.

Akhirnya Melah Melia memutuskan untuk bertahan sahaja. Ya Allah, berilah aku kekuatan untuk terus bertahan. Lindungilah aku dari keaiban. Melah Melia mengerutkan mukanya, menahan diri agar tidak melepaskan apa yang tidak sepatutnya dilepaskan. Huhu.

Gerakan jarum jam locengnya terasa terlalu perlahan. Cepatlah pukul 5, cepatlah! Melah Melia gelisah. Kalau di rumah, tentu dia sudah mengejutkan kakaknya, Marlina. Walaupun Marlina akan membebel-bebel kerana terpaksa bangun dari tidurnya, tapi Melah Melia tidak begitu kisah kerana dia betul-betul kenal kakaknya. Malah selalu juga Marlina mengejutkan Melah Melia pada waktu tengah malam tanpa disuruh-suruh.

Namun apabila tinggal di asrama, kawan baik pun belum tentu akan sentiasa baik. Dia bertekad tidak mahu lagi menyusahkan kawan-kawannya. Ah, Melah Melia semakin matang dalam melihat kehidupan.

Dalam keadaan yang genting itu sekali lagi Melah Melia menjeling jam locengnya. Hah, 15 minit telah berlalu. Ada 15 minit sahaja lagi. Kalaulah Doraemon betul-betul wujud, tentu dia akan meminta mesin masa untuk pergi ke 15 minit di hadapan. Tapi Doraemon tidak mujud. Huuu.

Penantian suatu penyeksaan. Ah, seksanya!

Akhirnya setelah dengan sedaya upaya menahan diri daripada mencicirkan cecair yang tidak sepatutnya dicicirkan, maka jarum jam pun menunjukkan tepat pukul 5 pagi. Ada beberapa biji jam loceng yang kedengaran berdering-dering. Melah Melia terasa lega dan berharap para pemilk jam loceng itu akan segera bangun. Bagaimanapun tuan punya jam itu hanya menggeliat beberapa kali, kemudian mematikan jam loceng masing-masing lalu tidur semula.

Alamak! Macam mana ni? Melah Melia sekali lagi berkeluh kesah. Pundi kencingnya terasa hendak pecah. Ayah, tolong anakmu ini! Uhuk ....

Namun tidak lama kemudian sayup-sayup kedengaran derap-derap tapak kaki daripada bilik sebelah yang menuju ke arah tandas. Harapan Melah Melia kembali berbunga. Tidak lama kemudian derap-derap tapak kaki itu semakin jelas kedengaran dan melalui Bilik Melur. Suara orang bercakap-cakap sesekali berselang seli dengan derap kaki.

Sah, sudah ada penghuni asrama yang bangun. Tanpa menunggu walau sesaat pun, Melah Melia kelam-kabut bangun dari pembaringannya. Timba yang berisi alatan mandian dan gayung segera dicapai. Sambil menahan diri dari mencicirkan cecair yang tidak diingini, dia berlari-lari membuka pintu bilik lalu memecut ke tandas.

Berakhir sudah azabnya pada awal-awal pagi begini. Syukur alhamdulillah ....


p/s : Adik-adik sekelian, silalah cicipi sedikit oleh-oleh ini.

10 comments:

nurulbalqis said...

Wah wah wah...
Ni yang buat Balqis tak sabar2 nak tunggu kemunculan Melah Melia 3 di kedai buku...
hehehehehe...
Bila buku ni nak keluar Kak Ainin ??
Tak sabar nak baca...

syimasyawal said...

kekekekeeeke
tak habis2 dia tahankencing, ya? alahai sian ler....

ayu_mkay said...

melah melah.. tak habis2 lagi ke penyakit budak ni.. ishhhh sian betullah...hehehe.

bila nak kluar kat pasaran AN? heboh2kanlah ye ;)

blackpurple @ jowopinter said...

O, sedutan ye...

Hmmm....Lama juga dah tak makan siput sedut. :D

fssf said...

ok cool ... kasik habis cerita ni ...

Ainin Naufal said...

Balqis,
Akak tengah huru-hara-harare siapkan benda alah ni tau. hehehe. Tungguuuuu.

Kak Syima n Kak Ayu,
Kali dah kurang sikit. Tungguuuuu,

BP,
Pose ni sedap buka dengan siput sedut. Tungguuuu.

SF,
Tungguuuu. :P

sara imanina said...

Hah ! Cepat-cepat siapkan tau. Tak sabar nak beli dan baca.
Ingatkan, masalah Melah Melia dah selesai, rupanya belum lagi. eh, hampir selesai, bukan dah selesai.

Ainin Naufal said...

Sara,
Akak tengah berusaha keras ni. Uh ah uh ah! Fuh, mencabar tau. hahaha.

Anonymous said...

Kesian Si Melah Melia tu.Dah senior pun takut nak gi tandas pukul 4.30 pagi.

Hehehe......
Lawakla Kak Ainin.........

Ainin Naufal said...

Anon,

Tunggu .... :)