Monday, April 28, 2008

Kawan

Baru-baru ini saya menerima SMS dari seorang rakan lama. SMS itu meminta saya memberikan alamat lengkap berserta nama penuh. Nak hantar kad undangan katanya. Saya tersenyum. Mencebir. Kemudian SMS itu saya terus padam. Tak kuasa saya nak layan. Setelah setahun lebih dia tak menghubungi saya, tiba-tiba nak hantar kad undangan. Boleh jalanlah. Lu silap orang la sis. Hanya kerana dia nak kahwin, baru dia hubungi saya? Bukannya saya tak pernah menghantar SMS atau pesanan Yahoo Mesengger bertanya khabarnya. Sangat selalu sampai saya bosan. Bosan kerana semuanya tak berbalas.

Terus-terang sejak dari dulu lagi saya akan abaikan permintaan orang-orang yang menghubungi hanya kerana ada 'sesuatu'. Kejam kan saya? Mungkin ada yang mengatakan saya keterlaluan. Tapi bagi saya, mengingati sahabat bukan sekadar menghantar kad undangan. Manusia-manusia seperti ini hanya ingat kawan-kawan bila nak hantar kad undangan. Tak ada kad undangan yang nak dihantar bermakna tak ingat kawan-kawan. Saya tak mahu bersahabat dengan manusia-manusia begini. Mereka bukan golongan sahabat saya.

Perihal sahabat ini selalu membuatkan hati saya terguris. Masuk bab sahabat, saya cukup sensitif, mudah terluka, mudah kecil hati. Sahabat lebih dari teman, rakan atau kawan. Mungkin bagi orang lain, kata nama itu sama saja definisinya. Tapi 'sahabat' sangat tinggi nilainya bagi saya, hampir menyamai saudara sendiri.

Berkisah tentang sahabat, saya biasa didatangi oleh manusia-manusia yang mendatangi saya dengan sebab tertentu. Maaf, kalau ada yang tersinggung. Mungkin bukan kamu yang saya maksudkan. Saya biasa menjadi tempat rujukan manusia-manusia yang sedang dalam dilema, bermasalah, sedih dan lain-lain, sejak dari zaman persekolahan lagi. Tapi sayang, saya bukan pembimbing rakan sebaya kerana saya tak popular pun di sekolah dulu (di sekolah saya, pelajar popular saja yang dilantik itu ini) hehe. Dan, sebagai sahabat, saya sedia mendengar dan memberikan pendapat yang sepatutnya. Namum malangnya apabila manusia-manusia itu sedang tertawa ria bersuka-hati-berdansa-loka, saya terus dilupa. Sampaikan ketika waktu saya kesusahan, ada antara mereka yang mentertawakan, atau malas mendengar saya. Keluarlah saranan-saranan yang berupa lawak jenaka atau bernada bosan nak melayan. Sampai sekarang pun masih ada yang melayan saya sebegitu rupa. Saya bukan mengungkit apa yang telah saya berikan, cuma saya mahukan pengertian, atau sekurang-kurangnya memahami. Tak lebih.

Dulu semasa di bangku sekolah, ada sahabat sekelas yang menggubal 'Akta Kawan', tapi saya lupa isinya. Cuma yang saya ingat adalah yang terakhir; "Menziarahi jenazahnya." Kalau tak silap saya, ada 10 akta di dalamnya. Akta itu ditampal di papan kenyataan di depan kelas. Dan sememangnya kami sampai sekarang masih ramai yang berhubung antara satu sama lain walaupun telah berbelas tahun meninggalkan alam sekolah. Ada juga kumpulan yang setiap tahun menganjurkan 'baraan' setiap kali hari raya. Tapi saya tak tahu adakah aktiviti itu masih terterusan sampai sekarang. Kali terakhir yang saya dengar 2-3 tahun sudah ianya masih berlangsung. Seronok bertemu semula dan mengingat kembali kisah-kisah lama sambil mengira jumlah anak masing-masing. Itulah indahnya persahabatan yang ditunjangi dengan keikhlasan. Persahabatan yang kami bina mampu bertahan sehingga berbelas tahun sesudah tamat persekolahan.

Terima kasih kepada sahabat-sahabatku semua, yang sering bertanya khabar walau sesibuk mana pun kalian. Aku sayang kamu!

p/s : Azri, kalau kau baca blog ni lagi, boleh kau ingat balik 'Akta Kawan' tu? Aku nak buat novel. Seingat aku, kau yang reka akta tu. Kau memang 'gila'.

Ah, ya... sebelum terlupa, ada seorang pengunjung blog sepi ini daripada Arizona, US (kalau freejit ni tak salah la, maklumlah track yang saya pasang ni pun selalu sewel) selalu benar bertandang. Jangan malu-malu kenalkan diri kamu, mungkin kita boleh bersahabat. Tinggalkan jejak atau alamat blog kamu juga (kalau ada). Kamu sungguh misteri!

10 comments:

kak ila said...

salam AN :)

dalam berkawan memang bermacam ragam kawan boleh kita jumpa..

yang menyenangkan, yang menyakitkan termasuklah juga yang menikam.

dan semoga kita menjadi kawan yang menyenangkan kawan2 yang lain.

alias derais said...

wah, feeling nampak. hang jgnlah pikiaq hang sorang je alami mimpi ngeri macam tu. aku sendiri pun selalu kena. kawan2 yg bertaun2 tak jumpa, tiba2 call nak dtg rumah. kita punya excited nak jumpa, alih2 dia datang nak jual insuranslah, pinggan mangkuklah, ubat2anlah, dan lain lain lagi.
buat penat je orang rumah memasak. keikhlasan diaorng yg nak jumpa kita langsung takdak. haih. nampkanya, dlm keadaan2 tertentu, kita serupa, ainin.

~mama ranggie a.k.a eira~ said...

betul tu kak...

saya pon malas nak layan org gini...

Ainin Naufal said...

kak ila,
itulah, betul kata orang dulu-dulu, kawan menangis susah nak jumpa.

cheegu,
ya, aku pun ternah. susah payah nak sambut kawan, rupanya dia tak ikhlas. alahai...

eira,
kita tak kejam kan? hahaha

Amiene Rev said...

Kalau saya, saya lagi kecewa sebab:

1. Kawan-kawan saya selalu contact saya.

2. Dia orang semua selalu bagi kad jemputan kahwin dekat saya.

3. Apabila ada yang dah beranak atau apa-apa berita terkini, sayalah orang pertama yang akan dimaklumkan sampai orang kata, antara ramai-ramai kawan, kalau nak dapat berita terkini, contact Amien sebab dia adalah sentral penghubung kawan-kawan.

Tapi yang sedihnya... bila saya dapat kad jemputan kahwin. Saya pun ajak la kawan-kawan saya yang dekat untuk pergi sekali, dan inilah jawapannya:

A. Maaf Amien, aku tak dijemput, tak dapat kad pun. Aku tak pergi.

B. Maaf Amien, mana boleh pergi kalau tak dapat kad jemputan. Kalau I pergi, buat malu aja.

C. Haram aku nak pergi kalau tak dapat kad.


Dan perkara seperti ini dah berulang-ulang kali berlaku. Saya kecewa. Saya anggap masa majlis kahwin inilah masa paling sesuai untuk buat reunion, tetapi kenapa ada yang tak dapat kad?

Ta faham saya. Oh, dunia.

Tetapi apabila saya komplain kenapa ada kawan-kawan yang tak dapat kad, inilah jawapan yang saya dapat:

1. Terlupa nak bagi dekat kawan tu (sebab tak rapat/tak popular di kalangan kawan-kawan).

2. Sibuk sangat dengan kerja, tak sempat nak bagi semua.

Dua alasan yang popular.

Tapi bila saya baca entri ni, saya dapat satu persepsi yang bertentangan. Bila nak kahwin baru nak contact?

Saya ada seorang kawan, sudah tiga tahun tidak contact, sebab dia mengajar dekat pedalaman, Sabah.

Tahun ini dia ada datang, datang belanja saya makan ayam golek, makan itu dan ini. Saya tahu dia ikhlas.

Ada juga kawan-kawan yang selalu wish hari jadi saya, hari raya, hari kemerdekaan, tahun baru, dan mereka terdiri daripada pelbagai bangsa. Ada cina, ada India.

Saya tak pernah terasa hati kalau dia orang lupa nak contact saya biarpun bertahun-tahun. Sebab bila berjumpa, jurang itu akan terus hilang. Sebab saya tahu dia orang sibuk dengan tanggungjawab terhadap masyarakat, sebab tu dia orang tak sempat nak contact.

Saya sukar untuk jadi pendendam sebab tidak ada manusia yang tidak melakukan kesilapan. Kesalahan kerana satu tahun tidak contact bukanlah besar bagi saya.

Sebab saya yakin, mereka ada sebab tertentu, ada masalah tertentu.

Saya juga ada definisi bagi kawan, sahabat, saudara... kekasih.

Sebab saya mudah mendapat kawan, tetapi saya sangat pemilih dalam mencari sahabat. Dan, sesiapa yang mementingkan diri selalunya tidak 'ngam' dengan saya.

Saya bersyukur sebab semua kawan saya baik-baik belaka. Bertanggungjawab, suka menolong orang. Ada yang sibuk, tetapi tidak pernah lupa tarikh lahir saya, dan kalau mereka lama tidak menghubungi saya, sebab mereka sangat sibuk dengan dunia baru mereka.

Tujuh hari bekerja. Tak ada rehat. Bila berjumpa pun, saya lihat setiap orang, matanya lebam-lebam. Sebab itu saya yakin, jika mereka tidak menghubungi saya, sebab mereka sibuk.

Dan kepercayaan itu selalunya berbalas.

Benda terakhir yang saya nak tekankan di sini. Kalau kita benar seorang sahabat, maka tegurlah seorang sahabat itu apabila dia melakukan sesuatu.

Kalau kita lelaki dan kawan kita itu wanita, maka kalau dia dah berpunya atau dah berkahwin, maka tak kisahlah kalau dia tak contact kita lagi.

Err.. orang lelaki cara bersahabatnya lain sedikit. Macam saya kata, ada yang tiga tahun tak contact, tiba-tiba datang Semenanjung cari saya, belanja saya makan. Ramai kawan saya yang macam ni. Tapi kalau orang perempuan tak tahu pula.

Tapi saya paling suka bila dapat sms berita terkini daripada dia orang.

Kita penulis... kita bukan sekadar menegur orang terdekat, tetapi sesiapa sahaja menerusi tulisan kita.

Kalau kita mahu manusia berubah, sebarkan sesuatu dan jangan musnahkan dengan kata-kata kasar/kesat atau diamkan sambil menyimbah minyak ke hati yang berbara.

Kadangkala kita kata orang tu macam tu, tetapi kita lupa apabila orang lain baca tulisan kita, orang itu pun kata, "kita dengan orang yang kita komplain dalam tulisan kita tu, 2x5 sahaja."

Ada orang semasa masih mentah selalu datang jenguk kita, meminta pandangan kita, bila sudah top, kita pun tak dijenguknya lagi.

Tetapi saya paling suka dengan seorang penulis ni, walaupun dia sudah top, tetapi dia masih tidak segan meminta pandangan saya. Biarpun dia menerima beratus-ratus e-mel daripada para peminatnya.

Tak pernah pula sekali-sekali dia riak di dalam tulisannya. Kecil hati yang pernah melanda, terubat apabila berkenalan dengan penulis seperti ini.

Topik mengenai kawan ini, saya suka. Sebab, saya tahu saya memiliki sahabat, dan tidak pernah tersilap memilih sahabat setakat ini. Saya sangat memilih sahabat, tetapi saya dapati, sahabat saya lebih ramai.

Orang kata, kalau kita baik, maka sahabat yang datang kepada kita, adalah orang baik. Dan orang yang busuk hatinya, akan memusuhi kita.

Ini benar! Dan kerana itu, saya bersyukur.

Bagi orang-orang yang macam setan, saya doakan supaya hatinya berubah dan diberi petunjuk dan teladan.

Kadangkala ada sebab kenapa ada orang tidak membalas SMS atau YM seseorang.

Pertama, dia sibuk atau dia log out ke SMS mode.

Kedua, dia memang tak suka chatting atau main SMS.

Ketiga, dia malu dengan kita. Perkara ini memang selalu berlaku. Ada kawan saya sekolah saya yang dah jadi penghisap gam, dia malu nak datang reunion. Jadi saya ajak seorang sahabat baik saya yang seorang lagi datang berjumpa dia. Bertanyakan hal-hal dia, berikan dia pandangan baru tentang dunia yang bagi dia dah sempit sangat.

Ada juga yang malu dan segan dengan dirinya sendiri, sebab tu dia tak berani tak balas sms atau ym kita. Tak percaya cubalah cari dia sampai jumpa kalau betul-betul kita ni sahabat dia.

Saya tak mudah bersangka buruk kalau saya dah pernah jumpa atau berkawan dengan orang tu.

Tak logiklah 5 tahun bersahabat, tiba-tiba setahun dia tak contact kita, kita dah sangka macam-macam. Saya selalu bersangka baik sebab saya memang dah kenal dia orang.

Kalau saya tak pernah jumpa dia orang, itu lain ceritalah.

Sebab keempat, sebab kita pernah menyakiti dia dahulu.

Kita kata bila kita ada masalah, kita luahkan dia tak nak dengar, malas nak dengar.

Lupakah kita kalau kita pun sama macam dia juga. Orang datang mengadu masalah dekat kita, kebimbangan dia, rasa tersisih dia, tiba-tiba kita marah-marah dia. Lagi melepas geram pada dia.

31 Oktober 2007... kadangkala membaca e-mel yang lepas-lepas, boleh buat kita sedar kelemahan diri kita.

Kadangkala ada orang lupa benda yang dia pernah buat kepada orang lain, tetapi dia terasa bila orang lain pula buat benda yang sama seperti tu kepada diri dia.

Manusia ni tidak ada yang sempurna kan? Berdendam? Dendam itu sifat syaitan. Zalim itu sifat syaitan.

Manusia... darah sama merah, hati lain-lain.

Ada siapa-siapa yang baca sampai habis komen ni?

Selamat Hari Pekerja.

Ainin Naufal said...

amin,
persepsi dan pengalaman kamu berbeza dengan orang lain terutamanya saya.

maaf ya, sis itu saya cuma kenal dia beberapa bulan cuma. bukan 10 thn, bukan 5 thn. saya lebih kenal manusia di sekeliling saya. dan saya bukan berdendam, cuma saya tak anggap dia dalam golongan 'sahabat' itu saja. tak ada nilai persahabatan pun antara kami sendainya tiada timbal balas yang seimbang.

saya ada sabahat, tak pernah menonjolkan ciri-ciri sabahat secara lahiriah walau sikit pun. kata-katanya berbisa, sentiasa acuh tak acuh terhadap saya. tak pernah sekalipun berhubung dgn saya walau dgn apa cara sekalipun. tapi dia tetap sahabat saya yang paling sejati kerana saya kenal seperti apa dia itu, cara dan tingkahlakunya, hati budinya, dan segala-galanya. dialah sahabat paling sejati pernah saya temui, walaupun kini saya tak tau di mana dia. saya tau dia sentiasa mengingati saya.

kalau kamu merasakan penulis ini busuk hati, berdendam, lain ditulis lain dibuat, itu terserah. sudah begitu persepsi kamu. nampaknya kamu memang tak kenal saya. dan saya tak pernah mengalu-alukan kamu menyicip kebobrokan di sini.

sekian dan terima kasih.

oh ya, penulis yg kamu katakan ramai peminat itu saya tau siapa dia. kamu tahu bagaimana kamu mendapat kerja darinya? cuba kamu tanyakan dia.

Amiene Rev said...

Ada kesilapan dalam sangkaan dan persepsi Kak Ainin.

Pertama, lontaran persepsi terhadap orang secara mudah.

Saya tidak pernah mendapat kerja atau apa-apa tugas daripada penulis yang dimaksudkan dan penulis tersebut adalah sebaya dengan saya.

Bukan mudah untuk menduga jawapan seseorang cuma manusia kadangkala ada yang terjerat dengan situasi tertentu, dan membuat tanggapan mudah terhadap orang lain.

Amiene Rev said...

Sepanjang hari ini, saya meneliti kata-kata Kak Ainin.

Dan saya sedar seorang yang dahulunya begitu baik tutur bahasanya, yang dahulu ada meminta pandangan dan tunjuk ajar (perkataan yang digunakannya dahulu), yang dahulu sering berkunjung ke 'tempat' saya, hari ini benar-benar telah berubah. Sepanjang masa saya menafikan yang dia telah berubah, saya menganggap dia menghadapi tekanan lain, seperti apa yang pernah diceritakannya kepada saya.

Tapi barangkali penulis ini telah benar-benar sibuk dengan tekanan kerja, sehingga saya sekarang pun sering diherdiknya, dilontar dengan kata-kata kesat.

Saya harap Kak Ainin masih seperti dahulu, senang untuk diajak berbicara. Saya faham Kak Ainin sibuk, dan kunjungan saya membawa 'kebobrokan'ke mari pun sudah tidak dialu-alukan lagi.

Dan, inilah kata-kata saya yang terakhir di sini (barangkali).

Jika kita masih menganggap seseorang itu rakan lama, maka tegurlah dia apabila dia melakukan kesilapan.

Tidak ada seorang pun di dunia ini benar-benar sempurna. Kata orang, apabila ada orang menegur kita, itu tandanya Allah masih sayangkan kita.

Saya mungkin tidak sematang usia, seluas akal seperti Kak Ainin, tetapi saya sentiasa gembira melihat dan mengambil tahu perkembangan Kak Ainin. Saya selalu berkunjung ke mari, tetapi jarang-jarang menulis sesuatu di sini.

Dan, saya paling suka melihat buku Oren di pasaran. Saya selalu gembira menceritakan buku-buku Kak Ainin kepada saudara-saudara saya, sahabat-sahabat saya dan anak-anak murid saya.

Tetapi saya bimbang apabila melihat contoh yang saya rasa sukar diterima. Apabila peminat-peminat seorang penulis melihat cara penulis itu bertindak balas terhadap orang yang tidak disenanginya:

Kenapa kita mesti mendiamkan diri, memutuskan terus perhubungan kita dengan orang yang pernah dianggap sebagai rakan lama semata-mata kerana kecewa dengan sikapnya?

Kenapa kita sebagai penulis, tidak berusaha untuk menghantar teguran kepada rakan lama itu, untuk mencetus suatu kesedaran kepada rakan lama itu?

Kenapa kita berdiam diri, apabila seorang rakan lama melakukan kesilapan? Bukankah kita sama sahaja seperti rakan lama kita itu?

Kenapa mesti: "Awak diam, jauhkan diri, saya pun diam dan jauhkan diri dari awak"? Kenapa kita tidak menegur dia supaya menyedari apa yang kita rasa silap buat diri dia.

Maafkan saya Kak Ainin. Mungkin saya akan dihentam oleh peminat-peminat Kak Ainin, saya tidak tahu, tetapi sebagai seorang yang telah dianggap 'peracau', maka biarlah saya buat penjelasan terakhir mengenai komen saya sebelum ini.

Saya menegur Kak Ainin, dan ini adalah penjelasan saya sebelum ada sesiapa yang salah faham.

Seorang penulis adalah seorang pendidik. Sebelumnya saya menegur tersirat, tetapi saya dianggap sebagai 'peracau'. Bimbang persepsi lain timbul, maka biarlah saya berterus terang.

Manusia tidak ada yang sempurna. Tidak semua yang dilakukan oleh manusia itu tepat. Tetapi manusia boleh saling tegur menegur.

Saya mengulang buat kali terakhir di komen kali ini:

Saya menegur sikap Kak Ainin, kerana cara Kak Ainin membalas sikap rakan lama itu, saya rasa tidak kena caranya. Janganlah kerana kecewa dengan sikap seseorang, maka kita membiarkan dia dengan caranya. Kadangkala satu teguran boleh mengubah pemikiran seseorang. Siapa tahu, selepas ditegur dia akan menjadi lebih baik.

Maafkan saya kerana 'meracau' di sini lagi. Maafkan saya, kerana biarpun sudah tidak dialu-alukan di sini tetapi masih mahu membuat penjelasan tambahan di sini.

Saya tidak berupaya mengubah sikap seseorang, sekadar menegur, kerana orang yang saya tegur ini mempunyai peranan yang penting kepada peminat-peminatnya.

"Manusia tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan"

Salam Hari Pekerja sekali lagi.

Azri said...

Maaf, dah lama aku tak melawat blog engkau. Tiba-tiba teringat kampung dan kawan-kawan lama.

Azri said...

Maaf, dah lama aku tak melawat blog engkau. Tiba-tiba teringat kampung dan kawan-kawan lama.