Saturday, June 28, 2008

Jiranku Pergi

Aku tak punya jiran. Eh, sebenarnya ada, tapi serupa tak ada. Hari ini jiranku yang membuatkan aku terasa macam masih ada jiran, buat pakatan bermigrasi beramai-ramai bersama keluarganya ke UK. Ya, sekarang aku betul-betul macam tak ada jiran. Tiga tahun lagi barulah aku ada jiran semula. Ya, jiranku itu akan pulang. Kami akan berjiran sekali lagi. Itu pun kalau usia aku masih panjang dan mereka sekeluarga masih bernafas juga. Tiga tahun lagi, macam mana agaknya ya?

Mulai sekarang aku tak ada jiran!

Saturday, June 21, 2008

Muka Tebal dan Rakan-Rakan

Hari ini melecet kaki saya ketika menjejak kaki ke Dataran Merdeka (DM). Saya berdua, dengan seorang kawan. Maklumlah, dia beria-ia minta saya temankan dia ke kelas menulis. Teringin katanya. Tapi saya berat hati kerana tidak mendaftar, maklumlah takut kalau-kalau ada aral yang melintang pula. Tapi kata rakan saya, kalau begitu, temankan dia mendaftar sebagai ahli perpustakaan, tempat kelas menulis itu diadakan. Ok juga, boleh baca buku sementara menunggu rakan-rakan lain selesai belajar menulis.

Tiba di DM, ada majlis pula. Ada perarakan kuda, terjun payung, kawat, motosikal-motosikal besar, pancaragam segala. Eh, kami pun berhentilah. Maklumlah, sejak menjadi ‘manusia’ ni, saya tak pernah menyaksikan keramaian sebegini. Takjub macam rusa masuk kampung pula saya. Laa... ralit dengan segala pertunjukan, tujuan ke perpustakaan itu kami lengah-lengahkan. Yalah, tujuannya bukan nak ke kelas menulis pun.

Selesai acara kemuncak keramaian, kami pun terhegehlah ke perpustakaan. Ah, malangnya hari itu perpustakaan tutup! Macam manalah Pakwe saya yang sepatutnya tahu hal itu, boleh tak tahu pula? Hmm... terpakasalah Makwenya yang comel macam cipan ini menapak penuh gaya ke DM, sampai terlecet-lecet kaki.

Oleh kerana perpustakaan itu tidak dibuka, jadi kami pun mengintailah ke tandas. Alamak, mereka nampak saya! Hmm ... rasa tak sedap pula kalau tak menegur. Maka saya pun mendekatkan dirilah kerana ada yang telah pun mengecam saya. Bunyinya macam terpaksa kan? Hehehe. Bukannya apa, sebenarnya saya malu. Alah, bukannya tak tahu yang saya ni memang pemalu.

Dan ... jeng jeng jeng! Saya disuruh masuk! Saya katakan, saya cuma datang melawat-lawat, dan kalau ada peluang teringin jumpa kawan-kawan. Kata mereka, tak mengapalah, masuk saja. Dan saya disuruh mengisi kedatangan. Sudah! Kawan saya yang memang teringin berbengkel itu beria-ia benar nak masuk ke kelas. Katanya, sekejap saja. Saya pula berat hati. Kalau sudah masuk, takkanlah nak sekejap. Sudahlah datang lambat, tentu jadi perhatian. Esh! Kawan saya pula masih merengek-rengek teringin nak masuk juga. Sengallah akak ni! Haih (pinjam dari Alias). Saya pula cuma nak jumpa kawan-kawan saja.

Oklah, demi untuk tidak mengecewakan rakan yang merengek-rengek penuh kesengalan itu, saya pun masuklah bersama-samanya dengan menebalkan muka kira-kira beberapa inci. Laaa... sesi berkenal-kenal sedang berlangsung pula. Aisey, kalau saya tahu, lambat sikitlah saya masuk tadi, biar terlepas sesi tu. Malulah!

Sedang khusyuk kononnya mendengar syarahan cikgu, rakan saya sekali lagi merengek-rengek. Kali ini dia ajak balik pulak! Laaa... tinggal tak sampai satu jam pun lagi. Katanya dia tak boleh tahan lapar. Gayanya merengek seolah-olah boleh terkoma kalau tak dapat makan masa tu juga. Tapi saya tetap nak jumpa kawan-kawan juga. Sudah alang-alang masuk kan?

Akak ni memang sengallah! Mula-mula dah setuju nak jumpa kawan-kawan dengan saya, ini belum jumpa lagi dah merengek pula ajak balik. Esh, sengal sungguh!

Serba salah pula saya dibuatnya. Yalah, sudahlah masuk lambat, sekarang nak balik sebelum tamat kelas pula. Suka-suka hati saja. Esh, sungguh saya merasa kami sangat kurang sopan. Masuk tak beri salam, balik tanpa permisi. Cikgu dulu-dulu pantang ada anak murid berulah sedemikian rupa. Tak masuk ilmu yang diajar. Paling tidak pun cikgu akan merajuk seminggu dua. Cikgu, ampunkan anak murid separuh jalan ini, ya.

Oleh kerana saya adalah insan yang prihatin dan terlalu bimbang kalau-kalau rakan saya itu jatuh pitam dek kelaparan, maka saya pun dengan perasaan bercampur-baur mendekati rakan-rakan saya dan meminta diri. Oleh sebab tidak dapat beramah mesra di situ, maka saya mengajak mereka berjumpa di luar.

Dengan rasa ralat dan malu sekali kepada cikgu yang sedang mengajar di depan kelas, saya pun melangkah keluar tergesa-gesa dengan berat hati, kemudian menemankan rakan saya yang diamuk kelaparan itu mencari kedai mamak. Tapi menu yang dipesan tidak kedapatan pula di situ. Alih-alih, dia mencadangkan Raja Burger untuk mengisi perut. Aduh, saya ni kalau kelaparan, tak kenyang makan di situ! Maklumlah, burger di Raja Burger tu sudah tak 'raja' macam dulu-dulu. Mujurlah saya tak berapa lapar ketika itu. Persoalannya, apakah rakan saya yang hampir berguling-guling lapar itu boleh kenyang? Hmm... saya tak ada jawapannya kerana bukan perut saya.

Setelah beberapa lama, kami pun berpisah di Masjid Jamek. Dan saya menunggu rakan-rakan di kelas menulis tadi di situ. Mendung kelihatan semakin berarak-arak tanda hujan tak lama akan turun. Doa saya, cepat-cepatlah mereka tiba sebelum hujan turun.

Alhamdulillah ketika hujan mulai lebat, mereka berdua sudah terpacul di masjid. Usai solat, kami pun menuju ke Raja Burger. Ya, kunjungan saya yang kedua untuk tempoh kurang tiga jam! Ambik kau ...

Dan petang itu, gembira sungguh kerana dapat bermesra dengan rakan-rakan yang jarang-jarang dapat bersua muka. Yalah, sesekali mereka ke ibu negara, apa salahnya meluangkan masa barang sekejap. Serasa belum puas bergurau senda dan berborak, tak sedar masa cepat benar berlalu. Nantilah, kawan-kawan, ada masa kita berbual lebih lama dan panjang. Tapi bila ya?

Friday, June 13, 2008

Kerana Minyak

Minyak naik lagi! Ya, orang lain awal-awal lagi dah sibuk cerita fasal ni. Saya buat diam saja, dan baru sekarang nak sibuk tulis fasal ni. Sajalah, nak menyemarakkan semuala isu.

Harga barangan dah mencekik naiknya. Mujurlah hero dan heroine saya dah tak berapa kuat minum susu. Dulu dalam sebulan boleh habis empat pek susu, sekarang dua pek pun boleh tahan sebulan. Lampin pun masing-masing tak pakai dah. Satu pek lampin boleh tahan lebih dua bulan. Jimatlah sikit sebab cuma pakai waktu tidur malam. Tapi mungkin lepas ni kena tukar dengan lampin kain pulak agaknya. Nak lebih jimat. Kak Syima dalam entrinya menulis, harga satu pek lampin pakai buang d
ah cecah RM40 lebih. Betul ke Kak Syima? Sejak semuanya naik ni, saya memang belum belanja lagi. Jadi belum pernah garu-garu kepala waktu belek tanda harga. Mungkin dalam minggu ni saya mula garu kepala atau nak pitam masa tengok harga barang.

Masuk bab makan angin pulak, kami sekeluarga memang bukan 'kaki jalan'. Rasanya kami memang tak pernah ke mana-mana untuk tujuan percutian. Percutian kami cuma terhad di kampung. Ya, cuti-cuti balik kampung. Rondalah ke segenap pelusuk kampung melawat saudara-mara. Cuma itulah destinasi percutian kami. Jadi kami taklah menggelisah kalau tak dapat makan angin ke mana-mana. Hero dan heroin pun belum kenal lagi erti 'cuti-cuti Malaysia'. Pendak kata kereta kami jarang bergerak jauh-jauh. Pakwe saya pergi kerja pun naik LRT. Kalau jalan-jalan di tengah KL p
un kami lebih senang naik LRT juga. Alah, tambang LRT pun naik juga. Tapi mujurlah kami cuma keluar hujung minggu. Kereta cuma bergerak untuk ke kawasan yang tak ada LRT saja. Alhamdulillah, kat situ dah jimat.

Cuma dari segi makanlah, memang macam nak buat catuan. Saya katakan pada Pakwe, lepas ni kita belajar makan tempe dan tahu saja sebab murah tapi kaya protien. hahaha, kelat jer muka dia. Bab makan ni memang payah sikit nak berjimat. Daging pun dah cecah puluhan ringgit sekilo. Mujurlah kami sekeluarga tak makan daging. Ayam pun sekarang dah cecah tujuh ringgit sekilo dan khabarnya akan naik lagi.

Saham pun masing-masing jatuh nilai. Hah, siapa nak beli saham, belilah sekarang. Manalah tau lepas krisis ni saham-saham tu semua melonjak naik, kan kaya. Hahaha, sila abaikan pesanan ini.

Perancangan nak buat almari untuk menggantikan almari yang dah tinggal satu pintu je yang melekat tu macam kena tangguh je. Alahai... nak cat balik dinding yang dipenuhi 'kerja-kerja seni dan mural yang sangat indah' tu pun entah tercapai entahkan tidak. Dalam keadaan sekarang ni, kalau difikir-fikir, keperluan asaslah yang menjadi keutamaan. Yang lain-lain tu tolaklah ke tepi dulu.

Pak-pak menteri sepatutnya lepaskan semua elaun-elaun yang sebulan mencecah berpuluh ribu tu. Barulah boleh merasa keperitan rakyat. Kalau takat potong 10% tu, alahai... sama macam cebisan cabai merah yang menyelit kat celah gigi. Tak de maknanya! Kasihanilah kami, rakyat marhain yang sedang sengsara ni.
Bagi insan-insan yang hidupnya menulis, apalah nasib kita agaknya? Masih adakah yang sanggup menerbitkan karya-karya kita? Kalau sebelum ni royalti dibayar ansuran dua kali, tahun ini berapa kali pula agaknya ya? Hanya kepada-MU daku berserah!

Nota : Sila abaikan imej lobak merah yang berdaunkan daun bunga ros pada kek itu. Agaknya inilah kek lobak terakhir yang saya buat. Gawat!

Saturday, June 07, 2008

Ulasan Melah Melia2


Dan Melah Melia 2 bagaikan membongkar kembali nostalgia pra-dewasa dengan cara yang sangat selesa dan bersahaja. Sebagai watak yang kelihatannya seperti lurus bendul dan berkaca mata tebal, aku teringat penulisnya. Hehehe …. Mujur takda tuala busuk tersibai di bahunya. Apa yang menarik adalah Melah Melia digerakkan atas satu watak yang mampu memberikan motivasi secara tidak langsung kepada awal remaja/remaja, malah usia sepertiku masih mampu mengutip ilmu bantu yang diterapkan secara santai dan tidak kelihatan cuba memandaikan pembaca. Untuk itu aku harus beri pujian kepada penulisnya (harap-harap ada lagi buku percuma untuk kuresensikan di sini, hehehe…. jangan marah) yang berjaya menghidupkan watak Melah Melia, bersama rakan sebiliknya Rodiah (Rod Stewart?), Norzila, Nadia dan beberapa watak sampingan yang turut menjayakan novel ini.

  • ~Baca lanjut~
  • Monday, June 02, 2008

    Cuti-cuti.

    Cuti sekolah dah masuk dua minggu. Dalam masa 2-3 minggu kami sekeluarga asyik berjalan jauh saja. Dua minggu lepas, ketika Hari Wesak, kami balik ke Kuantan. Tak ada cerita menarik di sana. Cuma rasa seronok sikit sebab dapat ke Teluk Cempedak. Memang dah lama tak ke sana. Umat manusia punyalah ramai. Maklumlah, cuti umum. Parking pun payah. Mahu tak mahu terpaksalah masuk parking berbayar. Letihlah nak pusing-pusing cari parking free yang memang sah tak ada yang kosong tu. Ingatkan boleh tengok matahari terbenam. Tapi hampeh. TC kan sebelah Pantai Timur, mana ada matahari terbenam! Ish ish … macam manalah boleh lupa.

    Minggu lepas kami balik ke Temerloh pulak. Kampung pakwe tu jauh nun di hulu. Kami pun mudiklah ke hulu Sungai Pahang. Bunyinya macam naik perahu pulak kan? Tapi sebenarnya kami mudik dengan menyusur jalan di tepi Sungai Pahang tu saja. Di kanan, kami nampak Sungai Pahang. Sebelah kiri, penuh dengan belukar, hutan, ladang getah dan sesekali kawasan paya. Siapa sangka jauh di pedalaman tu masih ada kampung-kampung terpencil. Jarak antara satu kampung dengan kampung yang lain agak jauh. Ada juga rumah-rumah penduduk yang macam tak ada jiran tetangga. Mula-mula ke sini dulu, dalam hati tertanya-tanya, Eh, nak masuk hutan mana pulak ni?

    Kalau masuk ke situ pada waktu malam, memang seram. Tapi kalau pergi waktu siang, hmmm... best. Terasa nyaman saja. Sunyi dan tenang. Cuma yang tak berapa best, bila sesekali lalu di kawasan kampung dan terserempak dengan mat-mat rempit sama ada yang senior atau yang junior (budak-budak naik basikal). Jalan tu macam dia yang punya! Di mana-mana pun spesis mat rempit ni memang mudah ditemui. Apalah nak jadi dengan budak-budak sekarang.

    Dalam perjalanan, sempat berharap agar dapat merasa daging kancil atau makanan eksotik yang lain (ampun kepada para pencinta hidupan liar!). Juga minta-minta biarlan musim buah sudah tiba. Tapi semua yang diharapkan tak ada. Tak apa, bukan itu pun niat utama ke sana. Tapi kalau ada, bukan ke lagi best. Hahaha, selam sambil minum air kononnya.

    Hujung minggu lepas, kami balik ke Sungai Besar pulak. Di kampung inilah baru best giler! Kami balik malam buat pertama kalinya. Kata pakwe, biar rasa puas sikit, sebab Ahadnya (semalam) mesti balik cepat. Oklah, tak kisah.

    Esoknya kami ke pekan sehari. Dapatlah memborong kain untuk dibuat cadar, apatah lagi dapat diskaun sebab beli banyak. Geram, dan rasa nak borong semua corak. Lawa dan comel-comel corak yang ada. Sebenarnya inilah kali pertama beli kain untuk dibuat cadar. Selama ni cuma beli yang dah sedia diguna saja. Tapi pembelian itu berbaloi. Bayangkan, corak dan kualiti kain macam tu, kalau beli yang dah siap, mahu 100 ringgit lebih. Tukang jahit pun dah sedia ada dan upahnya sangat berpatutan. Maklumlah, mak cik sendiri. Hahaha (gelak setan). Kira punya kira, boleh jimat 1-2 ratus untuk 3 set cadar yang comel coraknya!

    Petangnya, kami dapat tengok matahari terbenam di tepi pantai Sungai Haji Dorani. Yihaa, seronoknya! Cantik sangat. Kali ini barulah betul tempatnya. Hihi...




    Esoknya kami pusing-pusing di pasar basah. Sejak pasar harian dipindahkan ke tempat baru, dah tak happening macam dulu. Peniaga pun jadi pening, sebab pelanggan tak ramai. Cuma hasil-hasil laut tetap segar macam dulu juga. Pekan kecil ni kan betul-betul di tepi laut. Jalan punya jalan, tiba-tiba mata terhenti pada satu gerai. Waah, ada jual belangkas. Hidup lagi! Sesungutnya yang keras tu dipacakkan pada polisterin. Ada dalam 5-6 ekor belangkas yang dicucukkan pada polisterin tu. Belangkas yang dijual tu kecil-kecil saja. Ada ke telurnya kalau kecil-kecil macam ni?

    Oh, ya, untuk adik-adik yang tak tahu, belangkas ni boleh dimakan telurnya. Salah satu daripada makanan eksotik juga ni. Ada sesiapa yang pernah rasa? Seumur hidup saya belum pernah merasa makanan ni. Sumpah, tak pernah! Tengok rupa makhluk tu, buat saya rasa tak tergamak nak makan. hihi. Tapi lain orang lain citarasanya kan?

    Alamak! Panjang meleret dah rupanya entri ni. Ada ke yang sudi baca?

    Ok, tata!

    Nota : Kepada insan-insan yang sudi mengucapkan selamat kepada saya sama ada melalui Frendster, YM, SMS atau di Cbox blog ni, terima kasih diucapkan. Terharu juga kerana dah tua-tua ni ada juga yang masih sudi mengwish. Terima kasih atas doa adik-adik dan sahabat-sahabatku semua.