Saturday, June 17, 2006

Rahim Kaki Buli

“Tiadakah hidangan minum petang untuk saya. Jauh-jauh saya datang, segelas minuman pun tidak dihidang,” Rahim bersungut-sungut.
Rahim adalah sepupu Melah Melia yang tinggal di sebelah rumah. Setiap hari apabila dia lapar, pasti rumah Pak Osman yang ditujunya.

“Buatlah cekodok untuk saya wahai Cik Melah Melia,” arah Rahim.
“Saya banyak kerja sekolah,” jawab Melah Melia, acuh tidak acuh. Sesekali dia mencium tuala busuknya. Matanya menyorot ke arah beberapa kertas ujian yang baru sahaja dikembalikan oleh guru-gurunya. Ia menanti masa sahaja bagi disemak semula. Walaupun dia sudah menyemak kertas ujian itu disekolah bersama Syamimi dan Maimun, namun dia masih belum berpuas hati.

“Cekodok yang dibuat oleh Melah adalah cekodok paling sedap di dunia,” kata Rahim bersungguh-sungguh.

“Benarkah?” bisik Melah Melia. Terasa kembang hatinya apabila dipuji oleh Rahim. Senyuman Melah Melia tiba-tiba berbunga di bibirnya.

“Lekaslah buatkan cekodok untuk saya,” gesa Rahim. Ketika itu Pak Osman baru sahaja pulang dari kebun pisangnya.

“Kamu tidak habis-habis hendak membuli Melah,” ujar Pak Osman.

“Bukannya membuli. Sekadar hendak bermanja,” Rahim berdalih.
Bagi Melah Melia pula, Rahim tidak pernah membulinya. Hanya dia gemar mengusik dan menyuruh Melah Melia memasak.

“Baiklah, saya akan buatkan cekodok sekarang,” kata Melah Melia. Hatinya merasa girang apabila ada yang menyukai hasil olahan tangannya. Sebelum ke dapur, Melah Melia meletakkan tuala busuknya di atas meja.

Sebaik sahaja Melah Melia hilang dari pandangan, Rahim menjinjit tuala busuk milik Melah Melia dengan ibu jari dan telunjukknya. Mukanya mencemik tatkala tuala busuk itu semakin hampir ke hidungnya.

Pak Osman sekadar menggeleng-geleng melihat gelagat Rahim dan Melah Melia. Melah Melia seorang yang lurus lagi naif. Rahim, anak saudaranya itu sering mengambil kesempatan di atas kelurusan Melah Melia.

“Di rumah kamu tidak ada makanankah?” soal Pak Osman. Wajahnya serius tanpa senyuman. Serba salah dirinya hendak memarahi Rahim. Bimbang pula sekiranya Pak Leman, abang sulungnya akan berkecil hati.

“Salahkah saya hendak bermanja. Bukankah saya tidak punya adik perempuan?” Rahim mula memancing simpati Pak Osman. Wajahnya sengaja ditundukkan. Pak Osman menghela nafas dalam-dalam sambil menggeleng-gelengkan kepala. Tidak lama kemudian, Din masuk ke dalam rumah sesudah puas bermain bersama anak-anak jiran.

“Mari sebentar!” Rahim memanggil Din.

“Ada apa Acik Rahim memanggil saya?” Anak kecil itu bertanya.
“Pijak-pijaklah belakang saya ini. Badan saya terasa sakit-sakitlah. Tadi saya baru selesai menolong atuk menanam pisang,” Rahim berbohong.

Pak Osman menggeleng-geleng beberapa kali. Walaupun sudah sering dimarahi, sikap Rahim yang suka membuli dan mengambil kesempatan, begitu sukar dikikis.

“Saya mahu menonton televisyen,” jawab Din. Bibirnya muncung ke hadapan.

“Bibir Din serupa benar dengan penyangkuk kole di dapur saya,” usik Rahim. Din yang berusia lima tahun itu buat endah tidak endah sahaja.

“Sebentar sahaja. Pinggang saya sakit sangat,” rayu Rahim. Dia sengaja menyeringai dan berlakon seperti sedang menanggung kesakitan. “Aduh! Aduh!” Rahim pura-pura mengaduh sambil mengurut-urut pinggangnya.

“Bila agaknya kamu hendak membuang tabiat kamu itu?” tegur Pak Osman. Rahim sekadar tersengih.

“Lekaslah,” desak Rahim kepada Din tanpa menghiraukan katak-kata bapa saudaranya.

“Tidak mahulah. Saya mahu menonton Power Rangers,” balas Din.

“Nanti saya beri upah. Coklat, kamu mahu?” Rahim cuba mengumpan. “Televisyen di depan itu sahaja. Sambil menonton, sambil memijak-memijak belakang badan saya,” cadang Rahim.

Din terfikir-fikir sejenak. Menonton Power Rangers dapat, coklat pun dapat juga.
“Baiklah! Baiklah!” kata Din. Serentak dengan itu, Rahim meniarap sambil berbantalkan kusyen di ruang tamu itu. Din pantas melompat ke atas belakang Rahim.
“Aduh!” Rahim menjerit kesakitan. Air liurnya tersembur keluar. “Perlahanlah sedikit. Janganlah melompat,” marah Rahim.

Pak Osman tertawa melihat gelagat Rahim dan cucunya, Din.
“Rasakan....” Pak Osman menahan geram di hatinya.

Sementara di dapur, Melah Melia sudah hampir selesai menyudahkan gorengannya. Hanya tinggal menghidang sahaja.

“Cekodok paling sedap di dunia sudah tiba,” kata Rahim sebaik sahaja Melah Melia menghidangkan hidangan petang yang dimintanya.

“Jemput minum, ayah.” Melah Melia mengunjukkan secawan teh O untuk Pak Osman.
Sementara Rahim yang sedang dipijak-pijak oleh Din, sudah tidak sabar-sabar lagi hendak menikmati cekodok yang masih berasap dihadapannya itu. Din yang menonton aksi Power Rangers yang sedang bertarung di televisyen, turut melompat-lompat dan menggayakan aksi heronya itu di atas belakang badan Rahim tanpa disedari.

“Aduh! Sakit!” jerit Rahim. Pak Osman dan Melah Melia tertawa melihat aksi Din di atas badan Rahim.

“Jangan melompat-lompat!” tegah Pak Osman. Din hanya tersengih.

“Sudahlah. Badan saya semakin sakit dibuat oleh kamu,” marah Rahim. Din melompat turun dari atas badan Rahim. Pantas Rahim duduk bersila di hadapan Melah Melia dan Pak Osman. Cekodok yang terhidang, segera menggamit seleranya.
Sesudah puas menikmati hidangan petang, Rahim berhajat hendak pulang pula. Ketika itu Pak Osman sudah menghilangkan diri di dalam bilik mandi. Barangkali sedang membersihkan diri bagi menunaikan solat Asar.

“Mana coklat saya?” tanya Din sebaik sahaja Rahim hendak melangkah pulang.

“Tidak ada coklat!” kata Rahim. Wajahnya kelihatan serius sahaja.

“Saya mahu coklat. Acik Rahim sudah berjanji!” kata Din.

“Siapa suruh kamu melompat-lompat di atas belakang badan saya? Sakit badan saya, tahu?” jerkah Rahim. Mata Din mula bergenang air mata. Bibirnya mula mencebir-cebir.
Jerkahan Rahim itu menarik tumpuan Melah Melia yang sedang menyudahkan kerja sekolahnya.

“Acik Rahim sudah berjanji. Acik Rahim bohong!” jerit Din. Rahim menjelirkan lidahnya kepada Din.

“Din Botak hendak menangis! Din Botak hendak menangis!” ejek Rahim. Tidak sepadan dengan usianya yang sudah menginjak lima belas tahun, sikap Rahim masih kebudak-budakkan.
Memang benar telahan Melah Melia semalam. Pasti Din menjadi mangsa ejekkan Rahim apabila kepalanya dibotakkan malam tadi.

“Apabila kamu ke mari, pasti Din akan menangis,” ujar Melah Melia. Rahim menjelirkan lidahnya kepada Melah Melia pula.

“Acik Rahim jahat! Acik Rahim bohong!” Din sudah mula menangis. Rahim menjelirkan lidahnya lagi sebagai membalas kata-kata Din. Tangisan Din semakin bergema. Rahim lekas-lekas meninggalkan rumah Pak Osman sebelum Zamri dan Suraya pulang dari pejabat. Bimbang dia akan dimarahi oleh Zamri dan Suraya kerana membuli anak mereka.

“Sudahlah. Jangan menangis lagi,” pujuk Melah Melia. Simpati terhadap anak saudaranya itu tiba-tiba datang berbondong-bondong. Telapak tangannya mengusap-usap kepala botak Din.
“Gemar sungguh Rahim membuli Din,” gumam Melah Melia. Tanpa disedari, dia juga sebenarnya sudah dibuli dan dipergunakan oleh Rahim.

2 comments:

Romantis Selatan said...

bila baca entri ni... teringat pada buku oren yang saya baca.

Unknown said...

terima kasih kerana ingat pada OREN. TQ! TQ! ;D