Tuesday, May 22, 2007

Surat Untuk Mak

Kehadapan mak yang masih dihormati walaupun sudah tidak terasa ingin mengasihi. Maafkan kekasaran dan kelancangan kakak buat kali yang ke… entah, sudah tak larat nak kira lagi.

Mak,
dulu-dulu kakak sanjung mak, hormat dan sayang mak. Sangat-sangat. Kalau ada manusia yang mencerca dan menyakiti mak, kakak akan terasa sakit dan pedihnya. Kalau tuduhan dan tohmahan bertimpa-timpa menghentak batu jemala mak, kakak turut terasa hentakannya. Dulu-dulu.

Dulu-dulu kakak terasa betapa tuah menyaluti diri kakak apabila dapat bernaung di bawah payung mak, saat hujan renyai-renyai menghalang perjalanan kakak. Tumpang berteduh dalam rumah agam mak yang tersergam megah dan gah, bekerja di restoran mak yang taraf berbintang-bintang, membuatkan kakak meraup tangan ke wajah dengan penuh kesyukuran. Mak hulurkan tangan waktu kakak tak tahu ke mana arah tuju hidup kakak. Kakak bersyukur. Terima kasih. Kakak akan ingat sampai bila-bila.

Cuma, insiden-insiden yang bergiliran terjadi membuatkan hati kakak hancur dan punah, berderai-derai. Mungkin buat mak, semuanya khilaf kakak. Kakak. Kakak. Kakak. Bukan salah adik. Adik manis. Adik pandai. Adik terpelajar. Juga adik rajin kerja.

Ya, memang antara kakak dengan adik terlalu luas jurang bezanya, mak. Bagaikan Air Terjun Niagara dengan Air Terjun Ulu Yam. Bagaikan gagak dengan merak. Bagaikan pondok buruk bonda dengan rumah agam mak.

Tapi kakak lebih berpengalaman daripada adik. Memasak bukan boleh pandai sebulan dua belajar. Memasak bukan hanya perlu tahu sukatan dan anggaran. Memasak juga perlu ada seni, ada pengalaman dan ada kreativiti. Kakak sudah lama memasak. Banyak sudah kakak menerima pujian dari mereka yang pernah merasa olahan kakak. Kakak bukan perasan sendiri. Dan kakak juga bukannya nak berbangga atau mendabik dada.

Mak,
Kakak cuma mahu mengajar adik. Adik baru saja belajar memasak. Mengawal dapur pun adik masih kekok. Potong bawang pun adik masih canggung. Kakak dengan rela hati curahkan ilmu dapur kepada adik. Kakak bukan nak tunjuk pandai. Kakak pun bukannya rajin sangat nak mengajar-ajar. Cuma bagi kakak, apa salahnya berkongsi pengetahuan yang sedikit itu kepada orang lain.

Mak,
Pada mulanya adik boleh terima apa yang kakak ajar. Adik ikut saja. Malah adik puji yang kakak memang pandai. Mula-mula adik hormat kakak. Tapi entah kenapa tiba-tiba adik berubah jadi sombong. Mungkin sebab adik rasa tercabar. Maklumlah, adik pandai. Ada sijil itu ini. Sedangkan kakak, sijil nikah saja yang ada. Adik mula pertikaikan apa yang kakak beritahu. Pandangan kakak semua adik tolak. Semua kerja yang kakak buat, serba tak kena di mata. Macam-macam alasan adik berikan untuk tolak hujah kakak.

Adik kata, cik adik jiran sebelah tu beritahu tak boleh buat begitu, jangan buat begini. Kenapa adik ikut cara kerja orang? Cara kerja mereka tentulah tidak sama dengan cara kerja kita. Resepi yang mak ajar tentu berbeza daripada resepi jiran sebelah. Kalau kakak cakap, ada saja hujah adik. Hairan bin pelik, semua hujah yang adik kemukakan itu merujuk kepada kata-kata cik adik jiran sebelah dan bukan dari buah fikiran adik sendiri, bukan pandangan adik sendiri. Sedangkan apabila kakak tanyakan kepada cik adik jiran sebelah, dia pun bersetuju dengan hujah kakak. Adik memang terbukti ego!

Mak,
Kakak tak sanggup memberi makan kepada para tetamu kita dengan masakan yang tidak enak disapa lidah, tidak serasi aroma dan adunannya. Kakak belajar dari kesilapan silam. Dulu-dulu masakan kakak teruk dikritik, malah diluah ludah merata-rata, di mana-mana. Ada juga yang sanggup memuntahhijaukannya di dalam longkang busuk dan hanyir bacin. Kakak malu, malah kakak rasa bersalah. Kasihan para tetamu kita, mak. Makanan di restoran kita mahal belaka. Maklumlah, restoran ada bintang! Mak tak malukah para tetamu mencebik jijik. Sekali merasa, mereka tidak akan kembali mencuba lagi masakan kita, mak.

Mungkin disebabkan adik mula meluat pada kakak yang pada kiraannya suka menunjukkan pandai ini, dia mula sekat upah kakak bekerja di restoran mak. Maklumlah, adik sudah naik pangkat. Belang adik bertambah-tambah sejak itu. Adik mula dulukan gaji kepada pekerja yang lain, yang bukannya pandai sangat buat kerja. Sampaikan gaji kakak adik tahan sampailah berakhirnya hari raya. Kakak terlalu sedih, mak. Kakak betul-betul harap untuk bawa gaji itu dan berikan kepada bonda di kampung bagi persiapan hari raya. Sampai hati adik buat macam tu.

Kakak tidak tahan lagi. Kakak malu untuk hidangkan makanan yang rosak rasanya kepada tetamu. Kakak tidak sanggup lagi direndah-rendahkan dan ditindas oleh adik. Mengapa adik bersikap begini? Mungkin kerana adik tidak ada pertalian apa-apa dengan kakak. Dengan rela hati, kakak mengundurkan diri.

Mak,
Kakak tidak sudi lagi dipertanggungjawabkan mengenai hal-hal dapur. Adik sudah terlalu pandai, malah ‘terlalu’ pandai daripada kakak. Sehingga masakan di dapur yang binasa rasanya itupun hendak digalaskan kekhilafannya di atas pundak kakak. Walhal itu kesilapan adik sendiri, yang sudah berkali-kali kakak nyatakan kepadanya. Adik memang tidak mendengar kata! Adilkah itu, mak?

Kakak terlalu terhiris. Luka gurisan itu semakin dalam dan sakit sesakitnya apabila mak sendiri memarahi kakak berkali-kali kerana menegur sikap adik. Mak tidak nampakkah kesalahan adik? Bukankah sudah jelas terbukti di depan mata mak? Rupa-rupanya kakak jugalah yang salah di mata mak. Anak kesayangan mak itu sedikit pun tidak boleh dicubit jentik. Walaupun cuma cubit-cubit manja. Tak mengapalah mak. Tekad kakak sudah bulat, hasrat kakak sudah kejap. Kakak mesti tegar. Rezeki ada di mana-mana. Itulah azimat yang kakak pegang kini.

Akhir kata dari bekas anak pungut mak ini, semoga mak sentiasa sihat walafiat dan menjadi bertambah kaya raya. Semoga restoran mak semakin bertambah sinar bintangnya. Mengerdip-ngerdip di segenap buana.

Sekian, wassalam.

Anak Pungut Mak,
Kakak.

17 comments:

MYA MARJA said...

Pendukung watak:

Kakak - Penulis entri/bekas tukang masak restoran;
Mak - Emak angkat penulis/pemilik restoran;
Adik - Anak manja emak angkat;
Bonda - Emak sebenar penulis.

Latar waktu:
Sebelum jadi novelis

Latar tempat:
KL kot..

Sesungguhnya kenangan mendewasakan.. ziarahi bonda di kampung.. hadiah termahal buat bonda..

Unknown said...

Aininaufal, u buat kak menangis. Jangan ikut hati sayangku. Memaafkan itu lebih baik.

Yang bernama Siti said...

Ainin,
Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Moga keputusan yang dibuat penulis surat ni keputusan yang menjana rahmat Allah, bukan laknat Allah.

Sastri said...

Sedih nadanya surat ini... Harap Kakak dapat bersabar, anggaplah ia dugaan... take care yea...

Anonymous said...

sedih tulisannya. tersentuh hati di waktu petang begini. kisah benar?

emmm tak pe banyakkan sabar. pengalaman mendewasakan. pasrah & redha adalah lebih baik. memaafkan adalah yang terbaik.

~ kak ila ~

Unknown said...

Kakak... Opah paham apa yang kakak rasa. Opah mintak kakak banyak-banyakkan bersabar. Kakak jugak kena faham apa yang kakak tulis tu... rezeki ada di mana-mana. Kan dah makin banyak restoran di buka dan kenapa kakak tak cuba menghantar resepi ke restoran yang termasyhur di alaf ini? Manalah tahu, tuan punya restoran suka... rezeki kakak semakin melebarlah jawabnya.
Hmm... opah dok termimpi-mimpi kakak ketawa bahagia.

Abang Long said...

Wahai Adinda Ainin. Terasa sebak didada, kerana kisahnya tidak jauh berbeza dengan kehidupan seorang lelaki yang menitipkan kata - kata disini. Besrabarlah. Ibu tetap seorang IBU.

Achik_Sufi said...

erm...takut gak nak komen entri kali nie, takut tersalah kata atau tersilap bicara...tapi ape2 pun, semua yang bergelar ibu nie kita anggapkan seperti ibu kita sendiri, dan setiap yang bergelar adik kita anggapkan seperti adik kita sendiri. allah ma'aki..

DeeN said...

Oh! Sedihnya. Ini memang kisah kak Ainin ke? Maaf saya tak tahu. Ya! Memang benar, ibu angkat dan ibu kandung sangat berbeza.

Akak, chaiyokkK!!

Unknown said...

Kang Mya,
Nampaknya meleset sama sekali. Sekadar analogi sebenarnya.

Ya, bonda memang sentiasa kurindu. Dan dialah satu-satunya. Cuma kini syurgaku di bawah tapak kaki suami.

Kak Zalisa,
Memaafkan itu lebih baik. Terima kasih.

Kak Siti,
Betul, yang terjadi pasti ada hikmahnya. Semoga yang berlaku itu mengundang lebih banyak rahmat dan barakah Ilahi. Amin.

Sastri,
Inilah ragam hidup. Bukan selamanya kita berduka dan bukan sepanjang hayat kita gembira. Semoga kita semua bahagia.

Kak Ila,
Betul tu. Pengalaman banyak mendewasakan. Tapi ramai juga manusia yang tak sudi belajar daripada pengalaman.

Terima kasih.

Kak Opah,
Betul tu. Bumi tuhan ni luas dan rezekiNya juga melimpah ruah. Sudah pasti Kakak akan berusaha gigih untuk mengecap apa yang dicitakan. Terima kasih.

Kanda Long,
Tak sangka kanda ada pengalaman yang sama. Ya, betul. Bersabar dan berusaha. Semoga bertambah jaya.

Achik,
Haha... betul apa yang achik cakap tu. Cuma adik kandung tentu tak sama dengan adik tumpang. Ibu kandung tentu lebih sejati kasih dan cintanya daripada ibu angkat. Ibu angkat cuma suka 'diangkat-angkat' saja. Sapa yang rajin 'mengangkat', dialah yg dapat banyak manfaat.

Nurra,
Terima kasih banyak. Chaiyok! Chaiyok! Chaiyok!

blackpurple @ jowopinter said...

Hikmah itu datang tak dijemput, datangnya senyap-senyap dan tidak memperkenalkan diri...

Serendah mana kejian untuk ibu, mahkotanya tetap di tempat yang paling tinggi..

Mungkin komen ini kurang menepati intipati entri, cuma suka-suka beranalogi.. :D

Anonymous said...

Semoga kita berjaya semua hendaknya dalam bidang yang kita minat ini! Amin, terima kasih atas sokongan kau.

MYA MARJA said...

Dik Nin,
Mengapakah babak tersebut di atas tiada di dalam 'Alunan Hidup' garapanmu? Hmm... Sikit-sikit sudah dapat kuagak analogi itu...

Unknown said...

BP,
Ya, tepat sekali walaupun tidak menepati intipati entri. Tak mengapa... TQ

SF,
Amin, semoga kita semua berjaya. Tahniah sekali lagi.

Kang Mya,
Oo... babak ini memang tak ada di dalam sana. Mungkin boleh dicatat dalam naskhah lain. :D

Anonymous said...

"Sekali terluka...parutnya tetap ada....."

Unknown said...

Ya, memang betul. Parut di luar boleh buat plastic surgery, tapi parut di hati, silap hari bulan boleh berdarah kembali. Kan?

Imran Yusuf said...

Puan Ainin Naufal,

Banyak-banyak bersabar, tetapi di dalam bersabar...boleh lah hantar resipi puan itu ke restoran yang terkenal di Alaf ini (seperti cadangan Opah De tu)..ehehehe.