Friday, April 29, 2011

Gambar Bercerita. Suatu Masa...


Usia ini umpama hari yang menuju senja.




Saat ini tak mungkin berulang lagi. Nikmatilah sepuasnya, sayang.



Riangnya kamu tanpa tahu soal duniawi.



Nanti pun kau tetap comel.

Tuesday, April 26, 2011

Pesta Buku 2011. Aizat dan Raihan. Farah AF.

Adik, kamu berdua comel amat. Apabila kami posing dengan Cik Melah, lagilah bertambah comel. Tahniah kerana sudi mencomelkan diri di situ. Ahak!


Assalamualaikum.

Sekarang sehingga 1 Mei nanti, sedang berlangsung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC. Mak cik pun tak kurang juga menyibuk-nyibukkan diri di sana sebanyak dua kali. Sabtu dan Ahad ini tambah dua sesi lagi, jadi empat kali menyibuk. Mak cik dengan bangganya juga akan menjual muka di gerai PTS daripada 3.00-4.00 petang pada 1 Mei (Ahad) ini. Err... muka mak cik tiada diskaun. Buku saja yang ada diskaun ya. Siapalah yang sudi nak beli muka mak cik ni. Jual; satu sen pun tak laku. Marilah jumpa di sana ya kawan-kawan.

Dengan seronoknya, mempersembahkan gambar-gambar hasil tangkapan mak cik pada hari menyibuk-nyibukkan diri selama dua sesi.

Thursday, April 21, 2011

Upside Down Apple Cake










Assalamualaikum.

Esok, 22 April 2011, bermulalah musim Hari Raya bagi semua penulis Malaysia. Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur akan berlangsung di PWTC sehingga 1 Mei 2011. Saya pula akan berada di gerai PTS Publication Sdn. Bhd. pada hari terakhir itu iaitu 1 Mei 2011 bermula pada 3.00 petang - 4.00 petang. Diskaun hebat sehingga 30% akan diberikan kepada pengunjung. Selain itu bagi yang suka masak-masak, demo masakan juga banyak tau Kak Tipah oi. Bolehlah beli buku-buku masak dan bergambar dengan chef-chef dan juga chef-chef selebriti nanti. Jangan lupa mekap lawa-lawa tau.

Kek apple yang ditayangkan gambarnya di atas ini adalah cubaan kali kedua. Sedap tau Kak Tipah. Mat Saleh buat kek ni nipis-nipis je. Lepas tu makan dengan aiskrim vanila. Out this world uols!

Karamel epal:

3 biji epal hijau Granny Smith atau 4 biji epal hijau biasa.

1/3 cawan gula

2 sudu makan mentega

1 sudu teh serbuk kayu manis

2 suduh teh jus lemon

Cara:

1. ~Epal dikupas dan potong bulat-bulat sederhana tebal.

2. ~Gaulkan epal dengan gula dan serbuk kayu manis.

3. ~Panaskan pan dan masukkan mentega, jus lemon dan epal. Masak dengan api kecil sehingga epal lembut dan karamel memekat. Padamkan api.


Bahan kek:

½ cawan mentega

¾ cawan gula castor

2 biji telur-asingkan putihnya

1 sudu teh esen vanila

1 cawan tepung gandum

1 sudu teh serbuk penaik

½ sudu teh garam

½ cawan susu segar

2 sudu makan parutan kulit lemon

½ cawan kekacang seperti walnut, badan dan sebagainya.


*Kek ini bersaiz kecil. Gandakan sukatan sekiranya mahu saiz kek yang besar.


Cara:

1. ~Pukul mentega dan gula hingga kembang. Masukkan kuning telur, vanila, parutan kulit lemon dan pukul lagi.

2. ~Masukkan tepung, garam dan serbuk penaik, pukul lagi dengan kelajuan perlahan. Kemudian masukkan susu pula.

3. ~Dalam mangkuk lain, pukul putih telur sampai sotf peak foam. Kemudian masukkan ke dalam adunan tepung dan kaup balikkan.

4. ~Lenserkan tin pembakar bersaiz 7 inci dengan mentega. Susun karamel epal tadi berlapis-lapis sehingga habis dan siramkan karamelnya sekali. Taburkan kekacang. Kemudian tuang dan ratakan adunan.

5. ~Bakar dengan kepanasan 200 celsius atau bergantung pada oven masing-masing selama 30-45 minit, atau sehingga kek masak.

* Spring foam pan tidak sesuai digunakan bagi membakar kek ini kerana ia berkaramel dan basah.

Friday, April 15, 2011

Sushi


Assalamualaikum.

Kali ini ingin cerita perihal diri ini dan sushi. Tidak percaya saya mampu buat sushi sendiri. Almaklum, selama ini cuma tahu makan dan makan saja. Dan semuanya, dengan rajinnya saya beli saja. Mahal kau tau Tipah oi!

Ingat sushi, ingat arwah ayah. Pada minggu-minggu akhirnya, dia mahu makan sushi. Sebelum itu adik saya balik ke kampung membawa sushi bento. Ketika itu arwah diperkenalkan dengan sushi. Dan ketika saya menjaga arwah menjalani rawatan kemo, arwah minta sushi. Minggu itu juga permintaan arwah dipenuhi oleh adik saya. Waktu itu saya belum pandai pun gulung sushi. Kalau arwah ada ketika ini, tentu puas dia makan sushi yang saya buat sendiri.

Pertama kali belajar buat sushi ketika saya dan sahabat sejak di bangku sekolah dahulu berkelah di Tasik Perdana. Wah, dengan gigihnya beliau mengajar menggulung. Tak pasal-pasal kami jadi perhatian makhluk yang lalu-lalang. Kah kah kah! Hairan agaknya makhluk-makhluk tersebot, bila nampak ada kelas buat sushi kat situ. Haruslah, Tipah oi sebab muridnya cuma saya seorang.

Tak disangka, adik-adik saya pun suka sushi. Bukan sushi saja, okonomoyaki dan takoyaki pun kami suka. Cuma belum ada rezeki nak buat sebab bahannya payah amat nak jumpa. Kalau jumpa pun, status halalnya diragui. Nantilah, akan diusahakan juga buat okonomiyaki dan takoyaki pulak.

Tengok gambar di atas, sifu sushi saya puji habis noks! Mak bangga uols!

Sekian.

(V) TATA
(. .)
c(”)(”)




Thursday, April 14, 2011

Asah Pena : Ika



Matahari bagaikan terpacak di ubun-ubun. Teriknya memeritkan kulit. Terangnya menyilaukan mata. Dari jauh lenggang-lenggok Ika tertangkap dek pandangan mataku. Ya, jauh. Masih sayup-sayup. Namun aku pasti benar, gadis itu sesungguhnya Ika. Payung biru itu yang biasa melindungi Ika dari terik matahari, dari lencun dek hujan, sudah aku kenal sejak seminggu lalu. Payung itu milik Ika. Rentak langkah dan gaya Ika berjalan, begitulah. Tiada perempuan lain yang berjalan dengan gaya begitu; elok kemas tersusun dan tenang.

Bebola mata ini tidak lepas-lepas dari terus memerhatikan perempuan itu. Lama-lama, perempuan itu semakin mendekat. Namun aku yakin, dia belum sedar aku ada di perhentian bas itu.

"Ika!" Launganku membuatkan dia terrsentak. Pasti Ika mengelamun sambil berlenggang ke situ. Senyum tersungging di bibirku tatkala Ika kekalutan. Jalannya yang terlenggang-lenggok tadi dikeras-keraskan. Langkahnya yang kecil-kecil dan kemas tadi dibuka besar-besar. Mukanya menunduk memandang kasut. Mukaku sedikit pun tidak ingin dipandang. Senyumanku yang manis ini seolah-olah tidak layak untuk dibalas. Dia tidak sudi menikmati betapa manisnya senyumanku! Tiba-tiba aku rasa hati ini bagaikan diinjak-injak oleh kasut Ika yang bertapak keras itu.

Ika hanya berdiri di hujung perhentian bas itu. Ya, aku di hujung sini, dan dia di hujung sana. Hati ini yang memang sedia kecil untuk Ika, sudah menjadi semakin kecil. Dan mungkin hatiku tidak lagi mampu dikecilkan lagi selepas ini.

"Kenapa kau sombong betul sekarang?" Aku cuba memulakan perbualan, dengan ayat yang pastinya kurang wajar.

"Aku masih macam dulu. Tak pernah sombong," Ika menjawab. Mukanya tetap menunduk. Suaranya tetap halus, tetapi tidak semanja dahulu. Itu bukan gaya Ika bercakap. Ika bercakap dengan lenggok manja. Bukan manja mengada-ada, tetapi manja semula jadi.

"Kenapa kau tidak pandang aku? Tak sudi?" soalku. Aku benar-benar gelojoh dengan soalan. Sikap Ika sejak pertemuan kembali kami seminggu lalu, dingin teramat. Mukaku langsung tidak sudi dicicip oleh pandangan matanya.

"Mana boleh pandang lelaki lama-lama." Ayat yang keluar dari mulut Ika membuatku terkesima.

"Hah?" Spontan aku meraup muka. Langkah membawa aku mendekati Ika. Seperti yang kujangka, Ika menjauh tiga empat langkah dariku.

"Okey." Aku cuba mengawal perasaan. Nafas kuhela perlahan-lahan. Lelaki? Aku mendengus.

"Kau ialah Nick." Tegas kedengaran suara Ika.

"Hei!" Terpukul seluruh uraf sarafku ketika itu. Namun aku sekali lagi cuba mengawal diri. Sekali lagi nafas kuhela.

"Kau dah tak macam dulu," tuduhku."Lenggok suara kau tak macam ketika bercakap dengan aku dulu-dulu. Langkah kau jadi kasar bila melangkah depan aku. Kau sengaja kan? Muka aku ini langsung kau tak sudi pandang." Rasa hati ini, aku luahkan habis-habis di depan Ika.

"Kau yang dah tak macam dulu." Ika sudah kembali menundukkan mukanya. "Okeylah, kau nak tahu sangat kenapa aku begitu." Ika jeling lagi padaku. Bukan jeling manja, bukan juga jeling mesra macam dulu-dulu.

Sesungguhnya aku tidak sabar-sabar mahu tahu dari mulut Ika, mengapa dia sengaja meminggirkan aku. Ika sudah lain.

"Aku terpaksa buat langkahku dan lenggok suaraku jadi kasar. Sebabnya, berjalan lenggang-lenggok dan bersuara manja di depan lelaki boleh mengundang bencana." Lancar Ika menuturkan kata. "Emak kata begitu. Ustazah pun kata begitu," tambahnya.

Kata-kata Ika sungguh-sungguh memukul aku. Meruap rasa hangat di mukaku.

"Aku masih Haznina. Ini Haznina!" Lontaran suaraku agak tinggi. Kali ini pandangan mata Ika mula mencicip wajahku.

"Kau sudah jadi Nick. Kau minta aku panggil dengan nama itu. Baju kurung sudah tidak sudi lagi nak kau sarungkan. Tudung pun sudah kau lupa memakainya. Aku juga sudah tidak nampak ciri-ciri gadis pada diri kau. Ciri gadis yang selama ini kau dan aku agung-agungkan itu sudah tiada." Ika bertegas.

"Cari aku ketika kau sudah kembali menjadi Haznina." Kata-kata Ika menyiat jantungku!

Ika meninggalkan aku terkaku sebaik sahaja teksi menelan tubuhnya. Aku cuba memandang diriku sendiri dari hujung rambut hingga ke hujung kaki pada cermin depan sebuah kereta yang diparkir di pinggir jalan itu. Sut persalinan yang hanya pantas buat jejaka ini membuatkan Ika merubah pandangannya terhadap aku 360 darjah!

** Sudah terlalu lama saya tidak menulis dengan bahasa dan ayat yang serius. Lama betul saya tinggalkan. Rancangan tahun ini, hati sangat mahu bertukar angin menuliskan karya yang mungkin separa berat. Maka perlu berlatih menulis dengan gaya serius kembali. Chaiyok!


(V) TATA
(. .)
c(”)(”)

Sunday, April 10, 2011

Berikan Hakku


Dahulu huluran tanganmu akusambut
dengan tulus
dengan seribu impian
impian yang molek

Dahulu aku melihat kamu
di tangan kirimu ada bulan
di tangan kananmu ada matahari
penyeri kala siang
penerang tika malam

Tanpa aku sedar
fatamorgana menipu mata

Hakikat itu dibutakan
oleh harapan
oleh tulus rasa kasih
hingga akal dirasuk dungu

Mata hati ini telah terbuka
tiada lagi terlihat bulan dan matahari
yang kulihat hanyalah langit hitam pekat
tanpa bulan
tanpa matahari
hanya kelam.

Tiada kudrat lagi
mimpikan bulan
mimpikan matahari
kusedar kini
hingga tulang-temulangku hancur dimamah bumi
bulan dan matahari
takkan muncul buatku

Moga kelopak bunga syurga
tetap terbau aromanya

Aku mahu bermimpi
kasih-Mu merangkulku.

Saturday, April 09, 2011

Pagi yang kerajinan





Assalamualaikum.

Kerajinan hari ini. Pagi-pagi dah letak entri. Sementara tunggu mesin basuh baju bunyi tet tet tet, baiklah letak entri ringkas. Taklah nampak lama sangat tak bubuh entri. Hari ini kesihatan mula pulih. Mak cik kalau demam, siap dengan pakej semput sekali. Lambat pulak tu nak hilang. Apakan daya, redhooooo atas ketentuan Ilahi. Sakit itu kifarah atas dosa-dosa kita.

Apa menu sarapan pagi ini? Gambar di atas ialah menu orang sibuk (bukan! bukan malas tau! :P). Nak buatnya, senang sangat noks!

Bahan :

Roti
Keju
Bawang besar
Meatloaf (celur barang seminit dua)
Mayonis
Sos

Bahan ni tak ada sukatan. Ikut suka tuan-tuan dan puan-puanlah ya, nak lambak banyak mana. Keju tu kalau ada mozarella lagi best. Nanti hasilnya meleleh-leleh macam pizza tu uols! Meatloaf tu boleh saja ganti dengan tuna spread. Sos pun boleh saja nak tukar sos BBQ ke apa.

Caranya :

Lambakkan semua bahan atas roti, bakarlah dalam anggaran 5 minit sampai roti rangup dan keju cair.

ps: Ini bukan sarapan orang diet, okey.

Selamat bersantap.

TATA.

(V)
(. .)
c(”)(”)


Tuesday, April 05, 2011

Masih Bercuti

Assalamualaikum.

Ya, entri kedua di tahun 2011. Ehem, berjaya m
enunaikan janji nampaknya untuk selalu update. Walaubagaimanapun, ini bukanlah catatan untuk apa-apa. Sekadar mahu kalian menjalankan aktiviti pencucian mata sahaja adanya. Maka entri-entri selepas ini juga besar kemungkinan hanya akan dipenuhi oleh entri pencucian mata. Harap tidak ada yang mengamuklah.


Oleh kerana sudah terlalu lama tidak meng-up-date blog, maka dengan malunya saya mengaku sudah terlupa bagaimana mahu memuat naik gambar dengan jumlah yang banyak. Tadi saya masukkan dua keping gambar kek keju ini iaitu ketika menjadi model jelita, dan selepas tidak menjadi jelita lagi. Namun gambar kek yang sudah tidak menjadi jelita lagi ini sahaja nampaknya yang timbul. Yang masih jelita itu entah ke mana pula mengghaibnya. Entri ini masih ditulis, jadi belum dipublish. Entah macam manalah nanti apabila sudah terpapar. Redolah saya dengan sebarang kejadian paparan itu nanti.


Mahu cerita sikit mengenai kek keju beri biru yang tersebut di atas itu. Ini hasil tangan daripada adik lelaki saya, yang entah menggatal apa minta saya ajarkan macam mana membuatnya. Maka dengan giat saya mencari beberapa resepi. Jadi kek keju yang sedang digayakan di atas saya ambil resepinya daripada MyResipi.

Maka selepas melihat hasilnya, adalah orang yang balik bawa 1/2 biji kek ini. 1/2 lagi saya yang punya. Haha. Maka bertambahkan timbunan lemak di bawah lapisan kulitku ini oleh sebab teramat kurang produktif dalam serba-serbi, dan hanyalah bermalas-malasan selepas menjalankan tugas sebagai bibik dan supir.

Hari ini, hari yang sepatutnya dimulakan dengan projek penulisan baru, berlalu tanpa sedikit pun menulis ayat karangan novel, melainkan ayat karangan untuk entri blog saja. Oh... oh... oh... Derhaka pada diri sendirilah nampaknya. Namun itu tak mengapa kerana semuanya disebabkan hal-hal yang tiba-tiba berbangkit. Ah, bujangku tiba-tiba mendemamkan diri pula, dan adikku Si Dayah tiba-tiba nak datang pula. Tak mengapa, kerana esok masih ada.

Selepas entri ini hampir siap ditulis, nampaknya model kek keju dalam versi jelita masih juga tidak nampak-nampak. Di manakah ia menyorok? Tiadalah saya ketahui. Nampaknya terpaksalah diri ini merajinkan diri memuat naik gambar itu sekali lagi. Maka sekianlah untuk kali ini. Wassalam.

TATA ^_^