Tuesday, February 24, 2009

Alamak, macam mana ni?

Hari ini dengan tidak begitu seronok saya menghantar manuskrip baru. Setiap penulis yang berjaya menyiapkan manuskrip dengan jaya, tentu gembira kan? Tapi tidak bagi saya.
*
*
Al-kisah,
Ketika manuskrip ini sudah 70% dalam pembikinan, saya terdengar satu iklan di radio akan adanya satu drama baru yang bakal ditayangkan tidak lama lagi. Dalam iklan itu siap diselitkan sedikit sinopsis yang sedutan-sedutan menarik dalam drama tersebut. Terkesima saya yang ketika itu sedang gigih menaip cerita baru tu.
*
*
Macam mana saya tak kejang otak kalau apa yang diiklankan tu temanya sama sebijik dengan manuskrip yang sedang gigih ditaip oleh saya. Adui! Ini satu dejavu atau mimpi ngeri atau petanda? Entahlah, saya tak mahu fikir masa tu. Saya harap semuanya tak jadi nyata atau saya harap hanya berhalusinasi. Saya teruskan usaha menyiapkan manuskrip itu.
*
*
Dan, ketika manuskrip ini telah siap dan sedang membuat semakan terakhir, drama yang diiklankan itu pun ditayangkan. Hari Ahad malam Isnin lalu saya dengan penuh debaran menonton drama yang sudah masuk episod ke-2 atau ke-3 itu (saya tak pasti sebenarnya dah sampai episod berapa). Ya, memang sah temanya sama dengan manuskrip novel saya tu. Malah watak dan perwatakannya pun sangat mirip. Cuma plot dan jalan ceritanya saja yang lain. Hmm, macam mana ni?
*
*
Saya risau nanti orang kata saya tiru idea dari situ. Ada juga kes macam ni ya. Patutlah seorang tokoh penulis tersohor negara pernah cakap, ada orang kata karyanya macam cerita di TV, macam idea dari buku sekian-sekian. Tokoh penulis yang saya kagumi ni cuma gelak saja bila novelnya diulas begitu. Katanya, cerita itu pun dia tak pernah tengok, dan buku sekian-sekian itu pun dia belum pernah baca. Nampaknya kes professor ini pun sudah berjangkit kepada saya. Cuma bezanya dia tulis novel serius, tapi saya tulis novel pop remaja.
*
*
Akhirnya saya dah tak rajin nak fikir semua itu. Sedangkan tokoh besar pun pernah alami hal yang sama, inikan pula penulis kecil macam saya. Maka saya pun kuatkan hati dan terus buat semakan.
*
*
Hari ini tanpa berlengah saya hantar terus kepada editor. Harap-harap manuskrip itu tak ada masalah dan diterima. Dan harap-harap janganlah ada yang cakap saya tiru drama itu. Hmm...
P/S :Adik-adik yang suka chating, bolehlah ajak kawan-kawan borak apa saja di ruang chat yang baru akak sediakan. Tapi chat jangan sampai lupa buat kerja sekolah okey.

Thursday, February 19, 2009

Secebis.

“Saya nak tanya awak beberapa soalan. Awak tak perlu buka mulut bagi memberi jawapannya. Awak hanya perlu mengangguk atau menggeleng,” jelas Naznin.
*
*
Kening Muna bertambah-tambah kerutannya, dan bebola matanya bergerak ke kiri dan ke kanan. Otaknya sudah tentu bekerja keras memikir kemungkinan-kemungkinan yang terjadi hasil dari sesi soal siasat yang bakal berlangsung itu.
*
*
Muna cemas tiba-tiba. Maklumlah, Naznin mampu bertukar menjadi apa sahaja yang dimahukannya. Semuanya sudah terbukti setiap kali dia melancarkan peperangan dengan Rayyan. Ada masanya dia boleh menjadi seperti Mak Lampir, kadang-kadang ada iras-iras T-rex yang mengganas. Ada waktunya dia boleh kelihatan seperti Incredible Hulk dengan muka seperti insan menderita sembelit dua tiga jam.
*
*
“Setuju?” soal Naznin sambil matanya terjojol memanah muka Muna dalam jarak 10 inci sahaja dari mukanya. Mata yang terjojol dan muka Naznin yang terlalu rapat dengan mukanya membuatkan perut Muna mengecut dengan kepantasan tidak diduga. Antara sedar dengan tidak, Muna mengangguk-angguk.
*
*
“Okey, kita mulakan sesi sekarang juga.” Naznin bercekak pinggang.
Kepantasan denyut jantung Muna sudah mencapai kadar denyutan jantung seorang pelari yang sedang memecut di balapan. Dalam hati sempat dia memanjatkan doa supaya dijauhi dari sebarang malapetaka.
*
*
“Awak suka lelaki kacak?” Soalan kuiz yang pertama meluncur dari mulut Naznin.
*
*
“Apakah gerangan soalan sedemikian?” Muna terkebil-kebil. Namun tidak lama dia terus tersengih malu, lalu mengangguk-angguk laju. Soalan itu membuatkan denyut jantungnya kembali normal. Rasa gerun tadi tiba-tiba hilang apabila Muna melihat muka Naznin menjadi berseri-seri dengan bibirnya yang melebar dengan senyuman manis lagi ayu.
*
*
“Awak nak teman lelaki kacak?” Soalan kuiz yang kedua mengambil giliran membuat anggukan Muna semakin laju. Senyuman Naznin semakin bertambah inci kelebarannya.
*
*
“Awak nak duduk dengan lelaki kacak?” Soalan kuiz yang seterusnya masih berjaya membuat kepala Muna mengangguk-angguk laju, lebih laju daripada jawapan kedua dan ketiga.
*
*
“Yihaaa!” Naznin terlompat suka. Suaranya menarik perhatian beberapa pelajar yang lalu-lalang di sekitar kawasan taman sekolah itu. Encik Tukang Kebun yang dari tadi tidak siap-siap menggemburkan tanah di dalam pasu bunga pun sibuk-sibuk menoleh ke arah mereka.
*
*
Muna hanya mampu terkebil-kebil bak cicak tertelan kapur apabila melihat aksi tidak dijangka Naznin beberapa saat tadi. Nana pula memang sejak tadi tidak penat-penat melebarkan bibirnya, membuat peragaan gigi pada waktu rehat itu.
*
*
“Nampaknya misi menjadi semakin mudah.” Naznin berbisik dengan dirinya sendiri. Hatinya girang berbunga-bunga. Dia merapatkan mukanya ke muka Muna sekali lagi.
*
*
“Kalau macam tu... tentu awak gembira...” Naznin mundar-mandir di hadapan Muna dan Nana.
*
*
Muna tidak sabar hendak mendengar sambungan kata-kata Naznin.
*
*
“Apabila... dapat duduk dengan...” Naznin masih lagi mundar-mandir beberapa kali. Sambil itu dia berdoa semoga semuanya berjalan lancar dan misinya mencapai kejayaan yang gemilang.
*
*
“Dengan siapa? Cepatlah cakap!” Tahap kesabaran Muna sudah berada di puncak tertinggi.
*
*
“Dengan... dengan... Rayyan.” Raut muka Naznin bertukar menjadi muka wanita yang menderita sengsara kerana terpaksa mengeluarkan kenyataan sedemikan rupa daripada mulutnya. Demi menamatkan penderitaan daripada lebih berpanjangan, mulutnya dipaksa-paksa juga mengeluarkan ayat-ayat yang selama ini menjadi kepantangannya; Rayyan kacak!
*
*
P/S: Secebis babak dari manuskrip yang hampir selesai ditekuni.

Tuesday, February 03, 2009

Belajar Dari Pantai

Hujung minggu lalu merenung pantai. Ewah, merenung pantai konon. Sempena cuti Hari Wilayah, kami balik kampung. Minggu lepas dah puas bercuti di KL, maka minggu ini kami balik kampung dan menyibukkan diri, meramaikan lagi suasana di Pantai BNO ni.
Bot-bot nelayan berarak pulang ke jeti dan si pengail masih setia dengan jorannya walaupun mentari hampir melabuhkan diri ke peraduan.
*
*
Kami sampai waktu air pasang. Macam-macam ragam dan pemandangan yang menarik hati waktu ini. Melihat laut dan pantai, melihat kehidupan di pesisirnya. Menyaksikan setianya ombak dan pantai, melihat camar-camar yang terbang, melihat manusia-manusia yang bergantung hidup pada laut, pengail, batu-batu. Tak lupa, menyaksikan kebesaran Tuhan; tika matahari terbenam pada titik horizon nun di sana. Semuanya menimbulkan keinsafan andai dihayati.
Ketika ini hajat hati ingin melihat matahari betul-betul terbenam. Tapi hujan pulak tiba-tiba turun. Dan laksa sedap di gerai tepi pantai ini pun bukan menjadi rezekiku pada petang itu.


Untuk akhirnya, sila layan video pendek yang sempat dirakam. Video bot-bot nelayan yang berarak balik ke pantai bersama hasil laut masing-masing. Di sini kebanyakkan nelayan ialah orang-orang Cina.


video