Matahari bagaikan terpacak di ubun-ubun. Teriknya memeritkan kulit. Terangnya menyilaukan mata. Dari jauh lenggang-lenggok Ika tertangkap dek pandangan mataku. Ya, jauh. Masih sayup-sayup. Namun aku pasti benar, gadis itu sesungguhnya Ika. Payung biru itu yang biasa melindungi Ika dari terik matahari, dari lencun dek hujan, sudah aku kenal sejak seminggu lalu. Payung itu milik Ika. Rentak langkah dan gaya Ika berjalan, begitulah. Tiada perempuan lain yang berjalan dengan gaya begitu; elok kemas tersusun dan tenang.
Bebola mata ini tidak lepas-lepas dari terus memerhatikan perempuan itu. Lama-lama, perempuan itu semakin mendekat. Namun aku yakin, dia belum sedar aku ada di perhentian bas itu.
"Ika!" Launganku membuatkan dia terrsentak. Pasti Ika mengelamun sambil berlenggang ke situ. Senyum tersungging di bibirku tatkala Ika kekalutan. Jalannya yang terlenggang-lenggok tadi dikeras-keraskan. Langkahnya yang kecil-kecil dan kemas tadi dibuka besar-besar. Mukanya menunduk memandang kasut. Mukaku sedikit pun tidak ingin dipandang. Senyumanku yang manis ini seolah-olah tidak layak untuk dibalas. Dia tidak sudi menikmati betapa manisnya senyumanku! Tiba-tiba aku rasa hati ini bagaikan diinjak-injak oleh kasut Ika yang bertapak keras itu.
Ika hanya berdiri di hujung perhentian bas itu. Ya, aku di hujung sini, dan dia di hujung sana. Hati ini yang memang sedia kecil untuk Ika, sudah menjadi semakin kecil. Dan mungkin hatiku tidak lagi mampu dikecilkan lagi selepas ini.
"Kenapa kau sombong betul sekarang?" Aku cuba memulakan perbualan, dengan ayat yang pastinya kurang wajar.
"Aku masih macam dulu. Tak pernah sombong," Ika menjawab. Mukanya tetap menunduk. Suaranya tetap halus, tetapi tidak semanja dahulu. Itu bukan gaya Ika bercakap. Ika bercakap dengan lenggok manja. Bukan manja mengada-ada, tetapi manja semula jadi.
"Kenapa kau tidak pandang aku? Tak sudi?" soalku. Aku benar-benar gelojoh dengan soalan. Sikap Ika sejak pertemuan kembali kami seminggu lalu, dingin teramat. Mukaku langsung tidak sudi dicicip oleh pandangan matanya.
"Mana boleh pandang lelaki lama-lama." Ayat yang keluar dari mulut Ika membuatku terkesima.
"Hah?" Spontan aku meraup muka. Langkah membawa aku mendekati Ika. Seperti yang kujangka, Ika menjauh tiga empat langkah dariku.
"Okey." Aku cuba mengawal perasaan. Nafas kuhela perlahan-lahan. Lelaki? Aku mendengus.
"Kau ialah Nick." Tegas kedengaran suara Ika.
"Hei!" Terpukul seluruh uraf sarafku ketika itu. Namun aku sekali lagi cuba mengawal diri. Sekali lagi nafas kuhela.
"Kau dah tak macam dulu," tuduhku."Lenggok suara kau tak macam ketika bercakap dengan aku dulu-dulu. Langkah kau jadi kasar bila melangkah depan aku. Kau sengaja kan? Muka aku ini langsung kau tak sudi pandang." Rasa hati ini, aku luahkan habis-habis di depan Ika.
"Kau yang dah tak macam dulu." Ika sudah kembali menundukkan mukanya. "Okeylah, kau nak tahu sangat kenapa aku begitu." Ika jeling lagi padaku. Bukan jeling manja, bukan juga jeling mesra macam dulu-dulu.
Sesungguhnya aku tidak sabar-sabar mahu tahu dari mulut Ika, mengapa dia sengaja meminggirkan aku. Ika sudah lain.
"Aku terpaksa buat langkahku dan lenggok suaraku jadi kasar. Sebabnya, berjalan lenggang-lenggok dan bersuara manja di depan lelaki boleh mengundang bencana." Lancar Ika menuturkan kata. "Emak kata begitu. Ustazah pun kata begitu," tambahnya.
Kata-kata Ika sungguh-sungguh memukul aku. Meruap rasa hangat di mukaku.
"Aku masih Haznina. Ini Haznina!" Lontaran suaraku agak tinggi. Kali ini pandangan mata Ika mula mencicip wajahku.
"Kau sudah jadi Nick. Kau minta aku panggil dengan nama itu. Baju kurung sudah tidak sudi lagi nak kau sarungkan. Tudung pun sudah kau lupa memakainya. Aku juga sudah tidak nampak ciri-ciri gadis pada diri kau. Ciri gadis yang selama ini kau dan aku agung-agungkan itu sudah tiada." Ika bertegas.
"Cari aku ketika kau sudah kembali menjadi Haznina." Kata-kata Ika menyiat jantungku!
Ika meninggalkan aku terkaku sebaik sahaja teksi menelan tubuhnya. Aku cuba memandang diriku sendiri dari hujung rambut hingga ke hujung kaki pada cermin depan sebuah kereta yang diparkir di pinggir jalan itu. Sut persalinan yang hanya pantas buat jejaka ini membuatkan Ika merubah pandangannya terhadap aku 360 darjah!
** Sudah terlalu lama saya tidak menulis dengan bahasa dan ayat yang serius. Lama betul saya tinggalkan. Rancangan tahun ini, hati sangat mahu bertukar angin menuliskan karya yang mungkin separa berat. Maka perlu berlatih menulis dengan gaya serius kembali. Chaiyok!
(. .)
c(”)(”)
1 comment:
teruskan usahamu kak...
Post a Comment