Friday, February 10, 2006

Apabila Izrail Datang Memanggil....

CERTOT 1

“Berehatlah dahulu.”
Pandangan Makcik Zubaidah, jatuh ke wajah Maria yang baru beberapa ketika keluar dari wad ICU.
“Mak....”
Maria merintih tersedu di bahu Makcik Zubaidah. Air mata Makcik Zubaidah dan Maria bersatu lagi pada pagi itu.
“Bersama-samalah kita berdoa, ya,” pujuk Makcik Zubaidah. Meskipun begitu, dia gagal untuk memujuk dirinya sendiri. Esakkannya dan esakkan Maria bersatu kembali.
Beberapa ketika kemudian, kedua-dua wanita itu sama-sama duduk di bangku yang menjadi tempat peraduan mereka semenjak seminggu yang lalu. Semenjak Shamsul dimasukkan ke unit ICU, di situlah Makcik Zubaidah bersama menantunya bersahur, berbuka, malah melelapkan mata buat beberapa saat. Di situ jugalah tubuh Makcik Zubaidah menjadi santapan nyamuk-nyamuk saban malam.
Malam-malamnya di bulan Ramadhan pada tahun itu, dipenuhi dengan bacaan ayat-ayat suci di sisi katil Shamsul.
“Kamu berehatlah. Biar mak pula bersama Shamsul,” kata Makcik Zubaidah. Maria sekadar mengangguk. Sesekali gadis itu menyapu air mata yang sedang bertakung dikelopak matanya.
Sekejapan sahaja Makcik Zubaidah sudah berada di sisi Shamsul yang sedang koma itu. Mata Makcik Zubaidah menyeluruhi sekujur tubuh Shamsul yang terbujur di hadapannya. Alat bantu pernafasan, tiub dan wayar-wayar menjadi hiasan di tubuh Shamsul.
“Syamsul... mengucap, nak,” kata Makcik Zubaidah sambil mengusap-usap telapak tangan Shamsul. Bibirnya merapat ke telinga Shamsul. Kalimah-kalimah suci dibisikkan ke telinga pemuda itu.
Kata doktor, Shamsul boleh mendengar biarpun matanya terpejam dan jasadnya tidak berkuit.
“Mudah-mudahan anakku mampu menyebut kalimah ALLAH ini, meskipun hanya di dalam hatinya,” doa Makcik Zubaidah. Telapak tangannya menyapu air matanya yang sedang hendak berderai.
Sebentar kemudian, ayat-ayat dari surah Yasin berlagu dari bibir Makcik Zubaidah.
Kurang seminggu Syawal bakal menjelang. Namun Makcik Zubaidah masih juga di situ.
“Sabarlah, makcik,” ujar teman-teman Shamsul yang datang melawat tengah hari itu. Makcik Zubaidah mengangguk-angguk.
“Makcik bagi pihak Shamsul, ingin memohon supaya diampunkan segala kesalahannya. Halalkan juga jika ada yang termakan dan terminum olehnya,” ujar Makcik Zubaidah sambil sedaya-upaya menahan diri dari tersedu lagi.
“Seandainya anak makcik ada berhutang, silalah tuntut,” kata Makcik Zubaidah lagi.
Itulah kata-kata yang diungkapkan oleh Makcik Zubaidah setiap kali saudara-mara dan rakan-taulan datang menziarahi Shamsul. Kata-kata doktor membuatkan Makcik Zubaidah tidak meletakkan sebarang harapan lagi buat Shamsul.
Makcik Zubaidah sentiasa bersedia.
Tengah hari itu, Makcik Zubaidah terlihat anak ketiganya membelek-belek kad undangan bagi majlis persandiangan Shamsul. Kad undangan itu hanya menanti masa untuk diedarkan bagi majlis kenduri yang bakal dilangsungkan tiga minggu selepas lebaran.
Makcik Zubaidah memejamkan mata serapat-rapatnya. Tidak tergamak matanya hendak memandang kad undangan itu.
“Mak!” Maria sudah tercegat di hadapannya. Tanpa sepatah kata, tubuhnya dirangkul oleh Maria.
Tangisan dan sedu-sedan Maria memberikan jawapan buat Makcik Zubaidah. Terasa longlai segala sendi dan urat sarafnya.
Lebaran tahun itu, Makcik Zubaidah kehilangan seorang anak walaupun bertambah seorang lagi menantu. Matanya basah tiba-tiba tatkala memandang Maria yang sudi untuk menjadi pengganti Shamsul di pagi lebaran itu.
Maria, gadis yang baru dua bulan bergelar menantunya, kini sudah bergelar balu pula.


CERTOT 2


“Emak... kesakitan saya sudah semakin menggigit.”
Zainah yang sudah sejam mengerut-ngerutkan dahinya, kini sedang terbaring di hadapan Mak Ton.
“Emak panggilkan abang iparmu sekarang juga.” Tanpa menanti jawapan, Mak Ton bergegas menghubungi Halim, menantunya yang tinggal di hujung lorong kampung.
Ketika melahirkan anak-anaknya yang terdahulu, Zainah tidak mengambil masa yang lama untuk bersalin. Bahkan dia pernah hampir melahirkan bayi di dalam kereta.
“Tolong minta kakak datang sekali, ya,” pinta Zainah. Mak Ton mengangguk cuma.
Tidak lama kemudian, Halim tiba bersama isterinya, Marini.
“Emak tolonglah lihat-lihatkan anak-anak saya yang lain, ya,” pinta Zainah sekali lagi sebelum bertolak ke hospital.
Air matanya mengalir tatkala menyandarkan diri di dalam kereta abang iparnya. Bukan akibat kesakitannya. Tetapi kerana memikirkan bukan suaminya yang menghantarnya ke hospital.
Setibanya mereka di hospital, Zainah ditolak ke bilik bersalin.
“Kakak... tolonglah temani saya di dalam,” pinta Zainah lagi. Marini mengganguk. Tangan Zainah diramas dan digenggam seeratnya. Jari-jemari Marini mengusap-usap ubun-ubun Zainah.
“Kakak...” Zainah mula merintih. Sebaknya mula menyesak-nyesak. Setitis-setitis air matanya jatuh.
“Sabarlah, adik. Kuatkan semangat dan tabahkan hati. Demi bayi yang bakal lahir,” bisik Marini ke telinga Zainah.
Seharusnya di kala itu, suamilah peneman dan penguat semangatnya. Sebaliknya hanya kakak sulungnya yang sedang meniup semangat dan memberi kata perangsang buatnya.
Kesakitannya yang sedang menggila itu bersatu di pinggangnya. Air mata semakin ramah menjamah pipinya.
Doktor dan jururawat sedang bersedia di sisi Zainah. Seluruh tenaga dikerah untuk menolak bayinya dari kantung rahim. Namun Zainah gagal.
“Cuba lagi puan,” arah doktor bertugas.
“Kuatkan semangat, dik.” Marini menggenggam erat-erat telapak tangan Zainah.
Sekali lagi Zainah mencuba. Namun dia gagal lagi. Air matanya bergenang-genang lantas menuruni pipinya lagi.
“Jangan menangis,” pujuk Marini. Namun air mata Zainah tetap juga tidak dapat ditahan. Tangisannya bukan kerana kesakitan yang sedang bersatu di tubuhnya. Tetapi kerana....
Zainah memejamkan matanya serapat mungkin.
“Apabila kontraksi sekali lagi, puan cuba, ya,” kata doktor bertugas. Sudah berkali-kali Zainah mencuba, namun dia masih juga gagal. Bayinya masih juga kekal di dalam rahimnya.
Tiba-tiba sekali lagi gulungan ombak terasa melanda di pinggangnya. Dengan iringan kalimah ALLAH, Zainah mengerah seluruh kudrat yang masih tersisa.
Seakan segunung rahmat melimpahi diri Zainah, tatkala terdengar tangisan penghuni baru di muka bumi ini.
“Apakah jantina bayi, puan?” Doktor bertugas tersenyum sambil mengangkat bayi itu di hadapan Zainah.
“Lelaki,” jawab Zainah sepatah.
“Bayi ini beratnya empat kilogram lebih,” ujar jururawat. Doktor mengangguk. Lantaran itulah Zainah hampir kelelahan tadi.
Seketika kemudian, Zainah menangis semahu-mahunya. Sepatutnya di saat itu dia harus menangis kegembiraan. Tetapi....
Halim sedang bersedia mengalunkan kalimah-kalimah suci ke telinga bayi Zainah. Sebak di dada Zainah menyesak-nyesak lagi. Seharusnya di kala ini, si bapalah yang mengalunkan kalimah suci itu ke telinga bayinya.
“Sedari tadi puan tidak putus-putus menangis. Ada apa-apa masalahkah, puan?” tanya seorang jururawat.
“Bayi saya tidak berbapa. Bayi saya yatim sejak dari dalam kandungan lagi.” Zainah terus tersedu.

Certot-certot itu adalah dua episod peristiwa yang pernah terjadi di hadapan mata saya sendiri. Insan-insan yang mengalaminya adalah saudara-saudara terdekat saya sendiri. Punca kematian disebabkan oleh penyakit yang sama, ketumbuhan otak.

Certot 1. Allahyarham mengetahui penyakitnya, namun sengaja merahsiakan daripada pengetahuan ahli keluarga dan sahabat-handai. Kematian yang mengejut saat si isteri hamil empat bulan, cukup memberi tamparan hebat buat seisi keluarga. Tambahan pula anak-anaknya seramai lima orang itu masih kecil-kecil semuanya.
Tanpa walau sedikit pun harta tinggalan, si isteri bertungkus-lumus membesarkan anak-anak dengan bekerja sebagai tukang cuci pejabat. Namun kerana keberkatan rezeki itu, alhamdulillah anak-anak yatim itu sentiasa kecukupan makan pakai dan kelengkapan mereka meskipun sekadar-sekadar sahaja.

Certot 2. Allahyarham baru dua bulan diijabkabulkan dengan gadis pilihannya. Allahyarham sendiri tidak mengetahui penyakit yang dihidapi. Sawan yang menyerangnya sejak di bangku persekolahan rupa-rupanya adalah tanda penyakit itu.
Seminggu umat Islam berpuasa, allahyarham koma selepas bersahur. Dua minggu koma di ICU. Kad jemputan bagi majlis perkahwinannya hanya menanti masa diedar sahaja. Hantaran dan perkakas perkahwinan sudah serba lengkap. Namun seminggu sebelum lebaran, allahyarham menghembuskan nafas yang terakhir dalam usia 22 tahun. Termasuk bulan ini, sudah empat bulan gadis yang baru dinikahi itu menjadi balu.

Ajal datang menjemput tanpa mengucaplan salam. Bila pula giliran kita?

Semoga ALLAH mencucuri rahmat keatas kedua-dua allahyarham. Amin....

No comments: