Friday, January 05, 2007

Tertangkap : Alunan Hidup.

“Apa yang kamu semua buat di sana!”

Sedang Kamsiah, Radiah dan Satirah begitu asyik mencabut beberapa batang tebu, tiba-tiba satu suara melaung ke arah mereka. Namun ketiga-tiganya tidak mengendahkan laungan itu. Mungkin mereka memang tidak menyedarinya. Adilah yang sedang berjalan-jalan di sekitar kawasan tersebut, terpinga-pinga seketika.

Kelihatan beberapa orang lelaki di kantin sekolah.

Adilah berpaling ke arah suara laungan itu. Namun dia tidak menduga laungan itu ditujukan kepadanya dan teman-teman. Masih belum jelas pada penglihatannya, siapa yang melaung sebentar tadi.

Adilah terpinga-pinga lagi. Dipandangnya kawasan-kawasan lain yang berhampiran. Tiada sesiapa. Hanya dia dan teman-temannya sahaja yang ada.

“Mari ke sini!” Lelaki yang sedang melaung itu tiba-tiba bangun dari kerusinya. Dia mara ke hadapan.

“Mari!” laungnya lagi.
Kini barulah Adilah dapat mengecam lelaki itu. Cikgu Samad, guru warden asrama putera! Dia juga seorang bekas tentera!

“Kamsiah!”
Panggilan Adilah tidak bersahut.

“Kamsiah!” Sekali lagi Adilah memanggil ketua asrama puteri itu.
“Ada apa?” sahut Kamsiah yang sedang mematahkan sebatang lagi tebu.
“Cikgu Samad ada di kantin,” kata Adilah.

Namun kata-katanya tidak diendahkan langsung oleh Kamsiah, Radiah dan Satirah. Mereka masih terus mengumpul beberapa batang tebu lagi.
“Apa yang kamu buat di sana? Mari ke sini!” Laungan Cikgu Samad kedengaran lagi.
“Kamsiah... Cikgu Samad panggillah!” Kata-kata Adilah kali ini membuatkan Kamsiah terkaku. “Dia panggil kita,” jelas Adilah lagi.
“Dia di mana?” Wajah Kamsiah sudah berubah. Kelihatan seperti tidak berdarah. Satirah dan Radiah juga sudah berhenti dari terus mengumpul tebu-tebu tersebut.
“Dia di kantin. Ada beberapa orang lagi di sana,” jelas Adilah lagi.

Kamsiah menjenguk seketika ke arah kantin. Matanya telah menangkap batang tubuh Cikgu Samad yang sedang berdiri memerhatikan mereka. Sebaik sahaja kelibat Kamsiah kelihatan, Cikgu Samad langsung melambai kepadanya.

“Mengapa kamu berjalan hingga ke hujung blok, tentulah dia melihatmu,” Kamsiah menyalah Adilah.
“Manalah saya tahu ada orang di kantin,” Adilah membela dirinya.
“Marilah kita pergi,” ujar Kamsiah tiba-tiba. Radiah dan Satirah terkebil-kebil dengan arahan ketua mereka. “Lekaslah kutip tebu-tebu itu,” arah Kamsiah. “Kita naik ke kelas tingkat atas,” tambahnya.
“Kamsiah... dia panggil lagilah,” kata Adilah sekali lagi. Kelihatan dimatanya Cikgu Samad sedang melambai ke arah mereka.
“Lekas... mari kita pergi,” Kamsiah mengarah lagi. Radiah dan Satirah akur.
“Cikgu Samad terus memanggil kita, bagaimana?” ujar Adilah. Dia tidak merasa seperti orang yang bersalah.

“Pedulikan dia. Ayuh, lekas!” gesa Kamsiah. Dia cuba bertenang. Radiah dan Satirah sudah mula melangkah. Kamsiah juga mula mengekori kedua-duanya. Namun Adilah masih juga tidak bergerak. Dia teragak-agak.

“Kamsiah!” Adilah memanggil Kamsiah yang sudah semakin jauh meninggalkannya. Sementara itu laungan Cikgu Samad memakin menghampiri. Namun kelibatnya masih belum kelihatan.

“Tunggu dahulu! Jangan lari!” Laungan itu membuatkan langkah Kamsiah, Radiah dan Satirah semakin deras. Adilah pula hanya berjalan seperti biasa. Sesekali Adilah menoleh ke belakang. Kedengaran tapak kaki semakin menghampirinya. Tetapi kelibat orang yang melaung tadi masih terlindung di sebalik blok sekolah.
Adilah teragak-agak samada hendak menyerah diri, ataupun melarikan diri seperti teman-temannya. Dia masih lagi di kaki lima, sedangkan teman-temannya sudah sampai ke tingkat dua. Derap-derap tapak kaki Cikgu Samad pula semakin mendekat.
“Tunggu saya!” laung Adilah.
“Lekaslah!” balas teman-temannya.
“Jangan lari!” Suara Cikgu Samad bagaikan berada di belakang Adilah sahaja. Perutnya terasa kecut.
Tiba di hadapan tangga, sekali lagi terdengar suara laungan Cikgu Samad. Adilah diserkup serba-salah. Akhirnya dia duduk di depan tangga, di balik pokok bunga pagar. Dia terlindung di situ dari penglihatan Cikgu Samad.
Jika dia menaiki tanggan ketika itu, pasti Cikgu Samad dapat menangkapnya. Temam-temannya yang lain semuanya sudah lepas ke atas. Sudah selamat. Dirinya sahaja yang tertinggal. Semuanya gara-gara rasa serba-salahnya.
“Jangan lari!” Cikgu Samad semakin mendekat. Tapak kakinya kian berderap-derap di atas simen.
Adilah memejamkan mata. Jika Cikgu Samad meneruskan langkahnya, pasti dia akan ditemukan menyorok di balik pokok bunga itu. Terasa mukanya panas tiba-tiba. Dia tidak dapat menyelamatkan diri lagi!
Matanya terpejam. Bibirnya digigit-gigit. Tangannya sudah sejuk dingin. Nafasnya ditarik dalam-dalam. Dia nekad. Dia mahu menyerah diri.
Satu... dua... tiga... Adilah bangun. Dan Cikgu Samad yang semakin mendekat segera menangkap kelibatnya. Tiada apa yang mampu dilakukan lagi oleh Adilah kecuali menyerah.
“Mengapa kamu lari?” tanya Cikgu Samad. Wajahnya tidak menunjukkan sebarang reaksi. Malah dia tersenyum pula!

Pertanyaan Cikgu Samad dibiarkan sahaja berlalu tanpa jawapan. Yang mampu dilakukannya hanyalah tersengih dan menunjukkan wajah minta dikasihani.

“Di mana teman-temanmu yang lain?” tanya Cikgu Samad lagi. Adilah sekali lagi diserkup serba-salah. Bibir bawahnya digigit-gigit.
“Di... di....” Muka Adilah sekali lagi terasa panas. Dia menunduk. Tidak sanggup hendak memandang muka Cikgu Samad.

“Di mana?” soal Cikgu Samad lagi. Dia tersenyum.
Senyuman Cikgu Samad meyakinkan Adilah bahawa mereka tidak akan dikenakan hukuman.
“Di atas, cikgu,” tiba-tiba terpacul kata-kata Adilah. Cikgu Samad menarik nafasnya kelegaan.
“Mengapa kamu curi tebu itu?” Cikgu Samad bersuara lagi.

“Kami tidak curi. Kami hanya mengambil sahaja.” Terkebil-kebil mata Adilah memandang Cikgu Samad. “Lagipun saya hanya menemani mereka,” ujarnya lagi. Tanpa sedar, dia berpaling tadah!

“Lebih tepat lagi, kamu bersubahatlah?” ujar Cikgu Samad. Dia menggeleng kepala beberapa kali. Adilah hanya mampu tersengih.

Pelajar-pelajar lain sudah sering mengambil tebu di situ, namun tidak pernah tertangkap. Dirinya yang hanya bersubahat ini pula yang terkena. Orang yang mengambil, atau lebih tepat lagi mencuri tebu buat kali pertama, sudah lepas ke atas.
Cebisan kisah ini belum diedit bahasa.

2 comments:

ayu_mkay said...

cebisan kisah dr 'Alunan Kasih' ke ni AN? ada sambungan lagi tak? klu ada jgn lupa sambung ekk..hehehe.

Unknown said...

kak ayu, boleh je. Tapi letih le nak sambung sbb terlalu panjang. Silap ari bulan, dua taun pun x habis2. Tapi kalau nak tau cerita ni sekali gus, eloklah dapatkan di pasaran. hehehe...