Thursday, October 04, 2007

Melah Melia2 : Nak Pandai Punya Pasal.

Sewaktu makan malam, Melah Melia dan Syamimi turun bersama-sama seperti selalu. Malam itu menu makan malam yang disediakan untuk mereka adalah sajian ikan, sayur sawi dan buah limau.

“Sawi lagi?” Kedengaran suara Syamimi merungut-rungut.
“Limau lagi?” Norzila juga merungut-rungut.

Hampir setiap hari mereka disajikan dengan sayur sawi. Hari ini sawi masak lemak, esok sawi goreng pula. Agaknya pekebun sayur tidak tanam sayuran lain. Atau mungkin juga pekerja dapur asrama mereka hanya kenal sayur sawi saja? Limau yang dijadikan pencuci mulut ini pun belum tentu manis. Setiap hari limau, limau dan limau lagi.

“Tak mengapa. Pelajar tahun peperiksaan macam kita memang elok makan sayur-sayur hijau dan buah-buah yang tinggi kandungan vitamin C,” Melah Melia bersuara.

Mereka bertiga mengambil tempat sederet, lalu mula menikmati hidangan makan malam mereka. Melah Melia makan tanpa banyak soal, manakala Norzila dan Syamimi nampak macam orang yang sudah kenyang. Sayur sawi masak lemak itu cuma diambil kuahnya saja. Melah Melia pula begitu selera menghabiskan sayurnya.

“Err... kenapa tak makan sayur?” soal Melah Melia.
“Awak mahu?” pelawa Syamimi. Melah Melia mengangguk. Pantas Syamimi mencedok sayur sawinya lalu diisi ke dalam dulang Melah Melia.

“Rugi awak tak makan sayuran hijau. Makan sayur hijau, dapat meningkatkan IQ kita,” ujar Melah Melia.

“Apa kaitannya sayur hijau dengan IQ?” Norzila hairan. Selama ini dia pernah dengar, kalau nak tingkatkan kecerdasan otak, makanlah kismis.

“Zat besi daripada sayuran hijau dapat meningkatkan pembentukan sel darah merah. Salah satu komponen yang ada dalam sel darah merah adalah hemoglobin. Kalau kita kekurangan hemoglobin, oksigen tak dapat dibekalkan secukupnya ke seluruh tubuh kita termasuklah ke bahagian otak. Otak yang tidak menerima bekalan oksigen yang cukup, tidak dapat bekerja pada tahap yang sepatutnya. Itu membuatkan IQ menjadi rendah,” jelas Melah Melia seperti seorang pakar pemakanan.

“Dalam ikan ini pun ada kandungan zat besi. Tapi kalau ditambah dengan sayuran, makin bertambahlah kandungan zat besi yang kita ambil,” ujar Melah Melia lagi.

Syamimi dan Norzila ternganga. Adakah ini Melah Melia atau Prof. Melah Melia?
“Dari mana awak tahu?” soal Norzila.

“Abang saya yang beritahu. Dia berikan artikel tentang pemakanan untuk kecerdasan IQ dan minda kepada saya,” jelas Melah Melia sambil mencubit daging ikan jaketnya.

“Kalau macam itu, saya ambil semula sayur sawi saya.” Syamimi mencedok semula sayur sawi yang diberikan kepada Melah Melia tadi.
“Buruk siku!” ejek Norzila. Kalau begitu, aku perlu habiskan sayur sawi ini. Err... tapi takkan sayur sawi saja setiap hari? Ish...

Dalam keterpaksaan, Syamimi dan Norzila sama-sama menghabiskan sayur sawi mereka. Terpaksalah mereka buat muka bodoh dan cuba membayangkan sayuran yang mereka kunyah itu adalah sayur asparagus ataupun brokoli ataupun kacang manis. Dengan penuh penyeksaan, akhirnya kesemua sayur-sayur itu mendarat dengan selamat ke dalam perut mereka. Syukur....

“Limau ni masam. Awak mahu?” pelawa Norzila kepada Melah Melia.
“Mahu. Kita perlu banyak vitamin C untuk membantu penyerapan zat besi,” terang Melah Melia lagi.

“Oh, kalau begitu limau ini saya makan saja.” Norzila terus mengupas limau itu lalu memasukkan seulas ke dalam mulutnya. Syamimi juga ikut mengunyah limau masamnya. Berkerut-kerut muka mereka bertiga menahan rasa masam limau itu. Semuanya gara-gara vitamin C, gara-gara ingin jadi pintar.

Setiap hari perlu makan limau masam ini? Alamak! Kenapa dengan mak cik tukang masak ni? Sudah tak kenal buah lain?
“Boleh kami pinjam artikel tu?” tanya Norzila. Teringin juga dia membaca artikel yang dikatakan oleh Melah Melia.

Melah Melia angguk-angguk. Dia suka berkongsi pengetahuan dengan rakan-rakan yang lain. Walaupun sedikit ilmu yang dikongsi, tapi itu sudah memadai. Kalau tahu sedikit, sampaikan sedikit. Menyampaikan ilmu walaupun sedikit, tetap dapat pahala

9 comments:

blackpurple @ jowopinter said...

Saya suka entri ini sebab saya sangat suka buah limau. :D

Limau menang banyak kandungan vitamin Cnya. Tapi saya hairan juga kerana ramai yang tak suka makan limau, kata, masamlah, pahitlah, macam-macam. Sedangkan vitamin C itu salah satu unsur antioksidan yang penting untuk melawan radikal bebas yang menyebabkan barah dsb..

Dan kalau saya tak silap, kulitnya juga ada bioflavonoid, juga sebagai antioksidan yang berkesan.

[macam lari topik pula komen saya ini kan...] :D

Unknown said...

Saya juga sangat suka buah limau. Buah limau sangat bagus untuk orang-orang yang selalu ada masalah sembelit. Kalau hendak sentiasa langsing pula, makanlah limau yang masam rasanya. Tentu kita akan cepat kurus.

Hahaha... budak sekolah sudah kembali!

Abang Long said...

Wahai Adinda Sifu Ainin. Sayuran dan ulam adalah menu utama sajian dirumah abang long.

Sastri said...

err... buah limau, kalau manis saya mamam, kalau masam, memang tak boleh nak mamam... kalau mamam gak, sakit perut la akibatnya...

Anonymous said...

sedapnya sawi tapi kalau buh dalam mee gorenglah. kalau buat sayur ada kureng skit.

buah limau pun sedap gak nak plak kalau di blend, amik jusnya buh aisbatu... fuuuhh sejuk je lalu kat anak tekak.

waras yo?

:)

MYA MARJA said...

Assalamualaikum,

Akhirnya Melah Melia menjadi seorang editor dan penulis novel sekali gus. Yuuhoo...

Dulu kata dah berhenti, sibuk katanya. Sekarang duduk lagi di kerusi itu.

Anonymous said...

Selamat hari raya ainin .. hehehe
mana kena kutuk tu, aku minta maaf banyak2 ek ... hehehe

Unknown said...

Abg Long,
Bagus tu. lawas! hahaha.

Sas,
Ikut macam Kak Ayu ni, perah ambil jusnya. Kalau masam tambah gula. Sesuai untuk juadah berbuka. Kan Kak Ayu? Kan kan kan?

Kak Ayu,
Waras. Riko waras?

Kang Mya,
Kerusi lama tu dh ditinggalkan. Sekarang di kerusi baru di rumah sendiri, dibuat sambil-sambil. Lebih fleksibel. Tak payah duduk kat pejabat sampai 10 mlm. Rak kelar laa. Ada byk masa menulis.

SF,
sama2. ko mmg suka kutuk aku. nyampah. nak duit raya!

Achik_Sufi said...

salam,
selamat hari raya maaf zahir dan batin.