Tuesday, March 27, 2007

Aduhai... Pak Basir!

Rumah kami rumah pertama di simpang tiga, di dalam kawasan kebun kelapa yang dulunya diselangi dengan tanaman koko, mendepani kebun pisang, yang dulunya ditanam dengan kelapa sawit. Di seberang jalan, sawah bendang saujana mata memandang.

Jiran terdekat kami, Pak Basir namanya. Selalu lalu-lalang melalui jalan di depan rumah kami. Ya, kerana memang itulah laluan keluar masuk ke lorong ini.

Pak Basir pandai bergaya orangnya. Berpakaian kemas sentiasa. Kadang-kadang bercelana dan berkemeja. Side pakaiannya tajam sentiasa. Kalau bergeser boleh luka agaknya. Sepatunya kilat berkemilau. Bikin mata jadi silau.

Kalau kami tegur Pak Basir segak, dia cuma senyum galak. Kami tanya Pak Basir nak ke mana? Jawabnya, nak jumpa YB di pekan sana.

Adakala Pak Basir berbaju Melayu lengkap bersamping dan bersongkok. Kami tanya Pak Basir nak nikah? Jawabnya, ada sultan nak dirafak sembah.

Adakala Pak Basir bercelana dan berkemeja T, lengkap dengan vest TV5, dengan kamera siap sedia. Bertopi molek menutup kepala. Kalau kami tegur, Pak Basir nak ke mana? Jawabnya, ada kenduri di kampung sana.

Mana-mana majlis keramaian, pasti di situ ada Pak Basir. Klik, klik, sana-sini. Ditanya mana gambarnya? Jawabnya, belum dicuci. Ramai yang kata, kameranya tak ada filem, cuma diisi bateri. He he he... ramai yang tertipu, posing setengah mati, rupa-rupanya posing free.

Kadang-kadang Pak Basir lalu, berpakaian kemas macam selalu. Sepatu berkemilau, bikin mata silau, tapi sorong motosikal sambil pakai kaca mata hitam. Kalau kami tanya, motor rosak? Jawabnya, tangki kosong tak ada minyak.

Kami he he he he, tayang gigi.

Monday, March 19, 2007

Seharian Pada Hari Khamis

15/3/07 - Khamis.
12.00 tengah hari - 1.00 petang.
Selama satu jam saya bersiaran di Putra FM 90.7 di UPM, Serdang. Selama satu jam itulah saya mempromosikan novel Melah Melia secara live. Tapi frekuensinya kecil. Kawan-kawan tak dapat dengar. He he... elok juga, manalah tahu terlajak kata macam aktres kita tu. Tapi syukur semuanya berjalan lancar. Kering air liur juga saya dibuatnya. Walaupun DJ baru, tapi banyak pula soalannya. Terima kasih kepada DJ Nurul yang comel.
Editor pengiring saya, Lia, terlebih teruja berbanding saya sendiri. He he he. Terima kasih juga untuk Lia yang sangat komited.
1.30 petang - 2.30 petang.
Saya ke Alpha Angel di Wangsa Maju. Sejak berpindah rumah, sudah lama tempat itu tidak saya jejaki. Ke mana lagi nak saya tuju kalau bukan ke kedai buku. Dah lama tak skodeng buku sendiri.
Sampai di MPH, saya ternampak buku-buku remaja PTS di bahagian rak berhadapan dengan kaunter. Ooh... mereka sedang adakan promosi teenlit sempena cuti sekolah. Buku-buku saya, Melah Melia yang baru saya promosikan tadi pun ada. Dia Istimewa pun ada juga.
Kemudian saya menuju ke rak buku remaja di sebelah belakang. Buku-buku saya pun ada juga di sana bersama-sama buku-buku lain.
Di depan rak kelihatan sepasang remaja lelaki dan perempuan sedang bersembang. Remaja lelaki sedang memegang buku saya, Dia Istimewa. Saya mula curi-cuti pandang apa reaksi dan mimik muka remaja lelaki itu ketika membaca buku saya. Sambil itu saya belek-belek buku remaja yang ada di rak itu.
Remaja berkenaan adakalanya membaca, dan adakalanya bersembang. Topik mereka berkisar tentang sekolah, kawan-kawan dan sesekali mengenai keluarga. Ahh... nakal betul telinga saya! Hehe...
Setelah agak lama, saya cuba bertanya, "Dik, best ke buku tu?"
"Saya baca sekali lalu je, kak." Remaja itu tersengih-sengih.
"Buku tu cerita mengenai apa?" Saya mula menyelidik.
"Mengenai seorang budak yang tak pandai baca, tak pandai kira. Cikgu bengang sangat kat dia dan dia selalu didenda. Satu hari berlaku anjakan paradigma kat dia." Remaja itu menjelaskan dengan panjang lebar.
Mak aii... pandainya budak ni bercakap. 'Anjakan paradigma' tuuu! Sepatah yang ditanya, berjela-jela pula jawapannya. Hmm... maknanya remaja ni fahamlah apa yang cuba saya sampaikan. Hehehehe...
"Adik mudah faham dengan cerita tu?" Sekali lagi saya menyelidik.
"Ok, faham."
Saya tersenyum sebelum beredar dari situ. Sengaja saya tak kenalkan diri sebagai penulisnya. Cuma, adakah remaja itu membeli buku itu? Harap-harap dia beli. Amin.

Wednesday, March 14, 2007

Sudah Diterima

Hari ini, NINJA KUNAHARO sudah menyelinap masuk ke dalam rumah saya. Lega rasanya. Rupa-rupanya posmen malas mahu menapak ke tingkat kami, lalu dia cuma meninggalkan sekeping kad merah muda di dalam peti surat kami. Nak kena potong gaji betullah posmen tu!

Kepada Kak Raina, terima kasih atas kiriman itu, dan terima kasih sekali kepada pihak Karnadya kerana mengirim NINJA KUNAHARO kepada saya.

Cuma, buku itu kurang best! Mana tidaknya, kerana tak ada tanda tangan penulis. Tak aci betul. Huuuu...

Tapi tak mengapa, saya akan baca sampai khatam malam ini juga.

Terima kasih sekali lagi. Muuuaahhh!


Ralat : Sepatutnya entri ini ditulis kelmarin. Tapi saya ada masalah mahu post entri.

Wednesday, March 07, 2007

Budak Lembik - Aku Ingin Pulang!

Malam itu adalah malam yang menyeksakan bagi Syafiq. Dia berkongsi khemah dengan Muaz yang berbadan gemuk dan kuat berpeluh. Sudahlah begitu, Muaz tidak gemar mandi.

Bertambah malang lagi, dua orang rakannya yang lain tidak mahu tidur bersebelahan dengan Muaz yang baring di bahagian tepi sekali. Awal-awal lagi Badrul dan Zaid sudah mengambil tempat mereka. Mereka baring bersebelahan. Susunan mereka bermula dari sebelah tepi kiri sekali iaitu Muaz, Syafiq, Zaid, dan Badrul.

"Muaz, awak tidur di sebelah tepi sekali," arah Badrul.
"Saya tak kisah tidur di sebelah mana pun." Muaz tersengih-sengih.

Aduh... mengapa sebegini malangnya nasibku! Syafiq terasa ingin menjerit.
Malam itu Syafiq dihimpit oleh Muaz yang berbadan besar itu. Khemah mereka sepatutnya selesa dengan empat orang di dalamnya. Tetapi badan Muaz saja sudah mengambil separuh dari tempat pembaringan Syafiq.

Sudahlah begitu, Syafiq terpaksa menahan bau badan Muaz yang sama seperti tidak mandi tiga hari. Syafiq cuba mengiring ke kanan, menghadap Zaid. Dia cuba melelapkan matanya. Setelah agak lama dan matanya hampir terlelap, tiba-tiba kepala Zaid melentok ke bahunya. Syafiq cuba menolak kepala Zaid, tetapi malangnya Zaid kembali melentok lagi.

Syaitan mula berbisik-bisik ke telinga Syafiq supaya meluku saja kepada Zaid yang terlentok-lentok macam ayam kena sembelih itu. Namun Syafiq lekas-lekas beristighfar. Syaitan-syaitan itu agaknya kecewa apabila Syafiq akhirnya membiarkan kepala Zaid terus terlentok di bahunya. Dalam masa yang sama, tubuh gemuk Muaz terasa semakin menghimpit Syafiq. Ditambah pula dengan bau badannya, ahh... sangat menyiksakan.

Syafiq cuba tidur. Setelah agak lama, dia terasa bahunya basah. Dia menolak sedikit kepala Zaid lalu meraba bahunya dan lantas menghidu jarinya.

"Ceh... air liur!" Syafiq benar-benar hendak termuntah. Lekas-lekas dia mengelap tangannya dengan baju yang dipakai oleh Zaid dan Zaid langsung tidak sedarkan diri ketika itu.

"Argh... malam yang penuh penyiksaan!" Syafiq terasa hendak menangis. Dia cuba menelentang walaupun terlalu payah kerana tubuhnya dihimpit oleh Muaz dan Zaid.

Dalam kepayahan, Syafiq cuba juga melelapkan mata. Namun baru saja dia hendak terlelap, dengkuran Badrul pula terasa seolah-olah menggegarkan khemah mereka. Bunyi dengkuran Badrul kedengaran berekor-ekor. Sangat membingitkan. Terasa mahu saja disumbatkan mulut Badrul itu.

Malam itu dengan penuh penyiksaan, Syafiq terpaksa menadah telinga mendengar dengkuran Badrul yang bersenandung semalam penuh syahdu. Juga menikmati aroma 'istimewa' daripada Muaz de toilete dan tidak lupa, lentok-lentok manja Zaid yang seperti ayam hampir putus leher.
Alangkah enaknya kalau ketika ini dia berguling di atas tilam empuk dan bantal lembut di rumah. Syafiq hampir tersedu. Aku ingin pulang!