Monday, September 17, 2007

Dulu-dulu....

Diam-diam sudah seminggu umat Islam menjalani ibadah puasa. Bagi ibu-ibu, tiap-tiap hari dalam kepala tak sudah-sudah berfikir apa nak dimasak Kadang-kadang masa berbuka hari ni, tapi fikiran dah melayang fikirkan menu apa nak dimasak esok hari.

Bagi yang bekerja, apalagi? Di bazar Ramadhan bersepah-sepah makanan. Sebut saja nak makan apa, semua ada depan mata. Tanya selera, tunjuk saja. Jangankan ibu-ibu yang bekerja, ibu-ibu suri rumah sepenuh masa pun tak kurang menghabiskan jualan para peniaga di bazar Ramadhan. Tersengih sampai ke telingalah mak cik-mak cik penjual kuih. Tersenyum lebarlah abang-abang penjual ayam percik, ayam tergolek dok.

Bulan puasa jadi pesta makanan di mana-mana. Di bazar berpesta, di rumah pun berpesta. Belum lagi iklan-iklan bufet di hotel-hotel. Hmm... kalau dah nampak makanan, selagi ada duit dalam poket, selagi itulah tangan tak henti menunjuk dan seterusnya menghulur. Penjual hulur makanan, kita hulur duit.

Teringat dulu-dulu sewaktu kecil. Tak ada bazar Ramadhan pun. Tapi bulan puasa tetap meriah. Dulu-dulu, awal-awal petang lagi mak dah mula ke dapur. Siapkan bahan-bahan masakan tak kira untuk lauk ataupun kuih-muih. Kalau tak siapkan awal-awal, alamat tak makanlah masa berbuka nanti. Maklumlah, masa tu gunakan kayu api lagi. Tak ada dapur gas, tak ada periuk nasi elektrik. Biasanya waktu berbuka cuma ada sejenis lauk dan sayur, juga sejenis kuih atau pengat. Kalau ada jiran-jiran bagi, barulah meriah sikit makanannya.

Air batu pula jadi satu kemestian. Oleh kerana masa tu belum ada peti sejuk lagi, maka air batu dibeli di simpang masuk ke kampung kami. Setiap kali bulan puasa, ada anak-anak muda kampung yang jual air batu di simpang-simpang jalan. Air batu itu disimpan dalam kotak kayu yang dipenuhi dengan habuk-habuk kayu supaya air batu lambat cair. Apabila ada pelanggan, air batu akan dibedakkan dengan serbuk-serbuk kayu itu lalu dibungkus dengan surat khabar lama sebelum diikat dengan tali rafia. Harga sebongkah besar air batu, tak ingat pula berapa. Mungkin 10 sen masa tu.

Si pembeli pula akan ikat bongkah air batu itu di belakang basikal. Bila dah beli air batu, kenalah kayuh basikal laju-laju. Janganlah gatal-gatal nak menyinggah ke mana-mana. Silap-silap hari bulan, sampai di rumah, air batu dah hilang, cair di tengah jalan.

Dulu-dulu tak ada air macam-macam perisa. Biasanya cuma ada sirap saja. Mak akan campur air sirap dengan biji selasih. Sesekali buat juga air bandung atau cincau. Kadang-kadang nenek akan buat cendol. Cendol tu nenek akan masak pada sebelah pagi. Ada masanya ayah akan kait kelapa muda. Kadang-kadang kalau rajin berbasikal jauh sikit, dapatlah merasa air tebu. Masa tu air kacang soya masih belum popular lagi. Paling glemer pun masa tu cuma oren bodoh. Oren bodoh? Alah... air berkarbonat perisa oren atau aiskrim soda atau sarsi yang dijual dalam botol gelap, harganya 30 sen sebotol tu.

Solat terawih paling seronok. Surau kampung kami memang sentiasa penuh. Lepas terawih, budak-budak mula bakar mercun katak. Bingit betul bunyinya. Bunyi meriam buluh, meriam tanah tak usah ceritalah. Berdentam-dentum di sana sini. Masa tu masing-masing bersaing siapa punya meriam paling kuat bunyinya. Jangan kata meriam buluh, meriam batang kelapa pun ada.

Sekarang semua dah tak ada lagi. Yang tinggal cuma nostalgia.

11 comments:

blackpurple @ jowopinter said...

Eh! Rasanya baru 5 hari puasa, macamana dah seminggu pulak ni..? he he he

Teringat kecil-kecil dulu suka makan roti paun celup dalam cendol...Pergh!

Unknown said...

hahaha.. mmg baru 5 hari. tp kalau dh masuk minggu lain tu, saya selalu sebut seminggu. hahaha.. konon2 nk mendahului zaman le tu.

Abang Long said...

Wahai Adinda Sifu Ainin. Entri ini sekali lagi mengembalikan nostalgia bagi diri kekanda. Cuma satu yang berlainan, cukup berbeza dan memang tak sama. Sekarang, kekanda hanya mampu untuk berbuka dengan bubur nasi kosong sahaja. Maklumlah dah tua.

Yang bernama Siti said...

seronoknya ada kenangan manis masa kecik di bulan-bulan puasa.

ps: entri ni sebab tak rela tangan jadi plastik ya? ha ha ha

khairyn said...

seronoknya berbuka dengan keluarga. Mak memang tak suka membeli jadi sibuk macamanapun dia mesti masak untuk kami.

kalau lepas terawih tu, kami mesti perang mercun. Masa tu mercun, meriam buluh masih lagi 'halal' hahaha

mohamad kholid said...

sayu baca entri ni... waa... nak balik kampung...

Unknown said...

Abg Long,
Bubur pun sodaaap!

Kak Siti,
hehehe... ya, tepat sekali. tangan ni sikit lagi nak jadi tangan getah. Best puasa zaman2 dulu tau.

Khairyn,
Sekarang terasa sunyi je bila time posa. Rasa mcm tak meriah tanpa bunyi mercun dan meriam tu. Itulah, sapa suh main sampai putus2 tangan, buta-buta mata. kan dh x blh main.

En. Kholid,
memang sayu. jalan kampung kita dh makin lebar. jom balik kampung!

syimasyawal said...

dulu mak akak rajin buat kuih sampai la sekarang ni... bubur som-som, bada berendam, cendolpun buat sendiri, macam lah lagi tak pernah beli, habis keluarga ramai...tapi memang sodap...hehehehe... masa mengandung hari tu mintak mak buat bubur som2, hmm... yummmyyyy...huahuahua... omak buekan bubur som2 tu adik nak!! sodap eh....

Unknown said...

bubur somsom? uii... nenek mmg pakar buat tu. tp kat KL ni susah nk cari la. klu nak gak kena pergi hotel. huuuu...

MYA MARJA said...

Assalamualaikum,
Selamat berpuasa Dik Nin.

Apasal cerita kali ini sama sahaja dengan cerita saya waktu budak-budak dulu? Apasal ek?

Air batu 20 sen itu yang paling nostalgik. Satu lagi oren bodoh. Oren bodoh?

Lepas tu meriam batang kelapa. Kalau tanya orang KL pasal meriam batang kelapa, terlopong mulut diorang. Agaknya di tempat kita sahaja yang ada meriam tu. Tapi sekarang dah jarang jumpa, polis buat operasi. Masih terngat lagi meriam batang kelapa bersusun di hadapan masjid, ada dalam 20 batang juga tu. Macam nak berperang je.

Unknown said...

Kang Mya,
Zaman kita tak jauh jaraknya. Dan kampung kita pun sama. Zaman ais tu saya masih kecik sangat. cakap pun masih pelat lagi masa tu. Umur 5 thn klu x salah. tapi memori saya ni kuat pula mengingat zaman tu.