Monday, July 28, 2008

Sulung

Ada apa dengan sulung? Macam-macam ada!

Biasanya sesuatu yang sulung itu sentiasa dinanti-nanti. Anak sulung, karya sulung, menantu sulung, buah sulung, cucu sulung dan macam-macam sulung lagi, harus membuat hati berdebar-debar. Pendek kata yang sulung ini memang mengujakan.

Dulu ketika bakal menimang putera sulung, bukan saja kami suami isteri terasa debarannya, malah ibu bapa dan nenek-nenek pun macam tak sabar-sabar menanti kelahiran cucu/cicit sulung mereka. Pendek kata apa-apa yang saya nak jamu, semuanya disediakan. Wah, macam permaisuri gitu.

Ketika saya betul-betul sarat, kurang sebulan lebih saja lagi untuk melahirkan, tiba-tiba saya diserang cacar air yang terlalu teruk. Saya tak sanggup tengok muka saya sendiri di cermin. Badan berbau hanyir tak usah ceritalah. Dua minggu juga mak menjaga saya. Saya tak pernah sakit seteruk itu. Akibat cacar itu, kelopak mata saya sumbing sebelah dan hilang 0.5 % bulu mata. Sedih. Suami pula terpaksa ke Sarawak seminggu ketika saya belum betul-betul sembuh. Saya dibawa balik ke kampung. Keadaan saya masa tu tak ubah macam monster cacat; bermuka hodoh dan tak mampu bergerak. Geli rasanya tengok muka sendiri. Bayangkanlah bertepek-tepek muka saya penuh dengan cacar sebesar biji jagung. Menitis juga air mata ayah yang pertama kali melihat saya di dalam bilik. Yalah, dia sangka saya sakit sikit-sikit, tapi bila saya dibawa balik ke kampung, barulah ayah jelas keadaan saya masa tu. Sebulan barulah saya betul-betul sembuh. Dugaan betul mengandungkan anak sulung saya tu. Waktu melahirkan juga sangat menduga. Saya terpaksa menahan sakit yang teramat selama 24 jam di bilik bersalin, sehingga tiga doktor bertukar syif barulah saya selamat melahirkan. Itu pun melalui caesarean. Sampaikan saya melahirkan anak kedua pun doktor masih kenal saya disebabkan kes tu. Waktu itu, kalau hilang kesabaran dan malu saya, mahu saya meraung; "Ammaaa, apppaaa!" Mujurlah ibu dan suami bergilir-gilir menemani dan memberi perangsang di samping bersama-sama mengucapkan ayat-ayat suci dan sentiasa berselawat. Mereka berdua menangis melihat saya. 24 jam jugalah mereka tak tidur dan berkampung di hospital. Fuh, penangan anak sulung. Doa saya, semoga putera saya menjadi anak yang soleh dan berguna kepada bangsa dan agama.

Itu cerita mengenai anak sulung. Masuk bab karya sulung pula, entahlah ... bagi saya kurang mengujakan pula. Kalau penulis-penulis lain mungkin terasa nak melompat setinggi bintang di langit, tapi saya tak ada pula perasaan itu. Cuma ketika pertama kali melihat buku pertama dulu, saya sekadar bersyukur kerana lahir juga karya itu. Mungkin keadaan ini ada kena-mengena dengan kelahiran karya yang tak pernah saya lihat sebelum itu. Ops, atau mungkin lebih tepat, karya yang saya lihat untuk pertama kalinya itu bukan karya sulung. Hmm... saya pun tak pasti nak kategorikan sebagai apa. Mungkin karya yang betul-betul sulung tu adalah karya 'keguguran' kot. Yalah, bukunya terbit, tapi saya tak pernah memegang ataupun melihatnya. Apa-apalah ....

Ok, sekarang cerita fasal buah sulung pula. Sebulan dua yang lalu, ibu dan ayah saya sibuk bercerita fasal durian yang mula berputik di belakang rumah. Durian sulung. Saya mengagak tiap-tiap hari orang tua saya meninjau putik durian yang selalu jadi habuan tupai tu. Takut betul mereka kalau semuanya dirembat si tupai durjana tu sebelum buahnya sempat besar dan gugur. Ayah sibuk suruh kami balik sekerap mungkin untuk merasa durian sulung. Kebetulan manggis sulung pun menyibuk juga nak berbuah. Maka makin galaklah orang tua berpesan supaya kami kerap balik. Untung-untung dapat makan buah-buah sulung tu.

Balik kampung semalam, anak sulung merangkap cucu sulung inilah yang berjaya merasa durian sulung dan manggis sulung. Orang lain tak merasa lagi tau. Yey! Sapa suruh mereka semua tak balik. hehehe. Tapi durian tu cuma sebiji saja buahnya yang terselamat. Yang lain-lain habis dirembat dengan selamat oleh tupai. Manggis pun cuma sebutir cinonet saja yang masak. Yang lain-lain masih mentah lagi. Dua minggu lagi mesti banyak yang masak. Yey!

Oh, dua minggu akan datang kami balik lagi.

Wednesday, July 16, 2008

cakap sorang-sorang

1

Hari ini aku dapat satu panggilan lagi. Si pemanggil nak cari Ismail bin apa entah. Kalau dihitung-hitung, entah berapa banyak kali orang cari si Mail ni pakai nombor telefon aku. Aku pun tak pasti berapa kali. Maaflah, tadi aku cakap 'kalau dihitung-hitung', maknanya aku memang tak hitung.

Kali ini aku bertanyalah dengan penuh sopan lagi santun dan penuh berhemah, "Dah banyak kali orang cari Ismail ni. Ada lelaki, ada perempuan. Bunyinya macam formal semua. Ismail ni pinjam kat Along ke?"

Pemanggil lelaki itu, yang bunyi suaranya macam handsome pun menjawab, "Ha'ah agaknya."
Dari cara jawapannya, ada nada bengang kerana misinya mendail nombor aku tak membuahkan hasil. Ismail bin apa entah tu tak dapat dijejaki.

Aku pun bertanya kepada pemanggil yang agaknya handsome tu, "Ini dari mana? Bank ke?"

"Tak, dari pejabat peguam." Pemanggil itu macam nak bercakap lagi dengan aku.

"Sejak beberapa bulan ni, ramai betul yang cari Ismail. Saya rasa dia gunakan nombor saya untuk tujuan pembohongan," saya menceceh lagi. Yalah, sejak 2-3 bulan lepas entah siapa-siapalah yang dail nombor saya nak cari si Mail haprak ni. Kalau nak menipu pun, janganlah pakai nombor aku! Pakai nombor Alias ke, Kak Syima ke, Kak Zalisa ke, Puan Ainon ke, oklah 'kan? hahaha.


2

Semalam, aku tengok debat. Hahaha, aku gelak besar sambil tutup mulut. Siapa punya teori ekonomi dia pakai ni? Soalan pun tak dijawab. Aku gelak dan gelak lagi. Dulu cikgu aku cakap, dalam peperiksaan kena jawab soalan yang ditanya. Jangan cakap benda yang tak ditanya. Nanti dapat telur ayam. Oklah, aku tak nak komen panjang. Nilaikanlah sendiri.


3

Hari ini aku tengok seorang pendebat pintar malam tadi kena tangkap. Aduh, aku tak fahamlah ....


4

Aku sambung tulis Melah Melia3. Macam biasa, aku catatkan pengalaman yang aku sendiri alami dan pengalaman remaja-remaja lain yang seangkatan dengan aku. Kali ini aku tulis fasal mabuk kenderaan pula. Dalam siri-siri sebelum ni, aku kisahkan mengenai budak 'ngompol' yang banyak aku perhatikan di sekeliling aku. Kali ini aku nak tuliskan pengalaman aku sendiri yang memang mabuk kenderaan masa kecil dulu. Bukan aku saja, boleh dikatakan kami adik-beradik memang mabuk kenderaan. Cuma tahap mabuk tu berlainan setiap orang. Ada yang teruk, ada yang sikit-sikit. Aku tak hantar sinopsis sebab aku tak tahu lagi jalan ceritanya. Aku tulis bila aku ada idea. Bahagian-bahagian lain aku tinggalkan dulu. Maknanya novel yang aku tulis ni banyak berlubang-lubang. Aku rasa, inilah novel yang paling payah idea nak mari. Aku buntu. Aku akan hantar sinopsis bila aku dah siapkan novelnya, dua-dua hantar sekali harung. Agak-agaknya diterima tak? Inilah masalahnya kalau kena hantar proposal dulu....

Oklah, aku nak sambung menulis. Tata!

Wednesday, July 09, 2008

Bercakap-cakap ....

Pertama kali saya bercakap-cakap di depan audien ialah pada Jumaat lepas di PWTC sempena Pesta Membaca yang dianjurkan oleh PNM.

Apa rasanya?

Macam-macam ada! Selama ini saya cuma dengan dunia saya, tanpa pernah terlibat dengan mana-mana perkumpulan atau aktiviti membabitkan para penulis. Pendek kata umpama katak bawah tempurung. Kesian kan?

Menerima jemputan PNM adalah satu cabaran untuk diri saya sendiri, walaupun pada awalnya saya ragu-ragu dan tidak ada keyakinan. Tapi mujur juga ada seorang bro yang ‘mengetuk’ saya. Tergagap-gagap saya ketika menjawab soalan-soalan daripada perantara, Tuan Haji Hamzah Hamdani dari GAPENA.

Saya tak sangka kerana sebahagian besar penulis yang terlibat adalah daripada penerbit yang sama. Cuma kami jarang dapat bersua muka. Hanya tiga penulis sahaja merupakan kenalan yang betul-betul baru, namun kami amat mudah mesra seolah-olah telah lama mengenali.

Ribuuan terima kasih untuk pegawai-pegawai yang mengiringi kami sepanjang sehari ‘berpeleseran’ di KLCC, Muzium Kesenian Islam dan PWTC. Pulangnya kami membawa ‘bingkisan’ yang dihasilkan di tempat mencari inspirasi tadi, lalu dipersembahkan di atas pentas itu.

Ilham yang diraih oleh rakan-rakan peserta sangat mengagumkan dan kreatif. Bingkisan saya, hmmm... biasa-biasa saja.