Thursday, March 16, 2006

Dunia Elena

“Esok papa cina akan datang ke sini,” Pakcik Manan bersuara ketika mereka sekeluarga sedang menonton televisyen.

Elena tiba-tiba merasa kecut perut. Peristiwa hitam sewaktu kecilnya dahulu mula mengintai kotak memorinya. Bapa kandung yang seumpama orang asing itu pernah menculiknya sewaktu kecilnya. Rentetan peristiwa itulah yang menyebabkan Elena menghadapi krisis identiti ketika ini.

“Saya tidak mahu bertemu dengannya,” kata Elena perlahan.
“Mama tidak fikir itu adalah tindakan yang bijak. Papa cina ada hak melawat kamu,” pujuk Mama Zaiton.
“Saya tidak suka papa cina,” Elena masih lagi bersungut-sungut. “Bagaimana sekiranya dia melarikan saya lagi?” ujarnya lagi. Pakcik Manan dan Mama Zaiton saling berpandangan.
“Abang akan jaga kamu. Abang akan berada di sisi kamu apabila papa cina datang melawat,” Fariz bersuara tiba-tiba. Dia juga bimbang Ah Wong akan melarikan Elena lagi. Ketika Elena dilarikan dahulu, Mama Cindy dan Mama Zaiton menangis siang dan malam. Dia dan Haryati juga resah-gelisah dengan kehilangan itu. Mereka semua sayangkan Elena.


“Papa cina tidak akan melarikan kamu lagi. Bukankah sudah beberapa kali dia datang ke sini? Dia baik, bukan?” pujuk Pakcik Manan pula. Elena terdiam mendengar kata-kata bapa angkatnya.
“Papa cina juga sayangkan kamu.” Mama Zaiton bersuara lembut.
“Lagipun kamu sudah besar, sudah berat. Papa cina tidak kuat hendak melarikan kamu lagi,” usik Haryati yang sejak tadi hanya mendiamkan diri. Mereka menyambut kata-kata Haryati dengan ketawa.
“Papa cina tidak akan melarikan kamu lagi. Sekiranya dia berbuat demikian, mahkamah serta-merta akan memberikan hak penjagaan penuh kepada mama dan papa,” jelas Mama Zaiton.


Penjelasan Mama Zaiton begitu melegakan hati Elena.
Sejak kecil, Elena sentiasa didedahkan mengenai identitinya yang sebenar. Mama Zaiton, Mama Cindy dan Pakcik Manan tidak mahu Elena terus keliru dengan identitinya.


“Kami jamin, dia tidak akan berani berbuat demikian,” Pakcik Manan bersuara yakin. Hati Elena bertambah tenteram. Kata-kata Mama Zaiton dan Pakcik Manan memang benar.
“Walau apapun, darah yang mengalir dalam tubuh kamu adalah darahnya. Sampai bila-bila hubungan kamu dengannya tidak akan terputus,” Mama Zaiton bersuara lirih. Elena tertunduk mendengar kata-kata Mama Zaiton. Entah mengapa dadanya sebak tiba-tiba.
“Sambutlah kedatangannya dengan baik. Bukannya selalu dia ke mari,” pesan Pakcik Manan pula. Elena hanya mengangguk perlahan.
“Jangan bimbang, esok abang akan jadi pengawal peribadi kamu.” Fariz bersuara sambil mengangkat kedua-dua belah lengannya, bergaya seperti seorang ahli bina badan. Mereka semua mentertawakan gelagat Fariz yang kelihatan lucu dengan mimik muka yang sengaja dibuat-buat.

No comments: