Entah kenapa tiba-tiba saya terkenang zaman saya kecil-kecil dulu. Masa tu umur saya lebih kurang lima-enam tahun. Setiap pagi Ahad, lepas bangun tidur, masa tu tahi mata pun masih lekat di hujung mata, dan mata pun masih terasa kelat-kelat, saya akan duduk di depan tangga rumah, menunggu opah lalu.
Opah akan berbasikal tua dengan palang besi di sebelah depan dan dengan sebiji keranjang terikat kemas di belakangnya. Keranjang itu penuh terisi barang jualan.
Setiap hujung minggu opah dan moyang akan berniaga di pasar minggu. Mereka jual tempe, taugeh kampung, tapai ubi dan kuih-muih. Semuanya opah dan moyang buat sendiri. Kuih-muih yang opah jual adalah rengas, keria, karipap, kuih lapis, apam, pau goreng, onde-onde dan bengkang. Kadang-kadang kuih talam pun ada juga. Selain itu opah dan moyang jual juga sayur-sayur kampung.
Pagi-pagi opah akan boncengkan moyang dengan basikal tuanya. Kemudian atuk akan tolong hantarkan barang-barang lain. Lepas hantar moyang ke pasar, opah balik semula ke rumah untuk angkut barang-barang yang masih ditinggalkan di rumah. Second trip inilah saya akan tunggu opah di depan tangga.
Bila opah lalu, saya akan jerit, "Opah, nak ikut!!!!"
Opah akan toleh kemudian jerit semula pada saya, "Mandi dulu. Kalau tak mahu mandi opah tak nak bawak!" Opah terus kayuh basikal tuanya menuju ke rumahnya.
Saya pun kelam-kabut mandi, takut ditinggalkan opah. Siap mandi, saya duduk semula depan tangga.
Bila opah lalu sekali lagi depan rumah, opah kayuh basikal laju-laju, takut saya nampak. Tapi biasanya saya akan nampak opah. he he he...
Saya akan terus jerit, "Nak ikut!"
Mahu tak mahu opah terpaksa berhenti. Dan saya terus berlari ke jalan.
Opah akan dudukkan saya di dalam keranjang yang diikat kemas di belakang basikal tuanya. Maka saya pun seronok duduk di dalam keranjang bersama-sama barang jualan opah sambil melihat-lihat sawah bendang yang luas di sepanjang jalan.
Sampai di pasar, saya akan minta soto. Depan pangkin jualan opah, adalah pangkin jualan Pakcik Ali, sepupu bapak yang berjualan soto, cendol dan pecal. Sotonya memang terkenal sedap.
Saya akan duduk di pasar itu sampai mereka habis berjualan. Sebenarnya tujuan saya ikut opah sebab nak makan soto dan aiskrim batang. Ha ha ha....