Wednesday, April 25, 2007

Pada sepertiga malam...

Rintik-rintik hujan masih menimpa-nimpa atap zink yang sudah hilang kilaunya, yang sudah coklat berkarat warnanya. Titik-titik air yang mencucur dari lubang-lubang kecil zink yang semakin rapuh, jatuh bertimpa-timpa ke dalam sebuah besen plastik. Irama kecil terhasil, kala titik-titik air itu berlumba-lumba memenuhi bekas.

Di atas pangkin lama itu, Mah berlunjur kaki menghadap tingkap yang separa terbuka. Terasa butir-butir halus air hujan mencemar wajah dinginnya. Pangkin lama peninggalan almarhum ayahnya masih kekal di situ seperti lima tahun dahulu, sewaktu ayahnya mewariskan gelaran sebatang kara, hadiah untuk dirinya.

Mah masih menatap hujan yang masih belum mahu berhenti. Alam dikelubung dingin sepanjang hari, sedingin riwayat hidup Mah sejak ayah tiada. Titik-titik hujan itu umpama tangisan Mah yang tidak mampu lagi untuk dizahirkan. Tangisan hati Mah tiada siapa yang dapat mendengar. Bumi masih lagi sudi dibasahi hujan, namun air mata Mah sudah tidak sudi lagi membasahi pipinya. Kontang.


Tiba-tiba...


- BUZZ!
Tido2!

+ Hek? Akak tak tido lagi? (Hampir 2.00 pagi)

- Tadi dh tido.

+ Nak tahajud ker?

- Kena bangun. Nak solat Isyak.

+ he he he... (tiba-tiba mata terasa mengantuk.)


p/s : Kak, rajin betul buka PC jam 2 pagi? Cari ilham pada sepertiga malam ya? He he he.... gurau-gurau, jangan marah, ya.

Friday, April 20, 2007

Janji Abadi


Selafaz janji

mematri cinta

sebuah hakikat sudah terikat


Sebuah hantaran permata kasih

tertitip seiring ijab


Sekuntum cinta

seraut sayang

pengubat lara

di kala badai menggila


Nur kasih menyala sudah

berderang di mahligai impian


Moga abadi

selagi denyut nadi

belum terhenti.

Tuesday, April 17, 2007

Kesimpulan?

Sekarang saya adalah penulis novel remaja. Betul ke dah jadi penulis ni? :P
Dalam masa yang sama saya juga ingin menulis novel-novel pop dan ringan (yang dikatakan novel bakul sampah?). Dalam perancangan, saya juga ingin menulis novel dengan gaya sastera. Kalau tak sastera sangat pun, sekurang-kuranga ada bau-bau sikit pun jadilah.
Saya terfikir-fikir di mana cabang saya sebenarnya. Penulis novel remaja? Sastera? Pop? Di mana saya akan dikelaskan?
Sebenarnya saya ingin mencuba semua genre. Bagi saya ia akan menguji kebolehan dan kemampuan diri. Mengukur tahap kreativiti dan keupayaan. Saya bukan tamak tetapi saya suka mencuba dan belajar. Itu saja.
Seorang sahabat berkata, jadi penulis prolifik dan versetile. Saya bersetuju dengannya. Memang mudah kalau semua orang berfikir seperti dia. Dan hakikatnya saya juga ingin begitu.
Ada seorang sahabat lain berkata, jangan pedulikan kata-kata orang. Saya juga bersetuju dengannya. Kalau boleh saya memang tak mahu dan malas ingin memikirkan kata-kata orang.
Kesimpulannya?
Entah, kerana belum ada kesimpulan. Tapi jawapannya perlu diputuskan dengan cepat dan tepat.
Atau perlu buat istikharah dulu? Emm...

Thursday, April 12, 2007

Wednesday, April 11, 2007

Alahai... fesyen!

Gedung pusat membeli belah tersohor itu saya jejaki. Hasrat nak beli sehelai dua baju baru. Maklumlah, dah makhluk yang komplen, asyik-asyik saya pakai baju yang sama saja. Itu saja yang ada. Beli baju banyak-banyak pun nak buat apa kalau sekadar nak penuhkan almari, kan?
Maka pada petang yang bersejarah itu saya pun dengan rasa gumbiranya membelek-belek baju-baju di gedung itu. Maklumlah... ada orang yang tukang bayar. he he he...
Semasa saya asyik membelek-belek calon baju baru pun, masih ada orang yang tampal poster budak lelaki yang hilang itu. Semoga dia cepat ditemukan kembali. Amin.
Berbalik cerita baju ni, baju lengan panjang jadi pilihan. Sehelai dua baju lengan panjang dibelek. Tapi...
Saiz S, jangan dipandang. Sia-sia saja. Saiz M? Uuh... muat ke ni? Saiz L? Hek... mirip saiz M saja. Akhirnya saya belek saiz XL. Heh... saiz XL? Kenapa kecil juga?
"Ini semua cutting kecil, dik." Kakak yang tukang jaga bahagian itu beritahu saya. "Yang ini cutting besar." Kakak itu tunjuk ke arah baju yang saya mahukan.
Hmm... cuma ada tiga warna saja. Tak banyak pilihan. Yang cutting kecil tadi macam-macam warna ada!
Hajat nak dapat dua helai, akhirnya cuma dapat sehelai. Hikmahnya, jimat duit.
Kebanyakan fesyen sekarang mendorong wanita mendedahkan 'harta' peribadi mereka. Tak banyak pilihan untuk muslimah. Kalau nak yang sesuai, perlu ditempah. Tempah lebih mahal. Lebih mahal dari harga kainnya. Pakaian muslimah yang dah siap pulak, agak mahal. Bukan saja di gedung tersohor, di kedai-kedai kaki lima pun sama saja!
Apa pilihan yang ada untuk kami? Agenda yahudi!

Friday, April 06, 2007

Sekuntum Cinta


Redup matanya
nyaman di hatiku
Senyuman merekahnya
pelangi duniaku
Mersik suaranya
irama melankolik dalam jiwaku.

Sejambak kasih sekuntum rindu
Gubahan cinta untukmu.

Monday, April 02, 2007

Cakap Ayam, Cakap Itik dan Aksi Stunt.

Hari ini, seperti yang dijanjikan, kontraktor datang ke rumah kami kerana mahu membaiki kerosakan yang kami adu sejak... entah, lupa sebab dah lama sangat. Hmm... hari ini baru terhegeh-hegeh datang.
Datang bersama kontraktor Cina itu, dua pekerjanya, seorang dari Tanah Besar China dan seorang lagi jejaka dari Tanah Seberang.
Dua pekerja itu ditinggalkan oleh ketua mereka. Maka bermulalah kerja-kerja mereka. Ukur-mengukur, potong-memotong.
Sampai waktunya mereka bercakap-cakap, berbincang-bincang. Seorang, "cong ceng ceng cong", sambil tangan terawang-awang menerangkan sesuatu. Seorang lagi, "begini loh, anunya dibikin begini," sambil tangan turut terawang-awang menunjukkan tingkap yang akan dibaiki.
Tidak lama kemudian, "Aduh, susah betul. Saya cakap lain, dia buat lain." Pekerja jejaka Indon tu bersungut-sungut sambil geleng-geleng kepala. Kemudian dia ketawa.
Tidak lama selepas itu, masing-masing sibuk agah-agah abang dan adik yang sejak tadi sibuk-sibuk menonton kedua-dua pekerja itu melakukan kerja.
Yang seorang, "harg... harg... ceng cong cong ceng," sambil ketawa melayan si abang dan si adik.
Yang seorang lagi, "hayooo... jaga-jaga, saya mau kejar," sambil konon-konon mahu menangkap dua budak kecil itu.
Si abang dan si adik pun bukan main seronok lagi bermain dengan kedua-dua pekerja itu, walaupun mereka tak faham bahasa yang dituturkan oleh kedua-dua pendatang asing itu.
Kami pula, "Hmmm... kalau asyik main dengan budak-budak tu, bila nak siap kerja."
Setelah puas mengukur-ukur dan berbincang dengan bahasa ayam-itik, mereka pun mengambil tali keselamatan. Kerja-kerja pun bermula. Tapi... mak oiiii! Bahaya sungguh! Ambil tali keselamatan, tapi kedua-duanya cuma buat kerja sambil bertenggek di atas tempat aircond di rumah kami di tingkat tujuh ni. Tali tadi cuma tergeletak di atas lantai. Aksi maut ala-ala aksi stunt. Yang si mamat Indon ni paling ngeri sekali. Betul-betul mencangkung atas tebing! Kalau dijentik sekali, sah-sah melayang ke bawah. Yang dari Tanah Besar tu pulak, kakinya terjuntai-juntai keluar dari tingkap bilik kami. Tangan berpaut sedikit pada grill.
Takut juga kalau si abang atau si adik pakat-pakat geletek kedua-dua pekerja tu. Nahas jawabnya.
Kami tarik nafas lega sebaik sahaja mereka menyiapkan kerja. Fuuuh...!