Wednesday, February 28, 2007

Tiada Judul


Senjalakala menarik layar
Rona jingga bertebar
Menyimbah wajah sang dara
Yang setia bersimpuh di anjung rindu
Membilang detik yang cemburu
Menanti arjuna memapah sendu
Yang bertamu menyongsong di rongga waktu

Ufuk barat tinggal remang
Layar malam menggilir waktu
Resah menjalar membunuh sukma
Sang dara pasrah dalam pelukan malam
Sedang jejak arjuna masih samar

Malam pekat gelap likat
Memamah selembar harapan
Yang hampir lunyai didakap zaman
Dan embun yang mula menitis
Seolah menangisi sebuah mimpi
Yang hanya tinggal juraian pilu
Pantas menjerut hati yang layu
p/s : Kak Zalisa, lulus atau gagal?

Monday, February 26, 2007

Musim Ini.

Ini musim apa?
Musim elNino, tak juga menjadi. Di kampung saya, baru selesai musim menuai padi. Apabila melompat dari blog ke blog, tiba-tiba ada satu musim baru. Musim para blogger 'mengetag' rakan-rakan blogger yang lain untuk dijadikan mangsa. Perkataan 'mangsa' tu kedengaran dasyat juga. Hmm... siapalah yang mencetuskan musim 'mengetag' ni agaknya. Dan saya juga adalah mangsa 'tag' Kak Raina di dalam blognya. Hu hu hu.
Terfikir-fikir juga beberapa ketika akan faedahnya permainan ini. Dalam terfikir-fikir mencari kepelikan diri sendiri, tiba-tiba saya tersorot kelemahan-kelemahan yang selama ini tidak tersangkakan. Setelah diteliti dan dihalusi, inilah kepelikan diri yang saya fikir pelik. Tapi tak tahulah kalau para pembaca tak rasa pelik pulak. Fikir-fikir....
Pelik agaknya apabila :
1 . Suka membaca dari muka surat terakhir, kemudian ke depan, ke depan dan ke depan. Apabila sudah sampai ke mukasurat satu, barulah mula membaca dengan penuh penghayatan sampai ke muka surat terakhir semula. Tak kira baca surat khabar, majalah, buku, novel dll.
2. Suka belek lukisan, sketch atau karikatur sampai berhari-hari. Pastilah kalau artwork tu menarik perhatian saya. Yang tak lawa buat apa nak teliti. Saya suka teliti stroke, adunan warna (untuk lukisan) dan idea yang ditampilkan. Kira keluarlah semua aura kekaguman saya masa tu.
3. Suka raba-raba kepala dan mula cari rambut yang terlebih kerinting, cabut dan sepahkan atas lantai. Kemudian terpaksa kutip rambut-rambut tu semula. Kalau tidak, takut masuk dalam makanan pulak.
4. Suka gentel hujung kain batik kemudian gigit-gigit. Jangan tanya kenapa!
5. Suka tutup muka dengan bantal semasa nak tidur.
6. Suka merasa makanan yang pelik-pelik tapi halal. Makin pelik, makin teruja nak cuba.
7. Suka termenung atas sejadah setiap kali lepas solat. Sampai ada orang tegur, "Hoooii, lama berwirid!" Barulah saya bangun. Bukannya apa, cuma merenung kembali dosa-dosa lalu. Huuu... terampunkah dosaku?
Alamak.... dah terlebihlah pulak. Hehehe...
Emm... siapalah yang bakal menjadi mangsaku? Mungkin saya terpaksa berhenti setakat ini kerana saya masih bingung@ tiga suku nak cari mangsa. Takkan Puan Ainon kot? hehehe...
Maaf kepada si penganjur permainan kerana saya tidak melanjutkan kepada rakan blogger yang lain. Maaf banyak-banyak.

Friday, February 23, 2007

Aku Dicium!

Tiba-tiba lelaki tua itu mencium pipiku, kiri dan kanan.
Aku tersentak lalu mula prejudis!

Sunday, February 18, 2007

Cuti Datang Lagi.

Tahun Baru China, Kuala Lumpur bercuti sehingga hari Selasa. Sedih, tak dapat balik bercuti di kampung. Sudahlah begitu, kami tinggal tiga beranak saja di rumah. Bosan!

Apabila terkenangkan kampung, fikiran menerawang mengingatkan suasana desa ketika ini. Tentu padi sedang naik. Keranji di dapur mak juga tentu penuh dengan kuih bakul, limau Mandarin, kacang goreng, laici dalam tin, nata de coco, kek dan kuih bakar cina.

Di kampung kami cuma terdapat dua keluarga Cina. Setiap kali menjelang tahun baru, merekalah yang penuhkan keranji mak dengan juadah wajib mereka seperti kuih bakul dan limau.

Menjelang hari raya puasa dan hari raya korban, giliran kami pula yang menghantar ketupat rendang dan kuih-muih ke rumah mereka. Ada masanya mereka akan membalas pemberian kami dengan laici dalam tin atau nata de coco dan kacang goreng sepeket dua.

Di kampung kami, kaum cina memang menjaga hubungan baik dengan kaum Melayu sejak berpuluh-puluh tahun lampau. Pada zaman Jepun dulu, mereka sering meminta bantuan daripada keluarga Melayu bagi menyelamatkan diri dari ancaman komunis. Berhari-hari mereka tinggal bersembunyi di rumah datuk nenek kami. Sampai ke anak cucu mereka masih merasa terhutang budi.

Dulu ada beberapa keluarga Cina yang menetap di kampung kami. Tapi sekarang ramai yang sudah berhijrah ke kawasan pekan. Dua keluarga yang masih ada itupun hanya dihuni oleh generasi lama. Generasi baru sudah bertebaran ke bandar atau paling tidak pun ke pekan berhampiran.

Tidak lama lagi, pasti tidak akan ada lagi keluarga Cina di kampung kami. Dan kami pasti tidak merasa lagi limau mandarin percuma dari Ah Her dan Ah Tee.


Thursday, February 08, 2007

Cubaan 1... 2... 3.

Sedu-sedan masih bertali-temali. Rintik-rintik air jernih masih tidak silu mencemar pipinya. Kamar itu, bakal menjadi saksi permulaan masa depannya. Hidupnya pantas digelar satu perjudian.Untung nasibnya tidak ketahuan. Adakah kelam, gelap likat atau terang, cerah bercahaya? Sama ada duka, lara derita atau bahagia berkekalan hingga ke hujung nyawa?

Mah masih berteleku di atas sejadahnya. Bibirnya yang birat masih berkumat-kamit cuba menzahirkan zikrullah, walau sebenarnya dia tidak mampu menzahirkan dengan kata-kata. Jari-jemarinya yang sudah berkedut dan kecut dimamah usia, masih setia menari-nari mengira-ngira biji-biji tasbih. Setitis-setitis air jernih melaju lagi, lantas tertumpah mencemari hamparan sejadah.

"Mak Mah." Suara lembut gemersik menerjah gegendang telinga tuanya. "Mari saya kenalkan Mak Mah kepada penghuni rumah yang lain."

Mah palingkan wajah yang sudah sedia dihiasi kedut-kedut dan seribu durja itu pada pemilik suara gemersik, gadis bertudung pashmina yang sedang menghadiahi sekuntum senyum pada ulas bibirnya.

Mah masih dingin. Sedingin malam di daerah perbukitan ini. Dingin seperti ketika dia tiba ke rumah kasih ini tengah hari tadi. Sehingga petang menarik layarnya, Mah masih juga berteleku sendirian di dalam kamar asing itu. Malah sampai maghrib merampas takhta senja pun, Mah masih enggan keluar bertemu warga tua yang lainnya.

Kamisah, gadis bersuara gemersik bertudung pashmina itu sudah beberapa kali datang menjenguknya. Setiap kali itulah juga dia membujuk Mah supaya keluar dan bertaaruf sesama warga emas lainnya.Dan setiap kali itu jugalah dia menatang dulang makanan untuk Mah, warga emas yang baru tiba ke rumah kasih itu, setelah dia ditahan oleh pegawai kebajikan masyarakat ketika sedang bergelandangan di kaki lima di kota besar nun di sana.

"Mak Mah... penghuni di sini ramai yang senasib dengan Mak Mah. Jangan Mak Mah khuatir kerana mereka semuanya baik-baik belaka. Mak Mah tidak akan terasing di sini. Percayalah..." Kamisah tersenyum lembut. Perlahan-lahan duduknya dilabuhkan di sisi Mah. Dia ikut bersimpuh di atas lantai. Wajah Mah yang masih durja itu direnungi seketika.

Kamisah menghela nafas dalam-dalam. Ah... cabaran yang biasa.

Sejak Mah didaftarkan di rumah kasih ini beberapa jam yang lalu, belum sekalipun dia mendengar suara Mah. Tidak pernah. Cuma dia tahu nama wanita gelandangan itu daripada kad pengenalannya. Itu pun kad pengenalan lama yang sudah lunyai dan sepatutnya sudah ditukar lima belas tahun yang lalu.

"Baiklah, kalau Mak Mah tidak bersedia untuk berjumpa dengan penghuni lain, tidak mengapa. Mak Mah berehatlah. Kalau Mak Mah perlukan apa-apa, saya ada di asrama di belakang rumah ini." Kamisah bingkas dan mula menapak hendak meninggalkan wanita tua itu.

"Uuh... erk... erk... uuuh." Tiba-tiba Mah bersuara. Kamisah berpaling pantas ke arah Mah. Tangan Mah terawang-awang mengisyaratkan sesuatu.

Mah bisu!


p/s : Cuba-cuba menulis dengan bahasa sastera kononnya, ketika sedang otak buntu dan...

Friday, February 02, 2007

Macam Orang Gaji


Tengah hari ini, sedang saya baru sahaja selesai menyuap putera dan puteri makan, saya dikejutkan oleh ketukan yang bertalu-talu di pintu. Saya pun terkocoh-kocoh meletakkan pinggan ke singki lalu bergegas-gegas membuka pintu. Agaknya orang pemaju datang nak baiki kerosakan pada bilik air saya, kerana sudah lama kami buat komplen.

Aduh… gawat ni! Takkan saya nak benarkan orang itu masuk kerana ayah putera dan puteri sedang solat Jumaat. Kontraktor yang datang biasanya adalah warga Indonesia. Maka dalam keadaan kalut-kalut itu, saya pun bukalah pintu.

Tercegat di depan grill saya seorang pemuda Cina.

“Saya nak buat banci supermarket.” Pemuda Cina itu pandang saya yang cuma berseluar panjang kotak-kotak (dah ada tampalan di sebelah tepi, sebab dah koyak) berharga RM7 yang dibeli di GIANT tiga tahun lalu, bert-shirt lusuh dan longgar saiz L dan muka macam tak pernah jumpa cermin setahun.

“Nak buat apa?” Saya mahukan kepastian.

“Tuan rumah ada tak? Saya nak buat banci supermarket.” Mata pemuda Cina itu melilau-lilau ke dalam rumah saya. Dia mencari ‘tuan rumah’ agaknya. Saya tahu kalau jumpa ‘tuan rumah’ pasti banyak strategi yang keluar dari mulutnya.

“Oooo… tuan rumah tak ada. Kerja.” Muka saya serius. Putera dan puteri pun dah mula sibuk-sibuk nak panjat grill yang sentiasa dikunci itu.

“Ok… tak apa.” Pemuda Cina itu berlalu pergi.

Kah kah kah… akulah tuan rumah tu! Muka aku ni sebiji macam muka orang gaji agaknya. Saya senyum sendiri. Biasalah, ada masanya datang mood nak melawa, dalam rumah pun pakai gincu. Ada waktu-waktunya rumah dah jadi macam longkang terbalik, takkanlah nak melaram dalam rumah pulak.
Mujur juga putera dan puteri tak panggil-panggil saya, “Ibu… ibu.”

Kah kah kah! Tanpa bersusah payah, saya selamat dari di ‘goda’ oleh pemuda Cina itu.