Monday, October 29, 2007

Kelas Bahasa Cikgu Odah.

Assalamualaikum, murid-murid semua. Hari ini Cikgu Odah nak bincangkan sedikit mengenai masalah dan kekeliruan murid-murid semua. Hal ini agak berlarut-larutan semenjak dua tiga menjak ni. Malah lepas musim raya ni, semakin bertambah-tambahlah pulak kekeliruan murid-murid cikgu yang dikasihi ni. Apa sebabnya? Oh, agaknya anak-anak murid cikgu ni masing-masing dah terlebih makan kuih raya kot?


Baiklah. Cikgu pun tak mahu nak meleret-leret berleter panjang-panjang. Takut pulak kalau-kalau anak-anak murid cikgu naik bosan.


Jamilah, Syafiq, Mirza, Melah Melia, dan yang lain-lain tu, fahamkan betul-betul. Fokus. Ya, fokus. Jangan pulak nak main tic tac toe kat belakang tu.


Setelah Cikgu Odah perhatikan, ramai anak-anak murid cikgu ni yang keliru betul dengan penggunaan koma (,) terutamanya selepas dialog. Hmmm... naik kering dakwat pen merah cikgu menandakan kesalahan ni.


Baiklah, cikgu sertakan petikan dari Panduan Bahasa yang cikgu dapat dari KARYANET.


Tanda koma digunakan untuk memisahkan petikan langsung daripada bahagian lain dalam ayat.


Misalnya:

1. Kata ibu, “Saya gembira sekali.”

2. “Saya gembira sekali,” kata ibu, “kerana kamu lulus.”


Cuba murid-murid semua perhatikan. Cikgu rasa ramai yang mahir dalam penggunaan koma untuk ayat pertama, tapi untuk ayat kedua, hmmm... boleh dibilang dengan jari.

“Saya gembira sekali,” kata ibu, “kerana kamu lulus.”


Yang bertanda merah itu adalah satu ayat dalam satu dialog, tapi dipisahkan menjadi dua. Oleh sebab itulah pada permulaan dialog kedua dimulakan dengan huruf kecil.


Sebenarnya ia boleh ditulis begini: “Saya gembira sekali kerana kamu lulus,” kata ibu.

Manakala; “Saya gembira sekali,” kata ibu, dan “kerana kamu lulus.” adalah bahagian-bahagian daripada satu ayat.

Manakala;

“Saya gembira sekali kerana kamu lulus,” kata ibu. “Kamu mesti kekalkan pencapaian ini,” tambahnya.

Kedua-dua dialog di atas adalah daripada ayat yang berlainan. Senang cakap, kedua-dua dialog adalah daripada dua ayat berasingan;


Ayat Satu : “Saya gembira sekali kerana kamu lulus,” kata ibu.

Ayat Dua : “Saya harap kamu kekalkan pencapaian ini,” tambahnya.


Oleh kerana penuturnya adalah orang yang sama, maka kedua-dua dialog itu ditulis dalam satu perenggan.


Paling penting, murid-murid perlu kenal pasti sama ada dialog-dialog itu adalah satu ayat ataupun tidak, barulah kita tahu nak letak koma atau noktah dihujungnya.


Jamilah, faham? Ish... budak Jamilah ni asyik terlopong saja. Melah Melia... jelas? Hmm... Melah Melia ni bagus. Kalau ada topik yang mengelirukan, cepat-cepat saja mengekor cikgu sampai ke bilik guru. Contohilah Melah Melia, ya.

Kalau murid-murid semua masih tak faham ataupun keliru, cikgu alu-alukan untuk bertanya secara peribadi di bilik guru. Cikgu jamin cikgu tak akan marah. Cikgu tak kisah. Aiman pun tak kisah.


Kalau murid-murid masih juga tak faham-faham, tak payahlah nak cerai-beraikan dialog tu. Itu eksen namanya. Tulis sajalah dalam satu pembuka dan penutup kata. Bahasa kampungnya, tulis sajalah dalam satu dialog! Jadi murid-murid semua tak adalah pening-pening atau migrain nak memikir sama ada yang murid-murid semua tulis tu betul atau salah. Tak adalah lagi murid-murid cikgu yang bising-bising dan komlen kononnya cikgu salahkan yang betul. Taklah cepat benar kering dakwat pen merah cikgu ni menanda buku karangan kamu semua. Kalau tak faham, lebih baik tanya. Kalau tak mahir-mahir juga, tulislah cara yang senang. Jangan cari penyakit. Silap hari bulan, markah karangan tu cikgu potong-potong pulak.


Cikgu ni bukanlah pandai sangat pun. Maklumlah, cikgu pun cuma cikgu ganti. Masuk hari ni baru 41 hari cikgu mengajar bahasa Malaysia menggantikan Cikgu Kiah yang cuti bersalin. Ada baki 19 hari lagi cikgu akan duduk di kerusi Cikgu Kiah tu. Apa pun, itulah ilmu yang dapat cikgu cedok sepanjang 41 hari cikgu mengajar bahasa Malaysia ni. Jadi kalau-kalau ada cikgu-cikgu besar bahasa yang lalu-lalang di kelas Cikgu Odah ni, silalah berikan kuliah percuma untuk Cikgu Odah dan anak-anak muridnya ni, ya. Semoga Cikgu Odah dan murid-muridnya ni bertambah pandai, cemerlang, gemilang, dan terbilang.

9 comments:

Unknown said...

Selamat pagi Cikgu Odah...
Saya pelajar baru. Saya tak tahu format sebegini juga boleh dilakukan untuk membahagikan satu dialog kepada dua (ie “Saya gembira sekali,” kata ibu, “kerana kamu lulus.”)iaitu penggunaan koma selepas perkataan ibu. "Terima kasih, Cikgu Odah," kata saya, "kerana jasa baik cikgu ini."

MYA MARJA said...

Assalamualaikum,

Saya juga murid baharu Cikgu Odah. Terima kasih, cikgu! Esok lusa jangan lupa masuk ke dalam kelas ini lagi, ya. Ada sembilan belas hari lagi tau. Mesti banyak ilmu baharu yang cikgu mahu titipkan kepada kami semua. Ilmu yang biasa-biasa saya sudah tahu sebab banyak juga buku cerita yang Cikgu Odah tulis saya selesai baca.

Sastri said...

terima kasih cikgu... sas ni memang lemah sikit bab bahasa nih... malu dengan keadaan tu tapi tak malu nak belajar... :D

blackpurple @ jowopinter said...

Maaf cikgu Odah. Hari ini saya masuk kelas lambat sikit, basikal saya pancitlah cikgu.

Terima kasih cikgu atas tutorial itu. Nanti saya akan praktikkanlah ya. Maklumlah saya bukan penulis. Saya cuma main tulis saja.

Anonymous said...

Ketua Darjah Oshun,
Selamat pagi. Oh, memang boleh selagi pakar bahasa kata boleh. Ya, sama-sama. Cikgu pun baru belajar juga. hehehe.

Cikgu Besar Kang Mya,
Eh, sejak bila pula cikgu jadi murid saya ni? Bukankah cikgu yang patut jadi cikgu saya? Apa? Cikgu banyak baca karangan saya? Alamak, tak sangka pula ada peminat. Hehe... maaflah, cikgu. Saya terperasan sikit.

Sastri,
Tak apa. Kalau tak tahu mesti belajar. Teruskan datang ke kelas cikgu. Jangan ponteng tau.

BP,
Hai, kalau lambat masuk kelas, ada saja alasannya. Hmm.. kena tahu juga tu. Inikan bahasa kita. Praktislah dalam karangan maya tu. Tak salah.

Abang Long said...

TERIMA KASIH Wahai Adinda Sifu. Ops, TERIMA KASIH CIKGI.

Hari ahad ni ada kelaskah ?

Anonymous said...

Hehehe macam cikgu sekolahlah kau ni ....

SF

Anonymous said...

Abg Long si Murid Veteran,
hehe... sama-sama.

Cikgu SF,
Laa... cikgu ganti pun kira cikgu jugalah tu.

Maaflah, murid-murid. Cikgu gendang, jiran depan rumah Cikgu Odah tiba-tiba terrmasuk dalam kelas cikgu. hahaha.

DeeN said...

Terima kasih cikgu!

Er.. dah lama tak ke mari. Sudah ada kelas bahasa ya? Best lah!