Monday, April 28, 2008

Kawan

Baru-baru ini saya menerima SMS dari seorang rakan lama. SMS itu meminta saya memberikan alamat lengkap berserta nama penuh. Nak hantar kad undangan katanya. Saya tersenyum. Mencebir. Kemudian SMS itu saya terus padam. Tak kuasa saya nak layan. Setelah setahun lebih dia tak menghubungi saya, tiba-tiba nak hantar kad undangan. Boleh jalanlah. Lu silap orang la sis. Hanya kerana dia nak kahwin, baru dia hubungi saya? Bukannya saya tak pernah menghantar SMS atau pesanan Yahoo Mesengger bertanya khabarnya. Sangat selalu sampai saya bosan. Bosan kerana semuanya tak berbalas.

Terus-terang sejak dari dulu lagi saya akan abaikan permintaan orang-orang yang menghubungi hanya kerana ada 'sesuatu'. Kejam kan saya? Mungkin ada yang mengatakan saya keterlaluan. Tapi bagi saya, mengingati sahabat bukan sekadar menghantar kad undangan. Manusia-manusia seperti ini hanya ingat kawan-kawan bila nak hantar kad undangan. Tak ada kad undangan yang nak dihantar bermakna tak ingat kawan-kawan. Saya tak mahu bersahabat dengan manusia-manusia begini. Mereka bukan golongan sahabat saya.

Perihal sahabat ini selalu membuatkan hati saya terguris. Masuk bab sahabat, saya cukup sensitif, mudah terluka, mudah kecil hati. Sahabat lebih dari teman, rakan atau kawan. Mungkin bagi orang lain, kata nama itu sama saja definisinya. Tapi 'sahabat' sangat tinggi nilainya bagi saya, hampir menyamai saudara sendiri.

Berkisah tentang sahabat, saya biasa didatangi oleh manusia-manusia yang mendatangi saya dengan sebab tertentu. Maaf, kalau ada yang tersinggung. Mungkin bukan kamu yang saya maksudkan. Saya biasa menjadi tempat rujukan manusia-manusia yang sedang dalam dilema, bermasalah, sedih dan lain-lain, sejak dari zaman persekolahan lagi. Tapi sayang, saya bukan pembimbing rakan sebaya kerana saya tak popular pun di sekolah dulu (di sekolah saya, pelajar popular saja yang dilantik itu ini) hehe. Dan, sebagai sahabat, saya sedia mendengar dan memberikan pendapat yang sepatutnya. Namum malangnya apabila manusia-manusia itu sedang tertawa ria bersuka-hati-berdansa-loka, saya terus dilupa. Sampaikan ketika waktu saya kesusahan, ada antara mereka yang mentertawakan, atau malas mendengar saya. Keluarlah saranan-saranan yang berupa lawak jenaka atau bernada bosan nak melayan. Sampai sekarang pun masih ada yang melayan saya sebegitu rupa. Saya bukan mengungkit apa yang telah saya berikan, cuma saya mahukan pengertian, atau sekurang-kurangnya memahami. Tak lebih.

Dulu semasa di bangku sekolah, ada sahabat sekelas yang menggubal 'Akta Kawan', tapi saya lupa isinya. Cuma yang saya ingat adalah yang terakhir; "Menziarahi jenazahnya." Kalau tak silap saya, ada 10 akta di dalamnya. Akta itu ditampal di papan kenyataan di depan kelas. Dan sememangnya kami sampai sekarang masih ramai yang berhubung antara satu sama lain walaupun telah berbelas tahun meninggalkan alam sekolah. Ada juga kumpulan yang setiap tahun menganjurkan 'baraan' setiap kali hari raya. Tapi saya tak tahu adakah aktiviti itu masih terterusan sampai sekarang. Kali terakhir yang saya dengar 2-3 tahun sudah ianya masih berlangsung. Seronok bertemu semula dan mengingat kembali kisah-kisah lama sambil mengira jumlah anak masing-masing. Itulah indahnya persahabatan yang ditunjangi dengan keikhlasan. Persahabatan yang kami bina mampu bertahan sehingga berbelas tahun sesudah tamat persekolahan.

Terima kasih kepada sahabat-sahabatku semua, yang sering bertanya khabar walau sesibuk mana pun kalian. Aku sayang kamu!

p/s : Azri, kalau kau baca blog ni lagi, boleh kau ingat balik 'Akta Kawan' tu? Aku nak buat novel. Seingat aku, kau yang reka akta tu. Kau memang 'gila'.

Ah, ya... sebelum terlupa, ada seorang pengunjung blog sepi ini daripada Arizona, US (kalau freejit ni tak salah la, maklumlah track yang saya pasang ni pun selalu sewel) selalu benar bertandang. Jangan malu-malu kenalkan diri kamu, mungkin kita boleh bersahabat. Tinggalkan jejak atau alamat blog kamu juga (kalau ada). Kamu sungguh misteri!

Tuesday, April 15, 2008

Pesta-pestaan!

Pesta buku sudah pun berakhir. Manusia-manusia yang terlibat dalam dunia buku; penerbit, penulis, ulat-ulat buku, sudah boleh mengurut-urut kaki dan betis yang lenguh-lenguh kejang, merungkai-rungkai urat hijau yang tersimpul-biol. Penerbit tersenyum lebar dapat laba berganda (agaknya), penulis tersengih bila mencongak royalti yang bakal dipungut. Ulat-ulat buku pun gembira (dalam tangisan kot) sebab berjaya menjinjit berkoyan-koyan buku dengan potongan harga (ada yang betul-betul rendah dan ada yang hanya sekadar ada less).

Saya? Tiada yang lebih menggembirakan bila dapat bertemu rakan-rakan, sama ada penulis mahupun blogger. Kehadiran saya di pesta hanya kerana dua perkara; mencari beberapa buah buku dan bertemu rakan-rakan. Aktiviti lain sepanjang pesta, saya sertai sebagai acara sampingan.

Terukkan saya? Orang lain sibuk menunggu gerai dari pagi sampai petang, tapi saya lebih suka merayau-rayau menambahsesakkan keadaan yang sedia sesak itu.
Dan didasari oleh niat saya itu, berjumpalah saya dengan rakan-rakan yang sebelumnya cuma bertegur sapa di ruang maya. Tapi saya sedikit ralat kerana belum pun lama (rasanya) kami berbual mesra seperti telah terlalu lama mengenali, mereka seperti tidak sabar-sabar ingin meninggalkan tempat 'ngeteh' itu. Dan sekali lagi mereka cepat-cepat ingin kembali ke gerai apabila diajak ronda-ronda.

"Buku akak masih banyak lagi tu," katanya. Erk? Hehehe, tak apalah. Akak terkejut ek? Ok, saya faham.


Dan pulangnya saya mendapat cenderahati yang emmm... sangat 'masuk' dengan blaus saya yang berwarna peach itu. Kole comel itu pula pasti membuatkan saya teringat dia, kalau susu suam setiap pagi itu saya bancuh di dalamnya. Terima kasih daun keladi. Dari saya, cuma barangan kecil yang sangat murah nilainya. Harap mereka juga akan mengingati saya apabila memandangnya.


Pesta tahun hadapan, saya harap dapat bertemu mereka lagi, tapi bukan dalam keadaan yang serba gopoh seperti kali ini.

Kakak-kakak, harap-harap tahun depan kalian sudah hilang kejutan itu, ya.
Dan, kepada rakan-rakan lain, saya belum puas bersama-sama kalian. Kerana saya fikir, masing-masing sibuk terkejar-kejar ke sana ke mari. Sampaikan waffle yang dijanjikan kepada saya pun tak nampak bayang. Jangankan bayang, baunya pun jaaaauuuh... hahaha (merajuk ni tau).

Tahun ini saya tidak beli walau sebuah pun novel romantis, sama seperti tahun-tahun sebelumnya. Pembelian saya cuba berkisar kepada keperluan kerja-kerja saya saja (kes poket kempis). Juga beberapa novel yang ingin saya pelajari cara pengolahannya. Ya, saya masih jauh ketinggalan dan cetek ilmu dalam bidang kerja saya.


Kawan-kawan, semoga tahun depan pertemuan kita jauh lebih meriah daripada tahun ini.


Tuesday, April 08, 2008

Nanti Orang Ambil....

Dalam keriuhan ulat-ulat buku (dan ulat-ulat bulu), seorang gadis cilik lagi manis sedang berdiri bersandar di surau luar PWTC. Ketika itu saya baru usai solat asar. Manusia yang kecil itu terus-terusan saya perhatikan. Lama sekali. Dia sedar agaknya mata tajam saya yang tak lepas memerhatikannya. Tak karuan dia jadinya. Dia juga memandang saya. Hati saya terdetik sesuatu. Pantas fikiran saya mengimbau tragedi menyayat hati seluruh manusia di bumi Malaya ini. Mulut saya terbuka untuk menyatakan sesuatu.

Tiba-tiba, terjulur kepala seorang lagi gadis kecil, juga manis wajahnya. "Adik tunggu kat situ diam-diam tau. Jangan ke mana-mana," dia berkata.

Fahamlah saya mereka adik-beradik. Tak lama, si kakak dalam lingkungan usia 10 tahun itu masuk semula ke dalam surau. Ibunya di mana? Ayahnya tak ada?

Saya jadi ngeri. Mulut saya ringan melontarkan suara, "Adik masuk ke dalam, ikut kakak." Gadis kecil itu diam tak menyahut. Kelihatan serba salah, mungkin takut dimarahi kakaknya. "Dik, masuk dalam. Jangan tunggu kat sini sorang-sorang. Nanti adik kena ambik orang tau," kata saya lagi.

Si kecil itu mula bergerak, tapi tetap tidak masuk ke dalam surau.

"Pergi masuk ikut kakak. Duduk kat dalam. Nanti orang ambik adik," kata saya lagi.

Kali ini gadis cilik yang manis itu tanpa tunggu-tunggu dengan pantas masuk ke dalam surau. Lega hati saya melihatnya ditelan perut surau itu.

Persoalan yang berlegar dalam kepala saya waktu itu, tega sungguh orang tua mereka melepaskan anak-anak kecil lagi manis begitu lepas bebas tanpa pengawasan di tengah suasana hiruk-pikuk manusia yang tak ketahuan hati budi mereka. Tragedi demi tragedi yang silih berganti terjadi umpama perkara biasa yang tak mampu menembus rasa cuai dan alpa. Bila sudah terhantuk, barulah terngadah terpekik terlolong tak ingat dunia. Minta bantuan sana sini. Yang dijaga dan ditatang pun boleh hilang ghaib bagai ditelan bumi, inikan pula yang lepas bebas tanpa pengawasan. Aduhai....

Friday, April 04, 2008

Juara Carta!

Melah Melia2 akhirnya berjaya juga menempatkan diri pada kedudukan juara bagi novel-novel remaja terbitan PTS One di MPH Alamanda, Putrajaya. Semoga kekal unggul di situ pada bulan-bulan seterusnya.

Terima kasih kepada semua pembaca saya. Terima kasih daun keladi. Bagi yang belum mendapatkannya, sila-silalah dapatkannya di pasaran.


1. MELAH MELIA 2

2. AKU MAHU BULI
3. ADAM KECIL: SAKIT GIGI
4. SARAH DAN ANTING-ANTING
5. TABIK CIKGU
6. AKU MAHU SAIZ 'S'
7. AKU MAHU POPULAR
8. DUNIA SAINS AIMAN: DUNIA SEMUT
9. ADAM KECIL: DICAKAR HANTU
10. PUTERI IKAN EMAS

Sumber: Unika.

Tuesday, April 01, 2008

sekadar cuci-cuci....




Salam semua. Sejak beberapa minggu ini, hampir-hampir terlupa untuk melihat tarikh terakhir blog ini dikemas kini. Tapi mujurlah ada insan-insan yang prihatin, yang dengan senang hati mengingatkan bahawa sesungguhnya blog ini sudah semakin sepi. Terima kasih banyak-banyak. Tak sangka, ada juga yang masih rajin bertandang ya. hehehe. Terima kasih sekali lagi.

Buat adik-adik, no more tag, ok? Mungkin ada yang tak perasan, dalam entri lepas mak cik dah pesan. Tapi tak apa, rajin-rajinlah singgah sekadar mengjenguk-jenguk dan mencuci mata di blog yang sentiasa sepi ini.
Minggu ini pesta buku sudah bermula. Jom serbu ramai-ramai!

Harap mata yang letih dapat dicuci sedikit dengan foto-foto yang diupload.